Saturday, April 4, 2009

Manusia itu memang pelik!

Dalam sebuah kisah ada diceritakan tentang Luqman Hakim telah masuk ke dalam pasar bersama-sama anaknya. Luqman Hakim menaiki himar, manakalah anaknya mengikutinya dari belakang dengan hanya berjalan kaki. Melihat tingkah laku Luqman itu, setengah orang pun berkata, ‘Lihat itu orang tua yang tidak bertimbang rasa, sedangkan anaknya dibiarkan berjalan kaki.”

Setelah mendengarkan desas-desus dari orang ramai maka Luqman pun turun dari himarnya itu lalu diletakkan anaknya di atas himar itu. Melihat yang demikian, maka orang di pasar itu berkata pula, “Lihat orang tuanya berjalan kaki sedangkan anaknya sedap menaiki himar itu, sungguh kurang adab anak itu.”


Sebaik saja mendengar kata-kata itu, Luqman pun terus naik ke atas belakang himar itu bersama-sama dengan anaknya. Kemudian orang ramai pula berkata lagi, “Lihat itu dua orang menaiki seekor himar, adalah sungguh menyiksakan himar itu.”

Oleh kerana tidak suka mendengar percakapan orang, maka Luqman dan anaknya turun dari himar itu, kemudian terdengar lagi suara orang berkata, “Dua orang berjalan kaki, sedangkan himar itu tidak dikenderai.”

Dalam perjalanan mereka kedua beranak itu pulang ke rumah, Luqman Hakim telah menasihatai anaknya tentang sikap manusia dan telatah mereka. Kata Luqman kepada anaknya : “Sesungguhnya tiada terlepas seseorang itu dari percakapan manusia. Maka orang yang berakal tiadalah dia mengambil pertimbangan melainkan kepada Allah S.W.T saja. Barang siapa mengenal kebenaran, itulah yang menjadi pertimbangannya dalam tiap-tiap satu.”


Kisah di atas sememangnya sudah sering kita mendengarnya dari mulut-mulut penceramah ataupun daripada pembacaan kita secara langsung ataupun tidak. ia merupakan gambaran dunia di mana setiap apa yang kita laksanakan pasti dilihat berbeza-beza pada pandangan manusia. lihatlah bagaimana keadaan Luqman dan anaknya. setiap yang mereka lakukan ada sahaja yang dipertikaikan oleh manusia. Begitulah halnya dengan hidup kita di bumi Allah ini yang mana kita tidak akan lepas daripada pandangan dan nilaian manusia. apa yang penting, apabila kita melakukan sesuatu perkara utama yang harus kita fikirkan ialah nilaian Allah bukan nilaian manusia. Misalnya setelah tamat waktu bekerja ada di antara kita yang balik lewat sedikit dari masa yang dibenarkan. Maka tentu ada mulut-mulut manusia yang berbunyi mengatakan " nak bodek boslah tuh." Tetapi apabila kita balik awal dari kebiasaannya, maka terdengar pula mulut-mulut manusia yang mengatakan bahawa kita semakin malas dan berkira dengan kerja.

Itu hanyalah sekadar contoh sahaja, bukan niat bersangka buruk dengan sesiapa. Satu contoh di mana untuk menggambarkan sifat manusia yang tidak pernah senang terhadap orang lain. Hatinya kotor, sakit dan bernanah kerana sentiasa memandang dari sudut yang salah terhadap orang lain. Pada pandangannya, setiap perkara yang dilakukan oleh orang lain adalah sentiasa salah walaupun dia sendiri melihat ada kebenarannya. Orang sebegini akan sentiasa mencari jalan agar setiap tindakan yang betul itu akan dilihat salah oleh orang lain. Itulah jiwa orang yang sedang menderita sakit. Amat malang sekali kerana dia tidak menyedari dirinya adalah pesakit yang sedang menderita kerana hatinya diserang virus yang sangat berbahaya dan bisa membunuh jiwanya secara perlahan-lahan. Dia tidak sedar bahawa dia sedang mengidap penyakit yang sangat kronik dan perlukan pembedahan rohani pada kadar segera.

Buat diri kita yang lemah ini, ingatlah bahawa nilaian Allah itu yang paling penting. Jangan risau pada nilaian manusia. Biarlah apa orang mahu kata, tetapi risaulah jika Allah yang murka pada kita. Biarlah orang mencaci dan mengeji kita, tetapi janganlah kita tergolong dalam golongan yang Allah tidak mahu pandang di akhirat nanti. Biarlah kita nampak pelik pada pandangan manusia, tetapi jangan kita dilihat jelik pada pandangan Allah.

Selamat berubah kepada kehidupan Baru

salam ukhwah..

No comments:

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN Seperti yang kita sedia maklum, dua peperiksaan besar akan b...