Monday, April 30, 2012

Ulasan Buku Watak-Watak Dalam Organisasi Di U-Pustaka Portal

27 April 2012 | 02:13 PM   

oleh Perpustakaan INTAN

Buku 'Watak-Watak Dalam Organisasi’ ditulis oleh Razali Saaran menggunakan pendekatan Islamik dalam pengurusan organisasi. Penekanan tentang amali atau realiti yang berlaku di dalam organisasi berbanding teori menjadikan input yang diperolehi melalui buku ini agak berbeza dengan kebanyakan buku-buku pengurusan organisasi yang lain. Sebagai contoh, teori mengatakan bahawa semangat kerja berpasukan perlu wujud di kalangan ahli untuk menjayakan matlamat organisasi. Hakikatnya amalan berpuak-puak yang menjadi budaya kerja dalam organisasi. Oleh yang demikian, penulis berpendapat bahawa adalah amat penting bagi pemimpin-pemimpin memahami 'watak-watak’ yang wujud supaya kekuatan dan kelemahan ahli-ahli di dalam organisasi dapat dinilai seterusnya dapat digerakkan ke landasan yang sebenar untuk mencapai wawasan organisasi.

'Watak’ atau karakter didefinisikan sebagai sifat yang ada pada seseorang sama ada ia dizahirkan atau tidak. Buku ini membincangkan keperluan mengenali dan menilai watak-watak dalam organisasi kerana tidak mudah bagi sesuatu sistem dipatuhi disebabkan sikap tersendiri setiap individu. Mereka akan memainkan peranan tertentu yang dapat membina perkembangan atau mendatangkan kehancuran. Oleh yang demikian, adalah menjadi tanggungjawab kepada pemimpin untuk memandu semua watak dalam organisasi dengan cara yang berkesan.
Penulis membahagikan watak kepada dua kategori utama iaitu positif dan negatif. Perbincangan dimulakan dengan penjelasan mengenai watak-watak negatif. Ini kerana untuk menghapuskan watak negatif adalah mustahil. Maka, tahap kawalan perkembangan mereka akan memberikan kesan yang mendalam kepada imej organisasi. Penulis menyenaraikan sebanyak 24 watak negatif untuk ditangani pemimpin. Manakala, terdapat 17 karakter positif yang ditekankan oleh penulis. Beliau berharap dengan pendedahan watak-watak positif, maka pemimpin perlu menumpukan perhatian untuk membangunkan dahulu watak-watak baik tersebut sebelum diseimbangkan dengan kemajuan prasarana dalam organisasi.
Seterusnya, penulis memberikan 11 petua untuk menyuburkan watak positif dalam organisasi: Tegakkan Keadilan, Jauhi Kezaliman; Jauhi Sikap Memihak; Dengar Sebelum Buat Keputusan;Tanamkan Sifat Keikhlasan; Jauhi Politik Organisasi; Jaga Hati, Jauhi Persepsi Negatif; Mekanisme Kawalan Yang Jelas dan Berfungsi;Telus; Kawalan Terhadap Maklumat; dan Beri Ganjaran, Laksanakan Hukuman. Maka, tiga perkara utama iaitu Suburkan Semangat Kekitaan, Suburkan Nilai Keagamaan, Suburkan Budaya Menegur dan Bersedia Menerima Teguran Dalam Organisasi (Keterbukaan) dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Penulis mengakhiri perbincangan di dalam buku ini dengan 6 kisah ringkas watak-watak cemerlang. Keenam-enam tokoh yang ditonjolkan adalah Saiyidina Umar Al-Khattab r.a. (Khalifah Kedua daripada Empat Khalifah Umat Islam selepas kewafatan Rasulullah SAW), Korporal Abu Bakar Ahmad (Pengawal  dari Syarikat Teraju Fokus Sdn. Bhd.), Abu Talhah (Sahabat Rasulullah SAW), Mahatma Gandhi (Tokoh India), Umar Abdul Aziz (Khalifah Umat Islam dari Bani Ummaiyyah) dan Abdullah bin Rawahah (Sahabat Rasulullah SAW). Mereka menggambarkan sifat-sifat terpuji seperti amanah, jujur, bertanggungjawab dan sedia berkorban untuk kepentingan organisasi atau negara melebihi diri sendiri.
Penulis buku ini, saudara Razali Saaran merupakan seorang guru dan telah menulis buku bertajuk ’Hebatnya Cara Rasulullah Mendidik’. Setiap penjelasan mengenai karakter (watak) dimulakan dengan situasi (cerita ringkas) yang menggambarkan perwatakan tersebut dan diakhiri dengan kaedah menghadapi karakter-karakter berkenaan. Dalam setiap penjelasan tersebut beliau selitkan dengan Sudut Renungan dan Sudut Pedoman yang dipetik daripada Hadis-Hadis, potongan ayat dari Surah-Surah Al-Quran dan kata-kata hikmah yang telah diterjemah hasil penulisan Frank Tibolt iaitu ’Sentuhan Kejayaan’. Penjelasan-penjelasan daripada beliau adalah ringkas dan amat mudah untuk difahami melalui penggunaan bahasa yang seolah-olah beliau sedang berbicara dengan pembaca. Secara keseluruhannya, buku ini adalah rujukan ringan yang amat bermanfaat dan praktikal terutamanya bagi pemimpin-pemimpin muda untuk dijadikan sebagai pengajaran untuk pengurusan konflik bagi meningkatkan nilai-nilai positif dalam organisasi.
Sumber : u-PUSTAKA PORTAL

Friday, April 27, 2012

Pelancaran Buku NOta Hati Buat Pelajar

Alhamdulillah, dua minggu lepas saya menerima surat daripada Putrajaya. Apabila saya membuka surat itu, terpandang tajuk surat, pelancaran buku peringkat kebangsaan sepena hari guru. saya menjangkakan surat itu untuk diletakkan di bilik guru kerana saya adalah pengerusi kelab guru. Namun hati ini terdetik untuk menyelak muka surat berikutnya. Berdebar dan seperti tidak percaya, tertera buku tajuk buku saya di dalam senarai 15 buah buku yang terpilih. Seperti tidak percaya, saya baca dan lihat sekali lagi. Ya, memang benar dan saya tidak bermimpi. Syukur padamu ya Allah atas kurniaan ini. 

InsyaAllah, saya akan berangkat ke Ipoh Perak 14 Mei ini bersama Isteri dan anak-anak. Majlis perasmiannya 15 mei, malam di kediaman rasmi Menteri Besar Perak. Esoknya ( 16 Mei ) majlis bersama TPM )...Semoga segala urusan majlis ini dipermudahkan Allah... 



Friday, April 13, 2012

Tafsir Mimpi Seorang `Alim Dan Kaitannya Dengan Haji Mabrur

 Sedih dan sebak hatiku bila membaca kisah ini......Alangkah beruntungnya insan ini...Ya Allah di manakah nilai diriku di sisiMu...Ayuh, nikmatilah kisah hebat yang menyentuh jiwa ini...Semoga bermanfaat...

 By Shahmuzir

Saya mendapat khabar bahawa pernah pada suatu musim haji, terdapat program soal-jawab yang disiarkan secara langsung di tanah suci melalui siaran radio.  Siaran tersebut didengari oleh jutaan jemaah haji yang hadir.  Kesemua soal-jawab telah dijawab oleh seorang Tuan Sheikh yang `alim dan sangat dihormati akan ilmunya.  Program tersebut adalah khusus bagi menjawab soalan-soalan orang ramai sekitar tajuk ibadah haji dan lain-lain yang berkaitannya.
LabbaiKA ya ALLAH!
Tiba-tiba ada satu panggilan dari seorang wanita yang ingin bertanya tentang mimpi dan apa tafsiran Tuan Sheikh tersebut.  Walaupun pada asalnya Tuan Sheikh agak keberatan untuk menjawab disebabkan ianya terkeluar dari tajuk yang dibincangkan iaitu haji, namun beliau tidak mahu mengecewakan wanita tersebut lalu dibenarkannya untuk bertanya.
“Saya pernah bermimpi terlihat seorang lelaki yang mengerjakan ibadah tawaf mengelilingi Ka`bah pada musim haji dalam keadaan beliau tidak berpakaian sedikit pun iaitu dalam keadaan telanjang.  Bolehkah Tuan Sheikh menafsirkan mimpi saya tersebut?”  Wanita tersebut bertanya kepada Tuan Sheikh melalui panggilan telefon yang didengari oleh jutaan jemaah haji lain melalui radio secara langsung.
Agaknya apakah jawapan tuan puan apabila ditanya oleh seseorang dengan soalan yang sama?  Dan apa pula jawapan oleh para ustadz yang kita kenali jika ditujukan soalan yang sama untuk mereka tafsirkan mimpi tersebut?
Lihatlah bagaimana reaksi Tuan Sheikh ini dan amatilah jawapan yang diberikan beliau dengan kehikmahan yang ada pada beliau:
“WAllahu A`lam.  Saya akan cuba menjawab soalan puan berdasarkan sedikit pengetahuan yang saya ada.”  Tuan Sheikh memulakan jawapan beliau dengan memuji ALLAH yang Maha Mengetahui segala sesuatu.
“Pada tafsiran saya terhadap mimpi puan yang melihat seorang lelaki yang melakukan ibadah tawaf secara bertelanjang itu ialah bahawa lelaki tersebut telah kembali dalam keadaan beliau tidak berdosa selepas mengerjakan haji.  Lelaki tersebut telah memiliki keampunan ALLAH dan semua dosanya telah diampuni seperti seorang bayi yang baru sahaja dilahirkan (dalam keadaan telanjang).  Ini sesuai dengan hadith Nabi sallAllahu `alaihi wasallam yang menyebut bahawa seseorang yang diterima hajinya itu kembali bersih tanpa dosa seperti dia baru sahaja dilahirkan oleh ibunya…”  Jawab Tuan Sheikh tersebut.
Beruntunglah lelaki tersebut kerana beliau telah dikurniakan dengan haji yang mabrur.”  Sambung Tuan Sheikh lagi.
“Oh begitu.  Terima kasih kerana sudi menjawabnya.  Bolehkah saya memaklumkan kepada lelaki tersebut tentang berita ini?”  Tanya wanita itu melalui telefon.
“Ya, boleh.  Puan kenalkah dengan lelaki tersebut?”  sambut Tuan Sheikh lalu diajukan soalan samada wanita itu kenal atau tidak dengan lelaki di dalam mimpi beliau.
“Ya, saya kenal beliau.”  Jawab wanita tersebut dengan ringkas.
“Jika puan kenal dengan lelaki tersebut, puan ucapkanlah tahniah buat beliau kerana ALLAH telah menerima haji beliau.”  Saran Tuan Sheikh agar wanita tersebut mengucapkan tahniah kepada lelaki yang bertuah itu.
“Sebenarnya lelaki yang saya lihat di dalam mimpi saya itu ialah Tuan Sheikh sendiri!!!”  Wanita itu memberitahu siapa lelaki tersebut melalui panggilan telefon yang disiarkan secara langsung melalui radio.
Jawapan yang diberikan oleh wanita tersebut sangat-sangat memeranjatkan Tuan Sheikh itu setelah mendengarnya.  Tuan Sheikh tidak dapat menahan perasaan lalu menangis teresak-esak lantaran syukur dan insaf.  Program radio yang dilakukan secara langsung itu terpaksa dihentikan.  Pengendali radio tersebut memaklumkan bahawa program soal-jawab itu tidak dapat diteruskan dan akan disambung pada hari yang lain.
Kisah di atas telah disampaikan di dalam satu ceramah yang telah diadakan di Masjid Asy-Syarif, Meru, Klang oleh Ustadz Syed Nurhisham sekitar tajuk haji pada 2 Dzulka`idah 1432H bersamaan 30 Sepmtember 2011.  Beliau tidak menyebutkan siapakah gerangannya nama Tuan Sheikh yang dimaksudkan.
SubhanAllah!  Betapa hikmah dan luar biasa sekali jawapan Tuan Sheikh tersebut.  Beliau nampak apa yang saya dan orang lain tidak nampak.  Jawapan beliau sangat-sangat di luar jangkaan.  Beliau memberikan tafsiran yang bukan calang-calang tafsiran.  Dan tafsiran beliau dijawab berdasarkan pemahaman beliau terhadap nas dari al-Hadith.  Malah kebaikan dari ilmu tafsiran beliau dikembalikan kepada beliau oleh ALLAH `Azza wa Jalla dalam bentuk kemuliaan!
Saya tidak dapat menahan emosi saya selepas mendengar kisah ini.  Sangat sebak rasanya.  Betapa beruntungnya Tuan Sheikh tersebut.  Beliau telah diberikan kemuliaan oleh ALLAH `Azza wa Jalla di hadapan jutaan manusia sejak di dunia lagi.  Khabar gembira seperti ini jarang didapati oleh mana-mana manusia melainkan sangat sedikit.
Saya telah menyemak hadith yang dimaksudkan oleh Tuan Sheikh tersebut, iaitu bahawa Nabi sallAllahu `alaihi wasallam telah bersabda yang maksudnya:
“Barangsiapa yang mengerjakan ibadah haji dan dia tidak melakukan jima’ dan tidak pula melakukan perbuatan dosa, dia akan kembali dari dosa-dosanya seperti pada hari ketika ia dilahirkan oleh ibunya.” (HR. Al-Bukhari, Muslim, An-Nasa’i, Ibnu Majah dan At-Tirmidzi)
Dan apabila melihat balasan yang disediakan oleh ALLAH Subhanahu wa Ta`ala terhadap hamba-hambaNYA yang memperolehi haji mabrur, diri ini tersangatlah rasa penuh harap dan memohon agar dikurniakan dengan haji yang mabrur juga.  Nabi sallAllahu `alaihi wasallam menyebut tentang balasan kepada orang yang memperolehi haji yang mabrur, yang maksudnya:
“Umrah (yang pertama) kepada umrah yang berikutnya sebagai kaffarat (peng-hapus) bagi (dosa) yang dilakukan di antara keduanya, dan haji yang mabrur tidak ada balasan baginya, melainkan Syurga.” (HR. Malik, Al-Bukhari, Muslim, At-Tirmidzi, An-Nasa’i dan Ibnu Majah).
ALLAHU AKBAR!  Mudah-mudahan kita semua memperolehinya.  Dan untuk memperolehinya, mestilah kita letakkan usaha yang sungguh-sungguh mulai sekarang, doa, tawakkal dan penuh harap kepada ALLAH Jalla wa A`la agar kita dimasukkan ke dalam golongan hamba-hambaNYA yang beruntung, amin…
LabbaiKA ya ALLAH!  LabbaiKA ya ALLAH!


TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN Seperti yang kita sedia maklum, dua peperiksaan besar akan b...