Thursday, January 27, 2011

Buku-buku saya masih berada disenarai top ten bestseller mengikut kategorinya..

Sememangnya menjadi hobi saya melihat tentang perkembangan buku-buku tulisan saya di pasaran. Samada komen-komen pembaca ataupun kedudukannya di kedai buku MPH. Semuanya saya lakukan sebagai penilaian ke atas diri saya sendiri untuk menghasilkan buku yang lebih baik lagi, insyaAllah..

Minggu ini buku saya 'Watak-Watak Dalam Organisasi' berada ditangga ke-7 bagi kategori pengurusan. Alhamdulillah, Biarpun meningkat, namun saya lihat masih menjadi antara buku pengurusan yang dibaca. Manakala buku 'Hebatnya Cara Rasulullah Mendidik' berada ditangga ke-4 bagi kategori buku Islamics Politics And History.. sebelum ini ditangga ke-8, kemudian ke-5 dan minggu ini alhamdulillah dikedudukan agak baik. Syukur padamu Allah.

Apapun, terima kasih kepada yang telah membeli dan membaca. Semoga buku-buku itu dapat memberi sedikit manfaat kepada anda....

Monday, January 24, 2011

Buku-Buku Tulisan Saya DI Beberapa Perpustakaan..

Alhamdulillah...Hanya ini yang mampu saya ungkapkan kerana melalui pencarian maklum balas daripada masyarakat diluar sana saya bertemu dengan beberapa maklumat berkaitan dengan buku-buku saya di beberapa buah perpustakaan negera, negeri, universiti dan pejabat-pejabat kerajaan dan swasta. Misalnya buku Hebatnya Cara Rasulullah mendidik terdapat di Perpustakaan Negara Malaysia, NLB ( national Library Board, Singapore)- Jika saya tidak silap pandanglah. Ini Linknya ( no:205 ) , Kemudian terdapat juga diperpustakaan UKM dan UM. Sementara itu buku Watak-Watak Dalam Organisasi saya lihat terdapat di perpustakaan Negeri Sembilan, Pejabat SUK Perak, Pusat Sumber UDA dan UPM. Pada saya ini adalah satu motivasi untuk saya terus menulis dan menghasilkan buku-buku yang praktikal dengan kehidupan. Saya tidak pandai menulis novel kerana saya tidak suka berimaginasi. Saya suka mengatakan sesuatu yang nampak dan mudah difahami. Ataupun dalam bahasa yang mudah, berdasarkan pengalaman sendiri.

Buku Ketiga: Alhamdulillah, tinggal sesi edit. InsyaAllah sebelum raya cina ini saya akan selesaikan. JIka tidak, selewat-lewatnya naik cuti raya cina saya mesti hantar kerana saya ingin menyiapkan buku yang keempat yang baru 40% siap berkaitan dengan perniagaan Orang Melayu. Nantikannya.......

Akhir kalam, semoga Allah terus memberi saya buah fikiran yang bernas untuk saya kongsikan dengan orang lain. Saya tidak mampu untuk bercakap dengan semua orang, tetapi dengan buku saya bisa bercakap dengan sesiapa sahaja tanpa batasan. Ya Allah, permudahkanlah..

Sunday, January 23, 2011

Kisah ABAN dan Ikan bakar sambal

Hari ini saya ingin berkongsi cerita yang ringan sahaja. Yang pertama tentang putera hatiku yang dua orang ini yang semakin membesar. Kini adiknya sudah pandai bercakap sedikit. Apa yang paling menggembirakan dia sudah pandai memanggil abangnya dengan panggilan manja iaitu "ABAN". Setiap kali saya mendengar sebutannya itu rasa tersentuh hati ini dan sukar untuk dinyatakan. Tetapi yang pastinya saya cukup gembira. Bila terdengar dia menyebut ABAN, saya dan isteri pasti ketawa. Apa yang lebih menyeronokkan lagi, mereka begitu akrab. Setiap pagi apabila bangun dari tidur, salah seorang akan menanti yang seorang lagi. Misalnya adik dulu bangun, apabila abangnya bangun, maka berlari-lari sambil menyebut " ABAN" berulang kali dan memeluk abngnya. Kemudia si abang akan tersenyum sambil mencium adiknya. Begitulah sebaliknya jika abang yang dahulu bangun. Alhamdulillah, nilai keakraban ini semakin hari semakin terserlah. Namun begitu, gaduh tetap gaduh. Biasalah, bukan boleh tengok lebih sikit. Pada saya itu normal dan situasi biasa bagi kanak-kanak yang sedang membesar. Wahai putera-puteraku, abah dan ibu mendoakan kamu berdua akan sentiasa akrab, membesar dengan cerdas dan berjaya di dunia dan akhirat.

Mereka sedang asyik bergurau




Aban Sedang belajar mengaji, adik mengacau jer, hehe





Yang kedua tentang resepi yang saya sudah cuba beberapa kali dan alhamdulillah menjadi iaitu ikan bakar sambal. Saya suka ikar bakar jenis ini. Kalau dibakar biasa kurang sedikit. di bawah ini saya masukkan gambar dan resepinya. Jika berkesempatan cubalah, memang best bangat..kali ini saya guna ikan Caru. Sebelum ini saya guna ikan pari, tapi gambarnya lupa diambil. Ok, selamat mencuba!

Bahan-bahan untuk sambal ikan bakar :


1. Serai

2. Kunyit

3. Halia

4 Lengkuas

5. Bawang merah

6. Bawang putih

7. Udang kering @ geragau

8. Lada kering

9. Asam Jawa

10. Garam, gula

Cara-cara:

1. Kisar bahan 1-7

2. Cili kering (dikisar asing)

3. Tumiskan bahan kisar sehingga garing. kemudian masukkan cili kering kisar sehingga garing dan wangi.

4. Masukkan air asam jawa( asam keping pun boleh ).

5. Setelah mendidih, masukkan sedikit air dan tunggu sehingga masak.

6. Kemudian masukkan garam, gula secukup rasa.

7. Sambil menunggu kuah lada masak, bakarlah ikan.

Cara nak bakar ikan bakar :

1. Gunakan daun pisang atau aluminium foil dan letakkan atas kuali leper.

2. Kemudian bakarlah sehingga masak. kalau ikan Caru kenalah diterbalikkan setelah yang dibahagian bawah masak. Untuk elakkan lekat, alaskan daun pisang dahulu baru letak aluminium foil. Tapi saya tak letakpun, pandai-pandailah nak palingkan nanti. Kalau ikan pari tak perlu diterbalikkan.

3. Setelah ikan itu hampir masak, siramkan sambal tadi di atas ikan dan biarkan ia kering. Jika hendak cepat masak dan sebati tutupkan ia dengan penutup kukus.

4. Bila dah masak, angkatlah dengan skill anda yang tersendiri.

5. Selamat mencuba!


Sedang di masak


Siap Untuk dimakan..nyum...nyum



Sunday, January 16, 2011

Mekanisme Kawalan Yang Jelas Dan Berfungsi

Ini sebahagian daripada tulisan saya di dalam buku 'Watak-Watak Dalam Organisasi' yang menceritakan tentang pentingnya kawalan itu dan pelaksanaannya. Kegagalan pemimpin melaksanakan mekanisma kawalan yang nampak hebat, akan menhancurkan organisasi. Orang bawah pasti merasa kecewa kerana apa yang dikata tidak dikota dan mereka yang bersalah tersenyum gembira kerana tiada tindakan ke atas mereka. Akhirnya, watak negatif akan bermaharajalela. Dan mereka yang bersungguh-sungguh menjalankan amanah setelah diberi amanah akan ditertawakan. Kesannya mereka akan kecewa.

Mari Santapi Sisi pandang saya dalam buku yang saya sebutkan tadi. Semoga memberi sedikit ilmu kepada anda yang terlibat dalam organisasi...

Di dalam kita menguruskan organisasi, perlu wujud satu sistem yang boleh bertindak sebagai alat kawalan kepada ahli-ahli organisasi. Misalnya setiap kali keluar rehat mesti menggunakan kad perakam waktu sebagai rekod keluar. Begitu juga apabila menyambung semula tugasan selepas menikmati waktu rehat dengan menggunakan sekali lagi kad perakam waktu sebagai rekod waktu masuk semula untuk menyambung tugas. Dengan adanya sistem rekod keluar dan masuk yang diwajibkan kepada semua pekerja dapat mengekang budaya melepak melebihi masa ataupun mencuri tulang semasa bertugas.

KIta pernah melihat bagaimana sebuah organisasi yang telah melarang para pekerjanya merokok di dalam kawasan kafeterianya telah mempamerkan arahan yang jelas tentang larangan merokok tersebut serta menampal gambar-gambar larangan merokok dalam kuantiti yang banyak di dinding-dinding cafeteria disamping pemantauan yang berkala oleh pihak pengurusan mereka. Kesannya, tiada lagi staf-staf yang berani merokok di dalam kawasan larangan melainkan di kawasan yang telah disediakan di luar kafeteria.

Kita ingin mengingatkan di sini, apabila sesuatu sistem itu telah dibina maka pelaksanaannya perlulah dibuktikan. Organisasi perlulah membuktikan kepada ahli-ahlinya bahawa sistem yang telah dibina itu benar-benar berfungsi dan menjadi mata-mata dalam setiap tindak-tanduk mereka. Cuma apa yang perlu kita jelaskan di sini, system itu perlulah dilaksanakan dengan adil dan saksama tanpa mengira bulu. Jika tidak sia-sia sahaja kerana pemegang watak-watak negative yang berkedudukan dalam organisasi akan dibiarkan bebas selamat tanpa apa-apa tindakan sekiranya mereka bertindak melanggar pantang-larang yang telah ditetapkan oleh system kawalan yang diperkenalkan oleh organisasi. Malah tidak mustahil sekiranya berlaku ketirisan dalam system yang diperkenalkan itu akan melahirkan pemegang watak-watak negative yang baru kerana mereka melihat system yang ada tidak menjejaskan kedudukan mereka dalam organisasi. Pada mereka ada tangan-tangan ghaib yang akan menyelamatkan mereka sekiranya mereka samada secara sengaja atau tidak sengaja melanggar system kawalan yang telah ditetapkan itu. Akhirnya apa yang terjadi terhadap system itu hanyalah ibarat sebuah panggung wayang yang sedang menayangkan sebuah cerita dongeng yang kelihatan hebat pada pandangan mata yang menontonnya, sedangkan ianya ibarat lipstick yang dipakai pada bibir menyembunyikan kekurangan yang ada pada bibir si pemakainya kerana semuanya itu hanyalah palsu semata. Oleh yang demikian, kita menyeru agar dipastikan pelaksanaannya dilakukan dengan jujur, amanah dan berintergriti. Jika itu amalannya, kita beryakinan dan percaya dengan izin Tuhan, pasti cita-cita organisasi bagi membentuk generasi organisasi yang berwatak baik dan cemerlang berjaya.

Azan : Ini Pendapat Dr Asri



Dapatkan Mesej Bergambar di Sini



Di bawah ini saya masukkan pendapat Al-Fadhil Dr Asri tentang perihal azan dan zikir @bacaan al-quran sebelum azan itu. Pada pandangan saya, pendapat ini pendapat yang benar dan tepat dengan pendirian Islam yang sifatnya sederhana dan tidak menzalimi orang lain dalam apa jua keadaan, hatta ketika perang sekali pun. Tidak salah dikuatkan azan kerana Nabi pernah menyuruh sahabat melaungkan azan setakat mana suaranya mampu dicapai. Ini kerana laungan azan penting didengari sebagai tanda masuknya waktu solat. Lagipun syaitan akan bertaburan lari apabila azan dikumandangkan. Cuma bab sebelum azan dengan bacaan zikir ataupun bacaan al-quran yang dilaungkan menggunakan pembesar suara dengan volume yang tinggi, sedangkan ketika itu, jika ada kanak-kanak yang sedang tidur, atau golongan tua yang sedang sakit, atau golongan wanita yang keuzuran untuk bersembahyang, pastinya menganggu mereka. Matlamat tidak menghalalkan cara. Malah ada seorang ulama' berstatus dato' dan terkenal diseluruh Malaysia mengatakan perbuatan itu adalah Haram kerana akan mengganggu golongan-golongan yang saya sebutkan di atas tadi. Memang ada keinginan hendak menulis perkara ini dahulu, tetapi kerana tiada sumber rujukan saya pendamkan sahaja. Tetapi hari ini isu ini kembali bergema dan sumbernya telah ada. Sebab itu saya kuatkan hati memasukkan pendapat Dr Asri ini kerana hujahnya berdasarkan dalil yang sahih. Selamat membaca, selamat berfikir dengan aman demi Islam untuk semua.


BACAAN SELAIN AZAN DI PEMBESAR SUARA PATUT DIHENTIKAN

Saya ingin mengulas sedikit tentang bacaan-bacaan –selain azan- yang menggunakan pembesar suara sehingga mengganggu orang ramai. Bacaan ini telah mengelirukan orang bukan muslim sehingga mereka menyangka ia azan. Sesetengah pihak cuba mempertahankan amalan tersebut atas alasan ia bacaan al-Quran atau zikir yang patut diagungkan. Mereka menyangka sikap keras mereka dalam hal ini adalah ‘perjuangan mempertahankan Islam’. Saya ingin mengulas hal ini seperti berikut;

1. Apa yang Islam syariatkan untuk diangkat suara, hanyalah azan. Adapun selain dari itu, tiada nas yang menyuruh kita menguatkan suara sehingga mengganggu orang lain. Bahkan perbuatan itu dilarang oleh Nabi s.a.w. Apatah lagi dalam Islam ketenteraman orang lain dipelihara melainkan jika ada pengecualian tertentu yang diizinkan oleh syarak.

2. Walaupun bacaan al-Quran dan zikir amatlah baik. Namun kita tidak boleh memaksa orang lain mendengar bacaan kita. Mungkin orang lain ingin membacanya sendiri, atau ingin membacanya pada waktu lain, atau mereka sedang sakit atau ada anak kecil yang tidur, atau mereka tidak difardukan solat seperti wanita yang haid atau bukan muslim dan lain-lain.

3. Ramai orang bukan muslim keliru antara azan dan bacaan-bacaan selain azan yang dilaungkan menerusi corong pembesar suara. Mereka menyangka bacaan-bacaan itu adalah azan yang disuruh oleh Islam, lalu mereka bersangka buruk dengan Islam yang harmoni ini. Apatah lagi bacaan itu mengambil masa yang lama, sedangkan azan yang sebenar tidak lebih dari lima minit.

4. Sebenarnya, Nabi s.a.w sendiri telah melarang orang menguatkan bacaan al-Quran dalam masjid sehingga mengganggu jamaah lain. Dalam hadis Nabi s.a.w, kata Abu Sa’id al-Khudri:

“Ketika Nabi s.a.w beriktikaf (beribadah dalam masjid), baginda mendengar mereka mengangkat suara bacaan (al-Quran) sedangkan ketika itu Nabi s.a.w berada di tempat ibadah baginda. Lalu baginda mengangkat langsir dan bersabda: “Ketahui setiap kamu bermunajat kepada tuhannya, jangan sebahagian kamu menyakiti sebahagian yang lain. Jangan kamu angkat suara bacaan melebihi yang lain dalam solat” (Riwayat Abu Daud dengan sanad yang sahih).

Dalam hadis ini Nabi s.a.w melarang mengangkat suara bacaan di masjid sehingga menganggu mereka yang lain yang sedang beribadah, atau menyakitkan orang lain. Jika mereka yang berada dalam masjid yang memang bersedia untuk beribadah pun, tidak dibenarkan untuk diangkat suara bacaan sehingga mengganggu konsentrasi mereka, mana mungkin untuk dikuatkan suara bacaan melalui pembesar suara sehingga menggangu mereka yang di luar masjid. Mungkin mereka itu mempunyai anak kecil, orang sakit dan seumpamanya.

Ulama besar di zaman ini, Al-Syeikh Muhammad Salih al-Uthaimin r.h mengulas hadis ini dengan katanya:

“Realiti hari ini menyaksikan apa yang disebut oleh hadis ini. Ini yang kita lihat mereka yang melakukan hal ini dengan menunaikan solat menggunakan pembesar suara (luar masjid). Mereka itu jika menyakiti sesiapa yang ada di sekeliling mereka, maka mereka berdosa.. tiada syak lagi meninggal perbuatan ini lebih afdal yang pada hakikatnya tiada faedah pun, sebab insan tidak bersolat dengan mereka yang di luar masjid, sebaliknya dengan mereka yang berada dalam masjid.. dengan itu kita berpesan kepada saudara-saudara kita, khususnya para imam masjid jangan lakukan ini.. boleh jadi sesetengah orang telah solat dan perlu tidur dan berehat, boleh jadi dia sakit lalu terganggu dengan suara ini, boleh jadi juga masjid dekat dengan rumah, pada musim panas pula dan anak-anak kecil terganggu dengan bunyi pembesar suara. Kesimpulannya, masalah ini telah menimpa sesetengah orang sehingga mereka menyakiti jiran-jiran masjid atau rumah mereka dalam perkara yang tiada faedah baginya”. (Ibn Uthaimin, Syarh Riyadh al-Salihin: http://www.ibnothaimeen.com/all/eBook-o.shtml).

Bayangkan kenyataan ini dikeluarkan oleh ulama besar dan terbilang tersebut di negara Saudi Arabia yang penduduknya kesemuanya muslim. Bagaimanakah pula bagi negara yang seperti kita.

5. Ulama silam juga telah mengingatkan hal ini, bahawa bacaan-bacaan lain di menara-menara masjid adalah dilarang kerana boleh mengganggu orang ramai. Al-Imam al-Hafizd Ibn Jauzi (meninggal 597H) pernah berkata:

“Antara tipu daya Iblis ialah mereka yang mencampur adukkan azan dengan peringatan, tasbih dan nasihat. Mereka jadikan azan perantaranya lalu bercampur aduk. Para ulama membenci segala yang ditambah kepada azan. Banyak kita lihat orang yang bangun waktu malam lalu memberikan peringatan dan nasihat atas menara azan. Dalam kalangan mereka ada yang membaca al-Quran dengan suara yang tinggi lalu menghalang tidur orang ramai dan mengganggu bacaan orang yang bertahajjud. Kesemuanya itu adalah perkara-perkara munkar”. ( Ibn Jauzi, Talbis Iblis, 159, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).

Ini adalah larangan ulama pada zaman yang belum ada pembesar suara yang gangguannya tidaklah setakat mana, bagaimana jika mereka melihat keadaan pembesar suara pada zaman ini?

6. Maka, dengan itu umat Islam patut menghentikan bacaan-bacaan yang dibuat melalui pembesar suara yang boleh mengganggu orang luar dan dalam masjid. Mematuhi hal ini bukan kerana isu politik semata, tetapi itu arahan Nabi s.a.w. dan juga menjaga Islam yang harmoni. Suara-suara yang dikuatkan itu bukan menambahkan cinta mereka kepada Islam, sebaliknya menimbulkan salahfaham banyak pihak.

Sumber : DrMaza.com

Penulis adalah bekas mufti Perlis. Beliau bergelar profesor madya dan merupakan pensyarah Bahagian Pengajian Islam, Universiti Sains Malaysia."

Alhamdulillah, minggu ini kedua-dua buku saya Masuk Senarai bestseller bagi kategori masing-masing di MPH

Sememangnya menjadi hobi saya melihat tentang perkembangan buku-buku tulisan saya di pasaran. Samada komen-komen pembaca ataupun kedudukannya di kedai buku MPH. Semuanya saya lakukan sebagai penilaian ke atas diri saya sendiri untuk menghasilkan buku yang lebih baik lagi, insyaAllah..

Minggu lepas buku saya 'Watak-Watak Dalam Organisasi' berada ditangga ke-3 bagi kategori pengurusan. Alhamdulillah minggu ini ditempat ke-6..Biarpun meninggkat, namun saya lihat masih menjadi antara buku pengurusan yang dibaca. Manakala buku 'Hebatnya Cara Rasulullah Mendidik' berada ditangga ke-8 bagi kategori buku Islamics Politics And History..Buku ini pernah berada ditangga ke-9 bagi carta MPH bagi keseluruhan buku melayu pada bulan Februari 2010 yang lepas..

Apapun, terima kasih kepada yang telah membeli dan membaca. Semoga buku-buku itu dapat memberi sedikit maaf kepada anda.

Saturday, January 15, 2011

Ilmu 3 serangkai

Saya akan cuba sampaikan apa yang sedang bermain difikiran saya ini seringkas yang boleh. Moga-moga ianya mudah difahami dan dimengerti oleh anda. Ianya berkaitan dengan ilmu 3 serangkai. Semasa saya belajar di Kelantan dahulu, masih terngiang nasihat seorang tok guru perihal ilmu 3 serangkai ini. Kata beliau, dalam kita melaksanakn ibadah, 3 perkara perlu jaga. Contohnya dalam ibadah solat. Pertama kena tahu tentang ilmu fekah supaya hukum-hukum berkaitan solat difahami dengan jelas. Tanpa ilmu fekah, solat akan salah. Kedua ilmu berkaitan Tauhid. Maknanya, jika hendak bersolat perlulah dilakukan kerana Allah, bukan kerana tujuan lain. Dan yang ketiga ilmu berkaitan hati yang disebut tasawuf yang memerlukan kita menjaga hati supaya tidak sombong, riak dan sebagainya semasa melakukan ibadah.

InsyaAllah jika ilmu 3 serangkai ini sentiasa bersama kita, ibadah kita akan terjaga...Semoga ia bermanfaat buat semua..

Friday, January 7, 2011

Salah satu tajuk dalam buku ketiga saya yang sedang dalam pembikinan akhir..

Yang Berlalu Jangan Dikenang Lagi

Saya begitu tertarik dengan satu cerita yang disebut oleh Dr. Muhammad Al-Ghazali di dalam bukunya yang bertajuk “ Berubah Kepada Kehidupan Baru ” berkaitan dengan seorang guru bernama Mr. Brandwine yang mengajar subjek ilmu kesihatan di George Washington High School. Menurut beliau kisah ini disebut oleh Dale Carnegie di dalam buku tulisannya yang bertajuk HOW TO STOP WORRIYING AND START LIVING . Mari kita nikmati cerita yang hebat ini.

Satu hari Mr. Brandwine telah meletakkan sebotol susu di hadapan mejanya. Perbuatannya itu diperhatikan dengan penuh tanda tanya di kalangan para pelajarnya. Dalam fikiran mereka apakah yang akan dilakukan oleh Mr. Brandwine. Secara tiba-tiba, Mr. Brandwine telah menyapu tangannya sehinggakan botol susu tersebut sehingga jatuh dan tumpah susunya. Kemudian beliau berteriak “ jangan ditangisi susu yang telah tumpah ini. ”

Kemudian beliau meminta semua pelajarnya melihat pecahan-pecahan kaca dan cairan susu yang meresap ke dalam tanah. Kemudian beliau berkata lagi “ cuba lihat baik-baik, saya ingin anda meresapkan pelajaran ini di dalam hatimu untuk selama-lamanya. Susu itu telah hilang seperti yang anda lihat, meresap ke dalam tanah. Tidak ada satu kekuatan pun yang mampu mengembalikannya walaupun setitis. Dengan sedikit berfikir dan hati-hati, mungkin kita dapat mencegah kejadian ini daripada berlaku, tetapi segalanya telah terlambat. Apa yang dapat kita kerjakan hanyalah menghapuskannya, melupakannya dan melakukan pekerjaan lain yang masih perlu diselesaikan! ”

Adik-adikku sekalian, cerita di atas adalah merupakan pengalaman yang dialami sendiri oleh lelaki bernama Saunders. Menurut Saunders peristiwa tersebut telah meninggalkan kesan yang mendalam di dalam hidupnya yang sebelum ini seorang pengidap penyakit cemas yang dahsyat, kerap memikirkan perkara yang lepas sehingga sukar tidur dan mengganggu hidupnya serta sering makan hati dengan perbuatan dirinya sendiri.

Apa perkaitannya cerita ini dengan diri kami sebagai pelajar?

InysaAllah, jawapannya akan dapat dibaca setelah buku ini siap sepenuhnya dan sudi diterbitkan oleh penerbit..Saya belum menghantar manuskrip bagi buku ketiga ini, tetapi saya harap ia akan diterima kerana ini adalah buah tangan istimewa buat insan bergelar pelajar..Buku ini adalah buku biasa sahaja..tetapi saya cuba sampaikan dalam bahasa yang mudah dicerna kerana sifat pelajar itu tidak suka perkara yang berat -berat dan gemarkan bacaan yang santai...semoga ia bermanfaat apabila diterbitkan nanti, amin...

Thursday, January 6, 2011

Alhamdulillah, buku 'watak-watak dalam organisasi' semakin diterima...



Saya baru sahaja tengok-tengok kalau ada komen-komen terbaru diinternet berkaitan dengan buku kedua saya " watak-watak dalam organisasi" dan terjumpa pula senarai bestseller bagi buku pengurusan diMPH online. Jika saya tersilap pandang, saya mohon maaf. . Apapun, terima kasih kepada yang telah membaca buku ini. Semoga anda semua menjadi ahli organisasi yang berkesan.

Sunday, January 2, 2011

Cita-Cita@Cinta...

InsyaAllah, esok pelajar-pelajar saya akan memulakan sesi baru persekolahan. Saya percaya pastinya anda semua akan hadir dengan semangat baru dan azam baru. Cuma sebelum anda melangkahkan kaki ke sekolah esok, saya ingin mengingatkan anda tentang pentingnya cita-cita dalam hidup. Yang mana cita-cita itu akan mencorakkan diri anda sepanjang anda disekolah. Cita-cita itu akan mengawasi anda agar sentiasa menjadikan sekolah itu tempat menimba ilmu bukan mencari cinta. Cita-cita itu ibarat sebiji benih yang ditanam. Kemudian ia menumbuhkan pokoknya..Kemudian ia berbunga dan membuahkan hasil kepada si penanamnya. Ya, cita-cita adalah permulaannya, kemudian ia akan menjadi pencetus kepada kejayaan, yakni hasil setelah anda berpenat lelah mengejar sebuah kejayaan dalam pelajaran. Tetapi cinta itu adalah ibarat setitis racun yang akan menghancurkan anda secara perlahan-lahan. Yang mana akhirnya anda jatuh tersungkur dan tidak mampu untuk bangkit kembali. Ayuh anak didikku, kejarlah cita-citamu sehingga ia membuahkan hasil. Dan lupakan dahulu soal percintaanmu agar dirimu tidak tenggelam hanyut yang akhirnya lemas tanpa nisan. Selamat maju jaya...

Semua Guru Adalah Guru Disiplin

InsyaAllah esok ( 3/1/11) bermulalah sesi baru persekolahan bagi zon Selatan, Utara dan Barat air. Bagi yang dizon pantai Timur, hari ini telah bermula sesi persekolahan. Jadi, sebelum semua guru memulakan tugas esok hari, sukalah saya ingin mengingatkan semua guru dan diri saya yang daif ini bahawa faktor kesempurnaan pengajaran guru di dalam kelas adalah disiplin pelajar. Percayalah, tanpa disiplin diri yang tinggi, mereka tidak akan belajar dan anda tidak dapat mengajar dengan sempurna. Maka, tingkatkanlah mutu pengajaranmu wahai guru. Perhatikan tingkatlaku murid-muridmu semasa di dalam kelas. Awasi mereka dan laksanakanlah tindakan yang sesuai agar pengajaranmu dilihat berkesan. Jagalah air mukamu, jangan biarkan mereka memperlekehkanmu..InsyaAllah, jika kamu berjaya mengawal disiplin pelajarmu, pengajaranmu akan cemerlang..

ingat guru-guru sekalian, semua guru adalah guru disiplin-Rujuk pekeliling bil 10/2001

Selamat mengajar........

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN Seperti yang kita sedia maklum, dua peperiksaan besar akan b...