Friday, January 23, 2009

Ekonomi Kita Semakin Tenat?

Sebentar tadi seorang sahabat dari Kuala Lumpur telah menelefon saya. Sebenarnya sudah hampir setahun kami tidak berbual-bual menerusi telefon. mungkin juga dia terlalu sibuk waktu itu.

Namun sebentar tadi dia baru selesai menelefon saya yang sedang sibuk memasak di dapur. maklumlah, isteri tengah sarat mengandung dan tidak boleh menghidu bau tumisan, maka tugas memasak diambil alih oleh saya buat sementara waktu. Baiklah, kita teruskan dengan isi perbualan saya dengan sahabat saya sebentar tadi. setelah berbual lebih kurang lima minit, saya bertanyakan tentang bisnesnya. Jawapan yang begitu mengejutkan tetapi sudah dijangkakan iaitu jawapannya bisnesnya merosot sehingga 60 peratus. Kemudian dia meneruskan ceritanya sambil memberi beberapa contoh yang lain sebagai menguatkan lagi sangkaan saya bahawa ekonomi kita kini semakin tenat. Katanya lagi, seorang lagi sahabat saya yang turut berniaga di kuala lumpur sekarang terpaksa membuat " part time " untuk menampung kehidupannya kini. Manakala tambahnya lagi, adiknya yang juga rakan sekelas saya dahulu akan diberhentikan kerja pada bulan 4 ini.

Rakan-rakan di luar sana, apa pendapat anda semua tentang cerita yang sedang anda baca ini. Ini bukan dongengan, tetapi realiti yang sedang menerjah ke dalam kepompong ekonomi di negara kita. Dalam keadaan sekarang, semua pihak perlu bersedia dari segi mental. Semua orang perlu mempersiapkan kekuatan dalaman agar krisis yang mungkin semakin buruk ini tidak melemahkan semangat dan iman di dada.

Dalam keadaan sekarang banyak masalah akan berlaku dan itu adalah realitinya. Kebiasaannya, apabila ekonomi semakin meruncing, masyarakat takut untuk berbelanja. Bila masyarakat takut berbelanja, wang tidak berlegar di dalam pasaran, maka banyaklah barang-barang dan perkhidmatan yang tidak terjual. Apabila keadaan itu berlaku, maka syarikat akan mengalami lebihan stok. Apabila lebihan stok semakin bertambah, maka pengeluaran perlu diperlahankan untuk mengelakkan kerugian syarikat bertambah akibat banyak barang masih belum terjual. Apabila banyak barang tidak terjual, pendapatan syarikat merosot. Apabila pendapatan syarikat merosot, maka kos perlu dikurangkan. Apabila kos cuba dikurangkan, maka para pekerjalah yang menjadi mangsa. Maka, ramailah yang diberhentikan dan yang menganggur akan terus menganggur. Apabila ramai yang menganggur, maka kadar jenayah akan meningkat. Apabila kadar jenayah semakin meningkat, maka kehidupan kita pasti tidak selamat.Inilah sebenarnya harga yang perlu dibayar apabila ekonomi menjadi semakin meruncing.

Namun, perlu kita fahami dan mengerti bahawa semua ini adalah ketentuan Ilahi. Mungkin untuk menyedarkan mereka-mereka yang berharta bahawa kemewahan dunia adalah bukan milik mereka, tetapi milikNya. Mungkin juga untuk menguji tahap keimanan kita kepadaNya samada kita sabar atau berduka lara. Mungkin juga ini adalah bala bencana yang Allah turunkan sebagai kafarah di atas dosa-dosa yang kita lakukan selama ini. Ingatlah, Allah tidak menurunkan sesuatu ujian itu tanpa sebab musababnya. Insya-Allah, pasti semuanya ini mengandungi hikmah yang tidak terhingga.

mari kita cuba senaraikan hikmah-hikmah yang mungkin agar kita sentiasa bersangka baik kepadaNya.

1. Sebagai satu pengajaran agar kita lebih bersedia menghadapi krisis ekonomi di masa depan

2. Sebagai peringatan kepada kita bahawa rezeki ini milik Allah, bukan milik kita.

3. Sebagai tanda kasih saya Allah kepada kita kerana apabila Allah menguji kita bermakna Allah ingat kepada kita, sayang kepada kita. Allah tidak mahu kita terus hanyut dengan dunia yang fana ini. Maka Allah susahkan kita sedikit agar kita ingat kembali kepada Allah yang mungkin semakin kita lupakan.

4. Sebagai peringatan kepada kita agar kembali kepada sistem ekonomi yang lebih sesuai berbanding sekarang, yang bebas dari sebarang spekulator mata wang dan ketidaktentuan pasaran iaitu ekonomi yang berpaksikan Islam.

5. Sebagai peringatan agar kita tidak lagi bergantung kepada dunia barat yang sistem ekonominya berpaksikan sistem kapitalis yang sifat semulajadinya hanya untuk keuntungan semata-mata. Sebaliknya, umat islam perlu berusaha membangunkan ekonominya sendiri dan membina kesatuannya sendiri agar ikatan persaudaraanya di kalangan negara anggota menjadi lebih kukuh dan saling membantu antara satu sama lain. Dapat mewujudkan satu sistem yang konkrit dengan kumpulan dana yang besar melalui sistem pengurusannya yang berkesan disamping pentadbiran yang sentiasa memandang ke hadapan.

Inilah antara hikmah-hikmah yang mampu difikirkan oleh saya buat masa ini. Mungkin banyak lagi dan boleh difikirkan bersama. Apa yang penting, sebagai orang islam kita kena sentiasa bersabar dalam menghadapi ujian yang berat ini. Dalam satu wasiat Nabi SAW kepada Ibn Abbas, Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

" Jika kamu mampu beramal untuk Allah dengan redha dan yakin, maka kerjakanlah. Dan jika tidak mampu maka bersabarlah. Kerana sesungguhnya bersabar terhadap apa yang kamu benci terdapat banyak kebaikkannya. Ketahuilah, sesungguhnya pertolongan itu bersama-sama dengan sabar, lapang bersama-sama dengan kesempitan dan kemudahan bersama-sama dengan kesukaran ".

cuba kita fahami maksud kata-kata Saidina Umar Al-Khatab ini kepada seorang lelaki :

" Jika kamu sabar, hukum Allah tetap berjalan sedang kamu mendapat pahala. Akan tetapi jika kamu mengeluh, ketentuan Allah tetap berlaku dan kamu mendapat dosa ".

yakinlah, Allah tidak akan menguji hambanya dengan sesuatu yang tidak mampu ditanggungnya dan sentiasalah berdoa kepadanya kerana Dia tidak pernah lupa dari mendengar keluhan para hambaNya. Firman Allah :

" berdoalah kepadaKu, nescaya akan Aku perkenankan bagimu" (Al-mukmin:60)

Sebelum mengakhiri tulisan kerdil ini, mari kita hayati bersama-sama firman Allah ini :

" Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui "



No comments:

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN Seperti yang kita sedia maklum, dua peperiksaan besar akan b...