Saturday, July 31, 2010

Jangan Cepat Melatah

Dalam satu rancangan televisyen ada membincangkan tentang “ tabiat melatah” yang hanya wujud di kalangan bangsa melayu sahaja. Apabila mendengar pernyataan tersebut, saya terfikir ada benarnya perkara tersebut. Selama saya bergaul dengan bangsa lain samada semasa belajar di Universiti atau di tempat kerja sekarang, tidak pernah pula saya melihat bangsa selain melayu ini melompat-lompat melatah, mengulang-ulang perkataan yang sama berulang-ulang kali, menyebut perkataan-perkataan lucah atau yang lebih bahayanya membaling benda-benda yang berbahaya seperti pisau, gunting, batu dan sebagainya apabila dicuit atau disergah. Walaupun rancangan tersebut telah lama di tonton, saya masih terus terfikir akan perkara tersebut dan mengapa ini hanya terjadi pada bangsa melayu sahaja. Apakah rahsia yang Allah sembunyikan daripada tabiat yang semulajadi itu yang kadangkala ada di antaranya hanya dibuat-buat kerana mahukan perhatian.

Wujud kefahaman di kalangan pakar yang mempercayai melatah adalah satu kebiasaan yang tiada kaitan dengan penyakit tetapi ia dipercayai berkait rapat dengan fungsi sistem saraf pusat, psikologi dan sosial. Malah, ia dipercayai terikat dengan sistem budaya sesuatu masyarakat. Pakar Psikologi, Dr William S Buroughs, menjelaskan latah adalah situasi terkejut melampau (hyperstartling) yang ditemui di Asia Tenggara pada sesetengah bangsa saja dan amnya pada wanita. Bagaimanapun, bukan wanita saja yang dikaitkan dengan melatah, lelaki juga apa kurangnya. Ada juga lelaki yang melatah dan kadang kala latah mereka lebih teruk daripada wanita.

Pengidap sindrom “ melatah ” adalah mereka yang perlu disedarkan agar mereka mengetahui bahawa ia merupakan satu tabiat yang tidak menguntungkan si pembawanya kerana apabila mereka melatah mereka sering membuka aib sendiri seperti bercakap yang bukan-bukan, terselak baju atau kainnya. Malah lebih membahayakan apabila mereka mencederakan orang lain tanpa disedarinya.

Melatah juga sering digunakan oleh sesetengah pihak apabila sesuatu yang diperkatakan telah mengundang rasa kurang senang dipihak yang lain. Maka digunakan perkataan " jangan capat melatah " untuk meredakan keadaan yang dilihat semakin panas dan bertujuan untuk merasionalkan semula pihak-pihak yang dilihat agak tersinggung dengan pernyataan yang dikeluarkan itu. Misalnya apabila ada yang mengatakan kerjaya sebagai guru itu merupakan satu pekerjaan yang mudah dan tidak mencabar berbanding kerjaya yang lain telah menyebabkan sesetengah guru bangkit dan mempertikaikan pernyataan tersebut. Maka banyaklah tulisan-tulisan samada di media massa atau di blog-blog dan forum-forum tertentu yang mengecam pernyataan tersebut. Bermacam-macam alasan diberikan untuk mematahkan penyataan yang tidak logik pada pandangan sesetengah guru. Dalam contoh ini, guru-guru tersebut mungkin dianggap sedang melatah dengan pernyataan yang dikeluarkan itu.

apapun, melatah ini begitu unik untuk diperbincangkan. Pada pandangan saya, melatah kerana dicuit itu kurang bahayanya kerana ia lebih bersifat hiburan walaupun ia agak menyeksa si pengidapnya. Sekurang-kurangnya ia mampu memnghiburkan hati dan merapatkan hubungan di antara sipengidap penyakit latah dan juga si pengusiknya. Sebaliknya, melatah kerana dikritik dan dipersoalkan itu lebih berbahaya dan wajar diberi perhatian. orang yang cepat melatah kerana dikritik dan dipersoalkan akan dirinya pastinya meninggalkan banyak kesan negatif dalam masyarakat. Sekiranya ia berlaku dalam organisasi, pastinya organisasi tidak kondusif. Ini kerana untuk melahirkan organisasi yang cemerlang, perlu ada sifat terbuka dalam menerima kritikan dan teguran. Memanglah teguran itu menyakitkan. Saya sendiri mengakui kadangkala tidak kuat dalam menerima kritikan dan teguran. Tetapi saya sedang belajar mengurus hati dalam menerima teguran dan kritikan daripada sesiapapun termasuklah pelajar saya sendiri. Anda pula bagaimana? semoga anda dan saya diberi kekuatan dalam menerima kritikan dan teguran dan bersedia pula untuk berubah sekiranya perkara itu benar. dan tidak cepat melatah dalam menerima kritikan dan teguran. Dengar dahulu, nilai dan barulah diambil tindakan. Jika kritikan itu benar, marilah kita bersama mengubahnya untuk kebaikan...Jika kritikan itu tidak benar, maka marilah kita menjelaskan dengan tenang dan tidak emosi.

Bersabarlah...Apa yang kita tidak sukai itu, mungkin terbaik buat kita...termasuklah sebarang teguran dan kritikan yang kita terima selama ini...


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini




Selamat Berubah kepada Kehidupan baru...
Razali Saaran..
Johor bahru
31 Julai 2010





No comments:

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN Seperti yang kita sedia maklum, dua peperiksaan besar akan b...