Friday, January 25, 2013

Komen seorang pembaca terhadap buku ' Nota Hati Buat Pelajar"

Terima kasih kerana sudi membaca...

Terima kasih kerana memberi komen yang membina...saya benar-benar menghargainya dan benar-benar terharu..sebak dada ini membaca..semoga Allah memberi kejayaan kepada anda di dunia dan akhirat...


Ulasan Buku- "Nota Hati Buat Pelajar"

Dua, tiga hari lepas aku pergi kedai buku.

Ingat nak beli satu buku yang aku minat dan dah aim lama dah. Tapi sedang aku duk belek-belek, usha-usha, ngurat-nguratbuku kat kedai tu, hati aku tiba-tiba tersangkut untuk beli buku ni pulak.

Nah, ambil kau! Cuba dapatkan buku ini. Kemudian baca, layan, dan telaah. Bagi aku buku ini berbeza dengan buku-buku motivasi belajar yang lain di pasaran sebab:

1. Pengalaman- Penulis menulis berdasarkan pengalaman hidupnya. Bermula sebagai pelajar sekolah, kemudian mahasiswa, dan yang terkini sebagai seorang guru sekolah.

2. Keikhlasan- Keikhlasan penulis untuk berkongsi ilmu, pengalaman, dan cerita. Setiap ayat demi ayat yang ditulisnya dapat dirasakan keikhlasannya oleh para pembaca buku ini.

3. Kasih sayang- Ini bukan buku jiwang. Maksud aku penulis membawa pembaca buku ini seperti ada hubungan adik dengan abang, ayah dengan anak dan datuk dengan cucunya. Setiap nasihat yang diberi untuk kebaikan pembaca sendiri untuk menjadi pelajar yang lebih baik dan seterusnya membina kehidupan yang mementingkan ilmu. 








Jom Layan!

Wednesday, January 23, 2013

SIAPA INSAN YANG ANDA KAGUMI

SIAPA INSAN YANG ANDA KAGUMI


Hari ini semasa menunggu panggilan Hannan untuk masuk ke bilik doktor, isteri saya telah bercerita tentang sesuatu yang agak memeranjatkan. Tetapi bagi insan kerdil seperti saya ini ianya begitu bermakna dan saya sangat terharu dengan apa yang disampaikan oleh isteri saya tadi. Menurut isteri saya, hari ini kebetulan dia mengajar subjek fizik dan sivik untuk kelas yang sama. Semasa mengajar subjek sivik, isteri saya telah bertanya tentang insan-insan yang mereka kagumi. Seorang demi seorang ditanya sehinggalah sampai kepada pelajar yang terakhir. Jawapan yang diberikan agak memeranjatkan isteri saya kerana jawapan yang diberikan oleh pelajar itu “ orang yang saya kagumi Razali Saaran.” Lalu isteri saya berkata, “ itu suami saya. Kenapa awak kagum dengan dia? “ lalu pelajar itu berkata, “ kerana dia telah membaca buku Nota Hati Buat Pelajar yang ditulis oleh saya dan buku itu telah memberi ‘ sesuatu’ kepadanya.

Mohon maaf kerna berkongsi cerita ini. Apalah ada pada diri saya untuk dikagumi. Hanya seorang guru biasa. Cuma saya ingin mengucapkan terima kasih atas penghargaan tersebut. Saya benar-benar menghargainya. Semoga Allah memberi kejayaan kepada pelajar tersebut dalam SPM nanti.

Untuk perkongsian, saya petik kata-kata yang saya tulis dalam buku Nota Hati Buat Pelajar. Semoga memberi sedikit manfaat buat semua.


SIAPA INSAN YANG ANDA KAGUMI

Dipetik daripada buku : Nota hati Buat Pelajar, Tulisan Razali Saaran

Anda ada insan yang dikagumi? Saya sendiri mempunyai insan yang saya kagumi. Gaya percakapan dan gaya berfikir mereka banyak mempengaruhi diri saya. Tentu ada di antara anda yang membaca buku ini tertanya-tanya siapakah gerangannya insan tersebut. Tidak mengapalah, lupakan sahaja persoalan siapakah dia. Apa yang penting, siapakah insan yang anda kagumi itu?

          Sebenarnya dalam kehidupan ini manusia banyak dipengaruhi oleh orang lain. Misalnya ramai muda-mudi hari ini terpengaruh dengan gaya artis-artis pujaan mereka. Maka rambutnya, pakaiannya, cara bercakapnya, warna kegemarannya dan bermacam-macam lagi adalah berdasarkan rujukannya kepada artis pujaannya itu. Tidak kurang juga yang meminati atlet-atlet sukan. Misalnya mereka meminati pemain bola sepak dari Eropah. Maka ketika bermain bola sepak di padang, mereka akan meniru gaya permainan pemain bola sepak pujaan mereka itu.

          Seseorang individu yang diminati atau dikagumi oleh seseorang itu pasti kerana sesuatu keistimewaan atau kehebatan yang dilihat pada dirinya. Sebagaimana contoh yang saya sebutkan di atas, kerana kehebatan yang dilihat pada seorang pemain bola sepak Eropah menyebabkan ia menjadi ikutan oleh kebanyakan peminat di Malaysia. Kehebatannya itu sering disebut-sebut dan dijadikan perbandingan dengan pemain bola sepak yang lain.

Pentingkah insan-insan yang dikagumi ini dalam kehidupanmu

Saya percaya ia  begitu penting kepada insan yang ingin mencapai kejayaan dalam hidupnya. Apatah lagi insan-insan seperti anda yang masih belajar. Dengan adanya insan yang dikagumi akan membolehkan anda menjadikannya sebagai sumber inspirasi untuk anda menuju kejayaan yang ingin dicapai. Misalnya anda ingin bergelar seorang pelajar yang cemerlang dalam SPM, maka nama hebat seperti Nik Nur Madihah binti Nik Mohamad Kamal adalah insan terbaik bagi dijadikan contoh dan sumber inspirasi kerana beliau telah berjaya mendapat keputusan yang cemerlang dalam SPM 2008. Ataupun sekiranya anda ingin bergelar seorang usahawan berjaya, maka nama besar seperti Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bhukari adalah contoh terbaik untuk anda. Namun sekiranya anda ingin bergelar seorang guru, perhatikanlah sahaja guru-gurumu di sekolah dan nilailah dengan mata hatimu, siapakah di antara mereka yang layak menjadi ikutan untuk anda kelak apabila bergelar seorang pendidik.




Tiada Insan yang boleh dikagumi?

Saya percaya ada di kalangan anda yang tidak mempunyai insan yang boleh dikagumi sebagai contoh dalam hidupnya. Pada perkiraan saya, mereka itu adalah orang yang rugi. Ini kerana tanpa mereka, bermakna anda tiada panduan bagi dijadikan perangsang ke arah kejayaan yang ingin dicapai. Anda ingin menjadi seorang yang kaya-raya, tetapi anda tidak tahu siapakah insan yang ingin anda contohi, yang memiliki kekayaan seperti yang anda impikan. Anda ingin menjadi penulis terkenal, tetapi anda tiada panduan yang boleh anda contohi hasil tulisannya. Maka dengan ini wajarlah anda memastikan dirimu juga mempunyai insan-insan yang boleh dikagumi akan kejayaannya supaya ia mampu menjadi sumber inspirasi dalam diri. Mudah-mudahan dengan melihat kejayaan demi kejayaan yang sudah dicapai oleh mereka, dapat merangsang prestasi dirimu untuk berjaya.

          Sebagai umat Islam sendiri, Rasulullah itu sendiri adalah insan yang wajib diangkat sebagai Insan yang paling dikagumi. Dalam surah al-Ahzab ayat 21, Allah SWT menyebut, “Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu terkandung suri tauladan yang terbaik untuk kamu.” Ayat itu dengan jelas menyebut, Rasulullah SAW mempunyai akhlak terbaik yang mesti dicontohi. Ayat itu juga ingin memberi tahu kepada umat Islam jadikanlah Rasulullah SAW itu sebagai contoh dan panduan kerana Baginda adalah contoh terbaik yang wajar diteladani. 

Buatlah Pilihan Terbaik!

Sebelum anda membuat keputusan bagi memilih siapakah yang wajar dijadikan panduan dalam hidupmu, elok dipastikan siapakah gerangannya mereka itu. Perhatikan baik-baik akhlaknya supaya anda tidak tersalah memilih. Jangan dipandang pada kejayaan semata-mata tanpa menilai akhlaknya yang lebih utama daripada segala-galanya. Apalah erti kejayaan mereka sedangkan tingkah lakunya  menyakitkan mata yang melihatnya. Adakah mereka yang rosak akhlaknya itu mahu diangkat sebagai contoh dalam hidupmu? Jangan adik-adikku kerana itu pilihan yang salah. Oleh itu, pilihlah yang terbaik dari aspek akhlak dan kejayaannya. Ini kerana orang berjaya bukan sekadar cemerlang dunia, tetapi cemerlang akhiratnya.

Friday, January 4, 2013

Artikel - Allah Menguji Kerana Manusia Mampu Menghadapinya ! adalah artikel saya


Artikel di bawah ini adalah hasil tulisan saya yang telah saya tulis pada 8/11/2011. saya ingin memaklumkan bahawa tulisan di bawah ini saya turut masukkan dalam buku ke-4 yang sedang saya tulis. Saya terpaksa memaklumkan kerana ada di antara blogger yang telah mengambil tulisan ini tetapi tidak dinyatakan sumber...sedangkan ia adalah hak milik terpelihara saya. Bagi yang menyatakan sumbernya terima kasih. Semoga Allah menjadikan kita insan yang amanah  dalam semua urusan termasuklah dalam urusan di alam maya ini...amin

Ini Linknya :http://teratakmuslim.blogspot.com/2011/11/allah-menguji-kerana-manusia-mampu.html  

Allah Menguji Kerana Manusia Mampu Menghadapinya !

Allah Menguji Kerana Manusia Mampu Menghadapinya !

“Dan sungguh Kami benar-benar akan menguji kamu dengan sedikit rasa takut, kelaparan, dan kekurangan harta, hilangnya jiwa, dan sedikitnya buah-buahan...
[ Surah al-Baqarah : 155 ]

Berat sungguh beban yang ditanggung oleh jiwa ibarat sebuah lori yang sedang membawa muatan yang melebihi had yang dibenarkan, merangkak-rangkak mendaki bukit. Di jalan yang rata pula bisa dikalahkan oleh kenderaan yang lebih kecil "cc" kelajuannya. Bagaimana berat rasa yang ditanggung oleh jiwa bergantung kepada tahap kemampuan seseorang menyerapnya. Apabila seseorang itu gagal menyerap beban dijiwanya akibat ujian yang sedang ditimpakan ke atasnya, makan tekanan dijiwanya akan bertambah berat. Semakin lama beban yang ditanggung itu semakin bertambah sehingga jiwanya tidak mampu menanggung lagi bebanan yang ada. Derita sungguh menanggungnya, ibarat kata pepatah, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya. Mata-mata banyak sekali yang melihatnya. Ada yang simpati, ada yang kehairanan, malah ada juga yang tidak ambil peduli. Namun, orang yang menanggungnya lebih hebat dari yang melihatnya. 

Melayan perasan kerana ujian yang sedang melanda hanya menambah beban yang ada dijiwa. Semakin dilayan, semakin hebat kesannya. Semakin derita rasa dijiwa. Rasa sedih akan menjalar disetiap pelusuk jiwanya sehingga dia merasakan dialah yang paling derita dan orang-orang disekelilingnya pasti tidak memahaminya. akhirnya menjadilah dia orang yang berputus asa kerana ketidakmampuan menanggung derita dijiwanya. 

Ya Allah, Apa yang diuji oleh-Mu adalah apa yang termampu ditanggung oleh hamba-hamba-Mu.

Sedarlah wahai manusia, Allah tidak akan membebani hamba-hambaNya melainkan apa yang termampu dihadapi oleh mereka. Sebagaimana firmannya yang bermaksud :
Allah tidak memberati ( menguji ) seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya....
[ al-Baqarah 286 ]
Malah Rasulullah SAW sendiri turut menyebut di dalam hadisnya yang bermaksud :
Satu ketika Nabi saw ditanya “Siapakah orang yang paling berat ujiannya?”. Maka Baginda menjawab: 

“Para Nabi, kemudian orang yang seperti mereka sesudahnya, dan orang semacam mereka berikutnya. Seseorang itu akan diuji sesuai dengan kadar agamanya. Apabila orang itu kuat agamanya maka semakin keras ujiannya. Kalau agamanya lemah maka dia akan diuji sesuai dengan kadar agamanya. Maka musibah dan ujian itu sentiasa menimpa seorang hamba hingga dia ditinggalkan berjalan di atas muka bumi dalam keadaan bersih dari dosa.”
{ Riwayat Imam Tirmizi }

Sesungguhnya Allah tidak akan berlaku zalim kepada hamba-Nya. Setiap yang diuji itu adalah sesuai dengan tahap kemampuan hamba-Nya. Cuma sebagai hamba, hendaklah berusaha untuk mengatasinya. Sekiranya seseorang itu tidak berusaha untuk mengahadapinya, sudah pasti mereka tidak mampu berhadapan dengan ujian yang sedang menimpanya. Sudah pasti jiwanya akan semakin lemah dan akhirnya putus asa semakin mendekatinya. Inilah yang paling ditakuti bakal menimpa seseorang manusia itu. Ya, putus asa! 

Berusahalah dan yakinlah Allah akan membantumu.

Wahai manusia, yakinlah dengan sepenuhnya bahawa Allah akan membantumu. Berusahalah dan bertawakallah kepadaNya dengan sepenuh jiwa. Pasti pertolongan Allah itu akan datang kepadamu. Tiada pergantungan yang sehebat-hebatnya melainkan meletakkan sepenuh kebergantungan itu kepada Allah semata-mata. Percayalah, makhluk tiada upaya walau sebesar zarah sekalipun untuk membantumu, melainkan Allah jualah yang berkuasa menyelesaikan masalah yang sedang dibebani olehmu itu. 

Setiap yang diuji itu semuanya baik-baik belaka.

“Sungguh mengkagumkan urusan seorang mukmin. Sesungguhnya semua urusannya adalah baik. Dan hal itu tidak akan diperoleh kecuali oleh seorang mukmin. Apabila dia mendapatkan kesenangan, maka dia bersyukur. Maka hal itu merupakan kebaikan baginya. Dan apabila dia ditimpa kesusahan maka dia bersabar. Maka itu juga merupakan kebaikan baginya.”
{ Imam Muslim}
Apabila seseorang itu telah mencapai tahap kebergantungan dan keyakinan yang sebenar-benarnya kepada Allah, maka segala ujian yang menimpanya itu akan diterima dengan redha dan kesabaran. Sekiranya datang kesedihan dalam hatinya maka bersegeralah dia beristigfar memohon keampunan kepadaNya dan akhirnya hatinya kembali tenang menerima ujian yang sedang menimpanya. Pada mereka, setiap ujian itu semuanya baik-baik belaka. 

Khabar gembira apabila diuji

RAsulullah SAW bersabda yang bermaksud :
“Tidaklah ada suatu musibah yang menimpa seorang muslim melainkan Allah akan menghapuskan dosa dengannya walaupun duri yang menusuk badannya.”
{ Imam al-Bukhari dan Muslim}

Allah berfirman yang bermaksud :
“Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.”
[al-Insyirah : 6]

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN Seperti yang kita sedia maklum, dua peperiksaan besar akan b...