Wednesday, July 27, 2011

Organisasi Itu Seperti Gerabak Keretapi

Ada pendapat mengatakan bahawa cemerlang pemimpin, cemerlanglah organisasi. pada perkiraan saya pendapat itu ada benarnya. Namun dari sudut pandangan sisi yang lain ada juga yang mengatakan walaupun tidak cemerlang seseorang pemimpin itu, organisasi tetap akan cemerlang kerana ahli-ahlinya begitu cemerlang. Pendapat ini juga saya persetujui. Namun begitu, di antara kedua-dua pendapat ini , seperkara yang wajar kita fikirkan bersama iaitu bagaimana kesannya apabila seorang pemimpin yang lemah itu menjadikan sesebuah organisasi yang cemerlang ke arah kehancuran.

Saya membawa contoh, di sebuah syarikat yang telah berkembang pesat. Produk keluarannya dikenali ramai dan menjadi sebuatan ramai. Ke sana ke mari masyarakat memperkatakan tentang kehebatan pemimpinnya mengemudikan syarikat sehingga berjaya dengan begitu cemerlang sekali. Namun langit tidak selama cerah, insan yang hebat yang telah membawa organisasi dengan begitu cemerlang sekali terpaksa melepaskan jawatannya disebabkan oleh faktor yang tertentu. Tugasnya kini diambil alih oleh seorang insan yang berbeza karektornya dengan pemimpin yang sebelumnya. Kelihatan banyak dasar-dasar syarikat diubah sesuka hati tanpa dinilai kesannya terlebih dahulu. Malah hubungannya dengan kebanyakkan pekerja begitu suram sekali. Kesannya motivasi kerja menurun. Apabila motivasi kerja menurun maka mutu produk juga menurun. Malah idea-idea baru bagi menyegarkan produk-produk syarikat sudah semakin hilang. Ahli organisasi lebih banyak berdiam kerana jika bersuara pasti merana. Akhirnya rentetan daripada perubahan demi perubahan yang dibuat yang tidak menepati keperluan pengurusan yang terbaik menyebabkan organisasi semakin lemah dan nama baik syarikat semakin buruk di mata masyarakat. Malah produk-produk mereka semakin tidak dipercayai.

Jika anda perhatikan contoh di atas, jelas kelihatan bagaimana kesannya apabila pemimpin yang teruk mengemudi organisasi yang dahulunya begitu cemerlang. Pada pandangan saya, pemimpin yang cemerlang akan bisa membangunkan organisasi yang lemah sebelum itu. Tetapi pemimpin yang lemah akan menyebabkan organisasi yang cemerlang rebah kerana kesilapannya. Malah begitu jarang kelihatan pemimpin yang lemah akan cemerlang organisasinya kerana ahli-ahlinya begitu cemerlang. Mungkin di awal permulaan kuasanya organisasi masih mampu mempertahankan kecemerlangannya. Tetapi apabila sampai satu ketika, ahli organisasi yang ada hati dan jiwa itu pasti akan terkesan dengan sikap pemimpin yang begitu lemah itu. akhirnya kecemerlangan itu akan beransur hilang dari pandangan. Percayalah!

"Organisasi itu seperti gerabak keretapi. Apabila kepalanya tergelincir, yang lain akan mengikut sama."

Wallahua'lam..





Monday, July 18, 2011

Bersabarlah Wahai Guru...

Sekadar Berkongsi :

Di dalam al-Quran, Allah menerangkan tentang keutamaan sifat sabar lebih daripada 70 ayat (Haji Johari Haji Alias : 1997). Malah tidak kurang juga hadis-hadis yang disampaikan oleh Rasulullah SAW yang membicarakan tentang perihal sabar dalam kehidupan manusia. Sememangnya guru dan sabar itu ibarat pantai dengan lautan yang mana tidak boleh dipisahkan sama sekali. Di mana adanya pantai, di situlah terbentangnya lautan. Tidak mungkin berpantai tanpa lautannya. Begitulah jua dengan kerjaya seorang guru. Tidak lengkap title guru sekiranya ia tidak dilengkapi dengan sifat sabar.

Kesabaran seorang guru boleh dinilai dari beberapa aspek. Antaranya kesabaran ketika menyampaikan ilmu kepada pelajar, seperti saat memberi penerangan tentang sesuatu perkara di mana guru tidak boleh mengajar dengan tergopoh-gapah dan perlu menyampaikan ilmu mengikut tahap kemampuan pelajar dan tidak terlalu memaksa pelajar untuk menerima banyak perkara dalam satu masa. Sekiranya ada pelajar yang dilihat ketinggalan dan kurang faham, guru bersedia untuk menerangkan semula dengan penuh kesabaran. Keduanya kesabaran guru semasa berhadapan dengan kerenah pelajar yang boleh mengundang rasa marah dalam jiwa. Sabar di sini bukanlah bermakna guru hanya membiarkan pelajarnya melanggar disiplin semasa guru mengajar di dalam kelas. Tetapi kesabaran menuntut guru supaya bersabar dalam menguruskan masalah yang berkaitan disiplin di dalam kelas. Misalnya ketika guru memarahi pelajar, guru sentiasa bertindak dengan waras dan tidak melampaui batas yang mana akhirnya tidak hanya akan merugikan guru malah pelajar itu sendiri.

Dalam sejarah, Rasulullah SAW telah meninggalkan kepada kita tentang erti kesabaran yang sebenar. Lihatlah bagaimana sabarnya Rasulullah SAW melayan permintaan seorang lelaki yang meminta kebenaran daripada Rasulullah SAW untuk berzina. Baginda tidak memarahinya, tetapi menasihatinya dengan penuh hikmah. Nah! Lihatlah bagaimana kesannya pada jiwa si lelaki tersebut. Dalam kisah lain, mengisahkan bagaimana seorang perempuan tua berbangsa Yahudi yang buta matanya, memeluk Islam kerana kesabaran Rasulullah SAW melayannya dengan memberinya makan walaupun dia sentiasa berpesan kepada Rasulullah SAW agar berhati-hati dengan pemuda bernama Muhammad. Bermacam-macam diburukkan Rasulullah SAW, tetapi Rasulullah SAW tidak marah kepadanya, malah baginda tidak jemu memberinya makan setiap hari sehinggalah baginda wafat. Tidak pernah baginda mengherdiknya, apatah lagi mencederakannya. Malah baginda dengan sabar terus menyuapkan makanan ke mulutnya dengan suapan yang baik. Tingginya nilai kesabaran dalam diri Rasulullah SAW, akhirnya wanita itu memeluk Islam walaupun ketika itu Rasulullah SAW telah pergi meninggalkan kita.

Bagaimana perasaan anda apabila membaca hadis di bawah ini. Adakah anda mampu bersabar sebagaimana sabarnya baginda melayani tindakan kasar lelaki tersebut. Mari kita hayati bersama hadis ini.

Daripada Anas r.a. Katanya,

“Aku berjalan bersama-sama Rasulullah SAW. Baginda memakai selendang kasar tepinya buatan Najran. Baginda bertemu dengan seorang Arab Badwi lalu direntapnya selendang baginda dengan rentapan yang kasar, sehingga aku melihat kesan di tengkuk baginda akibat rentapan yang kasar itu. Kemudian orang Arab itu berkata, “Wahai Muhammad, perintahkanlah supaya diberikan kepadaku daripada harta Allah apa yang ada pada kamu,” Maka Rasulullah SAW berpaling kepadanya sambil ketawa. Kemudian baginda memerintahkan supaya diberikan sedekah kepadanya.”

[Riwayat Imam Bukhari dan Muslim]

Begitulah hebatnya nilai sabar yang di bawa oleh Rasulullah SAW sebagai contoh tauladan kepada kita untuk dipraktikkan di dalam kerjaya sepanjang kita bergelar seorang guru. Kita mungkin tidak mampu bersabar sebagaimana sabarnya Rasulullah SAW, tetapi kita perlu berusaha untuk menjadi insan yang sabar agar pengajaran kita memberi makna kepada pelajar. Pada pandangan anda, apakah perasaan pelajar yang agak bermasalah di dalam kelas dipanggil dengan panggilan yang baik oleh gurunya. Adakah pelajar akan membenci gurunya yang mengajar dengan sabar semasa di dalam kelas dan sentiasa bersedia melayan apa jua persoalan yang berkaitan isi pengajarannya yang dibangkitkan oleh pelajarnya. Kerana itu nilai sabar diletak lebih tinggi nilainya daripada kaedah pengajaran yang dipraktikkan oleh guru semasa mengajar. Apa akan terjadi kepada pelajar sekiranya guru mengajar dengan tergesa-gesa dan tidak sabar. Adakah ia akan melahirkan rasa selesa di kalangan pelajar. Guru sibuk mempelbagaikan kaedah pengajarannya di dalam kelas, tetapi guru tidak sabar semasa mengajar. Maka guru tidak akan mampu menjadi guru yang berkesan di mata pelajar. Biarlah hanya menggunakan kaedah yang tidak dilihat hebat, tetapi pelajar senang dengan pengajaran guru kerana guru sentiasa bersabar semasa menyampaikan ilmu kepada mereka. Mereka tidak takut untuk bertanya kerana mereka tahu guru akan berusaha untuk membantunya. Mereka tidak takut untuk memberi pandangan kerana mereka tahu guru akan bersedia untuk mendengar pandangan mereka dan tidak cepat melenting sekiranya pandangan tersebut bertentangan dengan pandangan gurunya. Maka dengan kesabaran itulah pelajar berusaha untuk menerima pengajaran guru dengan penuh keikhlasan dan keazaman.

Bersabarlah wahai guru

Benar, guru perlu banyak bersabar ketika mengajar kerana ia akan meningkatkan martabat guru di mata pelajar. Tindakan yang terburu-buru akan memburukkan lagi keadaan yang sedia ada. Dengan adanya kesabaran masalah akan dapat diselesaikan dengan cara yang berhemah dan terbaik. Bersabar juga dapat mengelak daripada berlakunya kejadian-kejadian yang tidak diingini seperti guru bertindak keterlaluan terhadap pelajar ataupun sebaliknya. Apa yang lebih membimbangkan kesannya sehingga menyebabkan guru diambil tindakan undang-undang daripada pihak-pihak yang berkepentingan.

Selain itu juga, tidak ada yang lebih bermakna bagi diri seorang guru yang sentiasa bersabar dengan kerenah pelajarnya melainkan akan diangkat martabat dirinya di sisi Allah sebagaimana yang disebut oleh Rasulullah SAW.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud,

“Sesungguhnya orang mukmin akan menerima tekanan hidup kerana tidak ada satu bencana sama ada kerana terkena duri atau yang lebih besar, tidak juga ketakutan melainkan Allah akan mengangkat darjatnya satu darjat dan menghapuskan satu kesalahan dengan kesabarannya menghadapi bencana dan kesusahan tersebut.” [Riwayat Al-Hakim]

Percayalah wahai guru sekalian bahawa kesabaran itu adalah perilaku yang baik yang menjadi tunjang utama dalam pengajaran guru. Ia adalah akhlak yang dipancarkan oleh Rasulullah untuk menerangi kegelapan manusia di alam ini. Allah tidak pernah menzalimi hamba-hambanya. Apabila guru diuji dengan dugaan yang ringan ataupun berat, pasti disertakan dengan jalan penyelesaiannya. Maka bersabarlah wahai guru. Yakinlah Allah sentiasa bersama kamu.

Allah SWT berfirman di dalam al-Quran :

Maksudnya : “Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.”

[al-Insyirah : 6]

Dipetik dan diubahsuai daripada buku : Hebatnya Cara Rasulullah Mendidik

Tulisan Razali Saaran.

Thursday, July 14, 2011

Gelang kaki berloceng...Bolehkah dipakai?

Pemakaian loceng kaki dilarang

SAYA ingin mengetahui dengan lanjut pemakaian gelang kaki bagi wanita Islam yang mana bunyi loceng itu terlalu kuat sehingga menarik perhatian rakan sekerja lain untuk berpaling melihat ke arahnya?


Adakah salah jika saya memakaikan gelang kaki kepada anak perempuan saya yang berumur tiga tahun? Tujuan saya memakaikannya gelang adalah kerana mudah untuk memantau pergerakannya di rumah.


YATI
Kedah



SETIAP Muslim dan Muslimah hendaklah menjaga tata cara pergaulan dan pemakaian apabila berhubung dengan bukan mahram seperti di tempat kerja.

Paling utama dalam hal pemakaian kerana cara berpakaian dapat menarik perhatian orang lain yang bukan mahram. Memakai gelang kaki bagi wanita Islam dengan bunyi loceng itu terlalu kuat sehingga menarik perhatian rakan sekerja yang lain untuk berpaling melihat ke arahnya dikira bercanggah dengan tata cara pemakaian dan pergaulan seorang wanita Muslimah dan Mukminah.

Itu sebabnya ia dihukum haram apabila bertujuan sedemikian dan pemakaian hiasan sedemikian perlu dielakkan. Ini jelas apabila al-Quran menggariskan berkenaan tatacara bergaul dan berpakaian seorang wanita Islam iaitu: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman itu supaya menyekat pandangan mereka (daripada yang diharamkan) dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka menzahirkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mentua mereka, atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang lelaki yang telah tua dan tidak keinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” (Surah al-Nur (24): 31)

Dalam ayat ini, kita boleh simpulkan termasuk dalam ‘menghentak kaki’ ialah memakai gelang berloceng dan memakai kasut bertumit keras sehingga mengeluarkan bunyi.

Islam melarang perbuatan itu kerana ia menarik perhatian orang sehingga terserlah perhiasan diri seseorang wanita. Manakala memakai gelang kaki berloceng bagi anak-anak perempuan yang masih kecil dan bertujuan untuk pengawasan pula adalah harus.

Ia tidak termasuk dalam larangan di atas kerana tidak bertujuan menarik perhatian lelaki dan usianya masih kecil.

Sumber : Tanyalah Pakar: Fikrah Dr. Salam, Harian Metro Online

Saturday, July 9, 2011

4 minggu yang padat...

Alhamdulillah, semalam baru berakhirnya program-program besar yang perlu saya ikuti. Naik sahaja cuti sekolah bulan 6 yang lepas, dimulai dengan kursus haji dan umrah yang melibatkan pelajar tingkatan 4 dan 5 serta guru-guru Islam. ( 17-18/6 )


Ustaz Talhah sedang mengetuai kursus Para pelajar sedang berehat sementara
menunggu giliran.

Kemudian minggu berikutnya, pada hari sabtu diadakan pula hari terbuka dimana ibu bapa berjumpa guru-guru untuk berbincang tentang prestasi anak-anak sepanjang 6 bulan pertama di sekolah.( 25/6 )

* Maaf tiada gambar..

Selepas itu, pada hari sabtu berikutnya ( 2/7 ) diadakan pula larian 1 Malaysia dan sukantara.


Gambar Kenangan sebelum larian bermula

Dan yang terakhir pada minggu ini (9/7) diadakah acara sukan tahunan. Tetapi tahun ini saya tidak turut serta kerana terlibat sebagai fasilitator bagi kem kecemerlangan prinsip perakaunan daerah Pasir Gudang selama 2 hari ( 8-9 Julai) di Savannah Hill, Ulu Tiram J.B..Tetapi minggu ini paling penat kerana acara sukan tahunan memerlukan komitmen selama seminggu..Kerana itu jugalah saya hampir-hampir tumbang pada malam sabtu (8/7) kerana terlalu letih..Tetapi kerana kesiankan kak lily yang hanya seorang pada malam tersebut saya kuatkan semangat untuk membantunya sehingga jam 11. Tetapi Alhamdulillah, di paginya kembali bertenaga selepas tidur pada malamnya. Apa yang pasti, kem tersebut sangat bermanfaat dan memberi banyak ilmu baru tentang subjek P.Akaun yang akan saya sampaikan pada anak didik saya di sekolah nanti, insyaAllah.



Gambar Savannah Hill ( cantik ) Gambar anak didik yang cemerlang yang terpilih
( Dari kanan : Lim Jin Yong, Ng Sze Shen, Wong
Pei Xin, Poon Wen Qi dan Chan Jasmine)

Secara keseluruhannya, 4 minggu ini adalah minggu yang paling mencabar kerana tidak berehat selama 4 minggu( sabtu) berturut-turut. Namun begitu tugas tetap tugas. Walaubagaimana letih sekalipun perlu dilaksanakan dengan seikhlas hati. Apa yang paling penting, bersangka baik dengan Allah, kerana setiap apa yang berlaku ada hikmahnya.

Ya Allah, ikhlaskan hatiku keranaMu..

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN Seperti yang kita sedia maklum, dua peperiksaan besar akan b...