Monday, October 29, 2018

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN

Seperti yang kita sedia maklum, dua peperiksaan besar akan bermula tidak berapa lama lagi. Bagi adik-adik yang bakal berhadapan dengan peperiksaan tersebut, sudah tentu dalam masa yang masih berbaki beberapa minggu ini, ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk dihadapi. Namun begitu, sekiranya kita telah bersiap sedia untuk menghadapinya, peperiksaan yang bakal diduduki itu bukanlah sesuatu yang wajar ditakuti. Bahkan ia sepatutnya menjadi satu medan perjuangan yang sangat ditunggu-tunggu bagi membuktikan kemampuan diri yang sebenar setelah membuat persediaan sejak sekian lama.
Adik-adik, apakah yang kita boleh lakukan dalam masa yang terdekat menjelang peperiksaan yang semakin hampir ini? Di sini saya akan kongsikan sedikit tip buat tatapan adik-adik. Mudah-mudahan perkongsian kecil ini ada manfaatnya buat adik-adik yang bakal menduduki peperiksaan tidak lama lagi. Buat adik-adik yang mungkin baru hendak belajar secara serius, sememangnya masa yang ada ini sudah terlalu singkat. Secara logiknya, belajar disaat akhir ini seakannya tidak masuk akal. Sudah pasti kita beranggapan belajar disaat akhir ini hanya tindakan yang sia-sia. Namun percayalah, insya-Allah adik-adik masih lagi sempat. Teruskan berusaha tanpa jemu dan selebihnya serahkan sahaja kepada Pencipta kita. Insya-Allah, setiap usaha yang dilakukan, biarpun disaat akhir menjelang peperiksaan, ada ganjarannya di sisi Allah. Tugas kita adalah berusaha dan selebihnya pada Allah tempat kita berserah diri.    
Baiklah adik-adik, di bawah ini saya kongsikan sedikit tip mudah buat adik-adik menjelang peperiksaan yang semakin hampir ini. Moga ada manfaatnya, insya-Allah.
1. Fokus pada hari yang masih berbaki.
Dalam tempoh masa yang masih berbaki ini, adik-adik perlu memberi sepenuh tumpuan sehingga hari peperiksaan yang sebenar tiba. Abaikan perkara-perkara remeh yang boleh mengganggu fikiran. Kita biasa melihat, gangguan-gangguan pada hari-hari terakhir itu boleh menyebabkan kita hilang fokus sehingga boleh mengganggu tumpuan terhadap peperiksaan yang semakin hampir. Ibarat perlawanan bola sepak yang sudah menghampiri minit-minit terakhir, sekiranya para pemain tidak memberi tumpuan sepenuhnya terhadap lawannya, mungkin akhirnya pihak lawan dapat menembusi gawang pasukannya akibat kecuaian sendiri. Ejekkan daripada penonton atau provokasi daripada pasukan lawan adalah antara perkara remeh yang perlu diabaikan. Sekiranya mereka memberi sepenuh tumpuan dan tidak melayan perkara-perkara tersebut, akhirnya mungkin pihak lawan akan kehilangan taringnya dan mereka memenangi perlawanan tersebut. Begitulah juga dengan peperiksaan, jangan sampai perkara-perkara yang tidak ada kaitan dengannya menyebabkan adik-adik hilang fokus dan tidak mampu memberi sepenuh perhatian terhadap peperiksaan.
2. Pastikan semua tajuk telah dikuasai.
Jika adik-adik tidak menguasai semua tajuk, bermaksud anda belum bersedia sepenuhnya. Buatlah senarai semak bagi tajuk-tajuk yang berkaitan ( tajuk besar dan sub tajuk ) dan tandalah tajuk-tajuk yang telah dikuasai. Mana-mana tajuk yang belum dikuasai pula, usahakan segera untuk menguasainya. Selain itu, buatlah nota-nota kecil dan ringkas untuk memudahkan proses mengingat secara berterusan. Nota ringkas akan memudahkan proses mengingat semula dengan lebih pantas dan mudah menjelang peperiksaan. Buat juga latihan soalan-soalan sebenar. Pastikan tempoh menjawab dibuat mengikut tempoh masa yang telah ditetapkan. Latihan menjawab ini penting untuk membiasakan diri dengan bentuk soalan dan tempoh masa menjawab sebenar nanti. Apabila adik-adik telah terbiasa dengan bentuk soalan yang sebenar, insya-Allah tidak akan kekok semasa menjawab dalam peperiksaan.
3. Belajar secara berkumpulan
Mahu tidak mahu, bagi pelajar yang mungkin baru sahaja insaf, belajar secara berkumpulan lebih mudah memberi kefahaman kepadanya terhadap sesuatu tajuk. Lantiklah seorang ketua yang mana ketua tadi akan menjadi ‘guru’ kepada ahli kumpulannya. Cara ini bukan sahaja pantas membantu rakan-rakan lain yang mungkin belum menguasai sesuatu tajuk, bahkan menjadikan Si ketua semakin ingat dan menguasai topik-topik yang diajar kepada rakan-rakannya. Semasa saya mengambil SPM dahulu, inilah yang diamalkan dan kami belajar di kantin sekolah pada waktu petang. Sebaiknya, biarlah ada papan hitam atau putih di tempat itu untuk memudahkan sesi perkongsian dilakukan.
4. Dampingi guru
Disaat akhir ini, sentiasalah mendampingi guru. Minta tunjuk ajar dan tip-tip yang boleh membantu dalam menjawab soalan peperiksaan. Bagi pelajar yang belajar disaat akhir, inilah masanya bertemu guru-guru untuk mendapatkan tunjuk ajar. Jangan malu kerana masa sudah terlalu singkat. Tebalkan muka untuk bertanya dan tahanlah telinga yang mungkin sedikit pedih. Apa yang penting, dengan tempoh yang masih berbaki ini, gunakanlah sebaiknya. Rebutlah peluang selagi ada sehingga ketitisan yang terakhir.
5. Jaga hubungan dengan Pencipta Kita
Dalam hidup ini, tiadalah upaya melainkan dengan izin-Nya. Maka, jangan sesekali kita melupakan-Nya. Untuk adik-adik yang bakal menghadapi peperiksaan, jagalah hubungan dengan-Nya dan mintalah kepada-Nya dengan penuh kesungguhan.  

Wallahua’lam
Razali Saaran 
Penulis Buku Nota Hati Buat Pelajar 

No comments:

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN Seperti yang kita sedia maklum, dua peperiksaan besar akan b...