Thursday, May 23, 2013

Ceramah Motivasi Anak-Anak Remaja

Insya-Allah, jika tiada aral, saya akan berceramah di JB 8 Jun ini di MASJID AL-JAWAHIR MUTIARA RINI bersempena dengan Karnival Kesenian Islam....Mungkin bisa bertemu dengan sahabat-sahabat di sana nanti setelah 2 tahun meninggalkan JB...



Photo: KARNIVAL KESENIAN ISLAM ANJURAN MASJID AL-JAWAHIR MUTIARA RINI, SKUDAI JOHOR. SAMA-SAMA KITA MERIAHKAN!

Pesanan Ringkas Buat Pelajar Yang Bakal Melangkahkan Kaki Ke IPT

Untuk Adik-Adik Yang Bakal Melangkahkan Kaki Ke IPTA@IPTS


Tahniah saya ucapkan pada adik-adik yang bakal melangkahkan kaki ke alam belajar yang baru. Alam di mana ia sangat berbeza dengan alam persekolahan yang adik-adik pernah lalui sebelum ini.

Selamat Datang Ke Dunia Baru

Apabila adik-adik melangkahkan kaki ke IPT, adik-adik sedang memasuki dunia baru. Begitulah perumpamaannya. Tiada lagi teman-teman rapat yang telah belajar bersama adik sejak sekolah rendah atau menengah. Tiada lagi guru-guru yang saban masa asyik menanyakan tentang perkembangan pelajaran anda. tiada lagi ibu ayah yang sentiasa berada di sisi anda selama ini. Kini anda di dunia baru. Anda bersendirian membawa diri. Seandainya anda kuat maka tiada beban yang berat untuk anda meneruskan kehidupan anda di sana. Seandainya anda lemah, bersedialah dari sekarang untuk memperkuatkan diri dan semangat anda. Jika tidak pelajaranmu akan terganggu.

Ia Sangat Berbeza

Sekitar tahun 1997, kali pertama saya menjejakkan kaki ke IPT, saya dapat merasakan pada ketika itu keadaannya sangat berbeza sekali. Tempoh belajar dalam sistem semester yang pendek, menyebabkan tiada masa untuk berehat pada waktu itu. Dunia baru, menyebabkan tekanan dipermulaannya sangat hebat sekali. saya pernah berasa hampir putus asa apabila belajar subjek akaun yang tidak pernah saya kenali sebelum itu. Saya percaya, akan ada di antara adik-adik akan mengalami perasaan yang saya pernah alami dahulu.

Ia Bukan Kebebasan, Ia Sebenarnya Beban!

Saya perhatikan, di alam belajar di peringkat IPT, ramai pelajar mengambil kesempatan untuk terbang bebas di angkasa. Bagi mereka, inilah masanya setelah sekian lama terkongkong di rumah bersama keluarga. Sebenarnya belajar di IPT bukan satu peluang untuk bergerak bebas tanpa batas agama, sebaliknya ia adalah beban yang sedang ditanggung untuk tempoh tiga tahun, empat tahun, lima tahun atau lebih daripada itu. Apakah bebannya? Beban untuk memastikan diri adik-adik berjaya. Ya itulah beban yang sedang adik-adik bawa apabila anda melangkahkan kaki buat kali pertama ke IPT yang adik-adik kini sedang berada. Jika adik merasakan ini adalah kebebasan, tidak mustahil akan ada insan yang mengangis kerana kegagalan adik-adik suatu hari nanti.

Belajarlah dan Capailah Keputusan Yang Terbaik

Ya, inilah sebenarnya matlamat sebenar adik-adik sepanjang berada di sana. Nah, inilah bebannya. Ianya sangat berat, walaupun zahirnya tidak nampak beban yang sedang dipikul itu. Gunakanlah masa yang ada ini untuk berjaya dengan cemerlang.

Bukan Sekadar Belajar

Selain belajar dan mendapat keputusan yang cemerlang, gunakanlah masa adik-adik selama beberapa tahun di sana dengan melibatkan diri dalam aktiviti IPT yang berfaedah. Antara aktiviti yang terbaik ialah berpersatuan. Libatkanlah diri adik-adik dengan aktiviti persatuan. Kerana ia akan membentuk jati diri, keyakinan diri dan meningkatkan kemahiran tertentu seperti kepimpinan, komunikasi, perancangan dan pelbagai lagi. Janganlah sekadar belajar kerana keseimbangan dalam akademik dan ko-akademik itu sangat penting dan inilah yang sering menjadi penilaian oleh penggaji-penggaji di luar sana apabila mereka mencari pekerja.

Janganlah Berputus Asa

Saya pernah menyebut di dalam buku saya ” Nota Hati Buat Pelajar” bahawa kegagalan pada hari ini adalah kejayaan yang Allah tangguhkan. Maksudnya kejayaan itu ada, cuma ia tertangguh kerana beberapa sebab. Sekiranya suatu hari nanti adik-adik gagal dalam subjek tertentu, janganlah berputus asa. Masih ada peluang untuk memperbaikinya selagi mana peluang itu masih terbuka. Namun sekiranya tiada, redalah dengan ketentuannya. Jangan sesekali berputus asa kerana ada banyak lagi kejayaan yang masih menanti anda di hadapan sana. Apa yang penting, semester yang masih berbaki, hendaklah diteruskan dan dihadapi dengan tenang dan terangcang. Mudah-mudahan anda akan beroleh kejayaan. menangisi yang lepas hanyalah kerja sia-sia. Meneruskan apa yang ada adalah sikap terpuji. Mengertilah!

SELAMAT BERJAYA SEMUA

IKHLAS DARIPADA

RAZALI SAARAN

Wednesday, May 22, 2013

Tip Belajar 2 : Sabar

Sabar, antara perkataan yang disebut oleh Allah di dalam Al-Quran...Untuk berjaya, perkataan itu perlu banyak berada dalam tubuh badan anda. Orang yang sabar umpama pesakit yang sedang diberi makan ubat yang sangat pahit, tetapi untuk kesihatan yang terbaik selepas itu. Andainya anda tidak sabar dalam belajar, anda umpama orang yang sedang sakit menderita, tetapi tidak mahu memakan ubat yang pahit, dengan alasan tidak mampu menelannya.

Bersabarlah wahai hati. Apa jua perkara yang dilakukan, kesabaran sangat berperanan besar dalam menentukan sejauh mana ia akan berjaya. Hal ini termasuklah juga dalam urusan belajar anda di mana jua institusinya. Permulaannya memanglah sukar, kerana untuk membentuk nilai sabar itu memerlukan kekuatan hati. Tetapi jika bersungguh, pasti ada jalannya. Ayuh, tetapkan hati dalam kesabaran, Insya-Allah sehebat mana sekalipun rintangannya, kejayaan pasti menjadi milik anda...

Berusahalah dan bersabarlah...Anda mampu mengubahnya !


Sunday, May 19, 2013

Tip Belajar 1: Fokus

Jika seorang lelaki memandu keretanya dalam keadaan tidak fokus, apa akan terjadi kepadanya? Kemungkinan besar akan berlaku kemalangan.Cuma bezanya adalah sama ada kemalangan itu teruk atau sekadar kemalangan kecil sahaja.

Begitu juga dengan belajar. Apabila seseorang itu ingin belajar, dia mestilah fokus terhadap apa yang dia sedang pelajari. Tanpa memberi perhatian yang sepatutnya, akan menyebabkan hasil yang diperolehinya di akhir pembelajaran samada di peringkat sekolah ataupun universiti adalah mengecewakan. Ibaratnya hasilnya itu seperti pemandu yang terlibat dengan kemalangan. Sama ada kemalangan itu kecil sahaja ataupun teruk, begitulah umpanya kegagalan itu sama ada kegagalan kecil sahaja ataupun kegagalan itu telah memusnahkan masa depannya.  

Maka, untuk berjaya seseorang itu mesti fokus dengan apa yang sedang dipelajarinya dan jangan terlibat dengan perkara-perkara yang boleh mengganggu tumpuan semasa belajar. Masalah cinta, adalah punca utama fokus sering hilang semasa belajar......Mengertilah wahai hati !!





Hak Cipta Cikgu Zali 2013



Saturday, May 11, 2013

50 Karya Terbaik Guru 2013

Alhamdulillah, baru menerima surat jemputan daripada Majlis Buku Kebangsaan Malaysia untuk menghadiri Majlis Pameran Katalog 50 Karya Terbaik Guru 2013 pada 16 Mei ini di Nilai, Negeri Sembilan. Dua buah buku saya terpilih iaitu Hebatnya Cara Rasulullah Mendidik dan Nota Hati Buat Pelajar telah terpilih. Pengiktirafan ini adalah alat pembakar semangat untuk terus berkarya. Semoga Allah permudahkan urusan saya di majlis ini nanti.....



TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN Seperti yang kita sedia maklum, dua peperiksaan besar akan b...