Thursday, February 26, 2009

Seni Berbicara

" Dilarang masuk tanpa urusan " atau " Silakan masuk jika ada urusan " merupakan dua buah ayat yang berbeza gaya bahasanya, tetapi membawa maksud yang sama. Sama juga dengan dua ayat yang berikut ini: " Kawasan merokok " atau " Selamat datang ke Zon bunuh diri " yang mana turut menggunakan gaya bahasa yang berbeza tetapi mesej yang hendak disampaikan adalah sama.

Selama hampir enam tahun bekerja, saya dapat perhatikan seni berbicara itu amatlah penting sekali sebagai salah satu alat dalam pengurusan sesebuah organisasi. Apabila seorang pemimpin memberi arahan seperti berikut : " Awak mesti menyiapkan tugasan ini segera dan letakkan di atas meja saya seawal jam 9 pagi esok. Jika awak gagal menyiapkannya, tindakan tegas akan dikenakan terhadap awak." Apa pendapat anda apabila membaca contoh di atas. Marah, sakit hati? Bagaimana jika pemimpin tersebut mengatakan begini : " Boleh tak awak tolong siapkan tugasan ini untuk saya. Saya perlukannya seawal pagi esok. saya harap sangat dengan bantuan awak kali ini. Kalau ada masalah, cepat-cepat hubungi saya. Saya akan bantu setakat mana yang termampu." Saya percaya ia akan memberikan persepsi yang berbeza bukan. Tujuan arahannya sama sahaja, tetapi kaedah penyampaiannya sahaja yang berbeza. Kerana itulah ia memberikan kesan yang juga berbeza kepada hati pekerja.

Seni berbicara ini mestilah dipelajari oleh semua orang, terutama sekali yang berada di bahagian pengurusan yang paling kerap memberi arahan kepada pihak bawahan. Kegagalan menggunakan gaya bahasa yang sesuai akan merumitkan urusan dalam sesebuah organisasi. Seorang lelaki yang sedang marah kerana telah 10 kali membuat panggilan ke sebuah jabatan kerajaan tiba-tiba bercakap dengan lembut setelah mendengar suara lembut menjawab panggilannya setelah mendail nombor yang sama buat kali yang kesebelas. Hanya dengan menggunakan suara yang lembut dan sopan, seorang lelaki yang sedang membara hatinya tiba-tiba menjadi lembut hatinya. Begitulah hebatnya seni berbicara ini kerana ia memberi kesan yang cepat ke dalam hati pendengarnya. Lihat saja orang yang sedang mendeklamasikan sajak, dengan bahasa yang berbunga-bunga dan intonasi yang menarik menyebabkan para audien terpana mendengarnya. Semasa hari jumaat, ketika khatib membaca khutbah, ramai yang tertidur kerana gaya bahasa yang digunakan mendatar dan tidak menarik didengar. Sekitar tahun 2001, semasa bersolat jumaat di sebuah masjid di Selangor, kelihatan para jemaah kyusuk mendengar khutbah yang sedang disampaikan oleh seorang khatib muda yang telah bercakap dengan lantang, cantik susunan bahasanya dan diselangi dengan contoh-contoh yang sesuai dengan tajuk khutbahnya. Di sebuah kampung di Daerah Segamat, yang mana khutbahnya di sampaikan oleh seorang imam yang agak berumur telah menyebabkan jemaah menangis semasa mendengar kata-kata yang keluar dari mulut khatib pada waktu itu. Tajuknya biasa-biasa sahaja yang sering diucapkan oleh kebanyakkan pembaca khutbah iaitu berkaitan ketaatan kepada kedua ibu bapa. Tetapi oleh kerana bahasa yang digunakan itu sangat menarik, tersusun dan sedap didengar menyebabkan para jemaah tidak mengantuk, malah ada yang menangis apabila mendengar khutbah tersebut.

Apabila seseorang itu mempunyai seni dalam berbicara, dia sebenarnya sedang menarik orang lain untuk mendengar lagi dan lagi isi percakapannya samada dalam situasi formal atau tidak formal. Seni berbicara ini perlulah dipelajari dan diamalkan mengikut kesesuaiannya. Sekadar belajar, tetapi tiada amal maka ia ibarat pokok buah-buahan yang hidup berpuluh tahun tanpa buahnya. Sama juga seperti mereka-mereka yang mempelajari Al-Quran tetapi tidak beramal dengannya. Al-Quran itu sekadar dilagukan, tetapi isinya dibuang begitu sahaja.

Semasa belajar di Universiti dahulu saya sering bertemu dengan pasangan kekasih yang mana pasangan lelakinya tidak memiliki wajah yang menarik berbanding si wanita yang berwajah cantik dan menarik. Saya bukanlah hendak menghina sesiapa, tetapi ianya ada kaitan dengan isu yang sedang diperkatakan ini. Saya hairan, mengapa keadaan sedemikian boleh berlaku. Apakah kehebatan mereka. Bila saya bertanyakan kepada rakan-rakan, jawapan yang sering diberikan ialah " ayat power ". Adakah " ayat power " itu ada kaitannya dengan seni berbicara. Kenapa si wanita tidak tertarik dengan lelaki yang lebih tampan, sedangkan mereka berpeluang untuk memilikinya kerana mereka mempunyai wajah yang menarik. Sudah tentu ramai yang bersedia untuk menjadi pasangan wanita itu. Namun, pilihannya sangat mengejutkan dan mengundang kontroversi. Mulut mereka yang berada di sekelilingnya tidak mampu ditutup lagi, tetapi hubungan mereka terus bertaut tanpa mempedulikan persepsi buruk masyarakat di sekeliling mereka. Kini, saya telah mengerti mengapa wanita itu tertarik dengan lelaki tersebut, tidak lain tidak bukan kerana lelaki tersebut telah menggunakan kemahiran berbicara sehinggakan wanita itu cair hatinya dan seterusnya memandang yang menarik sahaja pada diri lelaki tersebut walaupun masyarakat memandang sebaliknya.

Sekiranya saya ingin terus menyambung tulisan kerdil ini, pasti banyak lagi isu-isu yang boleh diperbincangkan. Namun masa tidak mengizinkan. Izinkan saya mengakhiri tulisan ini dengan meninggalkan sedikit harapan kepada semua pembaca agar mempelajari dan memahami seni berbicara dengan lebih mendalam. Percayalah, jika anda seorang pemimpin, anda akan disenangi oleh orang bawahan anda. sekiranya anda seorang guru, percayalah para pelajar akan menghormati dan mengasihi anda seadanya. Apapun, walau siapapun anda, marilah bersama-sama kita mempelajarinya dan seterusnya diamalkan dalam kehidupan seharian kita.

Selamat berubah kepada kehidupan baru

salam ukhwah


No comments:

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN Seperti yang kita sedia maklum, dua peperiksaan besar akan b...