Thursday, March 29, 2012

Kemanisan Dalam Ujian

Oleh: Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

Nabi Musa a.s lari meninggalkan Mesir setelah beliau terlibat dengan kejadian memukul sehingga mati seorang Qibti (Coptic) dalam usaha menghalang kezaliman perkauman terhadap Bani Israil. Tindakannya itu telah melebihi jangkaan dan itu adalah satu kesilapan. Beliau terpaksa lari menuju ke Madyan dalam keadaan yang susah.

Madyan yang dimaksudkan itu barangkali di Jordan dan saya pernah sampai berkali-kali di sana. Perjalanan dari Mesir ke sana begitu jauh bagi memastikan tentera Firaun tidak sampai ke negeri tersebut untuk menangkapnya.

Apabila sampai di Madyan, Musa a.s. mendapati sekumpulan pengembala yang sedang menceduk air, sementara di sana ada dua gadis yang hanya menunggu. Jiwa Musa a.s yang amat pantang melihat kejanggalan atau unsur ketidakadilan itu menyebabkan dia yang dalam keletihan yang teramat bertanya hal kepada kedua gadis tersebut.
Al-Quran menceritakan kejadian ini: (maksudnya)
“Dan setelah dia (Musa a.s.) menuju ke negeri Madyan, dia berdoa “Mudah-mudahan Tuhanku menunjukkan kepadaku jalan yang betul”. Dan ketika dia sampai di telaga air Madyan, dia dapati di situ sekumpulan lelaki sedang memberi minum (binatang ternak masing-masing), dan dia juga dapati di sebelah mereka dua perempuan yang sedang menahan kambing-kambingnya. Dia bertanya: “Apa hal kamu berdua?” mereka menjawab: “Kami tidak memberi minum (kambing-kambing kami) sehingga pengembala-pengembala itu membawa balik binatang ternak masing-masing; dan bapa kami seorang yang terlalu tua umurnya “. (Surah al-Qasas 22-23).
Nabi Musa a.s. tidak mampu melihat unsur penindasan dan sikap tidak membantu yang lemah. Simpatinya terhadap dua gadis tersebut melebihi keletihan yang dihadapinya ketika itu. Dia tampil dengan segala keringat yang berbaki menolong gadis-gadis tersebut mendapatkan air. Dia menolong tanpa sebarang habuan yang diharapkan.

- Gambar Hiasan
Setelah menolong mereka, dan mereka pun pulang, Nabi Musa a.s. dalam keadaan yang teramat letih itu, pergi ke tempat yang teduh dan berdoa dengan doa yang ringkas tetapi amat dalam maksudnya. Saya tidak pasti sama ada mereka yang tidak memahami bahasa arab dapat menikmati keindahan ungkapan yang ringkas itu atau pun tidak? Namun saya akan cuba menterjemahnya dalam strukturnya.
Saya ingin membawa doa Musa a.s. untuk dikongsi bersama para pembaca yang barangkali ada yang tidak perasaan kewujudannya ketika membaca al-Quran. Juga mereka yang memang sudah tahu tetapi terlupa disebabkan kesibukan yang melanda kita dalam kehidupan sedangkan kita menghadapi suasana tenat yang amat memerlukan rahmat atau ‘kesian’ Tuhan kepada kita.
Saya ingin menyebutnya di sini kerana doa ini amat menyentuh perasaan saya. Saya percaya anda juga demikian. Entah berapa banyak keadaan getir dan runsing melanda hidup ini, doa ini salah satu ‘penyejuk perasaan’ dan pemberi harapan yang menjadi jambatan yang menghubungkan ujian hidup dengan Tuhan yang memiliki segala kehidupan.
Doa ini jika dibaca dengan jiwa yang benar-benar bergantung kepada Allah, maka saya yakin ketenangan itu hadir sebelum pertolongan Allah itu turun. Firman Allah menceritakan hal Musa a.s. dan doanya: (maksudnya)
“Maka Musa pun memberi minum kepada binatang-binatang ternak mereka, kemudian ia pergi ke tempat teduh lalu berdoa: “Wahai Tuhanku, Sesungguhnya aku ini kepada apa sahaja kebaikan yang Engkau turunkan amatlah fakir” (Surah al-Qasas 24).
Maksud Nabi Musa a.s. beliau amat fakir atau amat memerlukan kepada apa sahaja kebaikan yang akan Allah berikan kepadanya bagi menghadapi suasana dirinya ketika itu. Dalam bahasa al-Quran yang indah al-Quran riwayatkan ucapan Musa a.s “Rabbi inni lima anzalta ilaiya min khairin faqir”. Sangat ringkas, namun sangat bermakna. Sudah pasti ucapan asal Musa a.s dalam bahasa Hebrew, namun Allah telah merakamkan ke dalam bahasa Arab yang padat dan indah.
Ada ahli tafsir yang menyebut maksud Musa bagi perkataan ‘khair’ atau apa sahaja kebaikan dalam doa ini adalah makanan. Namun, perkataan ‘khair’ atau apa sahaja kebaikan atau kurniaan Tuhan itu amat luas. Bukan sahaja makanan atau minuman, bahkan apa sahaja yang memberikan kebaikan kepada seorang insan. Musa a.s. sendiri selepas berdoa dengan doa ini diberikan limpah kurnia Allah yang berbagai, melebihi jangkaannya.
Ayat-ayat seterusnya dalam Surah al-Qasas ini menceritakan bagaimana kedua orang gadis tadi kembali semula menjemput Musa a.s. ke rumah mereka atas jemputan ayah mereka. Ayah mereka yang merupakan seorang yang mulia amat berterima kasih atas pertolongan Musa a.s. Al-Quran tidak menceritakan siapakah ayah mereka. Apakah dia Nabi Syu’aib atau orang lain tidaklah dapat dipastikan. Kemungkinan besar bukan Nabi Syu’aib seperti yang disangka oleh sebahagian penafsir.
Apa pun, Nabi Musa a.s. diberikan tempat perlindungan, makanan, kerja, bahkan dikahwinkan dengan salah seorang dari gadis tersebut. Demikian Allah memustajabkan doa Musa yang ringkas, tetapi penuh makna. Doa yang dilafazkan dari jiwa yang benar-benar tunduk, menyerah, sepenuh tawakkal dan keyakinan bahawa Allah sentiasa menyahut permohonan hamba yang benar-benar bergantung kepadaNya.
Jauh Musa a.s berjalan membawa perasaan bimbang dan bebanan ancaman oleh pihak musuh. Ujian yang memaksa dia yang membesar dalam istana menjadi pelarian tanpa bekalan. Namun dalam ujian itu Nabi Musa a.s mengalami pengalaman hidup yang hebat dan kurniaan-kurniaan yang besar. Tanpa ujian, hal ini tidak akan berlaku.
Demikian jika kita membaca doa-doa yang syahdu yang penuh menyentuh akal dan ruh yang dilafazkan oleh insan-insan soleh dalam al-Quran, samada para nabi atau selain mereka, kita dapati doa-doa itu banyak yang diungkapkan dalam keadaan getir dan ujian yang mencabar.
Kita sendiri dalam hidup barangkali tidak akan menghafaz banyak doa al-Quran dan al-Sunnah melainkan setelah kejadian-kejadian dalam hidup yang mendesak untuk kita ‘bertadarru’ atau merendah, akur dan tunduk dengan sepenuh jiwa kepada kebesaran kerajaan Allah Yang Maha Menguasai segala urusan hidup ini.

- Gambar Hiasan
Banyak ujian hidup ini sebenarnya amat bermakna jika kita mahu menghayatinya. Betapa ramai orang yang menemui iman dan amalan soleh dek kerana ujian yang menimpanya. Berapa ramai manusia yang bersarang bongkak dan takabur dalam jiwa, tidak dapat ditegur dan dididik, tetapi akhirnya menjadi insan yang tawaduk kepada Allah dan menghargai orang lain setelah melalui ujian hidup yang getir. Betapa ramai pula insan yang soleh dan disayangi Allah dinaikkan darjat dan nilainya di sisi Allah disebabkan ujian yang menimpanya.
Firman Allah: (maksudnya)
Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut, kelaparan, kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. Mereka itu ialah orang dilimpahi dengan pujian dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.(Surah al-Baqarah 155-157).
Kita tidak meminta ujian, tetapi kita sentiasa perlu tahu bahawa ujian itu adalah rukun hidup. Ujian bagaikan bicara atau ‘sapaan’ Allah kepada kita agar kita ingat apa yang lupa, ubah apa yang salah, atau untuk kita tambahkan pahala dan padamkan dosa. Sabda Nabi s.a.w:
“Tiada apa pun yang menimpa seorang mukmin, sehingga duri yang mengenainya, melainkan Allah tuliskan untuknya kebaikan (pahala) dan padam dari kejahatan (dosa)” (Riwayat Muslim).
Melihat manusia yang diuji menjadikan kita rendah diri dan insaf. Mungkin dia yang dilihat oleh orang lain sedang dalam ketenatan cabaran tetapi sebenarnya sedang tenggelam dalam rahmat dan kasih sayang Tuhan. Melihat orang yang susah, mereka yang dizalimi, mereka yang kesempitan atau menderita kesakitan menyebabkan kita terlintas segera dalam perasaan “dia di sisi Allah mungkin lebih baik daripada diriku ini”.
Kita semua akan melalui ‘bicara dan didikan Tuhan’ melalui pentas ujian. Kita mengharapkan ujian akan membawa kita kepada sesuatu yang lebih baik. Ujianlah yang telah membawa Musa a.s. kepada berbagi kurniaan. Untuk itu kita wajar selalu merintih kepada Allah seperti Musa a.s.: “Rabbi inni lima anzalta ilaiya min khairin faqir” (“Wahai Tuhanku, Sesungguhnya aku ini kepada apa sahaja kebaikan yang Engkau turunkan amatlah fakir”).

 sumber: http://drmaza.com/home/?p=967

Monday, March 19, 2012

Upah Dari Google Adsense & Nuffnang : Haruskah?

By:Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

Salam ustaz, saya nak bertanya pasal satu advertisement blog yg bernama nuffnang ni. kalau kita letakkan subscribe nuffnang dan google adsense di blog, kita akan dapat duit upah kerana telah mengiklankan sesuatu produk. Soalan saya ialah, boleh ke kita ambil duit yang diberi dan apakah status duit tersebut? Harap UZAR dapat ulas. terima kasih

JAWAPAN

Saya tidak pernah meneliti perjanjian yang diletakkan oleh pihak Nufnang dan Google Adsense, justeru saya sukar untuk saya memberikan jawapan yang tepat dan specifik kepada kedua-dua penyedia ruang iklan tersebut.

Namun untuk tidak mengecewakan pihak yang bertanya, saya akan memberikan jawapan umum yang berupa panduan ringkas untuk menyemak status hukum dalam hal-hal yang melibatkan iklan dan bayaran darinya.

Sefaham saya, isu utama dalam hal ini adalah upah yang diberi kerana membenarkan ruang web atau blog kita digunakan bagi tujuan pengiklanan oleh pihak nuffnang dan google adsense, hasil dari kemudahan yang diberikan itu, kedua pihak tadi akan memberikan upah tertentu menurut cara tertentu.

Dari sudut aqad atau kontrak, susbstance atau inti utama kontrak sebegini jatuh dalam kategori aqad ‘menjadi wakil dengan tawaran upah tertentu' atau wakalah bil ujr. Atau lebih tepat, dalam hal ini pemilik web menjadi wakil memanjangkan iklan syarikat-syarikat dan produk yang tersenarai dalam senarai panjang google dan nuffnang (kerana biasanya bukanlah google dan nuffnang mengiklan barangan mereka sendiri tetapi barangan dan produk pihak lain)

Dalam konteks ini, kita selaku pemilik web dan blog dikira menjadi wakil pihak nuffnang and google untuk menyebarluaskan iklan mereka, sebagai timbal balas, ganjaran akan diberikan kepda pemilik web atau blog, berdasarkan formula kiraan tertentu sama ada berdasarkan jumlah klik dan sebagainya.

Secara ringkasnya, bagi menentukan hukum dalam hal ini beberapa perkara perlu diambil kira iaitu:-



* 1) Autoriti : Autoriti pihak yang menyediakan tawaran, dalam konteks ini adalah Nuffnang dan Google. Jika telah disemak dan dipastikan kedua-dua pihak mempunyai kredibiliti untuk melunaskan janji dan tawarannya, satu peringkat semakan hukum telah lulus. Peringkat ini penting bagi memastikan tiada unsur gharar dalam penawaran mereka.


* 2) Upah dan cara kiraan : Jumlah upah dan cara pengiraannya MESTILAH diberitahu dengan jelas dan boleh difahami oleh pihak pelanggan (kita). Jika perkara ini telah berjaya dipastikan dan difahami sebaiknya, tatkala itu lulus peringkat kedua semakan Shariah.


* 3) Kandungan iklan : Kandungan iklan yang dipaparkan. Jika sekiranya kandungan yang terbit di ruangan iklan yang disediakan untuk google dan nuffnang itu memaparkan iklan yang TIDAK HALAL, seperti gambar wanita tidak menutup aurat, permainan berunsur judi, iklan forex trading, bank riba dan pinjaman riba dan apa sahaja iklan yang tidak halal, tatkala itu upah yang diterima kerana mengiklankannya juga turut haram sebagaimana kandungan iklan tersebut.


Prinsip Islam jelas dalam hal ini, setiap promosi produk dan iklan yang haram adalah haram juga mempromosikannya, maka setiap upah atas promosi sesuatu yang haram juga jatuh di dalam kategori haram. Dalilnya terlalu banyak antaranya adalah laknat nabi terhadap setiap golongan yang terlibat dengan arak, demikian juga riba. Juga firman Allah yang melarang kerjasama dalam hal yang membawa dosa dan permusuhan.


Saya difahamkan bahawa terdapat fungsi ‘filter' atau pemilihan iklan yang boleh kita benarkan terpapar di web kita. Namun begitu, masih terdapat juga iklan-iklan yang tidak sewajarnya tersiar dan di luar kawalan pemilik web. Justeru, dalam menentukan keharusan penggunaan kedua-dua Nuffnang dan Adsense, hal seperti ini mestilah terlebih dahulu dipastikan terkawal dengan sempurna.


4) Cara pembayaran ; Hal ini mestilah juga disemak dengan teliti bagi memastikan tiada unsur penipuan dan gharar.


KESIMPULAN

Jika keempat-empat peringkat iaitu semua lulus dan berjaya mematuhi hukum Islam, tatkala itu upah yang kita perolehi juga turut halal, demikian juga sebaliknya.

Perlu diingat sekali lagi, tulisan saya ini TIDAK MEMBERIKAN SEBARANG PENGESAHAN terhadap penggunaan google adsense dan Nuffnang, ia hanya memaklumkan garis panduan yang perlu diambil kira oleh sesiapa yang ingin menyediakan ruang iklan kepada kedua pengendali iklan terbabit.

Saturday, March 3, 2012

Lau Kana Bainana

Apabila diriku mendengar lagu ini ( Lau Kana Bainana ) buat kali pertama diIkim, hatiku benar-benar tersentuh dengan melodinya...walaupun diriku tidak faham maksudnya secara keseluruhan, tetapi daku merasakan bahawa lagu ini pasti mengisahkan tentang Rasulullah yang daku kasihi...mendengar lagu ini mendekatkan hatiku kepada Nabi...Teringat ketika mana buku Hebatnya Cara Rasulullah Mendidik" hendak di terbitkan, terdetik dihatiku adakah diriku layak menulis tentang Nabi yang kucintai itu..Ya Allah, setelah 2 tahun lebih buku itu di pasaran, dan apabila orang masih bertanya mengapa saya menulis buku tersebut sedangkan saya bkn graduan yg berlatarbelakngkan agama Islam, jawapan saya ialah, Allah telah memilihku...Allah jualah yg lebih mengetahuinya...Alhamdulillah dan terima kasih kerana masih ada yang membeli dan membaca buku tersebut..sokongan kalian membolehkan buku ini masih berada di senarai top 10, buku bestseller bagi kategorinya di MPH..smg buku tersebut mengingatkan kita tentang kehebatan Nabi yang kita kasihi...

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN Seperti yang kita sedia maklum, dua peperiksaan besar akan b...