Sedih dan sebak hatiku bila membaca kisah ini......Alangkah beruntungnya insan ini...Ya Allah di manakah nilai diriku di sisiMu...Ayuh, nikmatilah kisah hebat yang menyentuh jiwa ini...Semoga bermanfaat...
Saya mendapat khabar bahawa pernah pada
suatu musim haji, terdapat program soal-jawab yang disiarkan secara
langsung di tanah suci melalui siaran radio. Siaran tersebut didengari
oleh jutaan jemaah haji yang hadir. Kesemua soal-jawab telah dijawab
oleh seorang Tuan Sheikh yang `alim dan sangat dihormati akan ilmunya.
Program tersebut adalah khusus bagi menjawab soalan-soalan orang ramai
sekitar tajuk ibadah haji dan lain-lain yang berkaitannya.
Tiba-tiba ada satu panggilan dari seorang
wanita yang ingin bertanya tentang mimpi dan apa tafsiran Tuan Sheikh
tersebut. Walaupun pada asalnya Tuan Sheikh agak keberatan untuk
menjawab disebabkan ianya terkeluar dari tajuk yang dibincangkan iaitu
haji, namun beliau tidak mahu mengecewakan wanita tersebut lalu
dibenarkannya untuk bertanya.
“Saya pernah bermimpi
terlihat seorang lelaki yang mengerjakan ibadah tawaf mengelilingi
Ka`bah pada musim haji dalam keadaan beliau tidak berpakaian sedikit pun
iaitu dalam keadaan telanjang. Bolehkah Tuan Sheikh menafsirkan mimpi
saya tersebut?” Wanita tersebut bertanya kepada Tuan Sheikh
melalui panggilan telefon yang didengari oleh jutaan jemaah haji lain
melalui radio secara langsung.
Agaknya apakah jawapan tuan puan apabila
ditanya oleh seseorang dengan soalan yang sama? Dan apa pula jawapan
oleh para ustadz yang kita kenali jika ditujukan soalan yang sama untuk
mereka tafsirkan mimpi tersebut?
Lihatlah bagaimana reaksi Tuan Sheikh ini dan amatilah jawapan yang diberikan beliau dengan kehikmahan yang ada pada beliau:
“WAllahu A`lam. Saya akan cuba menjawab soalan puan berdasarkan sedikit pengetahuan yang saya ada.” Tuan Sheikh memulakan jawapan beliau dengan memuji ALLAH yang Maha Mengetahui segala sesuatu.
“Pada tafsiran saya
terhadap mimpi puan yang melihat seorang lelaki yang melakukan ibadah
tawaf secara bertelanjang itu ialah bahawa lelaki tersebut telah kembali
dalam keadaan beliau tidak berdosa selepas mengerjakan haji. Lelaki
tersebut telah memiliki keampunan ALLAH dan semua dosanya telah diampuni
seperti seorang bayi yang baru sahaja dilahirkan (dalam keadaan
telanjang). Ini sesuai dengan hadith Nabi sallAllahu `alaihi wasallam
yang menyebut bahawa seseorang yang diterima hajinya itu kembali bersih
tanpa dosa seperti dia baru sahaja dilahirkan oleh ibunya…” Jawab Tuan Sheikh tersebut.
“Beruntunglah lelaki tersebut kerana beliau telah dikurniakan dengan haji yang mabrur.” Sambung Tuan Sheikh lagi.
“Oh begitu. Terima kasih kerana sudi menjawabnya. Bolehkah saya memaklumkan kepada lelaki tersebut tentang berita ini?” Tanya wanita itu melalui telefon.
“Ya, boleh. Puan kenalkah dengan lelaki tersebut?” sambut Tuan Sheikh lalu diajukan soalan samada wanita itu kenal atau tidak dengan lelaki di dalam mimpi beliau.
“Ya, saya kenal beliau.” Jawab wanita tersebut dengan ringkas.
“Jika puan kenal dengan lelaki tersebut, puan ucapkanlah tahniah buat beliau kerana ALLAH telah menerima haji beliau.” Saran Tuan Sheikh agar wanita tersebut mengucapkan tahniah kepada lelaki yang bertuah itu.
“Sebenarnya lelaki yang saya lihat di dalam mimpi saya itu ialah Tuan Sheikh sendiri!!!” Wanita itu memberitahu siapa lelaki tersebut melalui panggilan telefon yang disiarkan secara langsung melalui radio.
Jawapan yang diberikan oleh wanita
tersebut sangat-sangat memeranjatkan Tuan Sheikh itu setelah
mendengarnya. Tuan Sheikh tidak dapat menahan perasaan lalu menangis
teresak-esak lantaran syukur dan insaf. Program radio yang dilakukan
secara langsung itu terpaksa dihentikan. Pengendali radio tersebut
memaklumkan bahawa program soal-jawab itu tidak dapat diteruskan dan
akan disambung pada hari yang lain.
Kisah di atas telah disampaikan di dalam
satu ceramah yang telah diadakan di Masjid Asy-Syarif, Meru, Klang oleh
Ustadz Syed Nurhisham sekitar tajuk haji pada 2 Dzulka`idah 1432H
bersamaan 30 Sepmtember 2011. Beliau tidak menyebutkan siapakah
gerangannya nama Tuan Sheikh yang dimaksudkan.
SubhanAllah! Betapa hikmah dan luar
biasa sekali jawapan Tuan Sheikh tersebut. Beliau nampak apa yang saya
dan orang lain tidak nampak. Jawapan beliau sangat-sangat di luar
jangkaan. Beliau memberikan tafsiran yang bukan calang-calang tafsiran.
Dan tafsiran beliau dijawab berdasarkan pemahaman beliau terhadap nas
dari al-Hadith. Malah kebaikan dari ilmu tafsiran beliau dikembalikan
kepada beliau oleh ALLAH `Azza wa Jalla dalam bentuk kemuliaan!
Saya tidak dapat menahan emosi saya
selepas mendengar kisah ini. Sangat sebak rasanya. Betapa beruntungnya
Tuan Sheikh tersebut. Beliau telah diberikan kemuliaan oleh ALLAH
`Azza wa Jalla di hadapan jutaan manusia sejak di dunia lagi. Khabar
gembira seperti ini jarang didapati oleh mana-mana manusia melainkan
sangat sedikit.
Saya telah menyemak hadith yang
dimaksudkan oleh Tuan Sheikh tersebut, iaitu bahawa Nabi sallAllahu
`alaihi wasallam telah bersabda yang maksudnya:
“Barangsiapa yang mengerjakan ibadah haji dan dia tidak melakukan jima’ dan tidak pula melakukan perbuatan dosa, dia akan kembali dari dosa-dosanya seperti pada hari ketika ia dilahirkan oleh ibunya.” (HR. Al-Bukhari, Muslim, An-Nasa’i, Ibnu Majah dan At-Tirmidzi)
Dan apabila melihat balasan yang
disediakan oleh ALLAH Subhanahu wa Ta`ala terhadap hamba-hambaNYA yang
memperolehi haji mabrur, diri ini tersangatlah rasa penuh harap dan
memohon agar dikurniakan dengan haji yang mabrur juga. Nabi sallAllahu
`alaihi wasallam menyebut tentang balasan kepada orang yang memperolehi
haji yang mabrur, yang maksudnya:
“Umrah (yang pertama) kepada umrah yang berikutnya sebagai kaffarat (peng-hapus) bagi (dosa) yang dilakukan di antara keduanya, dan haji yang mabrur tidak ada balasan baginya, melainkan Syurga.” (HR. Malik, Al-Bukhari, Muslim, At-Tirmidzi, An-Nasa’i dan Ibnu Majah).
ALLAHU AKBAR! Mudah-mudahan kita semua
memperolehinya. Dan untuk memperolehinya, mestilah kita letakkan usaha
yang sungguh-sungguh mulai sekarang, doa, tawakkal dan penuh harap
kepada ALLAH Jalla wa A`la agar kita dimasukkan ke dalam golongan
hamba-hambaNYA yang beruntung, amin…
LabbaiKA ya ALLAH! LabbaiKA ya ALLAH!
sumber : http://muzir.wordpress.com/2011/10/01/tafsir-mimpi-seorang-alim-dan-kaitannya-dengan-haji-mabrur/
No comments:
Post a Comment