Tuesday, October 9, 2012

JAUHI SIFAT CEMAS


Sedikit nasihat buat insan-insan yang sedang dan bakal menghadapi peperiksaan...

JAUHI SIFAT CEMAS


Apakah yang dimaksudkan dengan cemas. Menurut Kamus Dewan, cemas membawa maksud hati berasa takut dan risau (gelisah, bimbang). Dalam erti kata yang lain, cemas adalah sesuatu yang wujud dalam jiwa seseorang individu disebabkan oleh sesuatu perkara yang tertentu. Rasa cemas akan menyebabkan seseorang itu

menjadi takut dan risau akan sesuatu yang bakal terjadi ke atas dirinya. Misalnya seorang pelajar yang sedang beratur bagi mengambil slip peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia, dia berada dalam keadaan yang gelisah dan tidak tenteram. Rasa takut sudah pasti menyelubungi kalbunya ketika itu. Bermacam-macam andaian yang bermain-main difikirannya sehinggalah sijil itu benar-benar berada di genggamannya.

Dr. Muhammad Al-Ghazali dalam bukunya yang bertajuk, Berubah Kepada Kehidupan Baru menceritakan berkenaan seorang lelaki yang kesedihan kerana bencana yang menimpa keluarganya, menyebabkan dia kehilangan giginya. Menurut beliau lagi, berdasarkan penemuan terkini menunjukkan gangguan emosi yang tidak menyenangkan seperti rasa cemas dan sebagainya sangat kuat sekali pengaruhnya pada keseimbangan cairan tubuh badan. Ia akan mengubah kalsium di dalam tubuh menjadi racun, sehingga tubuh tidak dapat menyerap zat-zat berguna dari makanan yang diambil sekalipun makanan itu penuh dengan zat yang akhirnya merosakkan gigi. Beliau juga turut menyebut berkenaan seorang doktor di sebuah rumah sakit Mayo, Dr Harold C. Habein yang pernah membentangkan sebuah kertas kerja pada perhimpunan tahunan American Association Of Industrial Physicians and Surgeons yang mengatakan, “Berdasarkan kajiannya terhadap 176 usahawan muda yang berumur sekitar 44 tahun, lebih satu pertiga daripada mereka menderita mengidap penyakit-penyakit seperti jantung, barah dan tekanan darah tinggi yang berpunca daripada hidup yang penuh ketegangan.”

Malah menurut beliau lagi, Dale Carnegie juga pernah berkata, “Hasil penelitiannya selama ini menunjukkan rasa cemas itu pembunuh nombor satu di Amerika. Sejak perang dunia ke II sepertiga juta tentera Amerika terbunuh di medan peperangan, dan dalam masa yang sama, dua juta manusia terbunuh disebabkan oleh penyakit jantung, dan setengah daripada dua juta yang meninggal akibat sakit jantung itu berpunca daripada rasa cemas dan kehidupan yang penuh ketegangan.”
Saya pernah bertemu dengan golongan yang menghidapi penyakit cemas ini. Saya menyebutnya sebagai penyakit kerana ia adalah sesuatu yang menyerang jiwa seseorang sehingga menyebabkan seseorang itu tiada kemampuan mengawal emosinya. Saya juga pernah melihat bagaimana mereka yang beberapa minit lagi bakal menduduki peperiksaan begitu pucat mukanya kerana terlalu cemas dan takut. Berdiri salah, duduk pun salah. Hatinya begitu tidak keruan dan berdebar-debar. Mungkin ketika itu dia merasakan terlalu banyak yang masih belum dibaca dan diingat.

Sifat Cemas Pembunuh Konsentrasi (Tumpuan)

Saya begitu bimbang sekiranya anda tidak melihat cemas ini sebagai masalah yang berat dan mampu menggagalkan anda dalam peperiksaan. Bayangkan seorang pelajar yang tekun belajar, tiba-tiba menjelangnya peperiksaan fikirannya menjadi terganggu dek kerana rasa cemas yang menyelubungi hatinya. Ketika itu jantungnya berdegup kencang dan hatinya menjadi tidak tenang. Saya ingin bertanya, adakah orang yang dalam keadaan tidak tenteram dapat menjawab soalan dengan baik? Tentulah jawapannya tidak, bukan? Saya juga pernah melihat bagaimana orang yang cemas itu tidak mampu menjawab soalan dengan baik. Segala apa yang tersemat di mindanya sebelum ini hilang dengan begitu pantas sekali kerana rasa cemas menguasai dirinya.

Ayuh, Mari Bertenang

Adik-adikku, saya ingin menasihati anda betapa bahayanya sifat cemas ini. Sekiranya anda tidak mengatasinya ketika berhadapan dengannya sudah pasti ia akan mengganggu tumpuan anda semasa berhadapan dengan peperiksaan penting kelak. Sesungguhnya anda perlu menyedarinya dan bersedia bagi menghadapinya. Suatu ketika dahulu, saya juga pernah berhadapan dengan rasa cemas ini apabila hendak menduduki peperiksaan di universiti. Perasaan itu menyebabkan saya merasakan terlalu banyak yang masih belum dibaca dan dikuasai. Sedangkan hakikat sebenarnya itu hanya perasaan yang hadir disebabkan oleh rasa cemas yang menyerang diri saya. Tetapi, dengan izin Tuhan saya tersedar dan kembali menguasai diri dan bertenang kembali. Sememangnya saya percaya tentunya situasi yang saya pernah alami itu turut dirasai oleh orang lain. Cuma bezanya adalah, adakah mereka juga dapat mengatasinya ataupun terus hanyut dengan perasaan cemas itu.

Penyelesaian Mudah !

Fokus pada diri sendiri, yakin dengan persediaan yang sudah dibuat sebelum ini serta beristighfar mohon keampunan daripada Allah semoga diberi ketenangan. Ini adalah antara teknik-teknik yang boleh anda lakukan apabila berhadapan dengan perasaan cemas. Apa yang paling penting, hendaklah anda yakin dengan diri sendiri, bersedia dengan secukupnya dan berbicaralah dengan hati anda dengan mengatakan, “Tiada apa yang hendak ditakutkan kerana Allah bersamaku.”

Dipetik dan diubahsuai sedikit daripada buku : Nota hati Buat Pelajar ( tulisan razali Saaran )

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN Seperti yang kita sedia maklum, dua peperiksaan besar akan b...