Sunday, October 31, 2010

Nasihat Buat diriku!

Sebenarnya tangan ini asalnya telahpun menyingkap nota-nota yang saya catat untuk buku saya yang ketiga iaitu berkaitan dengan motivasi dan kaedah belajar bagi pelajar yang tajuknya belum saya ketahui. Tiba-tiba hati ini terasa ingin menulis sesuatu di sini sebelum menyambung semula penulisan buku yang ketiga ini sebagai nasihat buat diriku yang sering alpa ini.

Telah berkata Sheikh Ahmad Ibn 'Athailah iaitu penulis kitab Al-Hikam yang bermaksud :

" Takutlah kamu dari adanya kebaikan ( kenikmatan ) yang diberikan Allah kepadamu padahal kamu tetap dalam melakukan maksiat kepadanya, di mana semua ini menjadi istidraj kepadamu, sebagaimana firman Allah yang bermaksud 'Nanti kami akan menarik mereka dengan beransur-ansur ( ke arah kebinasaan ) dengan cara yang tidak mereka ketahui.[al-A'raaf : 182 ]"

* dipetik daripada kitab Hiasan Rohani Insan Mukmin-Mutiara Hikmah Al-Hikam tulisan Sheikh Ahmad Ibn 'Athailah

Sebenarnya perkara berkaitan dengan istidraj ini telah saya sentuh sebelum ini. Cuma sehari dua ini perkara ini kembali berputar-putar disekitar otak saya. Mungkin kerana melihatkan kepada manusia yang semakin sombong di muka bumi ini melakukan kerosakan dan kemaksiatan tanpa rasa malu kepada Allah. Mereka begitu angkuh melakukan perkara yang Allah tidak suka seolah-olah kematian itu begitu jauh daripadanya. Mereka lupa tentang kisah firaun yang tenggelam ditelan laut bersama-sama dengan kesombongannya kepada Allah sehingga mengaku dirinya tuhan. Matinya tidak berkubur. Matinya tanpa diduga, tanpa sebarang isyarat..Matinya secara mengejut tanpa sempat memohon taubat. Ya Allah, itulah yang hambaMu ini takuti. Tiada rasa dihati bila melakukan dosa kepadamu, tenang dalam maksiat dan gembira dalam dosa. Sedangkan murkamu semakin hampir, sedangkan kesedaran semakin jauh. Akhirnya kematian datang menjemput tanpa sempat bertaubat. Ya Allah Ampunilah dosa-dosa kami...

Saturday, October 30, 2010

Kenapa Perlu Bergambar Begitu?

Entahlah, geram pun ada, menyampah pun ada dan kelakar pun ada bila tengok budak-budak perempuan zaman sekarang bergambar. Saya bukan mahu mengatakan tidak boleh bergambar, tetapi yang menjadi masalahnya apabila gaya mereka bergambar itu yang menjadi tanda tanya difikiran saya kebelakangan ini. Pakaian mereka tidak perlu diperkatakan lagilah kerana gaya seksi dan seksa itu telah menjadi trend sejak dahulu lagi. Sampaikan begitu sukar hendak membezakan yang mana satu pakaian mereka apabila dijemur diampaian kerana saiz pakaiannya sama sahaja dengan pakaian adik-adiknya.

Apa yang ingin saya syerkan di sini ialah berkenaan dengan gaya mulut mereka semasa bergambar. Kebanyakkan gambar-gambar yang terpampang diFacebook jelas membuktikan bagaimana peliknya gaya mulut mereka semasa bergambar. Ada yang herot ke tepi, terangkat ke atas bibirnya dan ada juga yang dipanjangkan muncungnya ke depan. Persoalannya mengapa perlu begitu? Mungkin cantik pada perkiraan mereka agaknya. Tetapi mereka tidak tahu begaimana hati mereka yang melihatnya. Jika ada yang bertanya kepada saya tentang perkara ini, maaf jawapan saya ialah " saya memang tidak berkenan langsung". Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan saya kerana itu adalah hak masing-masing dan mengapa hendak menyebuk. Ya memang benar itu hak mereka untuk berbuat sesuka hati mereka termasuklah bergambar dengan mulut yang begitu. Tetapi saya juga ingin berkata " saya juga ada hak untuk tidak diganggu oleh gaya-gaya yang menyakitkan mata itu". Maka jangan ada manusia yang bercakap soal hak, kerana hak yang paling hak adalah hak Allah yang wajib dijaga. Selagi mana hak itu bertentangan dengan hak Allah, maka ia masih boleh dipertikaikan. Akan tetapi apabila mana ianya bersangkutan dengan hak Allah, maka tiada siapa bisa menafikannya dan mempertikaikannya. Malah wajib tanpa konpromi hak itu dtunaikan.

Akhir kalam, saya dengan rendah hati merayulah sesiapa sahaja yang terbaca tulisan ini, semoga ianya bisa difikirkan bersama. Saya tidak mengatakan apa yang saya tulis ini wajar dipersetujui, tetapi sekurang-kurangnya ianya dapat difikirkan bersama.

Wallahua'lam...

Thursday, October 28, 2010

Terharunya Saya bila membacanya....


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Apa yang akan saya paparkan diblog saya kali ini adalah sesuatu yang begitu menyentuh hati saya. Sebagai seorang pendidik, apabila seseorang pelajar itu menyatakan penghargaannya walau dalam apa cara sekalipun, walaupun hanya dengan sehelai kerta buruk yang tertulis " saya sayang cikgu" begitu besar nilainya. Apatah lagi jika seseorang pelajar itu meluahkannya di dalam blognya..Malu sebenarnya untuk saya letakkan di sini. Tetapi sekadar menghargai penghargaan yang diberikan olehnya kepada saya..Buat pelajar saya bernama Farahin ini, terima kasih sangat-sangat...cikgu menghargainya..Baiklah, mari sama-sama kita baca luahan hatinya ini diblognya kerana tulisannya itu tidak boleh dicopy...linknya





Tuesday, October 19, 2010

Bahayanya Was-Was!

Gangguan Was-Was


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Soalan: Saya selalu was-was. Kalau saya ambil wuduk, saya selalu rasa tidak puas. Saya selalu syak rasa macam wuduk saya batal. Saya buat seperti diajar kepada saya agar saya mengurut kemaluan selepas membuang air kecil supaya pastikan habis air kencing. Tapi sejak itu pula was-was datang. Saya selalu rasa macam ‘terkencing’ atau ‘keluar angin’ masa solat. Sehingga saya selalu risau apabila hendak beribadah. Saya selalu berulang wuduk dan cuba memastikan tiada air kencing di pakaian saya. Apakah penyelesaiannya.
Faisal, Klang.



JAWAPAN DR MAZA:



Semoga Allah membaiki urusan saudara. Berikut beberapa perkara yang perlu saudara ambil perhatian:



1. Perasaan was-was yang mengganggu ibadah adalah gangguan fikiran dan syaitan. Hindarkan jiwa dari melayannya. Ini kerana melayannya bererti mengikut kehendak syaitan yang cuba menghilang fokus seseorang kepada ibadah dan cuba menjadikan seseorang itu akhirnya bosan, bimbang dan jemu dengan ibadah. Para ulama seperti Ibn Jauzi (meninggal 597H), Ibn al-Qayyim (meninggal 751H) dan ramai lagi sejak dahulu menulis dalam berbagai karya untuk membenteras penyakit yang buruk ini.

2. Antara sebab utama berlakunya was-was; tidak memahami atau berpuas hati dengan praktikal Nabi s.a.w yang mudah dan senang dalam ibadah, terpengaruh dengan ajaran fekah yang suka menyusahkan orang ramai dengan berbagai petua yang membebankan, dan juga terlalu melayan gangguan perasaan. Kata al-Imam Ibn al-Qaiyyim: “Tanpa syak lagi sesungguhnya syaitan adalah punca kepada was-was. Mereka yang was-was mentaati syaitan, menyahut seruannya dan mengikuti perintahnya. Mereka berpaling daripada sunnah dan jalan baginda sehinggalah seseorang mereka menganggap apabila dia berwuduk sama seperti wuduk Rasulullah s.a.w, atau mandi seperti baginda masih tidak bersih dan tidak hilang hadasnya. Jikalau tidak disebabkan dia diberikan kemaafan kerana kejahilannya, maka tindakan itu dianggap menentang Rasulullah s.a.w” (Ighathah al-Lihfan Min Masaid al-Syaitan, 134, Beirut: Dar Ibn Zaidun)

3. Antara ajaran yang menyebabkan was-was ialah pendapat yang mewajib mengurut kemaluan selepas kencing. Tiada nas yang sahih dalam perkara tersebut. Hanya yang diperintah agar kita membersihkan diri dari air kencing, bukan disyaratkan mesti mengurut kemaluan sehingga dipastikan segala yang ada dikeluarkan. Anggapan bahawa jika tidak diurut sehingga habis tidak sah solat adalah tidak benar. Kata al-Syeikh Abd al-‘Aziz Ibn Baz r.h: “Adapun mengurut zakar agar keluar sesuatu adalah salah dan tidak wajar. Ia antara sebab berlakunya was-was dan tidak lawas. Hendaklah dihindari perkara ini. Sebaik sahaja terhenti kencing, maka berintinjak (cuci) dengan air…” (Ibn Baz, al-Fatawa al-Muta’allaqah bi al-Tibb wa Ahkam al-Marda, 35, Riyadh: Idarah al-Buhuth).

4. Bagi mengelakkan was-was yang merasai air kencing terkena pakaian atau masih terkeluar dari kemaluan, dicadangkan agar selepas membuang air kecil, diambil air dan direnjis pada pakaian yang berhampiran. Tujuannya, agar jika ternampak apa-apa kesan air, maka anggaplah itu air renjisan tadi. Al-Imam Ahmad telah ditanya oleh seorang lelaki yang selepas berwuduk masih merasa berhadas. Kata al-Imam Ahmad: “Ambil air dalam tapak tangan dan renjis pada kemaluanmu dan jangan peduli lagi, kerana itu menghilangkan syak insyaAllah”. (Ibn Qudamah, al-Syarh al-Kabir 1/94) Cadangan al-Imam Ahmad ini berteraskan hadis: “Bahawa Nabi s.a.w kencing, kemudian berwuduk dan merenjiskan air pada kemaluan baginda” (Riwayat Abu Daud, dinilai sahih oleh al-Albani). Nabi s.a.w melakukan perbuatan tersebut sebagai panduan kepada kita.

5. Adapun rasa ‘keluar angin’ (kentut) tetapi tidak pasti atau tidak yakin bahawa betul-betul keluar atau hanya perasaan sahaja, maka itu tidak membatal wuduk dan solat. Nabi s.a.w mengajar kita agar perasaan was-was seperti ini tidak diambil kira. Dalam hadis al-Bukhari, “Seorang lelaki mengadu kepada Nabi s.a.w bahawa dia merasa sesuatu semasa dalam solatnya, apakah dia patut berhenti?. Jawab Nabi s.a.w: “Jangan sehinggalah mendengar bunyi (kentut) atau mendapati bau (kentut)”. Maksudnya, Nabi s.a.w mengajar agar seseorang yang merasa terbatal wuduknya secara was-was atau tidak pasti tidak berhenti dari solat sehingga beliau benar-benar yakin terbatal. Solatnya tetap sah, mainan perasaan tidak diambil kira. Termasuklah dalam hal ini mereka yang terasa macam terkeluar air kencing, tetapi tidak pasti samada hanya perasaan atau benar-benar berlaku, maka solat masih dianggap sah. Melainkan dia yakin tanpa ragu bahawa angin atau air kecil benar-benar telah terkeluar.

6. Was-was adalah berpunca dari kurang faham sifat Islam ini. Sebahagiannya datang ajaran sesetengah guru yang suka memayah-mayahkan cara ibadah. Sedang Nabi s.a.w memberitahu kita: “Agama itu mudah. Tiada seorang yang memberat-beratkannya melainkan dia menjadi susah. Maka bersederhanalah, dekatilah yang tepat dan gembirakanlah mereka” (Riwayat al-Bukhari). Oleh itu, elakkan mempelajari fekah dari guru yang suka berfalsafah sendiri dan berteori tanpa berlandaskan nas-nas al-Quran dan al-Sunnah.

7. Orang yang selalu merasa was-was dalam ibadah sehingga melakukannya berulang-ulang kali, atau melayan perasaannya yang sentiasa merasa bebanan was-was hendaklah bertanyakan dirinya sendiri; untuk apa ia lakukan itu semua? Jika ia untuk Allah s.w.t, maka hendaklah dia tahu bahawa Allah tidak meredhai tindakannya melayan gangguan perasaan atau syaitan yang seperti itu. Layanan kepada perasaan was-was itu hanya mentaati syaitan atau ganggu emosi yang salah bukan mentaati Allah. Ikutilah arahan Allah s.w.t dan RasulNya tanpa melayan was-was. Was-was akan memalingkan seseorang dari mengikuti arahan Allah dan rasulNya secara betul.

8. Al-Quran menceritakan bahawa senjata was-was ini jugalah yang digunakan oleh Iblis sehingga membawa Adam melanggar arahan Allah. Firman Allah: (maksudnya) “Setelah itu maka syaitan telah mewas-waskan kepada Adam dengan berkata: “Wahai Adam, Mahukah aku tunjukkan kepadamu pohon yang menyebabkan hidup selama-lamanya, dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap? Kemudian mereka berdua memakan dari pohon itu, lalu terdedahlah kepada mereka aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun dari syurga; dan dengan itu derhakalah Adam kepada Tuhannya, lalu dia tersalah jalan.” (Surah Taha: 120-121)

Dipetik daripada : drmaza.com

Saturday, October 16, 2010

Tegakkan Keadilan, Jauhi Kezaliman

Pesanan ini lebih berpihak kepada ketua atau sesiapa sahaja yang mempunyai autoriti dalam tugasnya kerana tanpa sifat adil dalam kepimpinannya akan mengakibatkan wujud ketidakpuasan dalam hati orang bawahan dan seterusnya akan menyuburkan lagi budaya negatif dalam organisasi. Tanpa keadilan, yang salah akan dibenarkan dan yang benar akan dizalimi. Kita sering mendengar rungutan orang bawahan yang tidak berpuashati disebabkan hilangnya rasa adil dalam diri ketuanya. Apa tidaknya apabila yang melakukan kesalahan itu orangnya didiamkan sahaja. Tetapi jika yang melakukan kesilapan itu bukan orangnya sudah tentu habuannya berbeza sekali dan menyakitkan hati yang melihatnya, dan mencengkam jiwa yang mendengarnya.

Sekiranya orang bawahan melihat seseorang ketua tidak lagi menjunjung prinsip keadilan dalam kepimpinannya, sudah tentulah mereka yang pandai membodek, suka mengadu, pandai berlakon di depan ketua dan banyak lagi berasa selamat kerana mereka akan dilindungi oleh ketua mereka sekiranya terdapat sebarang tingkahlaku negatif yang mereka lakukan. Malah jika dapat dihidu oleh orang luar, ketua pasti akan melindungi mereka dan mengelak daripada bercakap tentang masalah mereka. Sebaliknya sekiranya orang lain yang melakukannya, sudah tentu amaran keras akan diberikan, Malah ada yang mendapat notis berhenti 24 jam! Jika beginilah keadaannya sudah pasti watak negatif semakin sukar untuk dihapuskan. Sebaliknya sekiranya ketua bertindak adil terhadap siapa sahaja dan bersedia untuk menyiasat terlebih dahulu sebarang berita yang sampai ke telinganya, pastilah tiada unsur kezaliman disitu dan watak negatif seperti pengumpat, pembawa berita palsu dan berunsir fitnah, tukang adu dan sebagainya dapat dielakkan daripada terus subur dalam organisasi. Oleh yang demikian prinsip keadilan ini hendaklah dijaga dengan sebaik mungkin dan dipraktikkan dengan penuh kesungguhan dalam organisasi. Percayalah jika itulah amalannya, pasti organisasi akan dijauhi daripada menusia yang berwatak negatif kerana mereka merasakan di situ tiada lagi tempat buat mereka.

Jauhilah sikap memihak

Tulisan ini adalah sambungan kepada prinsip keadilan di atas. Mengapa kita mengatakan perlu dijauhi sikap memihak? Kerana kita merasakan inilah yang selalu menjadi amalan dalam organisasi. Kebiasaannya apabila seseorang itu dilihat ada hubungan hati yang rapat dengan kita, begitu mudah perasaan memihak itu timbul dalam diri. Belum pun proses penghakiman dijalankan, tetapi keputusannya telah pun ada kerana wujudnya sikap memihak dalam diri kita. Sentimen negatif pada seseorang akan menyebabkan rasa memihak itu akan lebih ketara terhadap pihak yang satu lagi. Kesannya berlakulah ketidakadilan dalam proses penghakiman terhadap siapa sebenarnya yang bersalah dan harus diambil tindakan sewajarnya.

Dengarlah dahulu baru buat keputusan

Jika ini yang menjadi amalan seseorang yang mempunyai kuasa pastilah masalah ketidakadilan tidak akan berlaku. Tetapi masalahnya ialah kita tidak mahu mendengar terlebih dahulu sebelum menghukum kerana hukumannya telahpun kita tetapkan dan pelaksanaannya perlu dijalankan segera. Sedangkan penghakiman yang dibuat berdasarkan bukti daripada sebelah pihak sahaja. Kuasa yang ada pada kita dijadikan tiket untuk berbuat sesuka hati. Akhirnya yang teraniaya siapa? Inilah yang kita bimbangi apabila berada dalam organisasi bilamana kuasa yang ada menyebabkan seseorang itu menjadi buta hatinya. Sentiment negative yang sedia subur terhadap seseorang menjadikan kuasanya mengatasi rasionalnya. Namun apa yang kita bimbangi inilah yang sering berlaku dalam organisasi. Mungkin anda yang sedang membaca tulisan ini adalah antara mangsa ketidakadilan ataupun seorang pemangsa ( yang telah melakukan ketidakadilan terhadap seseorang). Sekiranya anda adalah mangsa, maka bersabarlah kerana Tuhan sedang mengujimu. Sebaliknya jika anda adalah pemangsa, maka berubahlah kerana kuasa itu tidak kekal lama. Sampai masanya kuasa akan kamu tinggalkan dan kamu akan hidup dalam kehinaan selepas itu. Anda tidak percaya? Terpulanglah, kerana banyak orang telah membuktikan kata-kata yang kita sebutkan sebelum ini. Berubahlah sebelum terlambat, kerana masa tidak menunggumu!

ARTIKEL INI ADALAH SEBAHAGIAN DARIPADA TULISAN SAYA DI DALAM BUKU " WATAK-WATAK DALAM ORGANISASI". TULISAN INI ADALAH LUAHAN RASA DIHATI SAYA SEBAGAI INSAN YANG BERGELAR AHLI ORGANISASI. INSYAALLAH SAYA SEDANG BERUSAHA MENYIAPKAN BUKU TENTANG KEPIMPINAN YANG MANA INTIPATINYA BERKAITAN DENGAN KEPIMPINAN YANG SEPATUTNYA DIAMALKAN APABILA SESEORANG ITU DIANGKAT MENJADI PEMIMPIN. INI KERANA TELAH BANYAK BUKTI YANG MENUNJUKKAN SESEORANG ITU BERUBAH SIFATNYA APABILA MENJADI PEMIMPIN.


Friday, October 15, 2010

Hi Tea 2010 - Hotel Selesa Johor Bahru




Teman sekeluarga Bergambar bersama pengerusi Kebiru( yang berbaju Merah )


Baru-baru ini sekolah teman ada mengadakan jamuan akhir tahun yang dipanggil "hi Tea". Alhamdulillah teman berkesempatan hadir bersama isteri dan 2 anak teman. Pada teman, petang itu memang menyeronokkanlah. Cuma teman tak berkesempatan menikmati juadah yang disediakan dengan tenang kerana almaklumlah apabila 2 orsng hero teman itu masih kecil dan banyak betul permintaannya. Jadi masa makan teman telah diambil oleh kedua-dua hero teman. Tidak mengapalah, yang penting dapat hadir dan meraikan program kawan-kawan teman. Kepada kebiru tahniah atas penganjuran yang memang menarik tempoh hari. Satu sahaja pesan teman, jangan lupa majlis seterusnya tidak lama lagi. Apa dia? hehe, majlis perpisahan guru-guru yang dapat pindah. Persoalannya ialah, teman tersenaraikah? wallahua'lam...Pada Allah teman serahkan..

















Wednesday, October 13, 2010

Cukup - cukuplah....

Sedih..Ya hati saya sangat sedih bila memikirkan sikap sesetengah orang Islam yang berlebih-lebihan dalam perkara tertentu. Yang wajib tidak dibuat. Yang tidak wajib itulah dikejar-kejarnya dan diberi keutamaan. Misalnya rumah terbuka i'dulfitri yang saya dengar masih ada yang melakukannya selepas berakhir Syawal. Mungkin ada pelbagai alasan yang diberikan, namun hakikat yang perlu difikirkan adalah wajarkah perkara tersebut. Wahai Umat Islam, bangkitlah dari lenamu. Sedarlah segera agar kamu dapat membezakan di antara ibadah dan budaya. Janganlah terlalu mengikut hati, kelak nanti mati. Janganlah mengikut rasa, kelak nanti binasa. Memanglah rumah terbuka itu digalakkan oleh Islam kerana boleh mengeratkan silaturrahim dan dapat menjamu orang lain makan kerana memberi makan kepada tetamu itu merupakan sesuatu yang besar nilainya di sisi ALlah. Tetapi janganlah sampai berlebih-lebihan dalam sesuatu perkara yang akhirnya mengundang murka Tuhan. Mengadakan rumah terbuka sehingga membazir itupun dibenci oleh Islam, apatah lagi mengadakan rumah terbuka diluar bulan raya yang tidak pernah dituntut oleh agama. Daripada buat rumah terbuka sempena raya yang tidak sempat dibuat semasa syawal yang lepas, elok tukarkan sahaja kepada kenduri doa selamat atau sebagainya yang tidak melanggar syariat. Itu lebih baik dan tidak mengundang loya dihati masyarakat. Cukup-cukuplah....



Saturday, October 9, 2010

PTK 'O' PTK

Apa khabar orang gomen hari ini. Hari ini teman nak sebut tentag PTK. Bagi orang kerja gomen, PTK ini sesuatu yang menakutkan. Ada yang sampai fobia dengan PTK. Apa taknya, dah berbelas kali ambil, tapi tak lulus-lulus juga.

Pada Teman, PTK ini bagus untuk orang yang kerja gomen. Dengan adanya PTK mereka akan membaca dan menambah ilmu pengetahuan. Teman rasa kalau tiada PTK belum tentu orang gomen ni nak membaca bermati-matian. Maaf orang gomen, bukan nak serkap jarang, tapi realitinya begitu.

Kepada rakan-rakan yang akan mengambil PTK pada 16 oktober ni, kuatkan semamngat ye. Jawablah dengan tenang dan fokus dengan kehendak soalan. Memang jawapan terlalu hampir maksudnya. sebab itu ramai yang keliru. Tetapi kalau dinilai dengan mendalam, masih ada satu jawapan yang paling tepat. Di situlah yang akan membezakan antara yang berjaya dengan cemerlang dan lulus cukup makan. Alhamdulillah, teman dah lulus semua level PTK untuk DG 41. InsyaAllah teman akan berhadapan semula dengan PTK bila melompat ke DG 44 kelak. Kepada ISteri tersayang, tahniah kerana berjaya juga melepasi TK1 setelah mencubanya berulangkali. InsyaAllah semoga berjaya untuk PTK 2 pula tahun hadapan. Kepada RAkan-rakan, selamat menjawab dan selamat berjaya.


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Saturday, October 2, 2010

Hanya Engkau Yang Maha Mengetahui...

Allah berfirman di dalam al-Quran yang bermaksud :

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah: 216)

Sudah hampir 7 tahun saya menetap di Johor bahru, dan ini adalah rumah sewa saya yang ke 5. Saya tidak membeli rumah di sini kerana saya tidak bercadang pun untuk tinggal lama di sini. sebelum pulang beraya baru-baru ini saya dah pun memohon pertukaran ke Seremban 2. Setiap kali saya memikirkan tentang permohonan perpindahan tersebut, pasti hati ini kadangkala berasa risau. Pertamanya adakah permohonan itu akan diluluskan. Kedua, jika diluluskan, adakah diluluskan saya dan isteri ataupun saya seorang sahaja. Ataupun permohonan saya ditolak dan permohonan isteri diluluskan. Jika permohonan saya dan isteri diluluskan pasti itu yang saya harapkan. Tetapi jika salah seorang sahaja diluluskan tentu akan timbul masalah pula selepas ini. Namun jika permohonan saya dan isteri ditolak, maka terpaksalah saya tinggal lebih lama di johor bahru ini.

Semua di atas itu adalah kemungkinan sahaja. iaitu kemungkinan-kemungkinan yang sering menjadikan saya risau. Sedangkan apa keputusannya nanti tiada siapa yang mengetahuinya. Cuma sebagai hamba tentulah saya berharap saya dan isteri akan dapat berpindah ke rumah kami di seremban 2 kelak. Mungkin pada pandangan saya dapat berpindah itu yang terbaik buat kami sekeluarga. Tetapi bagi Allah Dialah yang maha mengetahui apa yang terbaik buat kami. Jadi, apapun keputusannya pada 15 hb 11 2010 nanti saya akan terima dengan hati yang tenang. Sebagai mana saya sering berdoa kepadaNya, Ya Allah, seandainya perpindahan itu yang terbaik buat saya dan keluarga, maka Engkau permudahkanlah yang Allah". Mengapa saya berdoa begitu? Kerana saya adalah hambaNya yang tidak mengetahui apa yang terbaik buat saya dan keluarga. Mungkin pada pandangan saya berpindah itu adalah yang terbaik, tetapi hakikat sebenarnya nanti saya tidak mengetahuinya. mungkin akan timbul masalah seperti sukar mendapat pengasuh anak yang terbaik sebagaimana yang saya ada sekarang. Ataupun lain-lain masalah yang mungkin berlaku. Sesungguhnya apa yang Allah berikan adalah yang terbaik buat saya dan keluarga. Maka saya serahkan kepadaNya kerana Dialah yang Maha Mengetahui apa yang tersurat dan tersirat. Benarlah sebagaimana firman Allah di atas itu.

Wallahua'lam



TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN Seperti yang kita sedia maklum, dua peperiksaan besar akan b...