Alhamdulillah,
dapat juga menulis sedikit untuk perkongsian bersama. Sedikit panduan mesyuarat
berkesan. Ini bukanlah panduan yang lengkap, sekadar pandangan untuk membuka
minda sahaja. semoga memberi sedikit manfaat buat semua.
Sumber Gambar : http://www.darienctchamber.com/civicrm/event/info?reset=1&id=27
Oleh : Razali
Saaran
Beberapa ciri
mesyuarat berkesan :
- Cukup ahli-ahlinya ( Pengerusi, s/u,
ajak, dan pihak-pihak yang difikirkan perlu)
- Agenda mesyuaratnya jelas dan
tersusun mengikut keutamaan.
- Tempoh masa tidak melebihi dua jam.
Sekiranya agendanya terlalu banyak dan dibimbangi akan melebihi dua jam,
eloklah diutamakan agenda yang paling penting dahulu. Agenda-agenda lain
boleh disambung dalam mesyuarat akan datang dengan persetujuan ahli
mesyuarat. Sepatutnya pengerusi tidak menggunakan kuasa vetonya.
Amalkanlah semangat kerja berpasukan dan meminta terlebih dahulu pandangan
ahli mesyuarat. Keadaan itu dilihat lebih mesra organisasi dan pengerusi
akan lebih dihormati.
- Elakkan bercakap perkara yang di luar
agenda. Contohnya jika agenda yang dibincangkan berkaitan dengan projek A,
tidak perlulah ditanya tentang projek B dan C. Ini kerana akan menyebabkan
waktu mesyuarat akan menjadi panjang dan lari daripada matlamat mesyuarat.
Sedangkan tujuan menyuarat untuk memantau perkembangan atau berbincang dan
menyelesaikan sesuatu permasalahan. Bukan membangkitkan persoalan yang
lain daripada agenda yang telah ditetapkan.
- Pengerusi perlu menggalakkan sesi
percambahan idea dalam mesyuarat. Jika hanya sehala, itu bukan dipanggil
mesyuarat. Itu taklimat!
- Elakkan membuat keputusan seorang diri.
Ini kerana tujuan mesyuarat untuk mendapat keputusan majoriti ataupun
suara ramai. Jika keputusan dibuat seorang diri dan ahli mesyuarat hanya
mengangguk kepala sahaja, lebih baik tidak memanggil mesyuarat. Cukup
dipanggil taklimat untuk perlaksanaan. Tidak membuang masa dan tidak
menyakitkan hati ahli mesyuarat yang terpaksa berada berjam-jam dalam
bilik mesyuarat, sedangkan keputusannya telah ditetapkan dan wajib
diterima.
- Seorang pengerusi perlu memahami apa
tujuan mesyuarat dipanggil dan mempunyai maklumat yang lengkap untuk
dibentangkan. Pengerusi
juga perlu belajar mengawal mesyuarat supaya perbincangan berada di atas
landasan agenda yang telah ditetapkan. Janganlah pengerusi ” syok ”
sendiri ketika mempengerusikan mesyuarat. Kegagalan menguruskan mesyuarat
adalah satu tanda kegagalan seseorang pemimpin itu dalam mentadbir
organisasinya. Jadilah pengerusi yang bersedia menerima teguran dan
kritikan dengan hati terbuka. Jika ada perkara yang hendak ditegur,
berhikmahlah dan elakkan membuat teguran khusus kepada individu tertentu.
Jika ada teguran bersifat peribadi, tegurlah di bilik anda bukan di bilik
mesyuarat. Teguran secara terbuka adalah sudah memadai kerana ’ siapa yang
makan cili pasti terasa pedasnya’.
- Akhir sekali, jangan dilupa ucapan
terima kasih pada yang telah melaksanakan tugasan mengikut perancangan. Itu
adalah motivasi terbaik untuk ahli organisasi terus berbakti dengan penuh
semangat dan tunjukkan keprihatinan pada ahli organisasi yang memerlukan
bantuan jika wujud permasalahan dalam tugasan yang sedang dilaksanakan.
Wallahu’lam
No comments:
Post a Comment