Zaman ini begitu ramai orang yang begitu gembira apabila diberi jawatan. Malah ada yang sanggup bertindak diluar jangka semata-mata untuk memastikan jawatan itu berpihak kepadanya. Misalnya ada yang sanggup memfitnah, mengadu domba, merasuah dan bermacam-macam lagi dengan niat untuk mendapatkan jawatan yang diimpikannya itu. Tahukah anda bahawa jawatan itu adalah sesuatu yang begitu berat tanggungannya di akhirat kelak? Semakin besar jawatan, semakin besar tangungjawab, semakin beratlah amanahnya dan semakin banyaklah persoalan yang perlu dijawab di depan Allah kelak. Jawatan juga akan menjadikan seseorang itu dihormati atau dikeji. Namun ramai orang tidak sedar dan begitu taksub dengan jawatan. Malah ada yang begitu berbangga dengan jawatannya. Jika tertinggal perkataan ” Tuan/Puan”, apabila nama disebut masam mencuka mukanya. Jika tidak ”bangun” apabila dia datang berubah air mukanya. Mereka ini, dalam apa jua keadaan sentiasa inginkan penghormatan daripada manusia.
Ubati hatimu wahai pemimpin..
Seorang pemimpin yang baik mesti bermula dari hatinya. Apabila baik hatinya, maka baiklah tingkahlakunya. Jika kotor hatinya, maka buruklah tingkahlakunya. Ayuh para pemimpin sekalian walau dimana peringkat kamu berada dalam organisasi, ubatilah hatimu. Hanya hati yang bersih sahaja mampu memangkin kepimpinan yang terbaik dalam dirimu selari dengan kehendak agama.
Mari renungkan...
Daripada Abdul Rahman bin Samurah, daripada Nabi SAW sabdanya: “Wahai ‘Abd ar-Rahman! Jangan engkau meminta jawatan pemimpin. Sesungguhnya jika engkau diberikannya dengan permintaan maka engkau dibebankan (tidak ditolong). Sekiranya engkau diberikannya tanpa permintaan maka engkau dibantu (oleh Allah)
(Riwayat Bukhari dan Muslim, Abu Dawud, Tirmizi, Nasaie dan Ahmad)
No comments:
Post a Comment