Friday, July 31, 2009

Tersentuhnya hatiku....

Artikel ini saya baru selesai membacanya dari al-ahkam.net. Terkelu lidah ini dan sebak benar dada saya ketika ini. Hampir-hampir saya mengalirkan air mata. MasyaAllah sedih sungguh nasid saudara-saudara seIslam kita yang terpaksa tinggal menetap di gereja kerana hanya di sana disediakan kemudahan tempat tinggal bagi pesakit HIV positif yang dewasa. Mengapa ini berlaku. tidak adakah tindakan dari pihak bertanggungjawab. Adakah wang dalam kantung simpanan baitumal yang banyak itu boleh digunakan untuk tujuan yang terdesak ini. Mudah-mudahan mereka cepat bertindak kerana itu adalah amanah yang mereka perlu langsaikan segera. Jangan biarkan akidah mereka tergadai kerana kelemahan pengurusan institusi Islam yang diberikan amanah ini. Ya Allah selamatkan akidah mereka kerana itu lebih penting berbanding derita kesakitan akibat penyakit HIV positif mereka. Ya Allah peliharalah iman mereka dan tetapkanlah mereka dalam agamaMu yang benar ini.

Sumber : Al-ahkam.net

"Ustaz, boleh tak sampaikan sedikit kuliah dalam 10 minit pada saudara-saudara kita di sini" minta kak Liza. Mmm, eee, kita taaruf dahululah ye, Nama saya….. Inilah pertama kali dalam hidup saya, sejak bergelar ustaz, tidak mampu mengeluarkan apa-apa perkataan. Hari ini 23 Jun jam 12.30 tengah hari, saya bersama pesakit HIV positif. Pada hal ketika ini, penghuni semua sedang tidur, berehat setelah makan ubat. Tetapi mereka semua bangun kerana mendapat tahu seorang ustaz datang melawat mereka.

Saya tidak mampu mengeluarkan apa-apa perkataan bukan kerana mereka pesakit HIV. Tetapi, tempat kami menyampaikan kuliah agama ini ialah di dalam sebuah gereja.

Tetapi inilah hakikatnya. Tempat perlindungan pesakit HIV bagi orang dewasa adalah di gereja. Orang bukan Islam yang menaungi mereka, dan sudah beberapa yang mati di sini.

Menurut Kak Liza, bagi pesakit HIV dewasa, tidak ada tempat perlindungan yang dibuat oleh orang Islam.

Majlis Agama Islam Selangor pernah bercadang untuk membuatnya, tetapi hingga sekarang belum menunjukkan apa-apa perkembangan.

Saya malu pada diri saya saat ini. Seolah-olah, saya diberi tahu,

"apa lah kamu orang Islam ni, cakap aje pandai, saudara seIslam yang sakit pun tidak dihiraukan".

Selesai taaruf, salah seorang dari mereka memberi tahu,

"Imam masjid sebelah selalu datang"

Hati saya menyapa:-

Kenapa tidak dibuat di masjid sahaja tempat perlindugan ini, bukannya tak ada tanah…"

"Pihak MAIS ada jugalah jengok kami, tapi jarang-jarang. Dalam sebulan sekali lah."

Hati saya menyapa:-

"Kena sampaikan ni, pada sahabat-sahabat dari MAIS. Kena buat sesuatu."

Saya masih kelu dan tidak mampu mengeluarkan apa-apa perkataan. Tajuk apa yang saya nak sampaikan?

Tajuk Ukhuwah? Tajuk berkasih sayang sesama Islam? Tajuk "semua perkara ada hikmah"? Tajuk apa? Tajuk apa yang sesuai?

"Aduhai Tuhan.. kenapa aku di sini hari ini.." rintih hati saya atau lebih tepat:-

"Kenapa sekarang baru dapat tahu, kenapa tidak peka, kenapa tidak dari dulu lagi aku datang menjenguk sahabat-sahabat seIslam di sini.."

Akhirnya saya menyampaikan sedikit tazkirah, tak sampai dua minit. Saya hanya membicarakan mengenai kasih sayang Allah pada manusia. Semakin banyak saya berkata, semakin banyak hati saya berkata:-

"Ah… pandai cakap aje, apa yang kamu buat hah…"

Tazkirah di akhiri dengan sedikit ucapan dari kak Liza.

Majlis berakhir dengan bersalaman. Salah seorang penghuni, dengan suara yang rendah, berkata pada saya:-

"Ustaz.. terima kasih sebab datang ye.."

Nak menitik air mata saya melihat mereka. Dari mata mereka, mereka seolah-olah memberi tahu saya,

"Ustaz, keluarkanlah kami dari gereja ini"

Saya melangkah keluar dari dewan kuliah. Di sebelahnya terdapat salib. Yang masih boleh berjalan, menghantar saya hingga ke kereta.

Mereka melambai ke arah kami serombongan sambil berkata:-

"Nanti datang lagi ye.."

Van yang kami naiki menuruni cerun kawasan gereja. Hati saya tak putus-putus berdoa:-

"Ya Allah, selamatkan iman mereka. Ya Allah, beri kami kemampuan, dalam tahun ini insyaAllah, kami akan usaha mengeluarkan mereka dari gereja ini Ya Allah."

Kami meninggalkan tempat ini. insyaAllah, selepas saya pulang dari Turki nanti minggu depan, kita akan usahakan sesuatu, bisik hati saya.

Pada saya, mewujudkan tempat perlindungan ini dah taraf fardhu ain dah, ini kerana tidak ada lagi tempat perlindungan bagi orang dewasa seperti ini yang dibuat. Selagi ada orang Islam yang masih duduk di gereja ini, selagi itulah tanggung jawab ini tidak terlepas dari setiap bahu orang Islam.

Saya menyeru pada semua pembaca. Mari sama-sama kita usahakan. Jika ada niat, maka, insyaAllah, pasti ada jalan.

InsyaAllah, saya akan mewar-warkan pada semua jika ia akan dimulakan. InsyaAllah, dalam tahun ini juga, kita akan keluarkan mereka dari gereja ini. InsyaAllah, dalam tahun ini juga, kita akan usahakan rumah penjagaan bagi orang Islam.

Semoga sedikti niat ini mendapat bantuan ilahi, amin…

"Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat"

Al-Fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Putra Heights
24 Jun 09, jam 2.15 pagi



Selsema Babi : Yang perlu dan jangan ( Panduan agama )

Apa khabar semua. bertemu kita kembali hari ini. Alhamdulillah, berkat kesihatan yang Allah berikan dapat saya memasukkan posting terbaru hari ini. Pada pandangan saya, apa yang ditulis oleh Ustaz Zaharuddin ini sarat dengan nasihat dan peringatan yang baik buat kita. Semoga artikel ini dapat memberi manfaat buat kita semua dan didoakan agar ustaz diberikan kesihatan yang berpanjangan olehNya. Selamat membaca semua.

Oleh: uzar

""Ustaz, saya tak puas hati betul dengan keluarga si X, dah tahu dia tak sihat janganlah datang ke program kita, sekarang saya pun dah selsema ini" Rengus seorang di klinik, kebetulan bertemu seorang ustaz.

Heh, sebab anak kamu, pembawa wabak, sekarang ni satu pertiga seokolah kita sudah kena selsema babi, lain kali kalau dah ada symptom, janganlah datang ke sekolah!" kata seorang guru dengan wajah menyinga kepada bapa seorang murid.

Itu mungkin beberapa dialog yang semakin popular di ketika ini. Jika tidak dilafazkan sekalipun, ia mungkin sahaja bermain di minda dan hati. Bolehkah kita sedemikian? Apa lagi senarai perlu faham, perlu dan jangan buat di ketika ini?

Swine Flu : Senarai Perlu Faham dan Buat


Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net










"Ustaz, saya tak puas hati betul dengan keluarga si X, dah tahu dia tak sihat janganlah datang ke program kita, sekarang saya pun dah selsema ini" Rengus seorang di klinik, kebetulahn bertemu seorang ustaz.

"Heh, sebab anak kamu, pembawa wabak, sekarang ni satu pertiga seokolah kita sudah kena selsema babi, lain kali kalau dah ada symptom, janganlah datang ke sekolah!" kata seorang guru dengan wajah menyinga kepada bapa seorang murid.

"Alahai macam mana ni, tak boleh diri dekat sangat dengan dia ni, dia tengah selsema rupanya, nanti kalau aku jarakkan diri dia terasa pulak" Monolog hati seorang apabila kawannya mengatakan dirinya sedang selsema dan punyai symptom selsema babi.

Itu mungkin beberapa dialog yang semakin popular di ketika ini. Jika tidak dilafazkan sekalipun, ia mungkin sahaja bermain di minda dan hati. Bolehkah kita sedemikian? Apa lagi senarai perlu faham, perlu dan jangan buat di ketika ini?

Wabak swine flu atau selsema babi semakin dahsyat menyerang manusia. Sebelum ini manusia diserang oleh krisis ekonomi hasil tangan mereka sendiri, kali ini krisis bersambung dan berganda dengan serangan krisis kesihatan, juga hasil tangan manusia.

Manusia yang kerap bertukar menjadi bongkak dan angkuh dengan pangkat, kuasa dan harta kini mula menjadi kecut dan takut. Di United Kingdom, pihak kerajaan dan media sering mewarwarkan bahawa swine flu tidaklah berbahaya, ia juga digambarkan sama seperti selsema biasa seperti selsema di musim sejuk yang akan kebah dalam beberapa hari. Ia dikuatkan lagi apabila semua individu yang meninggal dunia akibat swine flu di sini, mempunyai pelbagai penyakit serius yang lain. Keadaan ini menjadikan rakyat UK juga biasa dan hampir tiada dilihat sesiapa memakai ‘facemask' di jalanan sepertimana yang terdapat di Mexico dan Malaysia.




SELSEMA BABI DI UNITED KINGDOM

Namun beberapa hari ini kerisauan sudah mula menjengah di minda kebanyakan rakyat UK akibat kematian seorang kanak-kanak yang sihat akibat swine flu. Ia juga sudah mula merebak dengan makin meluas di United Kingdom sehingga dijangkaan di akhir bulan Ogos, dijangkaan lebih 100,000 orang akan menghidapinya setiap hari.

Hari ini, jumlah mereka yang selsema dan disyaki swine flu di UK semakin bertambah, warga Malaysia di Leicester khususnya dan UK umumnya, juga tidak terlepas dari symptoms swine flu. Semua mula berasa risau tetapi jika sebuah negara maju seperti UK dan USA serta Eropah juga masih terkial-kial, tidak mempunyai penyelesaian rawatan, bagaimana pula nasib negara sedang membangun seperti Malaysia atau Negara-negara lain yang masih mundur.

Media di UK mewarwarkan bahawa dijangkakan vaksin khas untuk virus ini akan berjaya dihasilkan sekitar bulan hadapan. Vaksin ini juga diwartakan akan diberikan kepada seluruh penduduk United Kingdom, dimulakan dengan warga kesihatan di hospital, diikuti golongon berisiko tinggi seperti pesakit athma, diabetes, jantung dan sebagainya. Namun begitu, semuanya masih kabur dan tidak pasti.

Ubat khas seperti anti viral seperti Oseltamivir (Tamiflu) dan Zanamivir (Relenza) hanya boleh diperolehi oleh mereka yang telah menjalankan ujian darah dan disahkan memang dijangkiti swine flu, namun demikian di UK, ujian tersebut sudah tidak lagi relevan kerana jumlah pengadu sudah terlalu ramai. Malah penghidap symptom juga tidak digalakkan hadir ke GP lagi, cukup sekadar kuarantin diri di rumah dan mengubat diri sendiri.

PENGALAMAN KE KLINIK

Pengalaman beberapa warga Malaysia mempunyai symptoms swine flu ke GP (Klinik awam) tidak begitu menggalakkan, sambutan para doktor juga amat dingin malah doktor kelihatan amat bimbang dan mengarahkan segera pengadu untuk keluar melalui pintu lain dengan alasan agar tidak bercampur dengan orang ramai.

Ramai yang kurang senang dengan keadaan ini, tiada ubat yang diberi oleh pihak doktor, tiada prescription untuk antiviral, tiada ubat batuk, dan sebagainya, hanya nasihat untuk mempertingkatkan penjagaan kebersihan, mengunci diri di dalam rumah dan minum air banyak.

Ramai yang sedang menghadapi selsema, batuk dan demam di United Kingdom ketika ini, tetapi kebanyakannya tidak pasti adakah ia swine flu atau tidak, kerana ia benar-benar seperti selsema biasa, yang mana ia biasanya berulamkan batuk dan sekali sekala pening kepala akibat membuang hingusan dan demam singkat. Padahal semua yang disebut tadi adalah symptom-simptom selsema babi, itulah juga info yang terpapar iklan dan poster symptoms swine flu, ia juga tidak jelas.

SENARAI PERLU DAN JANGAN

Apa yang perlu dilakukan kini? Saya bukan doktor namun beberapa nasihat berikut mungkin boleh difahami dan dihayati sebaiknya, moga kita dapat memanfaatkkanya:-

1. PENYAKIT BERJANGKIT & IMANI QADA' QADAR.

Perkara utama bagi semua umat Islam, jangan sesekali lupa atau ‘terlupa' bahawa semua bakteria, virus atau apa jua makhluk yang membawa mudarat ini terlepas dari kekuasaan Allah swt.

Jikalau kita menelurusi hadis Nabi s.a.w, kita akan dapati anjuran Nabi s.a.w untuk berhati-hati apabila bercampur dengan pesakit kusta dan sopak. Sudah tentu anjuran Nabi itu terpakai buat semua jenis penyakit yang diiktiraf boleh merebak dan ‘berjangkit'. Hadis berikut amat jelas :-

لا عدوى ولا طيرة ولا هامة قال له رجل : أرأيت البعير يكون به الجرب فتجرب الإبل ، قال : ذاك القدر ، فمن أجرب الأول ؟

Ertinya : Tiada jangkitan, tiada sial dan tiada hammah (satu kepercayaan jahiliyyah iaitu burung yang kononnya tercipta dari tulang mayat dan hidup lalu membawa sial kematian), maka seorang lelaki berkata : Apa pandanganmu jika seekor unta yang mempunyai penyakit lalu terkena unta yang lain?. Nabi menjawab : Itulah taqdir Allah, (cuba fikirkan), dari mana pula yang pertama mendapat penyakitnya? ( Riwayat Ahmad )

Allah swt mengingatkan :-

مَا أَصَابَ مِن مُّصِيبَةٍ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي أَنفُسِكُمْ إِلَّا فِي كِتَابٍ مِّن قَبْلِ أَن نَّبْرَأَهَا إِنَّ ذَلِكَ عَلَى اللَّهِ يَسِيرٌ

Ertinya : Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lohmahfuz) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. ( Al-Hadid : 22 )

Berbekalkan ayat dan hadis di atas, Islam mengajar kita agar melihat ketentuan Allah swt sebagai asas, sebelum melihat kepada soal sebab dan musabbab atau sunnatullah (hukum alam).

Walaupun demikian, Nabi s.a.w juga mengingatkan :

فِرَّ من المجذوم فِرارَك من الأسد

Ertinya : Larilah (jauhilah) mereka yang berpenyakit kusta sebagaimana kamu lari dari singa" ( Riwayat Al-Bukhari)

Manakala di dalam sebuah hadis lain :-

لا يُورِد مُمَرَّضٌ على مُصَحٍّ

Ertinya : Janganlah orang yang sakit bercampur dengan mereka yang sihat (Riwayat Muslim)



Mungkin ada yang terfikir wujudnya pertentangan makna di antara hadis berkenaan qadar Allah swt dan saranan menjauhi pesakit berjangkit.



Hakikatnya, tiada kontradiksi di antara satu sama lain, perlu difahami bahawa orang Arab di zaman Jahiliyah percaya tubuh orang sakit akan automatik memberi kesan buruk yang pasti kepada tubuh orang yang sihat tanpa mengira sebarang sebab atau taqdir[1]. Atas sebab itu hadis menyebut hadis pertama, namun dalam masa yang sama tidak menafikan jangkitan dari berlaku. Oleh itu, dalam konteks ketiga-tiga hadis di atas, mesej yang disampaikan oleh baginda Nabi s.a.w adalah :-



· Menafikan kepercayaan silam bahawa tubuh orang sakit PASTI AKAN memudaratkan yang sihat, justeru di dalam Islam, tidak boleh diiktikadkan sedemikian.

· Membetulkan kefahaman semua bahawa hampir setakat mana pun kita dengan mereka yang sakit berjangkit, semua masih tertakluk kepada kekuasaan Allah swt untuk mendatangkan sakit itu kepada kita atau tidak.

· Membetulkan kefahaman ummat bahawa sakit yang mungkin kita alami tidak semestinya datang dari orang sakit yang kita temui. Justeru, jangan mula salah menyalahkan di antara satu sama lain.



Hasilnya, Islam tidak menafikan wujudnya kebolehjangkitan tetapi hadis itu disebut dalam konteks dan objektif yang disebutkan di atas. Kebolehjangkitan adalah termasuk di dalam perkara sunnatullah (hukum ketetapan alam), cuma umat Islam perlu memahami ia tertakluk di bawah izin Allah swt. Pastinya, di musim berlakunya perebakan wabak seperti selsema babi ini, tidak mudah untuk mana-mana individu yang terkena dan belum kena untuk meyakini kuasa Allah. Itulah sebenarnya salah satu ujian Allah swt untuk hambaNya, mendatangkan bala sebagai ujian, tapisan iman serta mengingatkan hamba kepada kekuasaan penciptaNya. Hanya merkea yang beriman mampu melakukannya. Semoga kita terdiri dari golongan itu.



2) JANGAN TUDUH SESIAPA SEBAGAI PUNCA



Jangan menuduh sesiapa sebagai penyebab anda terkena selsema ini, jangan juga marah kepada sesiapa. Ini kerana kita tidak akan mampu mengetahui secara pasti dari manakah kita mendapat virus tersebut. Ini kerana virus selsema boleh sahaja datang dari tombol pintu pejabat yang kita pegang, pintu kereta, teksi, mouse computer, key board dan sebagainya. Mungkin terdapat indidivdu lain yang bersin lalu tangannya memegang keyboard, pintu atau berjabat tangan dengan anda sebelum tangannya benar-benar bersih dari virus.

Mungkin sahaja kita ingin meyalahkan seseorang yang bersin di hadapan kita atau duduk di sebelah orang selsema di dalam train atau bas, namun diingatkan sekali lagi, kita sama sekali tidak boleh pasti, kita mendapat selsema dari orang terbabit, besar kemungkinan virus itu telah kita dapati sejak di stesyen bas lagi. Perlu difahami juga, jarak tebaran germ dari seorang yang bersin secara terbuka adalah sekitar 10 kaki jaraknya. Justeru, JANGAN SALAHKAN SESIAPA dan yakinlah ia takdir Allah swt untuk menguji kita.



Cuba lihat petikan video ini :





3. ELAK KELUAR DAN MASUK DARI KAWASAN SESAK DAN WABAK



Elakkan bercampur di temat awam tanpa keperluan yang mendesak dan adalah baik jika dapat sentiasa membersihkan setiap apa yang ingin kita pegang di temat awam. Mungkin sahaja semuanya telah dicemari oleh virus selsema babi tadi dan sedang menunggu orang menyentuhnya sahaja.

Saranan pencegahan ini sesuai dengan hadis di atas dan juga tindakan Nabi yang tidak berjabat tangan dengan seorang lelaki kusta dari rombongan Bani Thaqif di ketika sesi berbai'ah (janji taat setia). Yangmana Nabi saw diriwayatkan berkata yang ertinya : "Pulanglah, kamu telah pun dikira berbai'ah" (Rujuk Sohih Muslim)

Nabi s.a.w :-

إذا سمعتم بالوباء بأرض فلا تقدموا عليه ، وإذا وقع بأرض وأنتم بها فلا تخرجوا فرارا منه

Ertinya : Apabila kamu mendengar terdapat wabak di satu kawasan, janganlah kamu memasukinya, dan apabila kamu wabak berlaku di satu kawasan, kamu pula berada di sana, janganlah kamu keluar dari kawasan tersebut untuk melarikan diri. ( Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Mungkin akan adayang tertanya-tanya mengapa dihalang mereka yang sihat untuk kelaur dari kawasan wabak, apakah justifikasi arahan nabi sejak 1400 tahun yang lalu ini. Jawapan diberikan oleh Dr Muhammad Al-Bar (merupakan seorang doktor pakar perubatan dan ahli Majlis Fiqh OIC), beliau menegaskan terdapat individu yang tidak jatuh sakit dengan sesuatu jenis virus, manakala sebahagian lain jatuh sakit. Mungkin sahaja yang keluar ini sihat, tetapi tubuhnya sedang membawa virus dari kawasan wabak, hasilnya, ketibaannya di tempat baru menyebabkan penyebaran berlaku kepada penduduk setempat dan pasti akan ada sebahagian yang boleh jatuh sakit dengan virus tersebut.

Selain itu, kemungkinan juga individu yang sihat ketika keluar itu, belum terkesan lai dengan virus yang berada di dalam tubuhnya. Ini kerana sebahagian virus memerlukan beberapa masa dan tempoh untuk membiak dan mengganggu kesihatan mangsa. Hasil dari semua kemungkinan ini, Nabi s.a.w sejak beribu tahun silam, tanpa ilmu mikrobiologi telah mampu memberikan satu peraturan yang bertepatan dengan penemuan sains. Itulah ilmu yang datang dari pencipta sekalian alam, Allah swt.

Dengan fakta ini, kita tidak akan sama sekali mampu meneka siapa yang menjadi punca pemindahan virus kepada tubuh kita, kerana bukan sahaja individu yang sedang sakit dan selsema sahaja yang berpotensi, malah mereka yang sihat juga terdapat kemungkinan menanggung virus yang sama dan memindahkannya kepada kita melalui sentuhan dan sebagainya. Itulah takdir namanya dan kita diarah untuk berusaha sedaya mungkin dan redha serta sabar apabila diuji.



3) SEKATNYA DARI MENJADI PENYEBAR



Jikalau ditakdirkan kita tergolong dari mereka yang sedang diuji dengan selsema babi ini, pastikan sedaya upaya kita tidak menjadi sebab untuk merebaknya virus terbabit di kalangan awam. Justeru itu:-

· Tutup mulut dan hidung dengan tisu atau kain semasa bersin.

· Sentiasa basuh tangan selepas memegang hingus, hidung atau selepas bersin di tangan, gunakan sabun atau apa-apa jenis sabun antibacteria.

· Kurangkan berasak-asak di tempat awam, kerana peluang pemindahan virus boleh berlaku dengan lebih besar. Namun takdir Allah mendahului segala-galanya, jika telah ditakdirkan, seseorang yang mengunci diri di dalam gua batu sekalipun pasti akan kena, mungkin melalui virus yang dibawa di atas badan semut yang memasuki gua itu!.



Kesemua tindakan dan usaha pencegahan adalah wajib kita lakukan menurut hukum Islam, kerana menyebabkan kemudaratan kepada orang lain adalah diharamkan.



4) CADANGAN PEMULIHAN : SARANAN DOKTOR DAN USTAZ

Bagi tujuan pemulihan, perkara biasa yang disarankan oleh para doktor adalah :-

Makan vitamin C dengan kadar lebih banyak dari biasa.
Minum air dengan kuantiti yang banyak, lebih banyak dari biasa.
Boleh mengambil (kecuali kanak-kanak bawah 5 tahun) ubat demam atau batuk yang biasa atau juga paracetamol dan pain killer seperti ibuprofen untuk melegakan beberapa symptom. (Rujuk doktor anda terlebih dahulu).
Ambil cuti dan berehat sehingga sembuh.


Ditambah pula dengan nasihat dari para ilmuan Islam:


Yakinkan diri dengan kesembuhan, sebutkan kata-kata yang baik untuk diri seperti yakin diri akan sembuh segera dan sebagainya. Selain itu, jangan pula mencerca dan memaki hamun semasa sakit. Hal ini disarankan melalui hadis :-
لا عدوى ولا طيرة ، ويعجبني الفأل قالوا : وما الفأل ؟ قال : كلمة طيبة

Ertinya : Tiada jangkitan (tanpa izin Allah) dan sial, dan aku suka kepada sikap Al-Fa'l, Sahabat bertanya : "Apakah Al-Fa'l ?"

Nabi menjawab : "Kalimah yang baik (sangka baik untuk sembuh)

Berdoa agar beroleh kesembuhan dan doakan orang lain agar turut kuat dan sembuh dari jangkitan selsema babi ini.


Bersangka baik dengan Allah dan serahkan urusan kepada Allah swt. Iaitu jikalau telah terdapat ahli keluarga yang dijangkiti dan amat sukar untuk mengelakan diri dari bercampur dengan mereka. Dirwiyatkan di dalam sebuah hadi, Nabi meletakkan makan di dalam satu bekas bersama pesakit kusta lalu berkata :-
كلْ باسم الله توكلاً على الله وثقة بالله

Ertinya : Makanlah dengan bacaan Bismillah, bertawakkal kepada Allah dan berikan kepercayaan ( sangka baik) kepadaNya: (Riwayat Tirmizi dan Ibn Majah, namun menurut analisa, hadis ini dinilai lemah)



Jangan sesekali putus asa jika ditimpa penyakit ini.
Firman Allah swt :

وَإِذَا أَذَقْنَا النَّاسَ رَحْمَةً فَرِحُوا بِهَا وَإِن تُصِبْهُمْ سَيِّئَةٌ بِمَا قَدَّمَتْ أَيْدِيهِمْ إِذَا هُمْ يَقْنَطُونَ

Ertinya : Dan apabila Kami rasakan sesuatu rahmat kepada manusia, nescaya mereka gembira dengan rahmat itu. Dan apabila mereka ditimpa sesuatu musibah (bahaya) disebabkan kesalahan yang telah dikerjakan oleh tangan mereka sendiri, tiba-tiba mereka itu berputus asa.

Sekadar itulah yang dapat dikongsikan buat masa ini, semoga semua kita dapat menghadapi saat sukar ekonomi dan kesihatan ini dalam keadaan yang jitu dan teguh iman kepada Allah swt.

Akhirnya hayatilah kata nabi ini

عجبا لأمر المؤمن ، إن أمره كله له خير ، وليس ذلك لأحد إلا للمؤمن ، إن أصابته سراء شكر وكان خيرا له ، وإن أصابته ضراء صبر فكان خيرا له

Ertinya : hebat dan amat mengkagumkan sifat orang beriman, semua urusannya memberinya kebaikan, dan tiada perolehinya kecuali dia adalah mukmin, iaitu apabila ditimpa kebahagian dia bersyukur, maka ia perolehi kebaikan (hasil syukurnya dia), dan apabila ia ditimpa keburukan, ia sabar dan baginya kebaikan juga (Riwayat Muslim)

Sebarkanlah artikel ini di merata tempat, semoga ramai beroleh manfaat dan terpandu untuk menentukan iman, minda, hati dan sikap yang betul.

Sekian



Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

21 Julai 2009

Monday, July 20, 2009

Perlukah saya buat kenduri arwah?

Saya selalu berbeza pendapat dengan orang lain dalam soal adat dan ibadah..saya selalu menekankan kepada mereka bahawa adat itu budaya masayarakat, tetapi bukan ibadah yang ditetapkan oleh Islam..adat itu bukan ibadah. Tetapi tidak ramai yang bersetuju, malah ada yang meninggikan suaranya kepada saya kerana saya mempertikaikan adat yang dilihat baik pada mereka. Tetapi persoalannya adakah adat itu akan mendatangkan rahmat atau murka Allah. itu persoalan yang patut difikirkan bersama apabila sesuatu perkara itu ingin dilaksanakan.

Kenduri arwah adalah merupakan budaya masyarakat melayu yang menjadi pegangan sejat turun-temurun. Malah ada sampai ketahap menganggapnya adalah ajaran agama yang wajib dilaksanakan apabila berlakunya kematian. Amat pelik sekali di mata masyarakat sekiranya seseorang itu tidak mengadakan kenduri arwah. Tulisan di bawah ini adalah sedikit coretan sebagai panduan kita umat Islam agar kita dapat membezakan antara ibadah dan adat. Janganlah kita cepat melenting apabila ditegur tentang amalan tertentu yang berdarah daging sekian lama dalam masyarakat kerana mungkin benar ianya tidak berpandukan syariat islam yang sebenar. Tidak salah sekiranya ingin beramal, tetapi janganlah beramal secara buta tanpa ilmu di dada..semoga dapat dikongsi bersama..selamat berubah kepada kehidupan baru...wallahua'lam..


Oleh : Azamin Amin

"Perlukah saya sediakan makanan dan buat kenduri arwah kepada orang kampung sedangkan keluarga saya tengah sedih sangat sebab baru sahaja kehilangan ayah tersayang?" tanya seorang remaja kepada saya yang baru kehilangan ayahnya yang tercinta akibat sakit kronik.

Terkedu dan pernah juga terfikir dalam benak hati, namun kerana kenaifan saya di bidang agama saya diamkan sahaja sehinggalah muncul kembali soalan yang terbit daripada anak muda belasan tahun ini yang datang daripada keluarga yang susah.
Lantaran itu, walaupun sedikit kesibukan dengan tugasan, saya meluangkan masa mencari jawapan yang mungkin atau mengundang pelbagai pandangan dan polemik serta emosi kurang senang banyak pihak.

Namun atas landasan mencari ilmu termasuk mahu berkongsi bersama, saya kutip beberapa pendapat yang boleh dijadikan panduan kepada semua khususnya kepada anak muda yang bertanya itu sehingga saya membiarkan dia termanggu tanpa sebarang jawapan sebelum ini.(segala kesilapan dan kelemahan mohon tunjuk dan maafkan)
Amalan membebankan keluarga si mati.

Dalam laman blog dikenali sebagai Institut Al-Imam Syafie (Intis) seorang Pensyarah Jabatan Tilawah al-Quran Pusat Bahasa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Abdullah Bukhari Abdul Rahim menulis amalan kenduri arwah ini sudah pasti menyusahkan keluarga si mati yang masih lagi bersedih dengan kehilangan orang tersayang.

Katanya Rasulullah s.a.w ketika mendengar berita kematian Jaafar ibn Abi Talib, baginda bersabda:
"Persiapkan makanan untuk keluarga Ja'far, kerana sesungguhnya mereka telah didatangi dengan apa yang menyibukkan mereka (kesusahan)." - Hadith riwayat al-Tirmidhi & Abu Dawud.

Keluarga si mati yang baru ditimpa musibah(al-Baqarah:155-157) perlu disokong dan dibantu. Amalan di sesetengah tempat ini adalah salah, kerana katanya kesedihan keluarga si mati akan ditambah lagi dengan kesedihan lain seperti bebanan kewangan kerana perlu membayar upah orang membaca al-Quran, sembahyang jenazah dan kenduri arwah.

"Budaya mengadakan kenduri arwah bersempena kematian pada malam pertama, malam Jumaat, malam ketujuh, malam ke-40 dan malam ke-100 juga tidak mempunyai asas sama sekali dalam Islam," katanya yang dipetik dari laman web tersebut.

Amalan itu membawa kepada pembaziran jika membabitkan penggunaan harta si mati tanpa jalan yang betul dan membabitkan penganiayaan harta anak yatim malah Majlis Fatwa Mesir pada 1947 memutuskan bahawa amalan berkenaan perlu dihentikan.
Ulama mazhab Syafie melarang kenduri arwah.

Rujukan katanya boleh dibuat terhadap Kenyataan bekas Mufti Mesir Syeikh Hasanain Makhluf di dalam akhbar al-Ahram bertarikh 27 Julai 1947 dan Fatwa ini kemudian disahkan oleh Majlis Fatwa Mesir dan dikeluarkan dengan rasminya pada 14 Ogos 1947, bilangan 377.

Katanya lagi Ulama mazhab Syafie melarang budaya ini sebagaimana dipetik daripada buku Feqah Mazhab Syafie, al-Fiqh al-Manhaji.
Antara petikan kitab tersebut yang berbunyi:"Daripada bidaah apa dibuat keluarga si mati ialah dengan mengumpulkan orang ramai kepada makanan dengan upacara dinamakan berlalunya 40 hari dan seumpamanya."

"Sekiranya perbelanjaan makanan itu daripada harta peninggalan (si mati) dan di kalangan waris ada yang belum baligh, maka itu adalah dari perkara lebih haram.
"Ini kerana ia memakan harta benda anak yatim dan melenyapkannya bukan untuk kepentingan anak yatim itu. Terbabit juga dalam melakukan perbuatan haram ini setiap yang memanggil dan memakannya." ( rujukanjil 1/ ms 263, Damsyik: Dar al-Qalam).
Dalam pada itu pada Jun 2005 blog tersebut turut memetik ruangan Tazkirah di bawah tajuk 'Amalan Jahiliyyah Disangka Ajaran Agama' oleh Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat yang merujuk kepada pengarang kitab at-Tazkirah iaitu Al-Qurtubi berhubung isu kenduri arwah.

"Dengan jelas mengatakan bahawa diantara amalan jahiliyyah ialah mengadakan suatu himpunan beramai-ramai diperkuburan, di masjid atau di rumah dengan berzikir dan juga lain-lain bacaan, serta mengadakan jamuan makan minum dengan tujuan untuk orang mati, disebut orang sebagai kenduri Arwah.

"Dengan jelas perbuatan itu tiada Nas yang menjadi rujukannya dan tiada petunjuk sunnah yang menjadi ikutan, " kata Nik Aziz. Kenyataan pahit dan mengejutkan
Kenyataan ini kata Nik Aziz mungkin agak keras dan pahit serta boleh jadi suatu penjelasan yang mengejutkan terutama terhadap mereka yang mengamalkan perkara tersebut secara ikut-ikutan dan membuta tuli tanpa mengkaji dari sudut ilmiyah.
"Tetapi inilah hakikat Islam yang mesti diakui oleh penganutnya yang sedia kembali kepada al-Quran dan Sunnah," katanya "Tidak dapat dinafikan bahawa amalan tersebut telah berakar umbi di dalam masyarakat melayu, sehingga sebahagian dari mereka menganggap bahawa amalan tersebut adalah merupakan amalan agama yang mesti dilakukan setiap kali berlaku kematian," katanya lagi

Kata Nik Aziz lagi sungguhpun Nabi terlalu sayang terhadap umatnya terutama terhadap para sahabatnya yang sentiasa membantu Nabi di dalam suasana damai dan perang namun Nabi tidak pernah melakukan majlis zikir atau tahlil untuk sahabat-sahabatnya r.a yang mati.

"Orang yang paling sayang terhadap Nabi s.a.w. adalah para sahabatnya yang sentiasa berada di sisi Nabi siang dan malam, namun pernahkah terdapat para sahabat berhimpun dan berzikir dan bertahlil untuk Nabi s.a.w.?" katanya membangkitkan persoalan.
Soalnya lagi jika perkara itu tidak dilakukan oleh Nabi dan juga para sahabat maka dari manakah punca amalan itu diambil.

"Apa yang paling mendukacitakan, mereka menganggap amalan tersebut sebahagian dari amalan Islam, padahal Rasulullah sa.w. tidak pernah menunjukkan contoh seperti itu dalam sunnahnya," katanya.

Bagi umat Islam marilah berlapang dada dalam menghadpi persoalan agama dengan menghayati petikan ayat daripada surah An-Nisaa' 4:59 :
"Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah RasulNya dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Qur'an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya."

Saturday, July 18, 2009

Bersangka baiklah dengan Tuhanmu...

Apa khabar semua. lama rasanya tak kembali berblog nie..apa taknyer agak sibuk dengan urusan di sekolah yang semakin bertambah semenjak dua menjak ini. bila dah balik rumah badan pulak sangat penat. Alhamdulillah hari ini sempat saya memasukkan " post" terbaru. tulisan ini saya ambil dari sebuah akhbar internet yang diceritakan sendiri oleh seorang wartawannya berkaitan dengan pengalaman hidupnya sendiri...cerita yang sangat bagus pada pandangan saya kerana mengandungi nasihat yang sangat berguna kepada kita yang bergelar hamba Allah ini. semoga selepas membaca cerita ini kita akan menjadi hambaNya yang sentiasa bersangka baik denganNya dan sentiasa bersabar dengan ujiannya dan menyerahkan urusan hidup kita kepadaNya setelah kita berusaha. Semoga selepas ini tiada lagi kebimbangan di hati kita akan seseatu yang tidak lagi kita miliki walaupun kita begitu berkehendakkannya kerana keyakinan kita kepada Allah bahawa setiap apa yang Allah tentukan itu adalah yang terbaik buat kita..selamat membaca dan bermuhasabah diri..wallahua'lam

Oleh : Azamin Amin

"While people sleep, we work. While people work, we work ahead,"

Saya tidak akan lupa kata-kata itu. Ianya terucap kira-kira 15 tahun lalu oleh pengetua kolej Mr. PMS Jassal ketika saya menekuni pengajian A-Level, jurusan undang-undang di Juara Academy College di ibu kota.
Waktu itu, saya adalah pelajar Melayu tunggal dan 'tunggul' dalam kelas seramai 30 orang itu. Berkecamuk fikiran pada hari pertama saya mendaftar.
Masakan tidak, sudahlah 'solo' ditambah pula dengan 'sepatah haram' saya tidak memahami apa yang diajar. Bukan sehari tetapi berjangkit sehingga lebih sebulan!
Tidak cukup dengan itu, saya sering menjadi bahan ketawa rakan-rakan sekelas dan pensyarah lantaran kegagalan saya untuk membuat 'presentation' jauh sekali untuk mendapat tempat teratas dalam carta kelas.
Lebih menambahkan pedih dan pilu di jiwa, apabila seorang pelajar yang selalu dianggap 'best student' dalam kelas mencabar sambil menghunuskan jari telunjuknya tepat ke muka saya.
"At the end of the day, nobody can touch me, especially you!" katanya pada saya, terkelipot-kelipot malu.
Seorang pelajar wanita pula, bertaruh untuk menjamu saya makan di hotel lima bintang, sekiranya berjaya mendapat keputusan cemerlang. Saya percaya, dia berani bertaruh kerana yakin yang saya tidak akan menggapai bintang. Betul-betul menghinakan.
Kawan-kawan seperti Manoj Kumar, Manimaran, Azman Sagau dan Ronnie menenangkan saya. Mereka memberi perangsang dan selalu membantu, apa yang saya tidak tahu.
Setelah enam bulan berlalu di kolej itu, saya sering bertemu dengan pensyarah Baljit Singh Sidhu untuk mendapat 'evaluation' atau penilaian ke atas prestasi pengajian saya selama ini dan seperti yang dijangkakan jawapannya cukup mendukacitakan.
"Aaa...don't worry. Bottom line, you boleh pass...," katanya tergesa-gesa. Sedih. Bukannya pangkat A, B atau C tetapi sekadar lulus cukup makan sahaja..
Suatu malam, ketika gelisah untuk melelapkan mata dan merawang masa depan yang kabur, tertangkap kalimah kudus dari ibu tercinta sebagai kata-kata azimat ketika menjejak kaki di ibu kota untuk menuntut ilmu.
"Mak tak boleh tengok dan jaga anak mak setiap masa. Mintalah Allah supaya jaga dan selamatkan anak mak.
"Jika susah, mintalah pada Allah, pasti Dia perkenankan. Percayalah..." kata Azizah Jasin, ibu tercinta kepada saya sambil memetik bait-bait ayat kalimah tuhan.
"Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu." (Surah Ghafir ayat 60)
Saya bingkas, lalu mengerjakan solat dua rakaat. Tewas, akhirnya air mata basah di hujung sejadah.
Mulai hari itu, saya tidak menoleh lagi. Saya berusaha sedaya dan sekuat mungkin. Kamus sentiasa di sisi, tiap kali saya membuka buku. Buku seperti English Legal System, Constitutional Law, Jurisprudence setiap helaiannya saya ulangi sampai lapan kali!
Malah, saya hantar tugasan-tugasan dan 'asignment' sendiri berkajang-kajang kepada pensyarah untuk disemak, bertanya soalan-soalan bertubi-tubi sehingga kelihatan 'membosankan' bagi mereka.Saya kemudian beranikan diri bercakap di khalayak, walaupun 'broken English.'
"Apa nak malu, janji saya maju. Biar mereka ketawa atau sendawa, janji saya berjaya," getus hati cuba menceriakan hari.
Waktu itu, barulah saya tahu, doa dan kerja keras (rajin, usaha) adalah pembuka jalan kejayaan. Mungkin ini ayat 'cliche' atau 'stereotype'. Hakikatnya hidup ini tidak ada yang 'short cut'. Selepas doa itu, setiap apa yang saya pelajari, hafal dan faham datang dengan begitu mudah.
Dikenal ketika senang, dilupa ketika susah
"While people sleep, we work. While people work, we work ahead," kata Jassal menepuk-nepuk bahu saya yang kelihatan agak sugul adakalanya.
Dan di saat saya menjalani proses lipat kali ganda usaha, baru saya tahu bahawa kerajinan orang Cina dan orang Putih atau kaum-kaum lain membuatkan mereka berjaya.
Bukannya faktor otak Cina lebih baik dari otak Melayu atau otak Orang Putih lebih baik dari semua otak-otak.
"Allah tidak membebankan seseorang itu melainkan mengikut keupayaannya. Baginya apa yang diusahakan dan ke atasnya akibat apa yang diusahakan." (Surah Al-Baqarah: 286)
Begitu juga dengan surah Ar-Ra'ad (ayat 11): "Sesungguhnya Allah tidak akan merubah nasib suatu kaum melainkan kaum itu sendiri yang merubah nasibnya."
Ya, saya yakin doa akan dimakbulkan tuhan. Usaha gigih dapat balasan setimpal. Tak kira siapa, Melayu, Cina, India dan Mat Salleh juga akan dapat balasan, jika usaha lebih. Bukan masalah otak.
Dulu ketika mengerjakan umrah, saya pernah berdoa yang 'bukan-bukan' di depan Kabaah. Ketika itu, tahun 1990 usia saya menjangkau 16 tahun. Akibat terlalu obses dengan cerita-cerita aneh, mistik dan misteri di Makkah dan Madinah, saya mula memanjatkan doa, untuk melihat bukti kuasa Tuhan. (Kisah ini pernah diterbitkan di Harakah tiga tahun lalu, sebelum menjadi wartawan)
"Ya Allah, jika benar makbul doa di sini, hilanglah seliparku."
Begitu dangkal doa saya dan cuba menguji Tuhan. Sebelum itu telah saya sorokkan selipar buruk itu di suatu sudut di pintu masuk Masjidil Haram.
Ringkaskan cerita, Tuhan makbulkan permintaan saya yang pendek akal itu.
Hilang selipar saya, walaupun ianya buruk. Dan lebih parahkan lagi keadaan, selipar saya hilang setiap kali saya beli yang baru, dan berlanjutan selama enam hari!
Mengelabah, pucat dan panik saya dibuatnya. Saya cuba menyembunyikan peristiwa itu daripada ayah saya, yang mula kehairanan apabila setiap hari, tiap kali pulang daripada masjid meminta 5 ke 10 Riyal (lebih kurang RM 5.00 ke RM10.00). Tujuannya hanya untuk membeli selipar baru.
Pernah sekali, saya berkaki ayam dari Masjidil Haram pulang ke tempat penginapan sambil ditertawakan orang Arab yang lalu lalang. Apa boleh buat, itu balasan Allah, pada saya yang mulut celupar.
Dua hari terakhir di Makkah, saya berteleku di depan Kabaah, memperbaharui doa semula dengan penuh rasa insaf.. Sejak doa itu, selipar saya tidak hilang lagi.
Ya, Allah sentiasa selamat dan perkenankan doa saya. Begitu juga yang orang lain. Berusaha dan mintalah, percayalah Allah tidak mengecewakan...
Alhamdullillah, tidak menghampakan apabila Allah kabulkan juga doa saya untuk melintasi peperiksaan A-Level yang diduduki. Walaupun usaha tidak setara mana, tetapi kuasa Allah mengatasi segala-galanya.
Ketika keputusan A-Level diumumkan, saya sedang 'bercuti' dan 'mengaji' di sebuah sekolah pondok di selatan tanahair. Manoj dan Manimaran menghubungi saya melalui telefom awam. Masa itu tidak bercambah lagi, telefon bimbit.
"Congratulations! You and Patricia are the best student in the college. Come drop by, take your exam transcript," ujar Manoj. Barangkali kedua-duanya kini sudah bergelar peguam.
Keesokannya saya sudah terpacak di kolej di Jalan Hang Lekiu, Kuala Lumpur itu untuk mengambil keputusan dan teka apa yang berlaku?
Pensyarah dan pengetua mula mengerumuni. Menawarkan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran dan melahirkan pujian berguni-guni. Yang menghunus jari telunjuk ke muka, yang bertaruh untuk menjamu selera dan yang gelak ketawakan saya, hilang entah ke mana.
Ya, kita dikenang dan dikenal ketika di puncak. Diapung, diangkat dan dijulang ketika senang.
Namun ketika susah, pahit dan payah, siapa pun tidak tahu malah menjarakkan diri, kata benak saya melihat watak-watak yang ada di depan mata. Biarlah...
Ya, akhirnya bila kita berusaha, berdoa dan bersabar, nescaya Allah perkenankan dan selamatkan kita...percayalah.
"Dan berikanlah berita gembira bagi orang yang bersabar. " (Surah al Baqarah ayat 155)
Tulisan sepicing ini ataupun coretan caca marba yang tidak seberapa ini saya tujukan ikhlas untuk adik-adik yang bakal menduduki peperiksaan, yang melanjutkan pelajaran di menara gading dan juga untuk insan-insan yang mulai rasa putus asa, agar sentiasa bersangka baik kepada Tuhan, Allah yang maha tahu beban, kepayahan dan ujian hamba-Nya.

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN Seperti yang kita sedia maklum, dua peperiksaan besar akan b...