Friday, March 29, 2013

Berdoalah !


Oleh : Razali Saaran

 


BERDOALAH!


Saya ingin bertanya, apakah perasaan anda sekiranya seseorang yang kaya-raya dan berkedudukan tinggi berkata kepada anda ” mintalah apa sahaja, saya akan memberikannya kepada anda”. Saya percaya tentunya anda berasa begitu gembira bukan? Ini kerana kata-katanya itu adalah jaminan bahawa apa sahaja yang diminta pasti akan dipenuhi olehnya.

“Berdoalah kepada-Ku, niscaya akan Kuperkenankan bagimu.”

[ Surah al-Mu’min : 60 ]


Sekarang, cuba perhatikan ayat 60 daripada surah al-Mu’min tersebut. Kemudian cubalah anda fahami maksudnya sedalam-dalamnya. Saya percaya sudah tentu anda memahami maksud ayat tersebut. Jika anda begitu gembira di atas jaminan yang manusia berikan, sudah tentu anda dapat berfikir bagaimana hebatnya tawaran yang diberikan oleh Allah yang telah menciptakan manusia. Sudah tentu tawaran tersebut lebih tinggi nilainya. Malah tidak mampu dinilai dan dibandingkan dengan apa jua sekalipun. Bukankah dalam ayat tersebut Allah telah memberi jaminan kepada manusia bahawa Dia akan memperkenankan doa hamba-hambaNya sekiranya mereka bermohon kepadaNya. Subhanallah, itu jaminan Allah kepada kita semua adik-adikku. Ya, jaminan kepada saya, anda dan semua hambaNya.

Dia begitu dekat denganmu dan memperkenankan permohonanmu!

Mengertilah bahawa sesungguhnya Allah sangat dekat dengan hamba-hambaNya. Dia juga akan mengabulkan doa hamba-hambaNya yang beriman dan melaksanakan segala perintahNya yang bermohon kepadaNya. Ini dinyatakan di dalam Allah di dalam firmannya yang bermaksud:

Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.”

[ Surah al-Baqarah: 186 ]


Dari Anas r.a, bahawasanya Nabi SAW bersabda:
Allah Taala berfirman, “Aku menuruti persangkaan hamba-Ku terhadap-Ku dan Aku akan sentiasa bersamanya jika ia berdoa kepada-Ku.”
[ Hadis Riwayat Ahmad ]

“ Wahai manusia, sayangilah diri kalian, sesungguhnya kalian tidak berdoa
kepada yang tuli dan tidak pula yang jauh, kalian berdoa kepada Yang Maha
Mendengar dan Dekat, dan Dia selalu menyertaimu”

[ Riwayat Imam Bukhari ]

Maka Berdoalah!

Mengapa anda begitu sukar untuk berdoa kepadaNya sedangkan jaminanNya begitu jelas. Malah Allah tidak pernah memungkiri janjiNya. Berdoa itu suruhan Allah kepada hambaNya. Sudah tentu keistimewaannya begitu besar kerana ia adalah suatu suruhan dan galakan daripadaNya. Maka apa yang anda tunggu-tunggu lagi. Rebutlah peluang yang ada ini. Tadahlah tanganmu dan panjatkanlah doamu. Mudah-mudahan doamu itu diterima olehNya.

Kemudiannya apabila anda telah berdoa, serahkanlah ia kepadaNya samada akan memakbulkan dengan segera atau menangguhkannya. Di sisiNya, setiap perkara yang telah ditetapkan itu mengandungi hikmahnya yang tersendiri. Sebagai hamba anda tidak berhak mempersoalkan kerana memakbulkan doa itu adalah hak Allah. Tahukah anda bahawa Rasulullah sendiri berdoa apabila ditimpa kesulitan. Perhatikan doa di bawah ini :


Ketika mana Rasulullah SAW dihalau oleh penduduk Thaif, Baginda turut berdoa kepada Allah pada ketika itu. Sambil mengangkat tangan, Baginda bermunajat kepada Allah dengan mengatakan :

 “Ya Allah, hanya kepadaMu aku mengadu betapa lemah kekuatanku, betapa sempit usahaku dan betapa rendah diriku menghadapi manusia. Ya Tuhan Yang Maha Pengasih di antara mereka yang belas kasih. Engkaulah Tuhan orang-orang yang tertindas dan Engkaulah Tuhanku. Kepada siapakah gerangan akan Engkau serahkan diriku? Kepada orang jauhkah, yang akan berlaku bengis terhadapku, ataukah kepada seorang musuh yang Engkau beri kekuasaan dia atas urusanku? Asalkan Engkau tidak murka kepadaku, maka bagiku itu tidak menjadi soal, tetapi ampunanMu itulah yang bagiku lebih luas. Aku berlindung kepada cahaya dzat Engkau, yang menerangi segala kegelapan dan yang kerananya urusan dunia dan akhirat menjadi mudah, jangan kiranya Engkau turunkan kepadaku kemurkaanMu, atau Engkau tujukan kepadaku kebencianMu. Hanya bagiMu keredaan, sehingga Engkaulah yang akan memberi keredaan. Dan tiada daya mahupun kekuatan selain dengan pertolonganMu jua.”


Bahkah Nabi Ayub juga berdoa kepadaNya!

Nabi Ayub a.s ketika ditimpa ujian yang begitu hebat juga menadahkan tangan kepadaNya. Kisah ini dinukilkan di dalam al-Quran yang berbunyi :

Dan (ingatlah kisah) Ayub, ketika ia menyeru Tuhannya : (Ya Tuhanku), sesungguhnya aku telah ditimpa penyakit dan Engkau adalah Tuhan Yang Maha Penyayang di antara semua penyayang. Maka kami pun memperkenankan seruannya itu, lalu Kami lenyapkan penyakit yang ada padanya dan Kami kembalikan keluarganya kepadanya, dan Kami lipat gandakan bilangan mereka sebagai suatu rahmat dari sisi Kami dan untuk menjadi peringatan bagi semuayang menyembah Allah”.

[ Al-Anbiya’:83-84 ]

Begitu juga dengan Nabi Musa a.s yang juga berdoa kepadaNya ketika berhadapan dengan firaun. Ini buktinya:

Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku, dadaku, Dan mudahkanlah bagiku, tugasku, Dan lepaskanlah simpulan dari lidahku, Supaya mereka faham perkataanku.

[  Taha : 25-28]

Jika mereka manusia yang begitu Istimewa di sisi Allah juga berdoa, mengapa anda tidak mahu menuruti jejak langkah mereka. Pada saya, orang yang tidak mahu memanjatkan doa kepada Allah adalah orang sombong dan tidak mahu bersyukur kepadaNya. Janganlah anda juga bersikap seperti mereka yang sombong dan tidak bersyukur itu. Jadilah hambaNya yang sentiasa merendah diri kepadaNya dan menaruh harapan kepadaNya dan meletakkan nilai kebergantungan kepada Allah semata-mata.


Jagalah Adabmu Ketika Berdoa

Tentunya anda biasa meminta sesuatu daripada orang tuamu. Saya ingin bertanya, bagaimanakah caranya anda meminta daripada mereka. Saya percaya, semestinya anda menggunakan bahasa yang baik dan sopan serta bernada memujuk. Dengan harapan orang tuamu akan ’cair’ dengan pujuk rayumu itu. Pada pandangan anda, adakah orang tuamu akan memenuhi permintaanmu sekiranya bahasa yang anda gunakan begitu kasar dan kesat? Sudah tentu anda tahu jawapannya bukan?

Adik-adikku, begitulah juga apabila anda ingin memohon sesuatu daripada Allah, Tuhan yang telah menciptakan anda dan seluruh alam ini.. Jagalah bahasamu, penampilan dirimu, tempat anda berdoa dan bermacam-macam lagi yang perlu diberi perhatian kerana darjat Allah itu lebih tinggi daripada segala-galanya.

Dalam satu riwayat telah menceritakan ketika mana Rasulullah duduk , tiba-tiba telah masuk seorang lelaki lalu berdoa:

Allahummaghfirli warhamni.”

Maka Rasulullah SAW bersabda:

“Anda tergesa-gesa wahai orang yang berdoa, jika anda berdoa maka
duduklah, lalu ucapkan pujian kepada Allah dengan sesuatu yang layak bagiNya, dan bersalawatlah kepadaku kemudian berdoalah .”

Kemudian ada seorang lelaki lain berdoa setelah itu dan ia mengucapkan pujian kepada Allah dan bersalawat kepada nabi, maka nabi berkata kepadanya:

” Wahai orang yang berdoa, berdoalah engkau, nescaya ia akan dikabulkan”

[ Riwayat Imam Tirmizi ]

Di dalam al-Quran sendiri Allah telah mengingatkan kita tentang perlunya menjaga adab ketika berdoa kepadaNya.

Allah berfirman yang bermaksud :

Berdoalah kepada Tuhan anda dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.

[ al-A’raf : 55 ]




Beberapa Kebaikan Doa Kepadamu[1]

  1. Dapat mententeramkan jiwa
  2. Mengelakkan diri dari sifat putus asa
  3. Akan sentiasa dikasihi Allah
  4. Sentiasa dekat dengannya
  5. Diberi kekuatan hati
  6. Sebagai tanda kebergantungan sepenuhnya kepadanya


Masa Yang Paling Baik Berdoa[2]

  1. KETIKA SUJUD DALAM SOLAT

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
” Waktu yang paling hampir seseorang hamba itu dengan Tuhannya ialah ketika ia sedang sujud, maka perbanyakkan olehmu doa (dalam sujud).”
[ Riwayat Imam Muslim ]

  1. Di antara dua khutbah jumaat
  2. Selepas azan
  3. Sepertiga malam ( qiammulail )
  4. Waktu bersahur
  5. Ketika hujan turun
  6. Selepas solat 5 waktu
  7. Ketika berpuasa
  8. Selepas membaca al-Quran


Mengapa Doa Anda Tidak Makbul?

Terdapat beberapa sebab mengapa doa-doa tidak dimakbulkan. Antaranya ialah :[3]

  1. terlalu banyak melakukan dosa dan maksiat
  2. berdoa di tempat maksiat
  3. mengabaikan kewajiban terhadap Allah
  4. tidak mengamalkan isi kandungan al-Quran dan sunnah Nabi
  5. Derhaka kepada orang tua
  6. Hati yang kotor

Rahsia Besar Sebuah Doa!

Daripada Abdullah Bin Umar, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Kalbu ( hati ) itu adalah tempat mengingat-ingati sesuatu. Sebahagian kalbu itu lebih ingat daripada yang lain. Kalau kamu bermohon kepada Tuhan, wahai manusia, bermohonlah dengan penuh keyakinan bahawa doamu itu akan dikabuli ( diperkenankan ) Tuhan. Dan Tuhan tidak mengabuli doa orang yang hatinya kosong atau lalai.”

[ Riwayat Imam Ahmad ]


Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud :

“ Mintalah kepada Allah sedang kamu yakin akan terkabulnya ( doamu itu ), dan ketahuilah, Allah tidak mengabuli doa daripada hati yang lalai dan bimbang.”

[ Riwayat Imam Tirmizi dan Hakim ]

Dipetik dan diubahsuai daripada buku " NOTA HATI BUAT PELAJAR" tulisan Razali Saaran.





[1] Dirujuk daripada buku Wirid Dan Doa Selepas Sembahyang, tulisan Ibnu Mahyudin.hlm 7-12
[2] Ibid
[3] Ibid

No comments:

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN Seperti yang kita sedia maklum, dua peperiksaan besar akan b...