oleh Perpustakaan INTAN
Buku
'Watak-Watak Dalam Organisasi’ ditulis oleh Razali Saaran menggunakan
pendekatan Islamik dalam pengurusan organisasi. Penekanan tentang amali
atau realiti yang berlaku di dalam organisasi berbanding teori
menjadikan input yang diperolehi melalui buku ini agak berbeza dengan
kebanyakan buku-buku pengurusan organisasi yang lain. Sebagai contoh,
teori mengatakan bahawa semangat kerja berpasukan perlu wujud di
kalangan ahli untuk menjayakan matlamat organisasi. Hakikatnya amalan
berpuak-puak yang menjadi budaya kerja dalam organisasi. Oleh yang
demikian, penulis berpendapat bahawa adalah amat penting bagi
pemimpin-pemimpin memahami 'watak-watak’ yang wujud supaya kekuatan dan
kelemahan ahli-ahli di dalam organisasi dapat dinilai seterusnya dapat
digerakkan ke landasan yang sebenar untuk mencapai wawasan organisasi.
'Watak’
atau karakter didefinisikan sebagai sifat yang ada pada seseorang sama
ada ia dizahirkan atau tidak. Buku ini membincangkan keperluan mengenali
dan menilai watak-watak dalam organisasi kerana tidak mudah bagi
sesuatu sistem dipatuhi disebabkan sikap tersendiri setiap individu.
Mereka akan memainkan peranan tertentu yang dapat membina perkembangan
atau mendatangkan kehancuran. Oleh yang demikian, adalah menjadi
tanggungjawab kepada pemimpin untuk memandu semua watak dalam organisasi
dengan cara yang berkesan.
Penulis
membahagikan watak kepada dua kategori utama iaitu positif dan negatif.
Perbincangan dimulakan dengan penjelasan mengenai watak-watak negatif.
Ini kerana untuk menghapuskan watak negatif adalah mustahil. Maka, tahap
kawalan perkembangan mereka akan memberikan kesan yang mendalam kepada
imej organisasi. Penulis menyenaraikan sebanyak 24 watak negatif untuk
ditangani pemimpin. Manakala, terdapat 17 karakter positif yang
ditekankan oleh penulis. Beliau berharap dengan pendedahan watak-watak
positif, maka pemimpin perlu menumpukan perhatian untuk membangunkan
dahulu watak-watak baik tersebut sebelum diseimbangkan dengan kemajuan
prasarana dalam organisasi.
Seterusnya,
penulis memberikan 11 petua untuk menyuburkan watak positif dalam
organisasi: Tegakkan Keadilan, Jauhi Kezaliman; Jauhi Sikap Memihak;
Dengar Sebelum Buat Keputusan;Tanamkan Sifat Keikhlasan; Jauhi Politik
Organisasi; Jaga Hati, Jauhi Persepsi Negatif; Mekanisme Kawalan Yang
Jelas dan Berfungsi;Telus; Kawalan Terhadap Maklumat; dan Beri Ganjaran,
Laksanakan Hukuman. Maka, tiga perkara utama iaitu Suburkan Semangat
Kekitaan, Suburkan Nilai Keagamaan, Suburkan Budaya Menegur dan Bersedia
Menerima Teguran Dalam Organisasi (Keterbukaan) dapat dilaksanakan
dengan lebih berkesan.
Penulis
mengakhiri perbincangan di dalam buku ini dengan 6 kisah ringkas
watak-watak cemerlang. Keenam-enam tokoh yang ditonjolkan adalah
Saiyidina Umar Al-Khattab r.a. (Khalifah Kedua daripada Empat Khalifah
Umat Islam selepas kewafatan Rasulullah SAW), Korporal Abu Bakar Ahmad
(Pengawal dari Syarikat Teraju Fokus Sdn. Bhd.), Abu
Talhah (Sahabat Rasulullah SAW), Mahatma Gandhi (Tokoh India), Umar
Abdul Aziz (Khalifah Umat Islam dari Bani Ummaiyyah) dan Abdullah bin
Rawahah (Sahabat Rasulullah SAW). Mereka menggambarkan sifat-sifat
terpuji seperti amanah, jujur, bertanggungjawab dan sedia berkorban
untuk kepentingan organisasi atau negara melebihi diri sendiri.
Penulis
buku ini, saudara Razali Saaran merupakan seorang guru dan telah
menulis buku bertajuk ’Hebatnya Cara Rasulullah Mendidik’. Setiap
penjelasan mengenai karakter (watak) dimulakan dengan situasi (cerita
ringkas) yang menggambarkan perwatakan tersebut dan diakhiri dengan
kaedah menghadapi karakter-karakter berkenaan. Dalam setiap penjelasan
tersebut beliau selitkan dengan Sudut Renungan dan Sudut Pedoman yang
dipetik daripada Hadis-Hadis, potongan ayat dari Surah-Surah Al-Quran
dan kata-kata hikmah yang telah diterjemah hasil penulisan Frank Tibolt
iaitu ’Sentuhan Kejayaan’. Penjelasan-penjelasan daripada beliau adalah
ringkas dan amat mudah untuk difahami melalui penggunaan bahasa yang
seolah-olah beliau sedang berbicara dengan pembaca. Secara
keseluruhannya, buku ini adalah rujukan ringan yang amat bermanfaat dan
praktikal terutamanya bagi pemimpin-pemimpin muda untuk dijadikan
sebagai pengajaran untuk pengurusan konflik bagi meningkatkan
nilai-nilai positif dalam organisasi.
Sumber : u-PUSTAKA PORTAL
No comments:
Post a Comment