Thursday, February 12, 2009

Dengarlah bicara hati abah ini wahai anakku Haris Husaini

Anakku Haris, biarpun kamu baru berumur setahun 7 bulan, dan tidak mengerti banyak perkara, izinkanlah abah menasihatimu dengan sedikit nasihat yang cukup berguna sebelum kamu melonjak ke usia remaja kerana di kala itu cabarannya terlalu besar dan ramai yang telah gagal dan dihanyutkan arus yang deras hingga sukar untuk diselamatkan lagi. itulah yang abah sangat-sangat takutkan sayang. Kamu masih kecil haris sayang, sememangnya abah sangat-sangat memahaminya kamu masih kecil dan tidak sepatutnya nasihat ini diberikan kepadamu sayang. Tidak mengapa harisku sayang, insya Allah bila kamu besar nanti akan abah tunjukkan tulisan ini, dan kamu bacalah dan fahamilah kerana ketika itu kamu sudah mampu berfikir secara rasional dan matang. Abah tidak boleh menangguh tulisan ini kerana ditakuti apa yang hendak diperkatakan sekarang tidak lagi mampu untuk diperkatakan di masa hadapan. mungkin di waktu itu abah telah terlupa sayang.

Anakku sayang, nasihatnya pendek sahaja dan nasihat inilah yang Saidina Ali Karamullahhiwajhah pernah ungkapkan satu ketika dahulu. Walaupun wasiat ini telah lama ditinggalkan Oleh Saidina Ali kepada kita, namun apa yang disebut itu adalah benar. Ianya memang berlaku dalam realiti hidup kita yang sebenar sayang.

Inilah nasihatnya, dan bacalah dengan tenang, serta hayatilah setiap bait-bait perkataan yang keluar dari mulut Saidina Ali itu, mudah-mudahan ia dapat memberi manfaat dan iktibar buat hidup haris bila besar nanti.

Kata Saidina Ali Karamullahhiwajhah :

" Jahuilah persahabatan dengan pengkhianat kerana dia akan menjualmu dengan harga yang lebih murah ".

Haris mengertikah apa yang dimaksudkan dengan pengkhianat itu. Pengkhianat itu bermaksud orang yang tidak jujur dan amanah dalam persahabatannya. Mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk kepentingan dirinya walaupun terpaksa menganiaya dirimu sayang. Apa yang penting, matlamatnya tercapai. Mereka bersahabat denganmu bukan kerana Allah, malah mereka akan menarikmu ke neraka Allah. Maka pesanku buatmu anakku sayang, jahuilah mereka. Ini bukan sekadar nasihat dari Abah wahai anakku, tetapi ini adalah perintah Allah. Ya, peringatan dari Tuhan kita untuk kebaikan diri kita anakku. Cubalah kamu perhatikan firman Allah ini :

" Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka ". ( Hud: 113 )

" Dan apabila kamu melihat orang-orang memperolokkan ayat-ayat Kami, maka tinggalkanlah mereka sehingga mereka membicarakan perbicaraan yang lain ". ( Al- An'am : 68 )

" Dan janganlah kamu mentaati perintah orang-orang yang melampaui batas, yang membuat kerosakan di muka bumi dan tidak mengadakan kebaikan ". ( Asy-Syu'ara' : 151-152 )

Wahai anakku, abah kira cukuplah tiga dalil dari al-Quran itu untuk menguatkan hujjah abah. Jelas bukan larangan Allah kepada kita agar menjauhi sahabat,teman dan mereka yang tidak mengajak kita kepada kebaikkan dan menarik kita ke jalan yang menyesatkan. Mereka akan menjual kamu anakku. Ya, menjual kamu pada harga yang terlalu murah sehinggakan nilaian kamu adalah bakaran api neraka. Syurga itu mahal harganya wahai anakk dan masakan barang yang murah sesuai untuk tempat yang mahal. Kamu tentu belum pernah masuk ke hotel-hotel yang bertaraf 5 bintang bukan? Jika kamu berpeluang ke sana suatu hari nanti, perhatikanlah perhiasan-perhiasan yang digunakan di sana, kamu tidak akan ketemu dengan barangan yang rendah nilainya. Maka untuk bermalam di sana, pasti tinggi harganya. Begitulah halnya dengan syurga wahai anakku, tentunya nilaian diri kamu waktu itu jika kamu mengikuti jejak langkah pengkhianat, tidak mampu untuk membayar harga sebuah syurga. MasyaAllah, takutnya abah wahai anakku sayang jika itu terjadi kepada dirimu. Semoga Allah menjahuinya daripada kamu.

Akhir kalam wahai anakku, sekali lagi abah memesan kepadamu, pilihlah kawan yang betul, perhatikan akhlaknya, ibadahnya dan akidahnya. Janganlah memandang kepada rupa dan harta bila memilih kawan, tetapi nilailah hubungannya dengan Pencipta kita yakni Allah. Mengapa? kerana pengkhianat itu begitu murah nilai harga dirinya di sisi Allah. kerana itulah Nerakalah yang paling layak buatnya.

Firman Allah :

" Dan sesungguhnya orang-rang yang derhaka benar-benar berada dalam neraka. Mereka masuk ke dalamnya pada hari pembalasan ". ( Al-intifar : 14-15 ).

Takutlah anakku sayang. Takutlah dengan peringatan Allah ini. Bimbang abah kamu akan terjebak dengan akhlak pengkhianat yang buruk itu jika kamu bersahabat dengannya. Takut sangat abah kalau-kalau Allah akan murka Padamu sayang.

Wahai anakku, sebelum abah menamatkan cetusan hati abah ini buat tatapanmu di saat kamu besar nanti, mari abah coretkan satu nasihat yang pernah diungkap oleh Al-Qomah al-'Attar sebelum beliau meninggal dunia. Begini bunyinya :

" Apabila persahabatan ditawarkan kepadamu, maka bersahabatlah dengan orang yang apabila engkau membantunya, dia memeliharamu, dan jika engkau bersahabat dengannya, dia mengharumkan namamu ".

" Kemudian bersahabatlah dengan orang yang apabila engkau meminta sesuatu daripadanya, dia memberimu, jika engkau diam dia terlebih dahulu menegurmu, dan jika musibah menimpamu, dia menolongmu ".

" Seterusnya bersahabatlah dengan orang yang apabila engkau mengatakan sesuatu, dia membenarkanmu, jika engkau menyelesaikan sesuatu masalah dia menolongmu, dan jika terjadi pertelingkahan di antara kamu berdua, dia mengalah ".

Abah rasa, cukuplah sekadar ini dahulu buat kali ini harisku sayang. Jika ada lagi nasihat yang abah rasa berguna buatmu di masa hadapan, insya Allah akan abah coretkan lagi di sini. Doa Abah kamu akan menjadi anak yang baik, soleh dan mentaai perintah Allah dan rasulnya serta menjaga maruah diri Abah dan Ibu. Ingat, kamu adalah buah hati Abah dan Ibu. Salam sayang buat kamu wahai anakku..

Wallahua'lam


No comments:

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN Seperti yang kita sedia maklum, dua peperiksaan besar akan b...