Tuesday, February 16, 2016

Cikgu, La TahZan

Bila mendengar seseorang meluahkan sesuatu, saya sebenarnya sedang memproses segala maklumat yang masuk ke dalam kotak fikiran saya untuk dirumuskan. Jika saya tidak mampu berfikir secara rasional, mungkin saya juga akan ikut emosional atau turut melenting atau turut sedih yang melampau-lampau dengan kesedihan yang sedang ditanggung oleh mereka. Ya, saya mesti tenang mendengar dan memproses. Selepas itu baru saya akan bertindak balas dengan cara yang terbaik mengikut kemampuan saya yang serba kekurangan ini.

La Tahzan, Cikgu..

Sabar cikgu. Inilah kerjaya kita. Bila kita memasuki bidang ini, inilah antara perkara-perkara yang perlu dihadam biarpun rasa terbeban. 

Tapi Cikgu... Saya....

Beginilah cikgu, saya faham bagaimana bebanan di hati cikgu. Tetapi adakah dengan cara itu cikgu sedang membantu diri sendiri? Atau cikgu sedang menyiksa diri sendiri? 

Bersabarlah cikgu... Allah sedang menguji cikgu. Tidak ada manusia yang tidak diuji dan kita semua sedang melalui ujian-ujian yang sama atau berbeza-beza... Yang membezakan kita ialah sejauh mana kita sabar, reda dan bersangka baik dengan Allah...

Adakah kita mengira bahawa Allah tidak tahu akan penderitaan yang sedang ditanggung oleh hambaNya? Adakah kita mengira Allah tidak tahu bila masa yang sesuai untuk memberi khabar gembira kepada hambaNya? 

La Tahzan Cikgu... La Tahzan...

Tadahkanlah tanganmu.. Ayuh... Ayuh... Berdoalah dengan sebenar-benar pengharapan... Dan letakkan keyakinan yang sepenuhnya kepada Allah dan yakinlah bila sampai masa yang sesuai buat cikgu, segalanya akan selesai. Mintalah kepada Allah agar diberikan jalan yang terbaik kerana hanya Allah Yang Maha Mengetahui sedang makhluk tidak mengetahui walau sedikit pun. Ingat, sangkaan-sangkaan itu hanya menambah beban di hati.  

Monday, February 15, 2016

Mengajar Itu Terapi Jika..................

Saya suka mengajar. Bila mengajar saya dapat bercakap, dapat meluahkan apa yang terpendam di hati.Dengan mengaitkan isi pengajaran dengan situasi semasa, pembelajaran itu terasa begitu bermakna. 

Anda bagaimana?


Mengajar itu terapi...

Bila mana kita mengajar , setiap baris ayat yang disampaikan itu mampu menjadi terapi buat hati kita. Saat kita seronok menyampaikan, ia memberi kesan baik pada hati. Ya, kegembiraan memberi kesegaran pada hati kita. Fikiran jadi lapang dan kita rasa bersemangat... Itulah terapi yang kita mungkin peroleh daripada pengajaran kita. Kegembiran adalah aset yang terbaik buat hati kita...

Namun, adakala mengajar itu menjadi musibah buat hati ketika mana kita mengajar tidak sepenuh hati. Kita jadi gelisah semasa mengajar dan pelajar pula gelisah ketika belajar. Akhirnya, mengajar tidak lagi menjadi terapi. Mungkin kata-kata yang negatif akan terbit dari mulut kita kerana mengajar sudah menjadi satu beban buat kita. Bukan lagi terapi buat hati yang dapat melonggarkan perasaan melalui kata-kata dan ilmu yang kita sampaikan kepada pelajar kita...





Sekolah Baharu... Jauhnya... Tapi Damai

Assalamualaikum...

Alhamdulillah, kerana hari ini dapatlah saya menulis semula di blog ini setelah membiarkannya lebih kurang setahun tanpa sebarang perkongsian. Kekangan masa menyiapkan tesis menyebabkan saya terpaksa melupakan sementara beberapa perkara yang saya sangat suka lakukannya, termasuklah menulis di blog dan menulis buku yang baharu. Namun hari ini saya dapat menulis semula...

Untuk perkongsian yang pertama untuk tahun 2016 ini saya sekadar ingin berkongsi tentang tempat kerja saya yang baharu... Jika dahulu saya mengajar di Seremban, jaraknya lebih kurang 10 KM daripada rumah, tahun ini saya mula mengajar semula di sekolah yang baharu yang jaraknya lebih kurng 40 KM sehala..

Jauhnya! Itulah yang ramai orang fikirkan... Dan saya juga begitu pada permulaannya. Tetapi setelah sampai di sini, jarak tidak lagi menjadi perkiraan... Alhamdulillah, suasana kerjanya sangat mendamaikan dengan rakan sekerja yang baharu dan sempoi... Orang lama, tapi sangat baik dan membantu...

Jika sebelum ini mengajar Perakaunan Pra U, kali ini saya ajar pengajian perniagaan Pra U... Alhamdulillah, masih dalam bidang dan aliran yang sama. Hambe suka bangat....


Sekian sahaja.....


Tuesday, November 25, 2014

Kaedah Bersoal Jawab, Aplikasi Daripada Kaedah Pengajaran Nabi SAW

Antara kaedah yang digunakan oleh Baginda SAW semasa menyampaikan ilmunya ialah melalui soal jawab..... Contohnya seperti hadis di bawah ini....

Abu Umamah al-Bahili meriwayatkan :
Sesungguhnya seorang pemuda datang kepada Rasulullah saw dan berkata : Wahai Rasulullah saw : Izinkan aku berzina. Maka tampil kaum untuk menghalangnya dan mereka berkata : biarkan biarkan ( aku memukulnya). Nabi saw bersabda : Dekatkan dia kepadaku maka dia pun menghampiri dan duduk dekat Nabi saw.
Nabi saw bersabda : Adakah kamu suka orang lain berzina dengan ibumu?. Pemuda itu menjawab : Tidak. Demi Allah,semoga Allah menjadikan aku sebagai tebusanmu. Nabi bersabda : Tiada manusia yang menyukai itu berlaku kepada ibu-ibu mereka.
Nabi saw bersabda : Adakah kamu mahu itu berlaku kepada anak perempuanmu?. Pemuda itu menjawab : Tidak. Demi Allah wahai Rasulullah ,semoga Allah menjadikan aku sebagai tebusanmu. Nabi bersabda : Tiada manusia yang menyukai itu berlaku kepada anak-anak perempuan mereka.
Nabi saw bersabda : Adakah kamu mahu itu berlaku kepada saudara perempuanmu?. Pemuda itu menjawab : Tidak. Demi Allah wahai Rasulullah ,semoga Allah menjadikan aku sebagai tebusanmu. Nabi bersabda : Tiada manusia yang menyukai itu berlaku kepada saudara-saudara perempuan mereka.
Nabi saw bersabda : Adakah kamu mahu itu berlaku kepada ibu saudaramu?. Pemuda itu menjawab : Tidak. Demi Allah wahai Rasulullah ,semoga Allah menjadikan aku sebagai tebusanmu. Nabi bersabda : Tiada manusia yang menyukai itu berlaku kepada ibu-ibu saudara mereka.
Kemudian Rasulullah saw meletakkan tangannya ke atas pemuda itu dan berkata : Ya Allah, ampunkanlah dosanya,bersihkanlah hatinya dan peliharalah kemaluannya. Maka selepas itu pemuda itu langsung tidak berpaling kepada sesuatu. ( Riwayat Imam Ahmad dan al-Tabaraniy. Disahihkan oleh al-Albaniy dan al-Wadi’iy)
Berdasarkan hadis di atas, saya menyebutnya sebagai kaedah bersoal jawab yang membawa kesedaran di dalam buku Hebatnya Cara Rasulullah Mendidik.... Kaedah ini baik digunakan oleh guru-guru di dalam kelas ketika berhadapan dengan pelajar yang sukar mendengar kata.... Misalnya, katakan kepada pelajar, bagaimana sekiranya ibu anda yang mengajar di dalam kelas ini dan kawan-kawan anda tidak mahu mendengar apa yang dia ajar. Tidak mahu membuat kerja yang diberikan dan menjawab dengan biadap apabila ditanya. Adakah anda boleh menerimanya?
Kaedah ini juga boleh digunakan di rumah ketika mana anak-anak kadangkala sukar memahami sesuatu situasi yang sedang dialami oleh ibu ayahnya. Contohnya si ayah berkata kepada anaknya, jika Azim mempunyai anak suatu hari nanti, dan anak azim buat perkara yang sama seperti ini, adakah azim suka?
Apabila berlaku dialog ataupun soal jawab, mungkin melibatkan sesi soal jawab yang panjang. Tidak mengapa, berusahalah untuk menjawab dengan sebaiknya.... Saya kira, memahamkan itu lebih perlu supaya mereka memahami perbuatan itu tidak betul. Sama ada mereka akan berubah ataupun tidak, hidayah itu milik Allah.... Wallahua'lam...

Tuesday, September 23, 2014

Dengar Dahulu....

Alhamdulillah.... 

Saat ini kita masih lagi bernafas. Masih lagi dapat menikmati kehidupan yang sifatnya hanya sementara ini. 


Dalam hidup ini, setiap hari kita berinteraksi. Ada orang yang suka bercakap, tetapi kurang minat untuk mendengar. Ada orang suka mendengar, bercakap pula jarang sekali. Di antara mereka ini pula ada segolongan manusia yang suka bercakap dan mencelah ketika mana orang lain juga sedang berbicara. Berdasarkan pengalaman sendiri, adakalanya kita mudah mencelah kerana tidak sabar berkongsi cerita yang sama, atau ingin memberi tahu bahawa kita juga tahu perkara tersebut, atau pun ketika kita sedang berhujah. 

Namun begitu, biar apa alasannya, sikap suka mencelah ini walau dalam apa jua keadaannya, adalah sikap yang perlu dielakkan. Dalam komunikasi yang baik, mendengar dahulu kemudian memberi respon itu adalah yang terbaik. Memberi peluang kepada orang lain menghabiskan butir bicaranya adalah sifat terpuji. Selepas mendengarnya, barulah kita memberi maklum balas atau pun respon kepada apa yang diperkatakan. Jika kita berkeras untuk menyampuk atau mencelah, akhirnya komunikasi tersebut tidak bekesan. Malah ia mampu menghasilkan pertelingkahan yang teruk. Sebagai buktinya, kita dapat melihat bagaimana huru-haranya keadaan bila mana dua orang lelaki yang sedang berhujah dengan butir bicara yang sukar difahami kerana masing-masing saling bercakap tanpa henti kerana ingin menunjukkan bahawa mereka yang lebih betul....

Selain itu juga, mencelah ketika orang lain sedang bercakap kerana ingin menunjukkan seseorang itu juga mengetahui atau pun lebih mengetahui, adalah sikap yang juga harus dijauhi. Jika begitu sikapnya, dibimbangi hanya menyebabkan orang lain meluat dengan tabiat buruknya itu. Yang terbaiknya, diam dan berkongsilah jika diminta. Namun begitu, dalam keadaan tertentu, mencelah itu ada baiknya terhadap segolongan manusia yang hanya tahu bercakap besar dan serba tahu.... Mencelah itu bukan kerana hendak menyakiti, sekadar memberitahu kepada mereka bahawa " Aku pun tahu " supaya mereka sedar bahawa diri mereka tidak sentiasa tahu...Tidak sentiasa hebat... Dan belajar untuk merendah diri....

wallahua'lam...

Sunday, September 21, 2014

Saat Kita Diuji.....

Saat Kita Diuji....

Bagaimana hati kita?

Hati kita rasa gelisah, tidak keruan... Apa yang dilakukan serba tidak kena kerana ada sesuatu yang sedang bermain-main dalam hati kita... Kerana ada sesuatu yang belum selesai dalam hati kita.... Kita rasa seperti ingin marah, rasa ingin menangis, rasa ingin menjerit sekuat hati....

Mengapa ini terjadi?... mengapa ini berlaku?... mengapa ini menimpa diriku....?

Kita termenung jauh.... terus memikirkan apa yang sedang berlaku... Saat itu hati kita seperti sedang disentap-sentap kehingga terasa pedih dan kesakitan.... Mengapa mereka tidak mahu memahami? mengapa mereka buat begitu? mengapa mereka menzalimi aku? Hati kita terus berkata-kata sehinggakan hati kita jadi begitu tersiksa....

Di waktu siang hati tidak tenang.... Dikala malam, tidurnya termimpi-mimpi....

Ya Tuhan.... Sungguh tersiksa.... Tetapi sampai bila? Kenapa terus dilayan dan membiarkan hati itu tersiksa?... Sampai bila mahu menyiksa diri sendiri...?

Bersabarlah.... Permulaannya, terimalah ia sebagai takdir yang sedang menimpa kita.... Sama ada kita menerima atau menolaknya, takdir itu sedang berjalan ke atas diri kita.... Kemudian terimalah dengan hati yang redha... Katakan pada hati berulang-ulang kali, " Daku terima takdir ini ya Allah..." Katakan lagi pada hati, " tidak patut sebagai hamba-Mu bila diberi sesuatu daku menolaknya....Sedangkan setiap pemberian-Mu itu terbaik buatku... Tetapi sangkaanku yang salah sentiasa memandang salah pada sesuatu ujian yang Engkau berikan kepadaku.... Ampuni daku ya Tuhan..."

Insya-Allah saat itu hati akan mula dijinakkan dan mula menuju jalan tenang.... Menerima takdir dengan redha itu adalah alat terbaik untuk mententeramkan hati... Ia bukan mudah, tetapi membiarkan hati terus tersiksa juga bukan mudah... Istighfarlah.... bersolatlah.... bacalah al-quran sehingga sampai kepada nikmat tenang itu... Mudah-mudahan... Insya-Allah...

Saturday, September 6, 2014

Beberapa Gambar Kenangan Berceramah ( Motivasi Pelajar dan Guru )

Bergambar bersama bekas guru, Cikgu Rusla Ariffin selepas selesai berceramah di sekolah beliau...

Ceramah Motivasi Pelajar di Jelebu
Ceramah Hebatnya Cara Rasulullah Mendidik di Kulai Jaya, Johor

Ceramah Motivasi Pelajar di Seremban

Related Posts with Thumbnails