Friday, December 19, 2008

Dendam VS Kemaafan



Sukalah dimaklumkan bahawa artikel yang bertajuk " Dendam VS Kemaafan" ini adalah merupakan tulisan teratakmuslim sendiri. Teratakmuslim di sini merujuk kepada saya sendiri iaitu Razali Bin Saaran. Buat pengetahuan semua sebahagian daripada artikel tersebut diambil daripada buku yang sedang saya tulis pada waktu itu iaitu berkaitan dengan kaedah mengajar cara rasulullah yang belum diterbitkan lagi. Sekiranya buku tersebut diterbitkan maka ia telah menjadi hak milik penerbit buku tersebut. Jadi adalah diharapkan mereka yang mengambil artikel tersebut menyatakan sumber rujukannya dari blog saya ini( Teratakmuslim). Sekiranya telah diambil dan tidak dinyatakan sumbernya saya halalkan. Sekian untuk makluman.


Jika kita menelusuri sirah Nabi SAW, sudah pasti kita akan bertemu dengan kisah bagaimana Nabi telah dicaci dan dihina oleh penduduk Tha’if . Berdasarkan rujukan sirah, semasa Nabi bersama para sahabat melangkahkan kaki untuk meninggalkan negeri Tha’if, selama itulah Nabi dilontari dengan cacian dan makian yang disoraki oleh orang-orang dan kanak-kanak yang diarahkan oleh pemimpin Tha’if. Baginda bukan sekadar dilontari kata-kata penghinaan, malah Baginda turut dilontari batu-batu sehingga menyebabkan kaki Baginda berdarah. Setiap kali Nabi duduk sebentar melepaskan lelah, mereka terus memaksa Baginda berjalan keluar dari negeri mereka . keadaan itu berterusan sehinggalah Baginda sampai di sebuah kebun yang dimiliki Utbah bin Rabi’ah. Di situ baginda berehat sebentar dan setelah baginda berasa tenang , lalu baginda mengangkat tangan berdoa :

“ Ya Allah, hanya kepadaMu aku mengadu betapa lemah kekuatanku, betapa sempit usahaku dan betapa rendah diriku menghadapi manusia , Ya Tuhan Yang Maha Pengasih di antara mereka yang belas kasih. Engkaulah Tuhan orang-orang yang tertindas, dan Engkaulah Tuhan. Kepada siapakah gerangan akan Engkau serahkan diriku? Kepada orang jauhkah, yang akan berlaku bengis terhadapku, ataukah kepada seorang musuh yang Engkau beri kekuasaan dia atas urusanku? Asalkan Engkau tidak murka kepadaku, maka bagiku itu tidak menjadi soal, tetapi ampunanMu itulah yang bagiku lebih luas. Aku berlindung kepada cahaya Dzat Engkau, yang menerangi segala kegelapan dan yang keranannya urusan dunia dan akhirat menjadi mudah, jangan kiranya Engkau turunkan kepadaku kemurkaanMu, atau Engkau tujukan kepadaku kebencianMu. Hanya bagiMu keredhaan, sehingga Engkaulah yang akan memberi keredhaan. Dan tiada daya maupun kekuatan selain dengan pertolonganMu jua “



Mari kita perhatikan bersama-sama bait-bait doa yang telah diungkapkan oleh junjungan kita Nabi Muhammad SAW. Adakah Nabi berdoa kepada Allah minta dihancurkan penduduk Thaif? Tidak, Nabi hanya memohon pertolongan, keredhaan, keampunan dan kekuatan daripada Allah. Malah rentetan dari peristiwa tersebut Nabi telah didatangi oleh Malaikat Penjaga Gunung yang menawarkan diri kepada Nabi untuk memusnahkan penduduk Tha’if. Namun bukan ini jawapan Nabi : “ ya, musnahkanlah wahai Malaikat Penjaga Gunung, aku benci kepada penduduk Tha’if ”. Tetapi inilah jawapan balas Nabi : “Tidak! Bahkan aku mengharap mudah-mudahan Allah mengeluarkan dari keturunan mereka itu orang yang menyembah kepada Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu pun ”.

Benar kita bukan Nabi dan pastinya kita sampai bila-bila pun tidak akan mampu menandingi akhlak Nabi kerana akhlak Nabi itu al-Quran. Tetapi mengapa kita harus membiarkan sejarah ini tanpa kita mencari apakah falsafah yang terindah disebaliknya. Mengapakah kita tidak mahu berfikir mengapa Nabi memaafkan tetapi tidak berdendam. Mengapa Nabi tersenyum, tidak memarahi. Subhanallah, maha suci Engkau Ya Allah, semoga diberi kemudahan untuk sama-sama kami mentafsirkan falsafah disebaliknya.

Daripada pengamatan saya, dendam itu bermula dari rasa marah dalam diri kita apabila berlaku sesuatu perkara yang tidak kita sukai. Perasaan marah itu akan melahirkan rasa ketidakpuasan hati. Rasa tidak puas hati pula akan menyebabkan jiwa kita menjadi tidak tenteram. Jiwa yang tidak tenteram akan menyebabkan mudah digoda syaitan yang akhirnya menerbitkan rasa benci dan seterusnya dendam dalam diri manusia. Jika kita marah, tetapi kita mampu mengawal kadar kemarahan kita, pasti rasa dendam tidak akan wujud dalam diri kita. Kemarahan yang meluap-luap dalam diri kita akan menyebabkan kita membuka pintu kepada syaitan untuk memasuki hati kita dan menguasai diri kita. Seorang jiran sanggup membunuh jirannya kerana peristiwa lama yang telah terjadi berpuluh-puluh tahun yang lalu. Seorang lelaki sanggup memfitnah rakan sekerjanya kerana jawatan yang direbut selama ini terlepas ke tangan rakannya. Kasarkah jika pendendam itu dikatakan sifat syaitan. Pasti ramai yang bersetuju dengan pandangan ini kerana Adam dan Hawa dicampakkan ke bumi kerana dendam iblis kepada keistimewaan Adam di sisi Tuhan. Malah dendam kesumat mereka akan diteruskan sehingga ke akhir zaman dan mangsanya adalah kita, anak-anak Adam yang serba lemah ini. Maka, perkuatkanlah iman kita agar tidak menjadi mangsa syaitan seterusnya.

Telah berkata Frank Tibolt di dalam bukunya yang bertajuk “ A Touch Of Greatness ” bahawa memaafkan mempunyai nilai yang tinggi bagi kemarahan, dan nilai yang lebih tinggi bagi membenci. Benar sekali, sememangnya kemarahan itu punca kepada kebencian. Maka, sudah tentulah nilai kemaafan terhadap kebencian lebih tinggi nilainya berbanding kemarahan. Ini kerana, kebencian yang tidak dikawal akan membawa kepada dendam. Dendam itu sudah pastilah tahap yang paling berbahaya berbanding marah dan benci kerana kebiasaannya dendam akan berakhir dengan bencana yang kecil atau yang besar. Tidak percaya? Cuba anda perhatikan diri anda, mustahil sekali anda tidak pernah marah. Bagaimana perasaan anda ketika itu. Sudah pasti jantung berdegup kencang, muka menjadi merah padam dan mata mula melebar saiznya. Mustahil sekali anda akan tersenyum menampakkan gigi dikala anda sedang marah bukan? Tetapi marah anda itu kadangkala sifatnya sementara sahaja. Anda tidak membawa rasa marah anda itu berhari-hari, malah berbulan-bulan, atau mungkin juga bertahun-tahun. Namun, jika anda masih menyimpan rasa marah anda pada seseorang sehingga ke saat ini, anda mungkin akan menjadi seorang pembenci suatu hari nanti, dan tidak mustahil rasa benci itu akan mendidik anda menjadi seorang pendendam. Ya, pendendam yang sering memikirkan jalan dan peluang untuk menghancurkan seseorang.

Percayalah, di permulaan ini anda akan membina tabiat. Di akhirnya, tabiat akan membina diri anda.

Berdendam itu satu tabiat sebenarnya. Bila anda mula mengenali dunia pendendam, anda sebenarnya sedang membina tabiat busuk itu dalam diri anda. Anda masih tidak perasan bukan? Anda kena akuinya kerana setiap kali anda biarkan tabiat itu meneruskan kelangsungannya dalam diri anda, anda sebenarnya senang membiarkan diri anda menjadi seorang pendendam tegar. Tegar bermakna anda tidak lagi melihat marah itu satu masalah besar dalam diri anda, tetapi anda akan menjadikan marah itu sebagai alat untuk anda mewujudkan alasan untuk berdendam dengan seseorang. Pada anda biarlah apa kata orang terhadap anda, yang penting dendam anda terbalas dan hati anda merasa puas. Tulisan ini bukan satu khayalan, situasi yang sedang digambarkan ini sememangnya berlaku dalam realiti seharian kita. Memang wujud manusia yang suka berdendam ini. Jika dia seorang ketua, dia akan melaksanakan misi dendamnya dengan lebih mudah kepada orang bawahannya. Mereka yang dilihat tidak sebulu dan sehaluan dengannya akan dicantas dengan cepat melalui misi dendamnya. Setiap kali misinya tidak berjaya, dia akan memikirkan jalan lain sehinggalah misi yang diimpikannya itu mencapai sasaran dan matlamatnya. Tidakkah pelik jika seseorang itu sentiasa dipantau berulang kali walaupun prestasinya sangat baik, sedangkan yang lemah prestasinya dibiarkan sahaja. Bila dikaji sejarahnya, tahulah kita bahawa mereka ini pernah berkerja di jabatan yang sama satu ketika dahulu. Maka, apabila diberi kesempatan dinaikkan pangkat, maka dendam kesumat yang ditanggung selama ini dilepaskan secara perlahan-lahan sehinggalah rasa benci dan dendam selama ini terubat. Pelik bukan? Jangan pelik, kerana itulah sifat seorang pendendam sebenarnya. Pernahkah anda melalui pengalaman seperti ini atau dalam versi yang lain tetapi membawa makna yang sama iaitu dendam? Tepuk dada, tanyalah hati.

Tahukah anda, apabila Nabi telah berjaya menguasai Mekah dan Islam telah mula berkembang luas, adakah Nabi membalas semula atas apa yang telah dilakukan oleh penduduk Tha’if terhadapnya. Lihatlah bagaimana Nabi melayan Abu Sufyan yang suatu ketika sebelum Mekah dikuasai, telah banyak melukai hati Nabi dengan cacian dan perbuatan jahatnya. Tetapi Nabi masih tidak membalas kejahatannya dengan kejahatan, tetapi nabi memafkannya. Ya, Nabi tidak berdendam pun kepadanya malah Nabi memberikannya satu nilai kebanggaan kepada dirinya dengan mengatakan “ barangsiapa memasuki rumah Abu Sufyan dia akan aman”. Lihat juga bagaimana seorang wanita Yahudi yang sering melemparkan najis kepada Nabi hampir setiap hari. Tetapi apabila wanita itu sakit, apa yang Nabi lakukan kepadanya. Subhanallah, Nabi tidak berdendam kepadanya, malah Nabi melawatnya dan mendoakannya. Terlalu banyak sebenarnya kisah tauladan yang Nabi persembahkan buat tatapan dan renungan kita bersama. Namun, tidak ramai yang mahu memikirkannya. Tidak kurang juga menceritakannya kerana mendengar orang lain juga menceritakannya, tetapi tidak peduli akan falsafahnya. Bukan itu tujuan sebenarnya. Nabi mahu kita mengambil panduan di atas apa yang Baginda lakukan. Kita kena berusaha memahami falsafah yang tersirat disebalik peristiwa yang berlaku ke atas Nabi junjungan kita. Nabi ingin memberitahu kepada kita bahawa memaafkan itu adalah terbaik buat kita. Memaafkan akan menjadikan kita lebih kuat dan dihormati oleh kawan dan lawan. Memaafkan akan membuka lebih luas ruang persaudaraan dan meningkatkan martabat Islam di sisi masyarakat yang menganut agama lain. Memaafkan akan memberi ketenangan dalam jiwa dan sebagai ubat dan penawar bagi hati.

Suatu hari, ketika sifulan memandu kenderaan di “highway” kereta sifulan dipotong dengan laju dan tidak bertanggungjawab. Tiba-tiba jantungnya berdegup kencang dan rasa marah mula menyelubungi hatinya. sifulan mula menekan minyak dengan niat untuk memotong kembali kereta yang kurang ajar itu dan melakukan sesuatu agar dapat membalas semula tindakannya itu. Bila semakin hampir, dan dendam kesumat mungkin dapat dilampiaskan, baru sifulan terfikir untuk apa semua ini. Maka sifulan memperlahankan kenderaan dan membiarkan kereta itu berlalu pergi mendahuluinya. Selepas itu, secara perlahan-lahan jiwa sifulan kembali tenang dan tiada lagi tekanan dijiwanya. Wujud dua keadaan yang berbeza dalam situasi yang digambarkan di atas. Pertama, bila timbul rasa marah, timbul rasa untuk bertindak balas. Keduanya, bila bersabar, jiwa menjadi tenang kerana nilai sebuah kemaafan. Anda ingin memilih situasi yang mana. Jika anda memilih yang pertama, anda sebenarnya sedang membina tabiat dendam dalam diri anda. Tetapi, jika yang kedua menjadi pilihan, tahniah kerana anda telah memilih jalan ketenangan. Tahniah, kerana anda memang seorang yang hebat dan gagah kerana memilih pilihan yang kedua. Anda tidak percaya? Perhatikan hadis indah ini :

“ Siapakah orang yang kalian anggap paling kuat bergulat? Para sahabat menjawab: yang tidak bias dijatuhkan oleh beberapa orang. Nabi SAW menegaskan: bukan, melainkan orang yang dapat menguasai diri disaat ia sedang marah ”.

Jika kita mempelajari ilmu persilatan, tentu kita pernah dinasihati agar jangan memulakan pertarungan. Bersabar dan lihat pergerakan lawan. Mengapa perlu sabar dalam pertarungan. Mudah sahaja falsafahnya, kesabaran akan mebuahkan ketenangan, dan ketenangan akan membuka mata hati untuk membaca gerak geri lawan. Tetapi, bila dalam keadaan marah, pasti kita akan bertindak gopoh dan terburu-buru yang mana akhirnya kita akan dijatuhkan pihak lawan.

Lihatlah, sifat marah itu seperti api bukan? Yang menyala marak di dalam jiwa manusia sehingga hati menjadi panas membara seperti panasnya bara api yang sedang membakar. Untuk memadamkan api yang sedang marak itu, kita memerlukan lawannya iaitu air. Ingat, api tidak boleh dilawan api. Nanti ia akan bertambah marak. Air itu lawan bagi api dan api tidak suka berjumpa air kerana ia akan terpadam. Jadi bagaimana untuk melawan rasa amarah yang sedang membara dalam diri. Perbanyakkan mengingati Allah. Bukankah Allah pernah menyebut di dalam Al-Quran bahawa hanya dengan mengingatiNya jiwa akan tenang. Banyakkan istigfar kerana istigfar akan bertindak balas dengan hati dengan cepat disaat kita melakukan kesilapan. Hati mudah tersedar bila istigfar terbit dari bibir. Teruskanlah beristigfar lagi dan lagi sehingga 70 kali banyaknya. Bahkan 100 kali itu lebih baik kerana riwayat ada menyebut Nabi beristigfar 70 kali sehari. Bahkan ada yang menyebut 100 kali sehari. Apabila anda mula mempraktikkan istigfar dalam diri anda setiap hari, anda akan dapat merasai energinya mengalir dalam jiwa anda. Anda akan mula menjadi manusia yang tenang dan sentiasa menginsafi kelemahan diri.

Namun, bukanlah bermakna marah itu tidak perlu langsung dalam kehidupan kita. Ada keadaan yang memerlukan kita marah. Misalnya apabila agama kita dihina, maka tidak logik untuk kita tersenyum dan tidak menunjukkan rasa marah kita. Ataupun apabila orang lain mencuri harta berharga kita, masakan kita tidak marah dan hanya berdiam diri tanpa berbuat apa-apa. Apa yang perlu, jangan biarkan marah menguasai minda kita sehingga membuahkan dendam yang akan merosakkan kita.



Nabi SAW bersabda :
“ tidak seorangpun hamba yang menelan sesuatu yang lebih mulia dari menelan marah yang ia pendam kerana mengharap keredhaan Allah ”


Firman Allah :
“ Barangsiapa memaafkan dan berbuat baik maka pahalanya atas ( tanggungan ) Allah” – ( Asy Syuura : 40 )


Sabda Nabi SAW :
“Jika Allah telah menghimpunkan seluruh makhluk kelak maka akan diserukan manakah Ahlul Fadl-li? Baginda berkata: maka bangunlah orang-orang yang sangat sedikit jumlahnya. Dan dengan cepat mereka menuju ke syurga. Mereka disambut oleh para malaikat yang berkata : apakah keutamaan kamu? Mereka menjawab : dahulu, apabila kami dianiaya kami bersikap sabar, dan apabila disakiti kami menanggungnya. Lalu dikatakanlah kepada mereka : masuklah kamu ke dalam syurga, dan itulah sebaik-baik pahala bagi orang – orang yang beramal ”
Akhir kalam, semoga Allah menjadikan kita golongan yang pemaaf dan sentiasa bertoleransi dalam urusan kita di dunia ini dan bukan golongan yang mudah marah dan pendendam.

Selamat berubah kepada kehidupan baru

Salam ukhwah

Wallahua’lam

www.teratakmuslim.blogspot.com


No comments:

Hanya dengan mengingati Allah, jiwa menjadi tenang

Hari ini bila kita ada masalah kita membiarkan fikiran kita hanyut bersamanya... Kesannya, hati kita makin gelisah... fikiran kita terus ...