Wednesday, February 4, 2009

Sebelum melabuhkan tirai malam

Saya sedang menulis sesuatu yang tidak pasti isinya. Sudah beberapa kali saya menaip dan "mendelete". Mata sudah semakin kuyu, badan sudah semakin letih. Isteri dan anak sedang lena diulit mimpi. Isteri saya sedang sarat mengandung anak kedua, tentu dia sangat penat setelah seharian bekerja di sekolah. Ditambah pula haris husaini yang ragamnya malam ini begitu menjadi-jadi.

Saya perhatikan Haris sejak kebelakangan ini banyak sungguh ragamnya. Kuat merajuk dan menangis. Dulu dia tidak begitu. mungkin juga kerana dia sudah mula merasakan dia bakal menerima adik. Mungkin juga dia sudah mula kenal maksud cemburu. Kata orang tua-tua, anak akan kuat meragam bila dia mengetahui adiknya bakal keluar tidak lama lagi. Mungkin ada benarnya pendapat tersebut. Haris-haris, walau berapapun anak abah yang dikurniakan Allah, haris tetap istimewa di hati abah.

Semenjak isteri saya mengandung, boleh dikatakan 70% kerja rumah seperti memasak, mengemas rumah dan cuci kain kebanyakkannya dilakukan oleh saya. Namun pengalaman menguruskan rumah semasa isteri mengandungkan haris banyak memberi kekuatan kepada saya apabila dia mengandung untuk kali kedua. Itu belumlagi menjaga isteri pantang selama 40 hari nanti. Kenapa, tak percaya? hehe, memang saya yang menjaga isteri semasa pantang selepas melahirkan haris. Dia anak yatim piatu. Dia juga tidak mahu menyusahkan Mak dan Abah saya di kampung. maka saat itu, sayalah yang menjaga dia selama mana dia berpantang. Sedikit latihan yang mak berikan pada saya, dapat juga saya melakukannya. Misalnya cara mandikan bayi dengan betul, cara memakaikan lampin, cara memakaikan baju dan resepi yang sesuai untuk isteri yang sedang berpantang. Bayangkan seawal 5 pagi saya perlu bangun untuk menyiapkan makanan buat isteri sebelum saya ke sekolah. Perlu sediakan air untuk mandian anak. Balik kerja perlu mandikan anak, masakkan makanan untuk makan malam isteri waktu itu. Ya Allah, 2 bulan yang penuh mencabar. Penat? Hanya Allah yang mengetahuinya. Namun saya tidak pernah rasa susah atas semua ini kerana inilah tanda terima kasih saya kepada Isteri tercinta kerana sanggup mengandungkan anak saya walaupun dugaannya sangat besar. Masih terbanyang keperitan yang ditanggung oleh isteri pada tiga bulan pertama mengandung. Tiap-tiap pagi muntah dan asyik berasa mual sehinggakan hilang selera makan. Terima kasih sayang, abang sangat-sangat menghargainya. Semoga Allah membalas segala pengorbanan sucimu ini. Kini, saya sedang menanti tarikh keramat untuk menatap wajah anak saya yang kedua. Siapapun kamu, Insya-Allah abah akan menerimamu dengan sepenuh hati.

Syukur padaMu ya Allah di atas segala kurnianMu kepadaKu selama ini. Nafas yang tidak pernah terhenti walau sesaat, nikmat makan dan buang yang masih berfungsi dengan baik, kekuatan badan dan fikiran yang tidak ternilai harganya, nikmat jiwa yang tenang dan bermacam-macam lagi sudah cukup bagiku ya Allah. Alhamdulillah, pemberianMu kepadaku walau dalam apa jua bentuk sudah cukup bermakna buatku ya Allah. Aku mohon ampun padaMu ya Allah andai selama ini ada tanda-tanda diriku tidak mensyukuri nikmatmu ya Tuhan. Tiadalah erti hidup ini tanpa nikmat kasih sayangMu ya Allah. Buat rakan pembaca sekalian, maaf kerana berkongsi cerita yang tidak berapa seronok dibaca ini. saya tidak tahu apa lagi apa yang hendak ditulis dan saya tidak mahu lagi "mendelete". Maka, lahirlah tulisan lawak yang ditulis dengan mata yang sangat mengantuk. Selamat berkongsi cerita semua. Selamat malam semua.

Salam ukhwah,

Assalamualaikum.






No comments:

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN Seperti yang kita sedia maklum, dua peperiksaan besar akan b...