Thursday, November 27, 2008

Bunuh Diri: Jalan “pintas” ke nereka

Bunuh diri?Dengan hanya dua perkataan dan empat suku kata, ia sebenarnya membawa kesan yang besar dalam masyarakat, terutama sekali keluarga dan teman taulan terdekat mangsa. Dia yang bunuh diri, kesedihannya pada yang tinggal. Itu realitinya,tetapi mengapa ini terjadi?



Sebagai seorang manusia yang tidak pernah mempunyai pengalaman berkaitan bunuh diri, sukar untuk saya menafsirkan disebalik tindakan si pembunuh diri itu. Apa yang bermain-main di dalam jiwanya sehingga tergamak dia membunuh dirinya sendiri yang sememangnya bukan haknya. Nyawa itukan hak Allah, bukan haknya sendiri.membuang sesuatu yang bukan hak tanpa kebenaran pemiliknyakan satu kesalahan. Apatah lagi jika harta itu harganya terlalu tinggi nilainya dan tidak ada mana-mana institusi professional di dunia ini yang mampu menafsirkan nilai pasarannya. Maka sudah tentulah kesalahannya maha besar dan sukar dimaafi.
Adakah benar Islam melarang kita membunuh diri?
Terdapat beberapa larangan dari al-Quran dan al-Sunnah berkaitan dengan kesalahan ini, di antaranya:
- firman Allah: Dan janganlah kamu menjatuhkan diri kamu sendiri ke dalam kebinasaan (al-Baqarah, 2:195)
- dan firmanNya lagi: Dan janganlah kamu membunuh diri kamu, sesungguhnya Allah amat Penyayang kepada kamu (al-Nisa', 4:29).
Di dalam Sunnah Rasulullah s.a.w. kita menemui Hadis-hadis berikut:
- baginda bersabda: Sesiapa yang membunuh dirinya dengan sesuatu di dunia ini, maka dia akan diazabkan dengannya pada hari kiamat nanti (riwayat Muslim, 1:104; al-Darimi, 2:112 dan Ahmad, 4:33,34).
- sabdanya lagi: Sesiapa yang menjatuhkan dirinya dari puncak bukit kerana membunuh diri, maka dia akan berulangkali jatuh ke dalam api neraka selama-lamanya, sesiapa yang meneguk racun kerana membunuh dirinya, maka racun itu akan berada di tangannya dan dia akan meneguknya berulangkali di dalam neraka selama-lamanya, sesiapa yang membunuh dirinya dengan menggunakan besi, maka besi itu akan berada di tangannya dan dia akan memukul kepalanya dangan besi itu berulangkali di dalam neraka selama-lamanya (riwayat Muslim, 1:104; al-Darimi, 2:112 dan Ahmad, 4:33,34).
- sabdanya lagi: Sesungguhnya darah dan nyawa kamu adalah haram ke atas kamu, seperti haramnya pada hariku ini, bulanku ini dan di tempatku ini.
Berdasarkan kepada nas-nas tersebut, jelas kepada kita semua bahawa nyawa adalah milik Allah. Dialah yang menghidup atau mematikan seseorang, bukannya orang itu sendiri yang menentukan hidup matinya. Maka membunuh diri sendiri adalah perbuatan yang dilarang sama sekali oleh Pencipta kita malah di sisi masyarakat mereka dipandang hina.
Setelah sekian lama saya memerkatikan perkembangan berkaitan bunuh diri di kalangan umat Islam, dan ianya semakin serius sejak kebelakangan ini, maka saya terpanggil untuk menulis sedikit dapatan yang saya perolehi hasil daripada pembacaan dan pengalaman saya selama ini. Pada pandangan saya, bunuh diri ada kaitan dengan bisikan hati yang paling halus dalam jiwa manusia itu sendiri. Tidak mungkin mereka membunuh diri kerana kesedihan atau tekanan hidup semata-mata. Tentulah ada kuasa lain yang telah menguasai jiwa si pembunuh diri itu sehingga mindanya jadi tertutup untuk berfikir secara waras.
Syaitankah? Ya, itulah jawapannya kerana syaitan itu akan bersama-sama manusia yang jiwanya kacau, dalam kesedihan dan tekanan yang kuat. Tidak mustahil syaitan akan berbisik-bisik di dalam hati manusia suapaya bertindak diluar kotak normal manusia kerana alasannya itu cara terbaik untuk menyelesaikan sesuatu kemelut yang sedang ditanggung oleh mereka. Misalnya, seorang wanita kesedihan kerana kekasihnya akan bertunang dengan perempuan lain pilihan keluarganya. Saban hari dia menangis dan merasakan dunia tidak lagi bermakna buatnya. Kenangan terindah yang pernah dilaluinya bersama teman lelakinya selama ini sering bermain-main dimindanya. Apatah lagi si wanita tersebut telahpun “menyerahkan” segala-galanya kepada si dia.Tiada apa lagi yang tinggal padanya melainkan kerinduan dan penyesalan. Rindu kerana cintanya masih membara pada si dia. Penyesalan, kerana telah terpedaya dengan nafsunya, hingga sanggup menyerahkan “mahkotanya” kerana cintakan si dia. Kini, dia telah memilih insan lain, pilihan keluarganya. Dalam situasi begini, adakah syaitan akan berdiam diri atau membiarkan sahaja apa yang terhidang di depan matanya? Tidak mungkin, kerana syaitan telah berjanji akan menyesatkan anak adam dan itulah permintaannya kepada Allah dan telahpun diperkenankan olehNya. Adakah si wanita yang sedang dalam kesedihan melampau ini dapat mengatasi derita batinnya dalam masa yang singkat, sedangkan dia telah menyerahkan segala-galanya. Di sinilah kuasa lain yang dimaksudkan tadi akan berperanan, iaitu syaitan. Syaitan akan menggunakan segala kebijaksanaannya untuk memperdaya wanita yang sedang kesedihan ini. Si Syaitan akan membisik-bisikkan ke dalam hati wanita itu dengan bermacam-macam persoalan yang menyebabkan si wanita akan bertambah sedih dan pilu. Si syaitan akan membisikkan ke dalam hati wanita itu perkara-perkara yang menambahkan lagi kesedihan wanita itu. Syaitan itu akan berkata “ wahai wanita, engkau akan dimarahi keluargamu dan rakan-rakan kerana kesetianmu yang sia-sia, diumpat dan dikeji oleh orang sekeliling engkau. Lelaki itu sedang dalam keseronokan dan engkau sedang dalam kesedihan. Engkau tidak cemburukah? Siapakah lelaki yang akan menerima engkau jika mereka tahu engkau tidak suci lagi?”.Mungkin itu antara bisikan-bisikan syaitan yang kadangkala disebut bisikan hati yang akan diulang-ulang dalam hati wanita itu sehinggakan wanita itu jadi tidak menentu dan tahap kesedihannya berada di tahap melampau.
Firman Allah dalam surah an-nas ayat 4-5 yang bermaksud:… dari kejahatan was-was ( bisikan syaitan) yang pergi datang. Yang membisikkan ( kejahatan ) ke dalam dada manusia.
Ayat ini sudah cukup menerangkan kepada kita adanya bisikan di dalam dada manusia oleh makhluk bernama syaitan yang bertujuan menyesatkan manusia dari jalan kebenaran dan bisikan-bisikan kejahatan itu sentiasa pergi dan datang dan ia bergantung kepada kekuatan jiwa individu itu sendiri. Apabila syaitan mula berbisik di dalam dada manusia, ia akan terus berbisik selagi mana seseorang manusia itu tidak cuba untuk menghalanginya. Namun apabila manusia itu mula sedar dan menyebut nama Allah, bisikan syaitan mula mengendur. Tetapi apabila hati manusia itu mulai lalai semula, syaitan akan kembali menghasut manusia. Situasi datang dan pergi itu akan berterusan selagi mana manusia itu bernafas dan umur dunia belum berakhir.
Bila misi pertama ini Berjaya, maka syaitan meneruskan misinya yang kedua. Si syaitan akan memujuk pulu si wanita itu melakukan sesuatu untuk menamatkan penderitaannya selama ini. Apa caranya? Bagaimana pelaksanaannya? Syaitan pun mula membisik dengan penuh diplomasi dan halus ke dalam dada wanita itu. Engkau inginkan mereka-mereka di sekeliling engkau turut merasai penderitaan yang engkau sedang tanggung ini? Engkau ingin menyebabkan si lelaki tidak bertanggungjawab itu menyesal seumur hidup kerana meninggalkanmu? Engkau ingin melihat ibu si lelaki menyesal akan perbuatannya yang mementingkan diri itu? Caranya mudah. Mereka pasti menderita dengan tindakan engkau ini. Mereka akan turut merasa sengsara yang sedang engkau tanggung ini. Percayalah, percayalah. Bila si wanita ini semakin melayan perasaannya, syaitan akan mula melancarkan serangan terakhirnya dengan berkata, engkau bunuh diri, engkau bunuh diri, engkau bunuh diri. Percayalah, mereka akan bersedih akan kematianmu. Persoalannya di sini, adakah wanita ini akan berfikir panjang? Jawapannya, bila manusia terlalu sedih, akalnya menjadi singkat dan emosi diri yang sedang menguasainya. Maka, keluarlah berita-berita utama di muka hadapan akhbar, majalah dan televisyen yang memaparkan kejadian-kejadian bunuh diri yang berlaku di sekeliling kita sejak dulu hingga kini.
Jangan emosi, saya sekadar mengandaikan sahaja situasi yang mungkin berlaku. Saya bukan pakar psikatri, saya hanya orang awam biasa. Tidak mustahil andaian saya ini salah. Dan jika betul itu hanya kebetulan sahaja kerana ilham menulis artikel ini datangnya dari Allah. Maka sudah tentulah ilmu ini dari Allah. Cuma, saya sering tertanya-tanya kenapa pakar-pakar masih mencari-cari punca bunuh diri yang sebenar kerana kadarnya semakin bertambah setiap hari. Sekiranya mereka telah menemui puncanya, tentu masalah ini telah berjaya diatasi. Paling tidakpun dikurangkan setiap tahun sehingga ke angka yang paling minimum. Malah kenapa manusia menjadi gila pun masih sukar mencari jawapannya. Adakah kerana kematian anak atau ditimpa lain-lain musibah manusia boleh berubah sifatnya dari normal kepada kurang siuman sehingga sanggup membunuh diri. Adakah semata-mata kerana itu. Kenapa Islam mengajar umatnya konsep redha dalam diri apabila ditimpa sesuatu musibah atau bencana. Apakah alasannya dan natijah dari pelaksanaan konsep redha, yakni menerima semua ketentuan ilahi dengan tenang dan sabar. Cuba kita sama-sama renung kembali saat-saat kita pernah ditimpa musibah atau ujian dari Allah. Bagaimanakah kondisi kita ketika itu. Tentu kita pernah berasa sedih yang teramat sekalikan. Bagaimana keadaan kita diketika itu. Tentu kita mudah terasa, murung dan suka termenung. Di waktu itu, tentu kita rasa diri seperti tidak terurus dan fikiran bercelaru bukan? Bermacam-macam yang kita fikirkan pada masa itu dan yang difikirkan itu banyak yang bersifar negetif bukan? Namun, bila kita tersedar, dan mulai jelas bahawa ini takdir dari ilahi dan ujian dariNya untuk menilai tahap iman kita, tentu saat itu gaya berfikir kita mula berubah bukan? Kita kembali tenang dan bersemangat. Hidup kembali ceria dan mula memikirkan langkah positif yang bakal diambil selepas ini. Bagaimana sekiranya kita tidak sedar bahawa redha itu tuntutan Islam terhadap kita. Adakah mustahil kita akan terus menjadi semakin terasing dari realiti dunia sebenar. Adakah mustahil kita akan melakukan perkara-perkara yang tidak patut dilakukan oleh manusia berakal normal. Saya sedar, sudah terlalu jauh imaginasi saya sehingga ramai yang tertawa membaca tulisan ini. Jangan risau saya masih waras dan saya tidak mahu melangkaui ilmu pakar-pakar psikatri kerana saya bukan ahlinya dan saya sangat-sangat menyedarinya dan sedar diri. Tetapi tentu tidak salah saya memberi pandangan kerana perbezaan pendapat itu rahmat.
Sebelum berpisah, saya ingin menyimpulkan bahawa sejak dari permulaan tulisan, perkara yang ingin saya perkatakan adalah agama adalah penyelamat umat manusia. Alasan kenapa mesti seseorang itu bunuh diri adalah antara asbabnya sahaja. Sebagaimana contoh cerita di atas yang mana si wanita membunuh diri kerana kecewa dengan kekasih hatinya. Ya, saya mengatakan itu asbabnya sahaja. Kenapa? Kerana, sekiranya mereka menyedari konsep redha dan kepentingannya diterapkan sentiasa di dalam diri tentu mereka tidak akan membunuh diri. Tetapi kerana lemahnya iman dan tidak redha dengan ketentuan ilahi menyebabkan manusia itu bertindak di luar jangkaan normal manusia. Yang pastinya, alasannya telah ada, tetapi siapa puncanya dan penggerak kepada perbuatan bunuh diri itu. Saya telahpun menyebutnya di awal tulisan saya. Tentu sukar untuk menerimanya kerana sains bersifat pembuktian, tetapi tulisan saya sekadar pandangan semata-mata. Tetapi saya merasa dalam jiwa walaupun tidak dapat dilihat dengan mata. Kerana itulah saya menulis tulisan ini.
Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; Sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata. (Al-Baqarah : 208)
Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu! (Yasin : 60)
Sesungguhnya Syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya); sebenarnya dia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi dari penduduk neraka.(Al-Faatir 6)

Wallahua’lam

www.teratakmuslim.blogspot.com

No comments:

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN Seperti yang kita sedia maklum, dua peperiksaan besar akan b...