Monday, February 25, 2013

Cinta Nabi, Anda Bagaimana?



Sumber Gambar : simusafirilahi.blogspot.com


Di dalam satu forum yang saya sertai, saya telah menyebut bahawa apabila seseorang itu cinta kepada seseorang, maka dia akan pergi kpada satu lagi step yang dipanggil rindu. Tidak mungkin seseorang yang cinta kepada seseorang dia hanya sekadar cinta tetapi tidak rindu. Jika tidak dapat melihat wajahnya, tidak dapat mendengar suaranya, dapat melihat gambarnya pun jadilah. Paling tidak, dapat melihat bumbung rumahnya pun itu sudah cukup memadai.

Bagitulah perumpamaannya apabila seseorang itu cinta kepada seseorang. Sehingga menyebabkan dia menjadi rindu dan tidak keruan. Agaknya betullah kata-kata orang tua ” makan tak kenyang, tidur tak lena, mandi tak basah”.  Panahan cinta benar-benar membuatkan seseorang itu hampir gila. Maka apabila seseorang itu berasa cinta kepada Nabi, maka dia juga pasti berasa rindu. Jika seseorang yang rindu sanggup berbuat apa sahaja demi melepaskan rasa rindunya, pasti seseorng yang rindu kepada Nabi akan berbuat apa sahaja demi Nabi. Tidak logik jika sekadar mengucapkan rasa rindu, tetapi hanya sekadar dibibir sahaja.

Cinta, memerlukan bukti


Sumber gambar : www.hdwallpapers.in

Andai seorang lelaki melafazkan rasa cinta kepada seorang wanita, adakah si wanita itu percaya kepada kata-katanya? Jawapannya ialah ya, jika ada buktinya. Maka si lelaki akan mengatakan dia sentiasa rindu padanya. Kerana itulah dia sentiasa menelefonnya dan ingan berjumpa. Sungguh hebat luahan cintanya, sehinggakan katanya lagi, lautan cinta sanggup direnanginya sehinggakan si wanita terpedaya dengan  kata-kanyanya walaupun lautan biasapun dia tidak mampu menyeberanginya.


Jika seseorang itu mengatakan dia cinta kepada Nabi, apakah pula buktinya? Mudah sahaja jawapannya. Jika benar cinta kepada Nabi, buktikanlah dengan kerinduan yang mendalam kepada Baginda. Orang yang rindu, pasti menyebut-nyebut nama orang yang dirinduinya. Maka sebutlah selalu nama Baginda di dalam selawatnya yang mulia setiap hari. Istiqamahkanlah diri, sekurang-kurangnnya 10 kali sehari. Walaupun itu terlalu sedikit, jadilah. Daripada menyebut beratus kali, tetapi itulah sekali sahaja. Kemudian, lakukanlah apa yang Nabi suruh dan tinggalkan apa yang dilarangnya. Serta, berusahalah melakukan amalan-amalan sunat yang biasa Nabi lakukan seperti berpuasa, solat malam dan solat dhuha, bersedekah dan banyak lagi. Sekurang-kurangnya adalah satu amalan sunnah yang diamalkan yang mana bersumberkan daripada Baginda SAW dan amalkanlah tanpa putus semampunya. Mudah-mudahan ia mampu menjadi bukti dan tanda cinta dan kasih kepada Baginda.

Sekian sahaja, semoga nota rinkas buat hati ini memberi nilai dan manfaat kepada semua. Wallahua’lam

Cinta Nabi, Rindu Nabi


Saturday, February 16, 2013

AKAUN AMALAN KITA


Sumber gambar : www.images.redcrescent.multiply.com

Setelah hampir 9 tahun mengajar subjek perakaunan bagi pelajar tingkatan 4,5 dan pra-u, saya ingin kongsikan sesuatu yang menakjubkan..

Bagi yang ada asas akaun, tentu faham konsep debit dan kredit dalam catatan bergu..Bagi belanja seperti sewa, kadar bayaran ( bil air dan elektrik), gaji, insurans dan lain-lain lagi, apabila bertambah mesti didebitkan. 
Bagi hasil pula  seperti jualan, komisen diterima, sewa diterima atau apa sahaja, jika bertambah akan dikreditkan..

Kemudian daripada belanja dan hasil kita dapat tentukan untung atau rugi bagi  perniagaan..Jika hasil melebihi belanja, maka perniagaan dikatakan beroleh untung dan sekiranya belanja melebihi hasil, perniagaan dikatakan mengalami kerugian. Lebih kurang begitulah asas mudah yang boleh saya kongsikan. Kerana itulah jika kita perhatikan syarikat yang mengalami kemerosotan dalam keuntungannya kerana belanja operasi yang terlalu tinggi. Maka untuk meningkatkan kadar keuntungan atau keluar daripada kerugian, syarikat perlu mengurangkan belanja atau menghapuskan belanja yang tidak diperlukan. Misalnya, pekerja-pekerja dibahagian tertentu dikurangkan jumlahnya. Pengurangan tersebut membolehkan syarikat mengurangkan kadar belanja bagi gaji. Ataupun diwaktu rehat, semua komputer, lampu dan penghawa dingin di padamkan. Hanya tempat tertentu sahaja dibenarkan untuk mengelakkan pembaziran tenaga elektrik. Dengan pengurangan kadar belanja-belanja ini, membolehkan akaun hasil melebihi akaun belanja dan seterusnya membolehkan syarikat beroleh keuntungan atau menambah keuntungan yang sedia ada di masa hadapan. 

Sekarang, mari kita lihat apa sebenarnya yang saya ingin perkatakan..semua orang tahu, apabila kita melakukan dosa ia akan dicatat disebelah kiri dan jika kita melakukan kebaikan dicatat disebelah kanan..Jika kita perhatikan, debit duduknya disebelah kiri akaun dan kredit disebelah kanan akaun..Sungguh cantik sekali..Jika perniagaan dikatakan memperoleh keuntungan apabila  hasil melebihi belanja, manusia juga beroleh keuntungan di akhirat kelak  jika pahala melebihi dosa..

Mudah-mudahan akaun amalan kita lebih banyak disebelah kredit berbnding debit supaya kita beroleh keuntungan di sana nanti...insya-Allah..

maaf jika tulisan ini banyak kekurangan dan kelemahannya. Mungkin juga ada kesilapannya. Semoga Allah memberi keampunan kepada saya atas kelemahan dan kesilapan yang dilakukan. Sekadar berkongsi..Wallahua'lam..

Friday, February 1, 2013

Asertif Vs Agresif

Arsetif ( tegas pada diri sendiri ) VS agresif

Sangat menarik untuk diperdebatkan...

Orang positif = asertif diri - berani menyatakan kebenaran, dalam masa yang sama menjaga hubungan yang baik. Menyampaikan hak diri sendiri dengan penuh ketegasan tetapi bersopan...Contohnya apabila menolak kerja yang baru diberikan kerana beban kerja yang ada masih belum selesai...Menolak dengan baik, tetapi tegas dan orang faham situasi anda dan mereka menerimanya dengan tenang.



Sumber gambar : http://arbeitsblaetter.stangl-taller.at/KOMMUNIKATION/Konfliktmanagement.shtml

Orang negatif = tiada asertif diri @ mungkin agresif diri. Sanggup menerima sesuatu yang tidak disukai@mampu dilaksanakan kerana hendak menjaga hati orang lain, sedangkan jiwanya tersiksa.
Orang yang agresif, mungkin menyatakan pendiriannya, ketegasan hatinya, tetapi dalam situasi penuh ketegangan, hanya hendak menang dan akhirnya masalah dapat diselesaikan. tetapi banyak hati yang terguris dan terluka.

Anda bagaimana?

Forum Maulidurrasul : Cinta Rasulullah

Rasulullah SAW, Insan Tauladan Sepanjang Zaman

Alhamdulillah, pada 30 Januari yang lalu saya telah diberi kesempatan untuk menjadi panel bagi forum sempena maulud Nabi SAW. Walaupun saya tahu saya tidak layak untuk bercakap kerana saya bukan daripada bidang agama, tetapi peluang yang diberikan saya terima juga sebagai tanda cinta saya kepada Baginda Rasulullah SAW. Alhamdulillah, daripada respon audiens, saya berpandangan mesejnya sampai. Terima kasih kerana sudi memberi peluang dan sudi mendengar.

Bergambar kenangan bersama Ahli panel ustaz fadzli dan moderator, ustazah madihah

MESYUARAT BERKESAN

Alhamdulillah, dapat juga menulis sedikit untuk perkongsian bersama. Sedikit panduan mesyuarat berkesan. Ini bukanlah panduan yang lengkap, sekadar pandangan untuk membuka minda sahaja. semoga memberi sedikit manfaat buat semua.

Sumber Gambar : http://www.darienctchamber.com/civicrm/event/info?reset=1&id=27

Oleh : Razali Saaran

Beberapa ciri mesyuarat berkesan :

  1. Cukup ahli-ahlinya ( Pengerusi, s/u, ajak, dan pihak-pihak yang difikirkan perlu)
  2. Agenda mesyuaratnya jelas dan tersusun mengikut keutamaan.
  3. Tempoh masa tidak melebihi dua jam. Sekiranya agendanya terlalu banyak dan dibimbangi akan melebihi dua jam, eloklah diutamakan agenda yang paling penting dahulu. Agenda-agenda lain boleh disambung dalam mesyuarat akan datang dengan persetujuan ahli mesyuarat. Sepatutnya pengerusi tidak menggunakan kuasa vetonya. Amalkanlah semangat kerja berpasukan dan meminta terlebih dahulu pandangan ahli mesyuarat. Keadaan itu dilihat lebih mesra organisasi dan pengerusi akan lebih dihormati.
  4. Elakkan bercakap perkara yang di luar agenda. Contohnya jika agenda yang dibincangkan berkaitan dengan projek A, tidak perlulah ditanya tentang projek B dan C. Ini kerana akan menyebabkan waktu mesyuarat akan menjadi panjang dan lari daripada matlamat mesyuarat. Sedangkan tujuan menyuarat untuk memantau perkembangan atau berbincang dan menyelesaikan sesuatu permasalahan. Bukan membangkitkan persoalan yang lain daripada agenda yang telah ditetapkan.
  5. Pengerusi perlu menggalakkan sesi percambahan idea dalam mesyuarat. Jika hanya sehala, itu bukan dipanggil mesyuarat. Itu taklimat!
  6. Elakkan membuat keputusan seorang diri. Ini kerana tujuan mesyuarat untuk mendapat keputusan majoriti ataupun suara ramai. Jika keputusan dibuat seorang diri dan ahli mesyuarat hanya mengangguk kepala sahaja, lebih baik tidak memanggil mesyuarat. Cukup dipanggil taklimat untuk perlaksanaan. Tidak membuang masa dan tidak menyakitkan hati ahli mesyuarat yang terpaksa berada berjam-jam dalam bilik mesyuarat, sedangkan keputusannya telah ditetapkan dan wajib diterima.
  7. Seorang pengerusi perlu memahami apa tujuan mesyuarat dipanggil dan mempunyai maklumat yang lengkap untuk dibentangkan. Pengerusi juga perlu belajar mengawal mesyuarat supaya perbincangan berada di atas landasan agenda yang telah ditetapkan. Janganlah pengerusi ” syok ” sendiri ketika mempengerusikan mesyuarat. Kegagalan menguruskan mesyuarat adalah satu tanda kegagalan seseorang pemimpin itu dalam mentadbir organisasinya. Jadilah pengerusi yang bersedia menerima teguran dan kritikan dengan hati terbuka. Jika ada perkara yang hendak ditegur, berhikmahlah dan elakkan membuat teguran khusus kepada individu tertentu. Jika ada teguran bersifat peribadi, tegurlah di bilik anda bukan di bilik mesyuarat. Teguran secara terbuka adalah sudah memadai kerana ’ siapa yang makan cili pasti terasa pedasnya’.
  8. Akhir sekali, jangan dilupa ucapan terima kasih pada yang telah melaksanakan tugasan mengikut perancangan. Itu adalah motivasi terbaik untuk ahli organisasi terus berbakti dengan penuh semangat dan tunjukkan keprihatinan pada ahli organisasi yang memerlukan bantuan jika wujud permasalahan dalam tugasan yang sedang dilaksanakan.

Wallahu’lam





TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN Seperti yang kita sedia maklum, dua peperiksaan besar akan b...