Wahai guru, Sedikit perkongsian buatmu
Kaedah Pengajaran Itu Sekadar Perisa Tambahan
Buku kecil ini cuba membawa pembaca menyelami maksud yang mengatakan bahawa akhlak adalah tunggak utama dalam menjadikan seseorang guru itu berkesan dalam pengajarannya dan kaedah pengajaran adalah perisa tambahan bagi melazatkan lagi keberkesanan pengajaran guru di dalam kelas.
Imam Al-Ghazali dalam kitabnya Ihya Ulum ad–Din menekankan betapa perlu dan pentingnya keperibadian tinggi bagi seorang pendidik yang berkesan. Menurut Imam Al-Ghazali, seorang guru mesti mengamalkan ilmunya, janganlah perkataan beliau membohongi perbuatan. Ini adalah kerana ilmu dapat diperhatikan dengan mata hati, sementara perbuatan dapat dilihat dengan mata, sedangkan orang yang mempunyai mata lebih ramai. Kenyataan Al-Ghazali memperlihatkan bahawa amalan, tingkah laku, akhlak dan peribadi pendidik lebih penting daripada ilmu yang dimiliki. (Abdul Salam Yussof : 2003).
Ini bersesuaian dengan firman Allah SWT di dalam al-Quran :
Maksudnya : “Apakah kamu menyuruh manusia melakukan kebaikan sedangkan kamu lupa ke atas diri mu sendiri, padahal kamu membaca al-Kitab (Taurat)? Maka tidaklah kamu berfikir?”
[al-Baqarah : 44]
Manakala menurut Mohd Ahmad Al-Rashid (1990), bahawa dalam prinsip tingkah laku dan moral, guru yang berkesan mesti menunjukkan teladan (akhlak) yang baik kepada pelajar (Abdul Salam Yussof : 2003).
Jika anda masih kurang bersetuju bahawa akhlak itu adalah tunggak utama dalam menjadikan sesuatu pengajaran itu bermakna, mari kita perhatikan hadis yang mulia ini. Baca dan renunglah sedalam-dalamnya maksud yang terkandung di dalamnya.
“Sesungguhnya Aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.”
[Riwayat Imam Ahmad]
Apakah mesej tersirat di sebalik hadis yang mulia di atas. Mengapakah soal akhlak yang Rasulullah SAW perbesarkan sehinggakan baginda menjelaskan kepada kita bahawa Dia di utuskan adalah semata-mata kerana akhlak. Rasulullah SAW tidak menyebut perkataan lain melainkan perkataan akhlak semata-mata. Cuba bayangkan dalam dunia yang sedang pesat membangun ini, teknologi berkembang dengan pesat dan begitu pantas sekali, apa akan terjadi sekiranya teknologi itu tidak diuruskan dengan akhlak yang baik. Begitu juga dalam dunia pendidikan, walaupun guru mempunyai ilmu yang mendalam tentang kaedah mengajar di dalam kelas, adakah itu sudah mencukupi tanpa berasaskan kepada akhlak yang baik. Guru mahir dalam bersoal jawab, tetapi apa akan berlaku sekiranya kaedah pelaksanaannya dilakukan tanpa berlandaskan akhlak yang digariskan oleh Islam. Misalnya guru tidak menggunakan bahasa yang baik ketika menyoal pelajarnya sehinggakan pelajarnya berkecil hati dengan gurunya. Guru pandai bercerita, tetapi guru tidak pandai bercerita mengikut cara yang telah digariskan oleh Islam kerana menggunakan contoh-contoh yang sensitif dan menyinggung perasaan beberapa pelajar yang mendengarnya. Pelajar-pelajar juga mungkin akan ketawa apabila guru membuat lawak jenakanya di dalam kelas, tetapi seorang pelajar sedang menangis di dalam hatinya kerana gurunya tidak berakhlak ketika berjenaka kerana menggunakannya sebagai bahan jenakanya sehinggakan rakan-rakannya yang lain tertawa.
Tentu hairan bukan, gurunya begitu hebat dan berpengalaman tetapi pelajar tidak berminat mengikuti kelas pengajarannya. Tentu hairan bukan, seorang pelajar yang cemerlang dalam kebanyakan subjek yang diambilnya tetapi begitu lemah dalam subjek yang tertentu. Malah ia akan menjadi lebih menghairankan apabila seseorang pelajar itu sanggup ponteng kelas hanya kerana tidak boleh melihat muka guru yang mengajarnya. Di manakah silapnya, adakah kerana pelajar itu benar-benar bermasalah ataupun sebaliknya. Jika pelajar itu benar-benar ‘kaki ponteng kelas’, maka itu bukanlah kesalahan yang berpunca daripada guru. Itu berpunca daripada sikap pelajar sendiri. Tetapi bagaimana pula sekiranya pelajar yang ponteng kelas itu adalah pelajar yang tidak bermasalah dan dikenali sebagai pelajar yang bijak di sekolah. Malahan sampai ke satu tahap yang agak kritikal, seseorang pelajar sanggup ponteng sekolah kerana pada hari tersebut ada subjek yang tidak digemarinya. Siapakah yang bersalah dalam hal ini. Inilah persoalan yang bermain-main dalam minda kebanyakan daripada kita yang bergelar pendidik. Di manakah silapnya? Adakah kesilapan ini berpunca daripada pelajar ataupun guru itu sendiri?
DIPETIK DARIPADA BUKU " HEBATNYA CARA RASULULLAH MENDIDIK" TULISAN SAYA SENDIRI
No comments:
Post a Comment