Thursday, July 19, 2018

KETUA YANG DIRINDUI

Ketua Yang Dirindui

Kata Saidina Ali r.a, “ Pergaulilah manusia dengan pergaulan yang apabila kamu meninggal dunia mereka menangisimu dan jika kamu hidup mereka menyayangimu ”.

Sebagai ketua, kata-kata ini tentunya motivasi terbaik buat kita untuk menilai diri sama ada kita ini nanti akan dirindui atau tidak. Jika kita tidak mati sekalipun, setelah kita bertukar atau pencen, adakah kita ini adalah ketua yang akan dikenang dan dirindui atas kebaikan yang kita buat ke atas orang di bawah kita. Persoalan ini sepatutnya sering bermain-main di minda kita agar ia menjadi penyuluh dalam hati kita untuk melakukan sesuatu tindakan dengan cara yang baik.
Sebagai ketua, tiada siapa yang boleh lari dari melakukan kesilapan kerana ketua itu juga adalah manusia. Namun ketua harus belajar memperbaiki kelemahan yang ada dan berusaha untuk melakukan sesuatu itu dengan neraca yang  benar. Seseorang ketua banyak pertimbangannya dan jangan sesekali bertindak secara melulu tanpa berfikir dan menilai secara menyeluruh. Kaedahnya, ketua tidak akan mampu memuaskan hati semua orang. Tetapi ketua mesti dilihat adil dan amanah dalam tingkahlakunya.

Seorang ketua juga harus mendidik dirinya untuk mendengar terlebih dahulu sebelum keputusan dibuat. Jika ada orang bawahan yang melakukan kesalahan, berilah peluang kepadanya untuk menjelaskan. Janganlah menghukum dahulu sebelum mendengar terlebih dahulu. Jauhi sentiment negative pada mereka dan berlaku adillah. Jika ada antara orang bawahan yang sedang berkonflik, panggillah mereka dan dengarlah penjelasan daripada keduanya. Janganlah kerana ada perasaan yang lebih baik terhadap salah seorang daripada mereka, kita lebih cenderung kepada yang lebih dekat dengan hati kita itu. Jika ada yang menegur kita atas sesuatu perkara, janganlah menakutkannya. Biarkan mereka bercakap dan berlapang dadalah. Sesungguhnya kritikan itu amat berat kesan pada hati, tetapi menerimanya dengan lapang dada adalah ketinggian akhlak buat seseorang ketua.  Jika ada yang memberi idea, dengarlah dan responlah dengan baik sebagai tanda menghargai. Sesuatu idea itu tidak semestinya diterima, tetapi bagaimana kita menerimanya akan memberi kesan kepada orang di bawah kita. Jika ada yang sedang kesulitan, berilah kata-kata semangat dan mudahkan urusan mereka untuk menyelesaikannya. Mereka itu tidak minta untuk mendapat kesusahan tersebut, tetapi itu adalah ketetapan-Nya. Sebagai ketua yang memahami akan erti ujian dalam hidup pasti memahami apakah cara terbaik untuk menyantuni mereka yang sedang dalam kesulitan.
·       
           *  Ketua ini mungkin di peringkat bawahan, pertengahan atau di peringkat atasan. Di mana pun peringkatnya, setiap tindakan ada kesannya kepada dirinya dan orang lain.

Razali Saaran
Guru biasa aje 

Wednesday, July 18, 2018

Tiga sikap yang wajar dijauhi oleh guru

Tiga  sikap yang wajar dijauhi oleh guru

1.       Suka mengkritik

Antara sikap yang kita suka amalkan ialah mengkritik orang lain. Tidak salah mengkritik, tetapi bukanlah setiap perkara itu perlu dikritik oleh kita. Ada ketikanya kita perlu berdiam diri dan meraikan kekurangan yang ada selagi mana kekurangan itu tidak mencacatkan asas utama sesuatu perkara. Misalnya seorang guru diberi tugas menyiapkan tempat makan VIP. Kita yang melihat warna alas meja kurang sesuai menegur dengan nada yang bunyinya seperti rakan kita itu telah melakukan kesalahan yang besar. Sedangkan pilihan warna itu bukanlah sesuatu yang besar isunya dan perkara itu boleh sahaja didiamkan dan menerima kekurangan tersebut.

2.       Sentiasa mahu menang apabila berhujah

Ini juga sikap yang kita wajar jauhi. Tidak salah mahu menang, tetapi janganlah sampai kita ini sentiasa mahu menang dalam hal yang salah. Bahkan, tidak salah juga kita mengalah pada perkara yang kita lebih berhak menang kerana itu tanda kerendahan hati. Misalnya seorang guru tidak mahu menerima pandangan rakannya bagi menukar cara pelaksanaan hukuman terhadap pelajar kerana dibimbangi akan menyebabkan guru itu bertindak di luar batasan. Setiap kali ditegur, ada sahaja hujah balasnya sehinggakan rakan-rakan  jadi malas untuk menegurnya lagi.

Sikap ini, jika kita sering amalkannya, tidak mustahil, satu hari orang jadi muak dengan sikap kita. Malah ada yang akan mengatakan, tidak perlu cakap apa-apa dengan dia, sebab asyik nak menang sahaja.

3.       Suka mengelak kerja

Ini juga pengakit yang sering menimpa kita. Apabila diberi tugas, cepat sahaja kita mencari jalan untuk mengelaknya. Ada sahaja alasan yang dicipta demi mencapai matlamat diri iaitu untuk mengelak kerja. Jika tidak berjaya di satu peringkat, kita sanggup ke peringkat yang lain untuk mengadu bahawa diri ini sudah banyak kerja dan minta diberikan kepada orang lain. Akhirnya, tiadalah kerja yang kita ada, melainkan kerja-kerja asas yang orang lain juga turut melaksanakannya. Misalnya, seorang guru bertemu dengan setiausaha program agar ditukar namanya dengan nama orang lain. Alasan yang diberi ialah dia ada banyak kerja yang perlu disiapkan. Apabila permintaannya ditolak, dia bertemu pula dengan pihak atasan untuk merayu. Akhirnya, guru lain terpaksa mengambil tugasnya. 

Tuesday, July 10, 2018

Sikap Yang Perlu Dijauhi Oleh Guru

Sikap Yang Perlu Dijauhi Oleh Guru

1. Tidak ambil kisah dengan tugasan berkumpulan

Antara sikap yang kita perlu jauhi ialah, tidak ambil kisah dengan urusan kerja yang melibatkan jumlah yang ramai. Misalnya waktu kokurikulum, kita sengaja melengah-lengahkan diri turun ke dataran perhimpunan. Apabila selesai sahaja kedatangan diambil, barulah kita memunculkan diri. Sikap yang berulang-ulang ini menunjukkan ia bukanlah disebabkan situasi tertentu yang menyebabkan kita lewat. Tetapi ia sikap yang disengajakan. Sikap yang tidak baik ini sebenarnya telah menyebabkan orang lain rasa tertekan dan dizalimi.

2. Bersungguh-sungguh dalam urusan kerjanya, tetapi terlalu berkira dengan urusan orang lain

Kadang-kadang kita juga sangat menjaga hak diri sendiri. Setiap urusan atau aktiviti yang melibatkan diri sendiri, dijaga dan dipastikan terlaksana dengan baik. Namun, apabila melibatkan orang lain, sikap kita adalah sebaliknya. Misalnya, dalam program tertentu, di mana kita terlibat dalam AJK makanan. Semasa program berjalan, kita tidak membantu apa yang sepatutnya. Jika membantu sekalipun, hanya cincai sahaja. Kemudiannya, kita menghilangkan diri tanpa segan silu. Kesan akhirnya, jumlah AJK semakin kecil dan beban kerja semakin membesar.

3. Tidak mengagih tugas secara adil

Ada juga kita perhatikan, tugasan kerja itu tidak dibuat secara adil. Mereka yang rapat dengan kita, atau golongan yang tertentu, tugasannya kadangkala lebih mudah. Manakala orang lain, diberikannya tugas yang berat. Misalnya kita diberi jawatan menyusun jadual. Rakan-rakan baik kita diberi kelas depan atau tidak diberi kelas langsung. Manakala orang lain kita mengagihnya mengikut sesedap rasa kita tanpa kita membuat penilaian yang seadilnya. Kesannya, beban kerja orang lain semakin bertambah dan emosi jadi terganggu.

4. Terlalu berkira dengan tugas

Satu lagi sikap yang kita wajar jauhi ialah terlalu berkira dengan tugas. Seandainya kita sudah terlalu terbeban, wajarlah kita berkira dan meminta dipertimbangkan untuk dikurangkan tugasan yang ada. Namun jika kita ini sepanjang masa berkira dengan tugas, sehingga sanggup berjumpa dengan pihak atasan untuk mengelak tugas tersebut, akhirnya kita sedang bertindak menambah beban ke atas guru lain.

Razali Saaran
Guru Biasa Aje..

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN Seperti yang kita sedia maklum, dua peperiksaan besar akan b...