Friday, July 4, 2014

Memahami Itu lebih Sukar Daripada Memahamkan

Apabila saya menerangkan sesuatu kepada pelajar, saya merasakan adakalanya mereka sukar memahami apa yang saya cuba sedang sampaikan... Tetapi saya teruskan juga mengajar kerana tuntutan masa yang terpaksa dipenuhi. Dalam fikiran saya, Insya-Allah, apabila latihan diberi nanti, para pelajar yang masih sukar memahami akan mula memahami apa sebenarnya yang patut mereka buat apabila soalan berkaitan tajuk tersebut ditanya dalam peperiksaan. 

Dalam kehidupan ini, perkara yang sering menjadi persoalan diminda ialah mengapa mereka tidak boleh memahami apa yang sedang kita perkatakan atau lakukan. Kita selalu bertanya mengapa mereka tidak boleh menerima keadaan diri kita. Sebenarnya, persoalan berkaitan memahami ini adalah persoalan yang sukar untuk diterjemahkan. Ya, kita biasanya mudah memahamkan orang, tetapi amat sukar untuk memahami orang lain. Konflik kepentingan diri menjadikan kita lebih mudah mengatakan mengapa mereka tidak mahu memahami? Sedangkan kita sendiri sukar untuk memahami orang lain. Kita boleh memahamkan orang lain tentang situasi diri kita, tetapi begitu sukar memahami keadaan orang lain. 

Misalnya, 

Guru A mengajar di dalam kelas. Dia menerangkan kepada pelajarnya tentang aset dan liabiliti. Dia menerangkan dengan baik sekali beserta contoh yang relevan dengan tujuan untuk memahamkan pelajarnya. Akan tetapi dia melihat ada sekelompok pelajar yang tidak begitu faham akan penerangan yang diberi. Namun begitu Guru A teruskan juga mengajar kerana memikirkan satu hari nanti mereka juga akan memahami. 

Dalam contoh di atas, kita dapat melihat untuk memahamkan orang adalah sesuatu yang lebih mudah berbanding memahami. Ya, memahamkan orang tidak semestinya perlu kepada situasi di mana semua orang akan faham. Tetapi untuk memahami keadaan pelajar yang tidak memahami itu adalah lebih sukar... Ya, mengapa mereka tidak faham. Salah gurukah? Atau pelajar tersebut agak perlahan kotak pemahamannya.. 

Dalam kehidupan seharian, keadaan ini lebih parah. Memahami keadaan orang lain semakin diabaikan, sebaliknya mengharapkan orang lain memahami dirinya menjadi keutamaan. Puncanya kerana sikap mementingkan diri sendiri lebih utama berbanding memikirkan keperluan orang lain. Jika Si A memandu lalu kerana ingin cepat balik berbuka, Si B pula marah kerana memotong keretanya yang juga dipandu secara laju. Hatinya berkata, " mengapakah dia memandu begitu, orang lain pun nak berbuka juga," dalam keadaan gaya pemanduannya juga sama seperti Si A....Lalu Si B menceritakan kejadian tersebut kepada sahabatnya di pejabat pada keesokan harinya. Sahabatnya menganggukkan kepala tanda faham. Tapi dalam hatinya berkata, SI A dan Si B sama sahaja... 

Benarlah, memahamkan orang lebih mudah berbanding memahami.... Jika Si B memahami, pasti hatinya berkata, Si A nak cepat balik ke rumah kerana ingin membantu isterinya yang juga bekerja menyediakan juadah berbuka... Ataupun mungkin Si A ada hal kecemasan yang memerlukan dia memandu sedemikian rupa... Nah, nampaknya sikap cuba memahami melahirkan sangkaan baik juga rupanya, selain dapat mengatasi sikap mementingkan diri dan berburuk sangka...

Santai - Santai Sahaja

Razali Saaran  
7 Ramadhan 1435 Hijrah

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN Seperti yang kita sedia maklum, dua peperiksaan besar akan b...