Thursday, January 29, 2009

Umur Manusia

Tahukah anda bahawa umur manusia itu terdiri daripada beberapa peringkat. Dan setiap peringkat itu terdapat tanda-tanda yang telah ditentukan oleh Allah untuk renungan kita bersama.

Peringkat pertama semasa di alam rahim. pada peringkat ini manusia akan berada di dalam perut ibunya lebih kurang 9 bulan 10 hari. Kadangkala ada yang dilahirkan awal ataupun disebut bayi pramatang. Tidak kurang juga yang tidak sempat menikmati peringkat umur manusia yang seterusnya iaitu umur kanak-kanak. Di peringkat umur yang pertama ini, ibu yang sedang mengandung sangat berperanan penting agar bayi yang bakal dilahirkan nanti bakal menjadi manusia yang berguna dikemudian hari. Terdapat banyak amalan-amalan yang boleh dilakukan agar impian memiliki anak yang soleh atau solehah, cerdik akalnya dan cantik rupa paras dan akhlaknya. Antaranya Para ibu yang mengandung digalakkna membaca al-Quran setiap hari terutama sekali di waktu pagi dan petang. mereka juga digalakkan berbual-bual dengan bayi dalam kandungannya. Dikatakan oleh pakar kanak-kanak , bayi dalam kandungan mendengar apa yang bicarakan oleh ibu atau bapanya. Maka, berbicaralah perkara yang baik-baik dan jangan menyebut sesuatu yang buruk dan tidak berfaedah kerana ia akan mempengaruhi tabiat anak yang sedang dalam kandungan itu. Ada juga pendapat yang mengatakan agar selalulah melihat perkara-perkara yang cantik dan baik kerana ia akan turut mempengaruhi anak yang bakal dilahirkan. Apapun teorinya, yang paling penting doa dan munajat kepada Allah itulah yang paling penting disamping usaha-usaha lain yang boleh dilakukan kerana Islam tidak hanya menyuruh umatnya berdoa, tetapi mesti berusaha terlebih dahulu. Dan akhirnya serahkan segala-galanya kepada Allah. Ingat, bertawakkallah kepada Allah dan bersedialah untuk menerima siapapun bayi yang bakal keluar nanti kerana mereka adalah amanah.

Di peringkat yang kedua ini, umurnya di antara 1 tahun hingga 15 tahun. Pada peringkat ini ibu bapa haruslah mendidik anak-anak mereka mengikut tingkat umur mereka. Misalnya berilah kasih sayang kepada anak-anak yang berumur dari 1 tahun hingga 7 tahun. Selepas 7 tahun maka ajarlah mereka bersembahyang. Pada umur 10 tahun pula sekiranya mereka tidak bersembahyang maka pukullah mereka dengan pukulan yang tidak mencederakan mereka, tetapi meyebabkan mereka sedar akan kewajiban bersolat. Kemudian apabila mencecah 10 tahun ke atas maka hendaklah diasingkan tidur bagi anak perempuan dan lelaki kerana bimbang berlaku perkara yang tidak diingini. Jika kita perhatikan peringatan Nabi SAW agar diasingkan tempat tidur diperingkat umur ini sangat releven kerana telah terbukti pesanan itu sangat berguna kepada ibu bapa yang mana telah wujud sekarang kes-kes kanak-kanak seawal 10 tahun telah berjinak-jinak dengan seks bebas. Kesilapan ibu bapa mentadbir anak-anak mereka diperingkat umur kedua ini akan mendatangkan masalah yang lebih besar dikemudian hari. Contohnya, anak-anak tidak dididik dengan tabiat menghormati orang tua, maka jangan terkejut sekiranya anak tersebut bersikap biadap pada orang tuanya apabila mereka dewasa kelak. Ataupun sekiranya anak itu tidak diajar mengaji Al-quran diperingkat kanak-kanak lagi, maka jangan terkilan sekiranya bila menjelang kematian si bapa atau si ibu anak itu tidak mampu membaca sekurang-kurangnnya surah yasin buatnya. Maka ingatlah wahai sekalian ibu dan bapa, didiklah anak-anakmu dengan ilmu dunia dan akhirat yang secukupnya sesuai dengan peringkat umurnya diketika ini. Jangan terlalu membebankan mereka dan jangan terlalu memudahkan mereka. Bertindaklah dengan bijak mengikut kesesuaian umur mereka.

Setelah manusia melepasi peringkat umur kedua, maka peringkat yang ketiga disebut umur remaja. Pada peringkat ini bolehlah diandaikan umurnya di antara 15 tahun hingga 25 tahun. Di sinilah cabaran yang terbesar bagi umat manusia sebenarnya. Ramai manusia yang di peringkat kanak-kanak baik tingkahlakunya, berubah menjadi buruk akhlaknya apabila menjadi remaja. Mengapa ini terjadi? Mengikut pakar-pakar psikologi, peringkat remaja merupakan peringkat umur di mana seseorang itu sedang mencari identiti dirinya. Maka setiap sumber yang terdapat di sekelilingnya akan diperhatikan dan seterusnya diaplikasikan dalam kehidupannya. Mana yang dilihat sesuai pada pandangan mata kasarnya, maka itulah yang akan dipegang sabagai modul dalam kehidupannya. Di peringkat ini juga sering terjadi masalah kecelaruan identiti di mana seseorang remaja itu gagal mengenalpasti identiti yang sesuai dengan fitrah dirinya yang sebenar. Mengikut Kamus Dewan Bahasa edisi keempat (2005) perkataan kecelaruan berasal dari kata akar celaru; bercelaru yakni bermaksud kekaburan, tidak tentu arah, tidak beraturan. Kecelaruan identiti inilah menyebabkan seseorang remaja mudah terjebak ke dalam tingkahlaku yang buruk. Seseorang yang celaru identitinya lebih mudah mendengar pandangan rakan-rakan sebaya dan menurut lojik akal semata-mata. Maka, jangan terkejutlah sekiranya seseorang remaja itu beranggapan memakai pakaian yang ketat tidak salah asalkan berperangai baik. Remaja seperti itu mengukur baik itu dari sudut tingkahlaku, bukan pakaian seseorang. " Ala, tak pakai tudung belum tentu jahat. Kadang-kadang tu, yang bertudung pun lagi jahat perangainya". Ini adalah contoh dialog yang biasa didengari dari mulut para remaja kita. Itulah antara contoh dialog yang menunjukkan kecelaruan identiti yang mana si remaja itu celaru dalam menentukan mana yang baik dan mana yang buruk. Mungkin di masa kecilnya dia merupakan seorang yang taat pada perintah agama, namun apabila melonjak ke usia remaja, fikirannya sudah mula bercelaru dalam memproses sesuatu perkara dalam mindanya. Maka dengan itu apabila Islam itu tidak dijadikan pakaian di dalam kehidupannya, tidak mustahil kecelaruan identiti akan berlaku dan remaja itu akan sesat dalam logik akalnya. Ditambah pula dengan nasihat dari rakan-rakan yang tidak tentu arah jiwa dan akhlaknya, maka bertambah jauhlah ia dari perspektif Islam yang sebenar. Kepada ibu dan bapa, pada peringkat ini pemerhatian yang serius perlu diberi kepada anak mereka agar mereka sentiasa berada dilandasan Islam yang sebenar. Perhatikan tingkahlaku mereka, jika kelihatan mula menyimpang dari landasannya, maka segeralah bertindak mudah-mudahan mereka dapat diselamatkan. Kesilapan kita sebagai ibu dan bapa ialah kerana terlalu cepat memberi "lesen besar" kepada anak-anak kita yang baru diperingkat usia remaja yang mana fikirannya belum matang dalam menilai sesuatu. " Lesen besar " itulah yang menyebabkan anak-anak remaja ini mudah melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan fitrah manusia sebenar. Apa yang paling penting, pada peringkat umur ketiga ini ibu bapa jangan terlalu mengongkong anak-anak mereka kerana jiwa mereka akan memberontak. Disamping itu juga kebebasan yang diberikan jenganlah keterlaluan kerana dibimbangi anak-anak remaja ini akan tersilap langkah dalam menentukan kehidupan mereka. Cara yang terbaik, didiklah mereka dengan kadar yang sesuai mengikut situasi, yakni fleksibel mengikut keadaan. Sememangnya memahami kehendak remaja itulah perkara yang sangat penting agar ibu bapa bertindak matang dalam menyelesaikan masalah dan mencorakkan kehidupan anak remaja mereka.


Jika kita melakukan sedikit pemerhatian, tentu kita bersetuju bahawa peringkat yang keempat umur manusia itu berada dalam lingkungan 25 tahun hingga 50 tahun. Dalam kehidupan saya seharian juga dapat diperhatikan apabila seseorang individu itu mula memasuki umur 25 tahun ia mula berubah tabiat dan gaya pemikirannya. Jika kita membaca sejarah Rasulullah sendiri baginda telah mendirikan rumahtangga bersama Siti Khadijah pada umur 25 tahun. Dan rata-rata kenalan saya mendirikan rumahtangga setelah berumur 25 tahun dan ke atas. Malah saya sendiri mendirikan rumahtangga pada umur 27 tahun. Bagaimana pula dengan anda? Maka saya bersetuju bahawa 25 tahun itu masa yang sesuai sebagai permulaan umur dewasa. Di peringkat umur ini ibu dan bapa tidak lagi bertanggungjawab ke atas anak-anak mereka. Dalam Islam sendiri ada menyebut apabila mencapai umur 21 tahun maka tanggungjawab ibu dan bapa terhadap anak mereka terangkat. Malah di malaysia sendiri 21 tahun baru dilayakkan mengundi bagi pilihanraya samada diperingkat Dun atau Parlimen. Namun 21 tahun bukanlah bermakna mereka telah dewasa kerana kebiasaannya pemikiran mereka masih belum matang sepenuhnya. Mereka masih perlu dipandu pada waktu itu. Cuma bezanya keputusan itu adalah hak mereka. Kembali kepada isu umur dewasa, ia adalah umur yang begitu penting kerana cabarannya lebih besar. Pada peringkat umur inilah manusia serius memikirkan soal kerjaya dan masa depan. Jika diperhatikan mereka yang berjaya di umur tua adalah mereka-mereka yang bekerja keras semasa mudanya. Jutawan-jutawan gah di mata dunia pada hari ini merupakan pekerja biasa diusia mudanya yang telah berusaha secara luar biasa sehingga mencapai kejayaan yang hebat. Perhatikan Bill Gates, orang terkaya di dunia merupakan seorang yang luar biasa diusia mudanya. Bagaimana pula dengan jutawan melayu bernama Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhari yang bersusah-payah diusia mudanya sehingga bergelar jutawan pada hari ini. Tidak sedikit harta yang dimilikinya. Jika tidak, masakan dia akan dilabel antara 10 orang terkaya di Malaysia. Ramli Burger yang merupakan jenama yang dibangunkan oleh pemiliknya semasa dia diusia muda telah menjadi jenama terkenal di masa kini. Jika ingin membeli daging burger, pasti jenama Ramli menjadi pilihan utama. Di awal permulaan perusahaan daging burgernya dia telah diketawakan masyarakat kerana membawa makanan " orang Putih " ke dalam negara yang penduduknya tidak berapa putih. Masyarakat mempersoalkan siapakah yang akan membeli produknya itu.Tidak silap saya peristiwa itu berlaku pada tahun 70-an atau 80-an yang mana penduduk pada masa itu masih rendah taraf pendidikan dan pemikirannya. Nah, sekarang dia telah berjaya dan bergembira diusia tuanya. Sementara itu, ada pendapat yang mengatakan " life begins at 40 ". Di dalam Islam sendiri ada ulama' mengatakan sekiranya seseorang itu berumur 40 tahun tetapi masih jauh dengan Khaliqnya maka dia tidak akan berubah hingga ke akhir hayatnya. Malah Nabi SAW sendiri diangkat menjadi Rasul pada umur 40 tahun. Saya amat bersetuju dengan pandangan itu kerana saya sendiri telah memerhatikan masyarakat di sekeliling saya yang hidupnya hanyut dengan dunia semata-mata kerana di usia mudanya dia tidak berubah sehinggalah ia mula memasuki umur tuanya. Namun bukan semua begitu, ada juga yang berubah setelah tua. Apapun semuanya itu bergantung kepada hidayah Allah kepada hambaNya. Sebagai hambaNya kita harus sentiasa beringat akan umur yang sedang kita pikul ini. jadikanlah usia dewasa ini sebagai tempat untuk kita mengubah diri kita menjadi insan yang berjaya di dunia dan akhirat. Binalah masa depan dunia dengan cemerlang di usia ini kerana di saat ini kudrat dan pemikiran kita masih kuat dan berkualiti. Disamping itu akhirat janganlah dilupakan dan berusahalah untuk menambah amal kebaikkan selama mana kita di dunia ini. Ingat, apabila kita mencapai usia tua, tenaga dan kemampuan kita sangat terhad berbanding kita di usia muda.

Peringkat yang kelima ialah umur tua. Pada peringkat ini umurnya di antara 50 tahun hingga 65 tahun. Umur tua merupakan peringkat yang terakhir kebanyakkan manusia dan tidak ramai yang melepasi peringkat umur seterusnya. Di peringkat umut tua, badan mula menjadi lemah, pergerakan sudah mula terbatas dan buah fikiran tidak sehebat dahulu. Di awal peringkat umur ini, kondisi badan mungkin masih kuat dan berkemampuan lagi, namun apabila mula menjangkau umur 60 tahun dan ke atas, tahap kemampuannya semakin menurun. Jika kita perhatikan, mereka yang berada di peringkat umur tua ini mereka lebih mudah terasa ( berjiwa sensitif ), dan suka dimanja dan diberi perhatian. Di peringkat ini juga mereka mula merasa kesunyian kerana anak-anak sudah besar dan mempunyai kehidupan sendiri. Kepada mereka yang sedang berada di peringkat umur ini bersedialah, kerana Nabi sendiri Wafat pada usia 63 tahun. Jika masih belum berubah, jangan menunggu sampai esok. Tiada siapa boleh memberi jaminan bahawa esok masih ada buat anda. Kepada anak-anak pula, janganlah dibebankan ibu dan bapa anda yang telah tua ini dengan tugasan rumahtangga anda seperti menjaga anak ataupun diperlakukan ala-ala orang gaji. Berilah peluang kepada mereka menikmati hari tua mereka dengan menumpukan ibadah kepada Allah. " Quality Time " bersama Allah itu sangat penting di waktu ini. Sekarang adalah masa mereka menuju Allah. Berilah peluang kepada mereka setelah mereka disibukkan dengan urusan dunia di usia muda mereka. Semoga Allah memudahkan urusan kita di usia tua kita nanti jika kita berpeluang melaluinya.

Peringkat umur yang terakhir ialah umur lanjut. Umur lanjut juga sering disebut umur subsidi. Subsidi bermaksud tidak ramai yang mempunyai peluang memilikinya melainkan insan-insan terpilih sahaja. Umur lanjut kebiasaannya dalam lingkungan 65 tahun hingga seterusnya. Melalui pemerhatian dan pembacaan, paling panjang umur umat Muhammad adalah dalam lingkungan 100 tahun hingga 120 tahun. Saya tidak pasti jika ada manusia yang mencecah umur lebih dari apa yang saya sebutkan tadi. Jika ada sekalipun pasti tidak akan mencecah sehingga 150 tahun. Umur lanjut lebih banyak memberi implikasi buruk dari baiknya. Kerana itulah kita harus bersedia sebaik mungkin agar sekiranya Allah memilih kita untuk melalui zaman itu, maka kita telah berusaha mempersiapkan diri kita. Saya pernah terbaca satu doa yang menggambarkan usia lanjut itu adalah satu ujian yang berat kepada pembawanya. Doa itu berbunyi "Ya Allah ! Aku pohon perlindungan dari Mu dari kebinasaan, runtuh terbakar, lemas dan tua nyanyuk. Aku pohon perlindungan dari Mu dari diperdayakan syaitan pada waktu hampir mati dan ku pohon perlindungan dari mati dipatuk dan dari sifat tamak yang menjadi darah daging". Secara peribadi saya tidak pasti daripada mana sumber doa ini. Mungkin hadis Nabi atau doa para sahabat kerana saya pernah terbaca sebelum ini. Cuma saya tidak berapa pasti. Jika ada yang mengetahui daripada mana sumbernya, mohon diberitahu mudah-mudahan bertambah ilmu kita bersama. Di usia lanjut, fungsi badan semakin berkurang. Mata semakin kabur, telinga semakin kurang mendengar, lutut pula sering sakit-sakit, penyakit-penyakit kronik mula menyerang, sistem melawan penyakit semakin tidak aktif dan yang paling ditakuti ialah apabila penyakit nyanyuk mula menyerang. Seorang pakar di Hospital Tampoi pernah menceritakan kepada saya tentang penyakit nyanyuk yang menimpa seorang pesakitnya. Apa yang diberitahu kepada saya, penyakit nyanyuk ini akan menyebabkan pengidapnya menjadi kurang daya ingatannya sehinggalah ke suatu tahap dia akan menjadi lupa dan tidak mengenali sesiapapun dan apa yang pernah terjadi sebelum ini. Tidak hairanlah jika pengidapnya tidak ingat lagi di mana pintu tandasnya dan tidak sedarpun dia telah membuang air kecil atau besar di dalam seluar atau kainnya. Marilah kita berdoa kepada Allah agar dijauhkan olehnya dari penyakit nyanyuk ini. Dalam satu ceramah yang disampaikan oleh Dato' Ismail Kamus, penyakit nyanyuk boleh dielak dengan banyak membaca Al-Quran diusia muda. Ini telah terbukti, yang mana seorang kawan sekerja saya memberitahu ibu mertuanya telah mencecah 80 tahun, tetapi masih kuat ingatan dan tidak menunjukkan tanda-tanda akan mengidap nyanyuk kerana katanya, ibu mertuanya mengajar mengaji di kampungnya di sebuah daerah di Kelantan. Nenek isteri saya juga telah mencecah 80 tahun lebih, tetapi masih kuat ingatannya dan tidak nyanyuk kerana dia juga mengajar mengaji di kampungnya. Sidang pembaca sekalian, kita harus sedar tentang perkara ini. Terutama sekali mereka yang masih mempunyai ibu atau bapa yang berumur tua atau lanjut. Banyakkanlah bersabar bila berhadapan dengan kerenah mereka. Ingat, semasa kecil mereka membasuh najis kita, menyuapkkan makanan ke mulut kita, menjaga kita siang dan malam tanpa lelah semasa kita sakit, mencari makanan bila kita berkehendakkan dan bermacam-macam lagi pengorbanan mereka kepada kita. Sekarang, mereka telah tua, bersabarlah dan balaslah jasa-jasa mereka kepada kita selama ini. Tidak berbaloi neraka Allah dibayar kepada kita hanya kerana kita meninggikan suara kita kepada mereka kerana kerenahnya. Bersabarlah untuk beberapa tahun, untuk kenikmatan yang tidak berpenghujung di syurga nanti. Usia lanjut sememangnya akan menjadikan pembawanya seolah-olah kembali ke alam kanak-kanak yang sentiasa ingin dimanja dan dikasihi. Mereka sangat sensitif, malah lebih sensitif daripada jiwa seorang kanak-kanak yang sedang merajuk kepada ibu dan bapanya.Akhir kalam, semoga mereka yang berusia lanjut atau bakal berusia lanjut sentiasa mempersiapkan diri di usia muda dengan amal yang baik kerana di usia tua dan lanjut kemampuan anda lebih terbatas. Percayalah, anda pasti akan menyesal sekiranya menunggu di usia tua atau lanjut untuk menambahkan kualiti ibadah anda kepada Allah.

Dalam sebuah hadis Nabi pernah mengingatkan 5 perkara sebelum berlaku 5 perkara iaitu :

1. “Pergunakan masa mudamu sebelum datang masa tuamu”.

2. “Pergunakan masa luangmu sebelum datang masa sibukmu”.

3. “Pergunakan waktu sehatmu sebelum datang waktu sakitmu”.

4. “Pergunakanlah waktu kayamu sebelum datang waktu miskinmu”.

5. “Pergunakan hidupmu sebelum datang matimu”.


Selamat Berubah Kepada Kehidupan Baru

www.teratakmuslim.blogspot.com





2 comments:

Langbiru said...

artikel yang cukup bermanfaat.. terima kasih . :)

t.muslim said...

sama-sama Langbiru..semoga ilmu yg tak seberapa itu disyer bersama..

Hanya dengan mengingati Allah, jiwa menjadi tenang

Hari ini bila kita ada masalah kita membiarkan fikiran kita hanyut bersamanya... Kesannya, hati kita makin gelisah... fikiran kita terus ...