Saturday, October 16, 2010

Tegakkan Keadilan, Jauhi Kezaliman

Pesanan ini lebih berpihak kepada ketua atau sesiapa sahaja yang mempunyai autoriti dalam tugasnya kerana tanpa sifat adil dalam kepimpinannya akan mengakibatkan wujud ketidakpuasan dalam hati orang bawahan dan seterusnya akan menyuburkan lagi budaya negatif dalam organisasi. Tanpa keadilan, yang salah akan dibenarkan dan yang benar akan dizalimi. Kita sering mendengar rungutan orang bawahan yang tidak berpuashati disebabkan hilangnya rasa adil dalam diri ketuanya. Apa tidaknya apabila yang melakukan kesalahan itu orangnya didiamkan sahaja. Tetapi jika yang melakukan kesilapan itu bukan orangnya sudah tentu habuannya berbeza sekali dan menyakitkan hati yang melihatnya, dan mencengkam jiwa yang mendengarnya.

Sekiranya orang bawahan melihat seseorang ketua tidak lagi menjunjung prinsip keadilan dalam kepimpinannya, sudah tentulah mereka yang pandai membodek, suka mengadu, pandai berlakon di depan ketua dan banyak lagi berasa selamat kerana mereka akan dilindungi oleh ketua mereka sekiranya terdapat sebarang tingkahlaku negatif yang mereka lakukan. Malah jika dapat dihidu oleh orang luar, ketua pasti akan melindungi mereka dan mengelak daripada bercakap tentang masalah mereka. Sebaliknya sekiranya orang lain yang melakukannya, sudah tentu amaran keras akan diberikan, Malah ada yang mendapat notis berhenti 24 jam! Jika beginilah keadaannya sudah pasti watak negatif semakin sukar untuk dihapuskan. Sebaliknya sekiranya ketua bertindak adil terhadap siapa sahaja dan bersedia untuk menyiasat terlebih dahulu sebarang berita yang sampai ke telinganya, pastilah tiada unsur kezaliman disitu dan watak negatif seperti pengumpat, pembawa berita palsu dan berunsir fitnah, tukang adu dan sebagainya dapat dielakkan daripada terus subur dalam organisasi. Oleh yang demikian prinsip keadilan ini hendaklah dijaga dengan sebaik mungkin dan dipraktikkan dengan penuh kesungguhan dalam organisasi. Percayalah jika itulah amalannya, pasti organisasi akan dijauhi daripada menusia yang berwatak negatif kerana mereka merasakan di situ tiada lagi tempat buat mereka.

Jauhilah sikap memihak

Tulisan ini adalah sambungan kepada prinsip keadilan di atas. Mengapa kita mengatakan perlu dijauhi sikap memihak? Kerana kita merasakan inilah yang selalu menjadi amalan dalam organisasi. Kebiasaannya apabila seseorang itu dilihat ada hubungan hati yang rapat dengan kita, begitu mudah perasaan memihak itu timbul dalam diri. Belum pun proses penghakiman dijalankan, tetapi keputusannya telah pun ada kerana wujudnya sikap memihak dalam diri kita. Sentimen negatif pada seseorang akan menyebabkan rasa memihak itu akan lebih ketara terhadap pihak yang satu lagi. Kesannya berlakulah ketidakadilan dalam proses penghakiman terhadap siapa sebenarnya yang bersalah dan harus diambil tindakan sewajarnya.

Dengarlah dahulu baru buat keputusan

Jika ini yang menjadi amalan seseorang yang mempunyai kuasa pastilah masalah ketidakadilan tidak akan berlaku. Tetapi masalahnya ialah kita tidak mahu mendengar terlebih dahulu sebelum menghukum kerana hukumannya telahpun kita tetapkan dan pelaksanaannya perlu dijalankan segera. Sedangkan penghakiman yang dibuat berdasarkan bukti daripada sebelah pihak sahaja. Kuasa yang ada pada kita dijadikan tiket untuk berbuat sesuka hati. Akhirnya yang teraniaya siapa? Inilah yang kita bimbangi apabila berada dalam organisasi bilamana kuasa yang ada menyebabkan seseorang itu menjadi buta hatinya. Sentiment negative yang sedia subur terhadap seseorang menjadikan kuasanya mengatasi rasionalnya. Namun apa yang kita bimbangi inilah yang sering berlaku dalam organisasi. Mungkin anda yang sedang membaca tulisan ini adalah antara mangsa ketidakadilan ataupun seorang pemangsa ( yang telah melakukan ketidakadilan terhadap seseorang). Sekiranya anda adalah mangsa, maka bersabarlah kerana Tuhan sedang mengujimu. Sebaliknya jika anda adalah pemangsa, maka berubahlah kerana kuasa itu tidak kekal lama. Sampai masanya kuasa akan kamu tinggalkan dan kamu akan hidup dalam kehinaan selepas itu. Anda tidak percaya? Terpulanglah, kerana banyak orang telah membuktikan kata-kata yang kita sebutkan sebelum ini. Berubahlah sebelum terlambat, kerana masa tidak menunggumu!

ARTIKEL INI ADALAH SEBAHAGIAN DARIPADA TULISAN SAYA DI DALAM BUKU " WATAK-WATAK DALAM ORGANISASI". TULISAN INI ADALAH LUAHAN RASA DIHATI SAYA SEBAGAI INSAN YANG BERGELAR AHLI ORGANISASI. INSYAALLAH SAYA SEDANG BERUSAHA MENYIAPKAN BUKU TENTANG KEPIMPINAN YANG MANA INTIPATINYA BERKAITAN DENGAN KEPIMPINAN YANG SEPATUTNYA DIAMALKAN APABILA SESEORANG ITU DIANGKAT MENJADI PEMIMPIN. INI KERANA TELAH BANYAK BUKTI YANG MENUNJUKKAN SESEORANG ITU BERUBAH SIFATNYA APABILA MENJADI PEMIMPIN.


No comments:

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN Seperti yang kita sedia maklum, dua peperiksaan besar akan b...