Monday, November 24, 2008

Biodata Imam Bukhari dan Muslim

Oleh ibnu hazam dan alitantawi

Biodata Imam Bukhari

- Nama penuh beliau ialah Muhammad Ibn Ismail bin Ibrahim Ibn al-Mughirah al-Ju’fi, al-Bukhari. Gelarannya ialah Abu Abdillah.

- Dilahirkan dalam keadaan yatim di Bukhara (Uzbekistan) pada tahun 194 Hijrah. Bapanya merupakan salah seorang ahli hadith yang pernah berguru dengan Imam Malik (179H) dan juga Abdullah Ibn al-Mubarak (181H).



- Mula merantau mencari ilmu pada 210 hijrah ke seluruh pusat-pusat ilmu pada waktu itu seperti Mekah, Khurasan, Iraq, Mesir dan Syria.

- Beliau terkenal dengan hafazan yang begitu kuat dan mantap. Ketika ditanya tentang rahsia ingatan yang kuat, beliau menyebut bahawa rahsianya ialah keinginan yang kuat serta sentiasa mengulang-ulang maklumat yang dihafaz.

- Beliau mempunyai ramai guru dan murid. Di antara gurunya yang terkenal ialah Ali Ibn al-Madini (234H), Ahmad Ibn Hanbal (241H), Yahya Ibn Ma’in (233H) dan Ishaq Ibn Rahuyah/Rahawaih (238H).

- Di antaranya muridnya yang terkenal ialah Imam Muslim (256H), Imam atTirmizi (279H) dan lain-lain lagi.

- Di antara buku beliau ialah al-Jami’ al-Musnad al-Sahih atau lebih popular dengan nama Sahih al-Bukhari, al-Tarikh al-Kabir (biodata periwayat hadith), al-Adab al-Mufrad (hadith-hadith tentang adab dan akhlak) serta lain-lain lagi.

- Hampir kesemua ahli hadith pada zaman beliau telah menobatkan beliau sebagai seorang ahli hadith yang hebat dan dipercayai. Namanya terkenal di seluruh negara Islam.

- Di antara kehebatannya ialah beliau mewarisi kehebatan guru-gurunya dalam kemampuannya untuk menilai dan menapis hadith bagi membezakan antara yang sahih dan yang tidak.

- Salah seorang gurunya iaitu Muhammad Ibn Bassyar menganggap al-Bukhari sebagai salah seorang daripada 4 pakar hadith terbaik pada waktu itu bersama-sama dengan Muslim, Abu Zur’ah dan juga al-Darimi.

- Imam Muslim pernah berkata kepada al-Bukhari: Aku bersaksi bahawa tidak ada di dunia ini seseorang seperti kamu.

- Beliau bukan sekadar hebat dalam bidang ilmu sahaja, namun beliau juga adalah seorang tentera yang mahir terutama dalam memanah. Bentuk tubuh badan beliau digambarkan sebagai seorang yang kuat dan sasa oleh sesiapa yang mengenalinya.

- Oleh kerana kehebatannya didalam ilmu hadith, terdapat sebahagian daripada masyarakat pada zaman beliau yang merasa dengki lalu melakukan pelbagai tuduhan yang tidak benar terhadap peribadinya.

- Akhirnya, beliau wafat di sebuah kampung di Samarqand pada 256 Hijrah.



Sumber rujukan:

1- Syarh ’Ilal al-Tirmidzi – Ibn Rajab al-Hanbali.

2- Hayat al-Bukhari – Syeikh Jamaluddin al-Qasimi.

3- Manhaj al-Bukhari Fi Tashih al-Ahadith wa Ta’liliha – Dr. Abu Bakr Kafi.

4- Muqaddimah analisis buku al-Ilzamat wa al-Tatabbu’ – Syeikh Muqbil al-Wadi’e.

5- Manhaj al-Muhaddithin – Dr. Sa’d al-Humayyid.

6- Masodir al-Sunnah wa Manahijuha – Dr. Hatim al-Syarif.

7- Manhaj al-Naqd Fi Ulum al-Hadith – Dr. Nuruddin Itr.


Biodata Imam Muslim

Nama penuh beliau ialah Muslim Ibn al-Hajjaj al-Qusyairi al-Naisaburi. Digelar Abu al-Husain.

- Lahir di Naisabur (salah sebuah tempat di Iran) pada tahun 206 Hijrah.

- Mula menuntut ilmu khususnya dalam bidang hadith ketika umurnya belasan tahun.




- Merantau jauh dalam perjalanan menuntut ilmu khususnya hadith.

- Beliau mempelajari ilmu daripada ramai guru. Di antara guru-gurunya yang terkenal ialah Ahmad Ibn Hanbal, al-Bukhari, Ishaq Ibn Rahuyah / Rahawaih, Abu Hatim al-Razi, Abu Zur’ah, al-Darimi dan lain-lain lagi.

- Beliau juga mempunyai ramai pelajar-pelajar yang datang dari segenap tempat untuk menuntut ilmu daripadanya. Di antara pelajar-pelajarnya yang terkenal ialah al-Tirmidzi dan Ibn Khuzaimah.

- Beliau dipuji oleh ramai ulama termasuklah guru-gurunya sendiri seperti Ishaq Ibn Rahuyah yang menyatakan kekagumannya terhadap Imam Muslim sejak beliau masih menjadi penuntut lagi.

- Salah seorang gurunya bernama Muhammad Ibn Basyar telah menyenaraikannya sebagai salah seorang daripada empat ’Hafiz’ dalam hadith. Mereka ialah – al-Bukhari, Abu Zur’ah, al-Darimi dan Muslim. Ketiga-tiga pakar hadith yang disebut bersamanya (al-Bukhari, Abu Zur’ah dan al-Darimi) juga sebenarnya adalah guru-guru Muslim. Ini jelas menunjukkan kehebatan beliau walaupun masih bergelar ‘penuntut’ ilmu hadith.

- Setelah merantau ke pelbagai tempat dan menulis lebih kurang 300 000 hadith (termasuk kata-kata sahabat dan tabiin), beliau kembali ke tanah airnya dan memulakan penulisan buku Sahih Muslim pada tahun 235H dan selesai menulisnya pada tahun 250H.

- Selain buku Sahih Muslim, beliau turut mengarang buku-buku lain dan antara yang masih kekal dicetak pada masa kini adalah seperti buku al-Tamyiiz yang mengumpulkan hadith-hadith yang dhaif dan cara ulama hadith salaf mengenal pasti kedhaifan pada hadith, al-Kuna wa al-Asma’, al-Munfaridat wa al-Wihdan dan lain-lain lagi.

- Beliau merupakan seorang ahli perniagaan dan mempunyai ladang yang menjadi sumber pendapatannya untuk menuntut ilmu.

- Meninggal pada tahun 261H. Semoga Allah merahmati beliau.



Sumber rujukan:

1- Syarh ’Ilal al-Tirmidzi – Ibn Rajab al-Hanbali.

2- Muqaddimah analisis buku al-Ilzamat wa al-Tatabbu’ – Syeikh Muqbil al-Wadi’e.

3- Manhaj al-Muhaddithin – Dr. Sa’d al-Humayyid.

4- Masodir al-Sunnah wa Manahijuha – Dr. Hatim al-Syarif.

5- Al-Ta’rif Bi al-Imam Muslim wa Kitabihi al-Sahih – Dr. Abd. Rahman al-Sudais




No comments:

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN Seperti yang kita sedia maklum, dua peperiksaan besar akan b...