Friday, July 12, 2013

Pesanan Ringkas Buat Pelajar Yang Baru Melangkahkan Kaki Ke IPT

Tahniah saya ucapkan kepada adik-adik yang baru melangkahkan kaki ke alam belajar yang baru. Alam di mana ia sangat berbeza dengan alam persekolahan yang anda pernah lalui sebelum ini.


Selamat Datang Ke Dunia Baru

Apabila anda melangkahkan kaki ke IPT, anda sedang memasuki dunia baru. Begitulah perumpamaannya. Tiada lagi teman-teman rapat yang telah belajar bersama anda sejak sekolah rendah atau menengah. Tiada lagi guru-guru yang saban masa asyik menanyakan tentang perkembangan pelajaran anda. Tiada lagi ibu ayah yang sentiasa berada di sisi anda selama ini. Kini anda di dunia baru. Anda bersendirian membawa diri. Seandainya anda kuat maka tiada beban yang berat untuk anda meneruskan kehidupan anda di sana. Seandainya anda lemah, bersedialah dari sekarang untuk memperkuatkan diri dan semangat anda. Jika tidak pelajaranmu akan terganggu.

Ia Sangat Berbeza

Sekitar tahun 1997, kali pertama saya menjejakkan kaki ke IPT, saya dapat merasakan pada ketika itu keadaannya sangat berbeza sekali. Tempoh belajar dalam sistem semester yang pendek, menyebabkan tiada masa untuk berehat pada waktu itu. Dunia baru, menyebabkan tekanan dipermulaannya sangat hebat sekali. saya pernah berasa hampir putus asa apabila belajar subjek akaun yang tidak pernah saya kenali sebelum itu. Saya percaya, akan ada di antara anda yang akan mengalami perasaan yang saya pernah alami dahulu.

Ia Bukan Kebebasan, Ia Sebenarnya Beban!

Saya perhatikan, di alam belajar di peringkat IPT, ramai pelajar mengambil kesempatan untuk terbang bebas di angkasa. Bagi mereka, inilah masanya setelah sekian lama terkongkong di rumah bersama keluarga. Sebenarnya belajar di IPT bukan satu peluang untuk bergerak bebas tanpa batas agama, sebaliknya ia adalah beban yang sedang ditanggung untuk tempoh tiga tahun, empat tahun, lima tahun atau lebih daripada itu. Apakah bebannya? Beban untuk memastikan diri anda berjaya. Ya itulah beban yang sedang anda bawa apabila anda melangkahkan kaki buat kali pertama ke IPT yang anda kini sedang berada. Jika anda merasakan ini adalah kebebasan, tidak mustahil akan ada insan yang mengangis kerana kegagalan anda suatu hari nanti.

Belajarlah dan Capailah Keputusan Yang Terbaik

Ya, inilah sebenarnya matlamat sebenar anda sepanjang berada di sana. Nah, inilah bebannya. Ianya sangat berat, walaupun zahirnya tidak nampak beban yang sedang dipikul itu. Gunakanlah masa yang ada ini untuk berjaya dengan cemerlang.

Bukan Sekadar Belajar

Selain belajar dan mendapat keputusan yang cemerlang, gunakanlah masa anda selama beberapa tahun di sana dengan melibatkan diri dalam aktiviti IPT yang berfaedah. Antara aktiviti yang terbaik ialah berpersatuan. Libatkanlah diri anda dengan aktiviti persatuan. Kerana ia akan membentuk jati diri, keyakinan diri dan meningkatkan kemahiran tertentu seperti kepimpinan, komunikasi, perancangan dan pelbagai lagi. Janganlah sekadar belajar kerana keseimbangan dalam akademik dan ko-akademik itu sangat penting dan inilah yang sering menjadi penilaian oleh penggaji-penggaji di luar sana apabila mereka mencari pekerja.

Janganlah Berputus Asa

Saya pernah menyebut di dalam buku saya ” Nota Hati Buat Pelajar” bahawa kegagalan pada hari ini adalah kejayaan yang Allah tangguhkan buat anda. Maksudnya kejayaan itu ada, cuma ia tertangguh kerana beberapa sebab. Sekiranya suatu hari nanti anda gagal dalam subjek tertentu, janganlah berputus asa. Masih ada peluang untuk memperbaikinya selagi mana peluang itu masih terbuka. Namun sekiranya tiada, redalah dengan ketentuannya. Jangan sesekali berputus asa kerana ada banyak lagi kejayaan yang masih menanti anda di hadapan sana. Apa yang penting, semester yang masih berbaki, hendaklah diteruskan dan dihadapi dengan tenang dan terancang. Mudah-mudahan anda akan beroleh kejayaan. menangisi yang lepas hanyalah kerja sia-sia. Meneruskan apa yang ada adalah sikap terpuji. Mengertilah!

RAZALI SAARAN

www.teratakmuslim.blogspot.com

No comments:

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN Seperti yang kita sedia maklum, dua peperiksaan besar akan b...