Tuesday, June 4, 2013

Pesanan Untuk Bakal Guru Dan Guru-Guru Baru

Zaman benar-benar telah berubah. Guru-guru 20 tahun dahulu, tidak sama dengan guru-guru di zaman ini. Sebab itu masih kedengaran orang lama mengatakan ' jadi cikgu senang'. Jika fakta itu disebut 10 tahun dahulu, saya kira masih relevan. Tetapi jika kini ia tidak lagi sesuai kerana tugas guru bukan seperti dahulu. 


Saya mula mengajar sekitar tahun 2004 setelah menamatkan pengajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris ( UPSI ) dalam bidang Pendidikan Pengurusan Perniagaan. Saya juga kumpulan terakhir yang belajar selamat 3 tahun untuk mendapat segulung ijazah dalam bidang pendidikan. Bahkan saya juga adalah antara 700 lebih orang daripada kumpulan pertama yang menetap di Proton City, Tanjung Malim. Semasa saya memulakan tugas sebagai guru secara formal di bandar Johor Bahru, saya dapat merasakan bahawa, teori yang ada tidak mencukupi. Adakalanya teori yang dipelajari itu tidak memberi apa-apa nilai kepada situasi yang berlaku pada waktu itu. Benarlah, zaman telah berubah kerana hari yang saya lalui pada saat itu sangat berbeza dengan zaman saya bergelar pelajar dahulu.

Apabila bergelar bakal guru ataupun guru baru , semangat sahaja tidak mencukupi. Orang baru memulakan kerjaya dengan semangat berkobar-kobar dan teori yang sarat di kepala. Pengalaman berpraktikum selama empat bulan lebih menambahkan lagi semangat yang benar-benar membara pada waktu itu. Tetapi apabila tempoh mengajarnya mula memasuki beberapa fasa, semangat sudah mula luntur dan barulah mereka terjaga dari lenanya bahawa kerjaya guru ini tidak semudah yang disangka.Cuma, agak menyedihkan kerana orang baru kadangkala tidak mahu belajar daripada mereka yang telah lama. Golongan yang mana bukan sekadar teori, tetapi mereka berkerja dengan ilmu yang cukup hebat bernama ' pengalaman'. Sebaliknya, guru baru lebih  senang berada di dalam kelompok mereka  dan begitu berat mahu bertanya kepada mereka yang telah lama ini. Bukan itu sahaja, ada juga guru-guru baru yang memandang rendah dengan kemampuan guru-guru lama yang sarat dengan pengalaman ini. 

Hari ini saya berada di zaman yang berbeza. Bukan zaman di mana saya mula mengajar. Ini zaman serba baru. Gajet tidak lepas daripada tangan, facebook sentiasa dikemaskini, blognya sangat aktif dan bermacam-macam lagi kecenderungan yang sangat berbeza dengan apa yang ada satu ketika dahulu.  Namun begitu, walaupun berbeza, matlamat seorang guru tidak pernah berubah. Iaitu untuk mendidik dengan penuh iltizam dan penuh amanah. Biarpun zamannya berbeza, tanggungjawab tidak pernah berubah. Anda tetap seorang guru. Seorang penyampai ilmu kepada manusia di luar sana. Walaupun kita berbeza zaman, anda, saya dan semua guru akan ditanya di hadapan Allah nanti tentang amanah yang terpikul di bahu. Saya berdoa, buat adik-adik yang bakal bergelar guru, atau pun yang baru bergelar guru, dapat melaksanakan amanah yang berat ini. Berbanggalah dengan tugas yang anda bakal atau sedang pikul ini, kerana terkandung nilai yang sangat besar di dalamnya jika anda benar-benar mahu mengerti. Jangan menyesal kerana memilih kerja ini dan jangan berputus asa dengan cabaran yang bakal anda lalui kelak. Dan apa yang lebih penting lagi, jagalah nama baik kerjaya ini kerana masyarakat sangat jarang melihat kepada kebaikan yang banyak, sebaliknya mereka senang membesarkan kesilapan yang sedikit. 

Maaf salah silap daripada saya dan terimalah teguran yang sangat kecil ini untuk kebaikan bersama.

Hamban-Nya yang fakir,

Razali Saaran 

No comments:

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN Seperti yang kita sedia maklum, dua peperiksaan besar akan b...