Tuesday, September 11, 2018

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN

BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN
Apa yang kita boleh buat dalam masa terdekat menjelang peperiksaan yang semakin hampir? Di sini saya kongsikan sedikit tip buat tatapan semua. Ada banyak lagi, cuma ini yang mampu dikongsikan untuk waktu ini. Moga ada manfaat buat semua, terutamanya yang bakal menduduki peperiksaan tidak lama lagi. Buat yang baru mula hendak belajar secara serius, ingat, memang masa semakin singkat, tetapi percayalah, anda masih sempat. Insya-Allah.
1. Fokus pada hari yang masih berbaki.
Maksudnya, pelajar perlu memberi sepenuh tumpuan menjelang hari peperiksaan yang bakal tiba. Abaikan perkara remeh-temeh yang boleh mengganggu fikiran. Sebarang perkara yang boleh mengganggu fikiran perlu dijauhi. Kita biasa melihat, gangguan-gangguan hari-hari terakhir itu boleh menyebabkan kita hilang fokus sehingga boleh mengganggu tumpuan terhadap peperiksaan yang semakin hampir. Ibarat perlawanan bola sepak yang sudah sampai pada minit-minit terakhir, sekiranya para pemain tidak memberi tumpuan sepenuhnya terhadap lawannya, mungkin akhirnya pihak lawan dapat menembusi gawang pasukannya akibat kecuaian sendiri. Sekiranya mereka memberi sepenuh tumpuan, mungkin pihak lawan hilang terus taringnya.
2. Pastikan semua tajuk telah dikuasai.
Jika pelajar tidak menguasai semua tajuk, bermaksud mereka belum bersedia sepenuhnya. Buat senarai semak tajuk ( tajuk besar dan sub tajuk ) dan tanda mana yang telah dikuasai. Mana yang belum, usahakan segera. Buat nota-nota kecil dan ringkas untuk memudahkan proses mengingat secara berterusan. Nota ringkas akan memudahkan proses mengingat semula dengan lebih pantas dan mudah menjelang peperiksaan. Buat latihan soalan sebenar. Pastikan tempoh menjawab mengikut tempoh masa yang telah ditetapkan. Latihan menjawab ini penting untuk membiasakan diri dengan bentuk soalan dan tempoh masa menjawab sebenar nanti.
3. Belajar secara berkumpulan
Mahu tidak mahu, bagi pelajar yang mungkin baru sahaja insaf, belajar secara berkumpulan lebih mudah memberi pemahaman kepadanya terhadap sesuatu tajuk. Lantiklah seorang ketua dan si ketua akan menjadi ‘guru’ kepada ahli kumpulannya. Cara ini bukan sahaja pantas membantu, bahkan menjadikan si ketua semakin ingat dan menguasai topik-topik yang diajar kepada rakan-rakannya. Semasa saya mengambil SPM dahulu, inilah yang diamalkan dan kami belajar di kantin sekolah pada waktu petang. Sebaiknya, biarlah ada papan hitam atau putih di tempat itu untuk memudahkan sesi perkongsian dilakukan.
4. Dampingi guru
Di saat akhir, sentiasalah mendampingi guru. Minta tunjuk ajar dan tip-tip yang boleh membantu dalam menjawab soalan peperiksaan. Bagi pelajar yang belajar di saat akhir, inilah masanya bertemu guru-guru untuk mendapatkan tunjuk ajar. Jangan malu. Masa sudah singkat. Tahanlah telinga yang mungkin sedikit pedih. Apa yang penting, dengan tempoh yang masih berbaki ini, gunakanlah sebaiknya. Rebut peluang selagi ada sehingga ketitisan yang terakhir.
5. Jaga hubungan dengan Pencipta Kita
Dalam hidup ini, tiadalah upaya melainkan dengan izin-Nya. Maka, jangan sesekali kita melupakan-Nya. Untuk adik-adik yang bakal menghadapi peperiksaan, jaga hubungan dengan-Nya. Mintalah kepada-Nya dengan penuh kesunggguhan. Antaranya dengan menjaga solat-solat wajib. Disamping itu melakukan solat-solat sunat seperti solat taubat, hajat dan tahajjud. Bukankah Allah telah berjanji akan memberi pada yang meminta di sepertiga malam?
“Rabb kita turun ke langit dunia pada sepertiga malam yang akhir pada setiap malamnya. Kemudian berfirman: ‘Orang yang berdoa kepada-Ku akan Ku kabulkan, orang yang meminta sesuatu kepada-Ku akan Kuberikan, orang yang meminta ampunan dari-Ku akan Kuampuni‘” (HR. Bukhari dan Muslim)
Maka, mengapa tidak mahu direbut peluang tersebut.
Selain itu, banyakkan berdoa. Ingatlah, doa itu senjata mukmin… berdoalah, kerana Allah telah mengingatkan kita bahawa Dia akan memperkenankan orang yang berdoa kepada-Nya.
“ Dan Tuhan kamu berfirman, Berdoalah pada-Ku, nescaya akan Aku perkenankan bagimu………………”. ( Al-Ghaafir : 60 )
Dan, perbanyakkan istighfar. Mudah-mudahan, dengannya Allah ampuni kita, permudahkan urusan hidup kita dan dibukakan rezeki dari jalan-jalan yang tidak disangka.
“ Orang yang memperbanyakkan istighfar, maka Allah akan menjadikan kemudahan dalam setiap kesusahannya, memberikan jalan keluar dari setiap kesempitannya dan memberikan rezeki dari jalan-jalan yang tidak disangka-sangka”. ( HR Imam Ahmad )
Wallahua’lam
Razali Saaran 
Nota Hati Buat Pelajar

No comments:

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN Seperti yang kita sedia maklum, dua peperiksaan besar akan b...