SIAPA INSAN
YANG ANDA KAGUMI
Hari ini semasa menunggu panggilan Hannan untuk masuk ke
bilik doktor, isteri saya telah bercerita tentang sesuatu yang agak
memeranjatkan. Tetapi bagi insan kerdil seperti saya ini ianya begitu bermakna
dan saya sangat terharu dengan apa yang disampaikan oleh isteri saya tadi. Menurut
isteri saya, hari ini kebetulan dia mengajar subjek fizik dan sivik untuk kelas
yang sama. Semasa mengajar subjek sivik, isteri saya telah bertanya tentang
insan-insan yang mereka kagumi. Seorang demi seorang ditanya sehinggalah sampai
kepada pelajar yang terakhir. Jawapan yang diberikan agak memeranjatkan isteri
saya kerana jawapan yang diberikan oleh pelajar itu “ orang yang saya kagumi
Razali Saaran.” Lalu isteri saya berkata, “ itu suami saya. Kenapa awak kagum
dengan dia? “ lalu pelajar itu berkata, “ kerana dia telah membaca buku Nota
Hati Buat Pelajar yang ditulis oleh saya dan buku itu telah memberi ‘ sesuatu’
kepadanya.
Mohon maaf kerna berkongsi cerita ini. Apalah ada pada
diri saya untuk dikagumi. Hanya seorang guru biasa. Cuma saya ingin mengucapkan
terima kasih atas penghargaan tersebut. Saya benar-benar menghargainya. Semoga
Allah memberi kejayaan kepada pelajar tersebut dalam SPM nanti.
Untuk perkongsian, saya petik kata-kata yang saya tulis
dalam buku Nota Hati Buat Pelajar. Semoga memberi sedikit manfaat buat semua.
SIAPA INSAN
YANG ANDA KAGUMI
Dipetik daripada buku : Nota hati Buat Pelajar, Tulisan
Razali Saaran
Anda ada insan yang dikagumi?
Saya sendiri mempunyai insan yang saya kagumi.
Gaya percakapan dan gaya berfikir mereka banyak mempengaruhi diri saya. Tentu
ada di antara anda yang membaca buku ini tertanya-tanya siapakah gerangannya insan tersebut. Tidak mengapalah, lupakan
sahaja persoalan siapakah dia. Apa yang
penting, siapakah insan yang anda kagumi
itu?
Sebenarnya dalam kehidupan ini manusia banyak dipengaruhi
oleh orang lain. Misalnya ramai muda-mudi hari ini terpengaruh dengan gaya
artis-artis pujaan mereka. Maka rambutnya, pakaiannya, cara bercakapnya, warna
kegemarannya dan bermacam-macam lagi adalah berdasarkan rujukannya kepada artis
pujaannya itu. Tidak kurang juga yang meminati atlet-atlet sukan. Misalnya
mereka meminati pemain bola sepak dari Eropah. Maka ketika bermain bola sepak
di padang, mereka akan meniru gaya permainan pemain bola sepak pujaan mereka
itu.
Seseorang individu yang diminati atau dikagumi oleh
seseorang itu pasti kerana sesuatu keistimewaan atau kehebatan yang dilihat
pada dirinya. Sebagaimana contoh yang saya sebutkan di atas, kerana kehebatan
yang dilihat pada seorang pemain bola sepak Eropah menyebabkan ia menjadi
ikutan oleh kebanyakan peminat di Malaysia. Kehebatannya itu sering
disebut-sebut dan dijadikan perbandingan dengan pemain bola sepak yang lain.
Pentingkah insan-insan yang dikagumi ini dalam kehidupanmu?
Saya percaya ia begitu penting kepada insan yang ingin
mencapai kejayaan dalam hidupnya. Apatah lagi insan-insan seperti anda yang
masih belajar. Dengan adanya insan yang
dikagumi akan membolehkan anda menjadikannya sebagai sumber inspirasi
untuk anda menuju kejayaan yang ingin dicapai. Misalnya anda ingin bergelar
seorang pelajar yang cemerlang dalam SPM, maka nama hebat seperti Nik Nur
Madihah binti Nik Mohamad Kamal adalah insan terbaik bagi dijadikan contoh dan
sumber inspirasi kerana beliau telah berjaya mendapat keputusan yang cemerlang
dalam SPM 2008. Ataupun sekiranya anda ingin bergelar seorang usahawan berjaya,
maka nama besar seperti Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bhukari adalah contoh terbaik untuk anda. Namun sekiranya anda
ingin bergelar seorang guru, perhatikanlah sahaja guru-gurumu di sekolah dan
nilailah dengan mata hatimu, siapakah di antara mereka yang layak menjadi ikutan untuk anda kelak apabila bergelar
seorang pendidik.
Tiada Insan yang boleh dikagumi?
Saya percaya ada di kalangan anda
yang tidak mempunyai insan yang boleh dikagumi
sebagai contoh dalam hidupnya. Pada perkiraan saya, mereka itu adalah
orang yang rugi. Ini kerana tanpa mereka,
bermakna anda tiada panduan bagi dijadikan perangsang ke arah kejayaan yang
ingin dicapai. Anda ingin menjadi seorang yang kaya-raya, tetapi anda tidak
tahu siapakah insan yang ingin anda contohi,
yang memiliki kekayaan seperti yang anda impikan. Anda ingin menjadi penulis
terkenal, tetapi anda tiada panduan yang
boleh anda contohi hasil tulisannya. Maka dengan ini wajarlah anda memastikan
dirimu juga mempunyai insan-insan yang boleh
dikagumi akan kejayaannya supaya ia mampu menjadi sumber inspirasi dalam
diri. Mudah-mudahan dengan melihat kejayaan demi kejayaan yang sudah dicapai
oleh mereka, dapat merangsang prestasi
dirimu untuk berjaya.
Sebagai umat Islam sendiri, Rasulullah itu sendiri adalah
insan yang wajib diangkat sebagai Insan yang
paling dikagumi. Dalam surah al-Ahzab ayat 21, Allah SWT menyebut, “Sesungguhnya
pada diri Rasulullah itu terkandung suri tauladan yang terbaik untuk kamu.”
Ayat itu dengan jelas menyebut, Rasulullah SAW mempunyai akhlak terbaik yang
mesti dicontohi. Ayat itu juga ingin memberi tahu kepada umat Islam jadikanlah
Rasulullah SAW itu sebagai contoh dan panduan
kerana Baginda adalah contoh terbaik yang wajar diteladani.
Buatlah Pilihan Terbaik!
Sebelum anda membuat keputusan
bagi memilih siapakah yang wajar dijadikan
panduan dalam hidupmu, elok dipastikan siapakah gerangannya mereka itu. Perhatikan baik-baik akhlaknya
supaya anda tidak tersalah memilih.
Jangan dipandang pada kejayaan semata-mata tanpa menilai akhlaknya yang lebih
utama daripada segala-galanya. Apalah erti kejayaan mereka sedangkan tingkah
lakunya menyakitkan mata yang
melihatnya. Adakah mereka yang rosak akhlaknya itu mahu diangkat sebagai contoh dalam hidupmu? Jangan adik-adikku
kerana itu pilihan yang salah. Oleh itu, pilihlah yang terbaik dari aspek
akhlak dan kejayaannya. Ini kerana orang berjaya bukan sekadar cemerlang dunia,
tetapi cemerlang akhiratnya.
No comments:
Post a Comment