Monday, July 18, 2011

Bersabarlah Wahai Guru...

Sekadar Berkongsi :

Di dalam al-Quran, Allah menerangkan tentang keutamaan sifat sabar lebih daripada 70 ayat (Haji Johari Haji Alias : 1997). Malah tidak kurang juga hadis-hadis yang disampaikan oleh Rasulullah SAW yang membicarakan tentang perihal sabar dalam kehidupan manusia. Sememangnya guru dan sabar itu ibarat pantai dengan lautan yang mana tidak boleh dipisahkan sama sekali. Di mana adanya pantai, di situlah terbentangnya lautan. Tidak mungkin berpantai tanpa lautannya. Begitulah jua dengan kerjaya seorang guru. Tidak lengkap title guru sekiranya ia tidak dilengkapi dengan sifat sabar.

Kesabaran seorang guru boleh dinilai dari beberapa aspek. Antaranya kesabaran ketika menyampaikan ilmu kepada pelajar, seperti saat memberi penerangan tentang sesuatu perkara di mana guru tidak boleh mengajar dengan tergopoh-gapah dan perlu menyampaikan ilmu mengikut tahap kemampuan pelajar dan tidak terlalu memaksa pelajar untuk menerima banyak perkara dalam satu masa. Sekiranya ada pelajar yang dilihat ketinggalan dan kurang faham, guru bersedia untuk menerangkan semula dengan penuh kesabaran. Keduanya kesabaran guru semasa berhadapan dengan kerenah pelajar yang boleh mengundang rasa marah dalam jiwa. Sabar di sini bukanlah bermakna guru hanya membiarkan pelajarnya melanggar disiplin semasa guru mengajar di dalam kelas. Tetapi kesabaran menuntut guru supaya bersabar dalam menguruskan masalah yang berkaitan disiplin di dalam kelas. Misalnya ketika guru memarahi pelajar, guru sentiasa bertindak dengan waras dan tidak melampaui batas yang mana akhirnya tidak hanya akan merugikan guru malah pelajar itu sendiri.

Dalam sejarah, Rasulullah SAW telah meninggalkan kepada kita tentang erti kesabaran yang sebenar. Lihatlah bagaimana sabarnya Rasulullah SAW melayan permintaan seorang lelaki yang meminta kebenaran daripada Rasulullah SAW untuk berzina. Baginda tidak memarahinya, tetapi menasihatinya dengan penuh hikmah. Nah! Lihatlah bagaimana kesannya pada jiwa si lelaki tersebut. Dalam kisah lain, mengisahkan bagaimana seorang perempuan tua berbangsa Yahudi yang buta matanya, memeluk Islam kerana kesabaran Rasulullah SAW melayannya dengan memberinya makan walaupun dia sentiasa berpesan kepada Rasulullah SAW agar berhati-hati dengan pemuda bernama Muhammad. Bermacam-macam diburukkan Rasulullah SAW, tetapi Rasulullah SAW tidak marah kepadanya, malah baginda tidak jemu memberinya makan setiap hari sehinggalah baginda wafat. Tidak pernah baginda mengherdiknya, apatah lagi mencederakannya. Malah baginda dengan sabar terus menyuapkan makanan ke mulutnya dengan suapan yang baik. Tingginya nilai kesabaran dalam diri Rasulullah SAW, akhirnya wanita itu memeluk Islam walaupun ketika itu Rasulullah SAW telah pergi meninggalkan kita.

Bagaimana perasaan anda apabila membaca hadis di bawah ini. Adakah anda mampu bersabar sebagaimana sabarnya baginda melayani tindakan kasar lelaki tersebut. Mari kita hayati bersama hadis ini.

Daripada Anas r.a. Katanya,

“Aku berjalan bersama-sama Rasulullah SAW. Baginda memakai selendang kasar tepinya buatan Najran. Baginda bertemu dengan seorang Arab Badwi lalu direntapnya selendang baginda dengan rentapan yang kasar, sehingga aku melihat kesan di tengkuk baginda akibat rentapan yang kasar itu. Kemudian orang Arab itu berkata, “Wahai Muhammad, perintahkanlah supaya diberikan kepadaku daripada harta Allah apa yang ada pada kamu,” Maka Rasulullah SAW berpaling kepadanya sambil ketawa. Kemudian baginda memerintahkan supaya diberikan sedekah kepadanya.”

[Riwayat Imam Bukhari dan Muslim]

Begitulah hebatnya nilai sabar yang di bawa oleh Rasulullah SAW sebagai contoh tauladan kepada kita untuk dipraktikkan di dalam kerjaya sepanjang kita bergelar seorang guru. Kita mungkin tidak mampu bersabar sebagaimana sabarnya Rasulullah SAW, tetapi kita perlu berusaha untuk menjadi insan yang sabar agar pengajaran kita memberi makna kepada pelajar. Pada pandangan anda, apakah perasaan pelajar yang agak bermasalah di dalam kelas dipanggil dengan panggilan yang baik oleh gurunya. Adakah pelajar akan membenci gurunya yang mengajar dengan sabar semasa di dalam kelas dan sentiasa bersedia melayan apa jua persoalan yang berkaitan isi pengajarannya yang dibangkitkan oleh pelajarnya. Kerana itu nilai sabar diletak lebih tinggi nilainya daripada kaedah pengajaran yang dipraktikkan oleh guru semasa mengajar. Apa akan terjadi kepada pelajar sekiranya guru mengajar dengan tergesa-gesa dan tidak sabar. Adakah ia akan melahirkan rasa selesa di kalangan pelajar. Guru sibuk mempelbagaikan kaedah pengajarannya di dalam kelas, tetapi guru tidak sabar semasa mengajar. Maka guru tidak akan mampu menjadi guru yang berkesan di mata pelajar. Biarlah hanya menggunakan kaedah yang tidak dilihat hebat, tetapi pelajar senang dengan pengajaran guru kerana guru sentiasa bersabar semasa menyampaikan ilmu kepada mereka. Mereka tidak takut untuk bertanya kerana mereka tahu guru akan berusaha untuk membantunya. Mereka tidak takut untuk memberi pandangan kerana mereka tahu guru akan bersedia untuk mendengar pandangan mereka dan tidak cepat melenting sekiranya pandangan tersebut bertentangan dengan pandangan gurunya. Maka dengan kesabaran itulah pelajar berusaha untuk menerima pengajaran guru dengan penuh keikhlasan dan keazaman.

Bersabarlah wahai guru

Benar, guru perlu banyak bersabar ketika mengajar kerana ia akan meningkatkan martabat guru di mata pelajar. Tindakan yang terburu-buru akan memburukkan lagi keadaan yang sedia ada. Dengan adanya kesabaran masalah akan dapat diselesaikan dengan cara yang berhemah dan terbaik. Bersabar juga dapat mengelak daripada berlakunya kejadian-kejadian yang tidak diingini seperti guru bertindak keterlaluan terhadap pelajar ataupun sebaliknya. Apa yang lebih membimbangkan kesannya sehingga menyebabkan guru diambil tindakan undang-undang daripada pihak-pihak yang berkepentingan.

Selain itu juga, tidak ada yang lebih bermakna bagi diri seorang guru yang sentiasa bersabar dengan kerenah pelajarnya melainkan akan diangkat martabat dirinya di sisi Allah sebagaimana yang disebut oleh Rasulullah SAW.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud,

“Sesungguhnya orang mukmin akan menerima tekanan hidup kerana tidak ada satu bencana sama ada kerana terkena duri atau yang lebih besar, tidak juga ketakutan melainkan Allah akan mengangkat darjatnya satu darjat dan menghapuskan satu kesalahan dengan kesabarannya menghadapi bencana dan kesusahan tersebut.” [Riwayat Al-Hakim]

Percayalah wahai guru sekalian bahawa kesabaran itu adalah perilaku yang baik yang menjadi tunjang utama dalam pengajaran guru. Ia adalah akhlak yang dipancarkan oleh Rasulullah untuk menerangi kegelapan manusia di alam ini. Allah tidak pernah menzalimi hamba-hambanya. Apabila guru diuji dengan dugaan yang ringan ataupun berat, pasti disertakan dengan jalan penyelesaiannya. Maka bersabarlah wahai guru. Yakinlah Allah sentiasa bersama kamu.

Allah SWT berfirman di dalam al-Quran :

Maksudnya : “Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.”

[al-Insyirah : 6]

Dipetik dan diubahsuai daripada buku : Hebatnya Cara Rasulullah Mendidik

Tulisan Razali Saaran.

1 comment:

SALLEH DERMAWAN said...

Sungguh molek nasihat dan anjuran agama Islam dalam memberi solusi mantap kepada para pendidik. Mohon dijelaskan kepada para pendidik juga jika tidak tertahan lagi melihatkan dan melayan karenah murid yang mencabar maruah seseorang guru di dalam kelas. Sebagai contoh jika pelajar tersebut mengatakan sesuatu yang biadap..." cikgu ingat saya bodoh macam cikgu..? ...cikgu yang kurang ajar... dan sebagainya. Tahap kesabaran seseorang pasti amat tipis dalam menghadapi situasi seumpama ini.Terima kasih.

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN Seperti yang kita sedia maklum, dua peperiksaan besar akan b...