Sunday, July 14, 2013

Nota Hati Buat Guru Pelatih

Nota Hati Buat Guru Pelatih

Esok, kebanyakkan sekolah akan menerima kehadiran guru-guru pelatih yang akan memulakan sesi latihan mengajarnya selama lebih kurang 4 bulan. Tidak ketinggalan, sekolah saya juga bakal menerima kehadiran 6 orang guru pelatih daripada UPSI, university di mana saya belajar menjadi seorang guru. Sebagai insane yang pernah bergelar guru pelatih dan sudah biasa juga berhadapan dengan guru-guru pelatih setelah bergelar guru, sedikit nasihat ingin saya panjangkan di sini. Mudah-mudahan ianya berguna buat kalian.

4 bulan yang sangat mencabar

Apabila anda memasuki kawasan sekolah pada keesokan hari, bermulalah tugas anda sebagai guru pelatih. Pelatih bermaksud anda akan mengajar sambil belajar bagaimana menjadi guru. Selama beberapa tahun anda belajar ilmu berkaitan teori mengajar, pada hari tersebut anda akan mempraktikkan ilmu yang telah anda pelajari itu. Ia bukan mudah dan ia tidak semestinya sama situasinya sebagaimana yang anda belajar di university dahulu. Berkemungkinan besar anda akan terkejut dengan apa yang anda hadapi dan berasa sangat tertekan dengannya.

Jangan hilang punca

Apabila anda berada dalam situasi yang membebankan fikiran, jangan hilang punca. Di sekolah anda ada guru pembimbing dan juga guru-guru lain yang boleh membantu anda. Jangan sekadar berinteraksi dengan rakan-rakan pelatih yang berada bersama anda sahaja. Tetapi ringan-ringankanlah mulut untuk bertanya dan berbincang untuk mencari jalan penyelesaian. Yang akan membezakan anda dengan guru-guru pelatih yang lain ialah sejauh mana anda kerap berinteraksi dan mendapatkan pandangan daripada guru-guru yang ada di sekolah tersebut.

Jangan salah mendapat nasihat

Di sekolah, anda akan mendapat pelbagai ragam guru. Ini adalah perkara biasa. Alam teori tidak sama dengan alam reality. Anda kan berhadapan dengan guru yang aktif, pasif, proaktif, berkira, mulut jahat, mulut bising, penghasut, dan pelbagai lagi ragam yang pasti anda akan ketemui nanti. Nasihat saya, apabila anda ingin mendapatkan pandangan, jumpalah guru yang boleh memberi pandangan yang betul. Misalnya bolehkan anda menghukum pelajar? Bolehkan anda tidak menghadiri program sekolah?, dan bermacam-macam lagi persoalan yang akan anda hadapi. Kesilapan memilih, kesan negatifnya berbalik kepada anda.

Jangan mengasing diri

Ini adalah masalah yang saya sering lihat, segelintir guru-guru pelatih yang suka menyendiri. Mungkin ada beberapa faktor yang menyebabkan mereka menyendiri seperti rasa segan, tidak serasi, kecil hati dan sebagainya. Namun, walau apapun alasannya, nasihat saya bertindak bijaklah dalam berinteraksi dengan guru-guru di sekolah tersebut. Kuatkanlah diri untuk senyum, berbual-bual dan membantu mana yang perlu. Percayalah, anda akan disenangi.

Jangan menunjuk pandai

Tidak dinafikan anda mempunyai pengetahuan yang banyak tentang teori mengajar. Tetapi anda masih ‘miskin’ pengalaman. Elakkan bercakap seolah-olah anda serba tahu. Tetapi nyatakan pandangan anda dengan penuh rasa hormat kerana ini bukanlah bermakna anda tidak boleh bercakap langsung. Sekiranya anda berasa bimbang kata-kata itu akan menyebabkan masalah, saya kira diam itu lebih baik pada waktu itu dan pandangan itu boleh disampaikan pada waktu yang lain yang lebih sesuai.

Ikut peraturan

Apabila berkerja, ada peraturan yang perlu difahami. Di sekolah, peraturan yang perlu diambil perhatian ialah waktu hadir, waktu masuk dan keluar kelas, buku rekod, menanda buku latihan dan nota, kelas relief, aktiviti kokurikulum dan waktu balik. Sekiranya waktu menjadi pelatih peraturan sukar diikuti, dibimbangi nanti apabila menjadi guru sebenar anda akan menjadi lebih sukar mematuhi peraturan.





Hebatnya kerendahan hati

Jika anda ingin dihormati, jadilah insan yang senang merendahkan hatinya. Percayalah, anda akan disenangi oleh guru-guru dan pelajar. Malah, tidak keterlaluan anda akan diingati apabila tamatnya tempoh latihan anda sebagai guru yang baik.

Semoga anda berjaya

Saya mendoakan semoga anda akan dipermudahkan sepanjang tempoh anda berpraktikum. Kuatkan hati dan yakinlah bahawa Allah pasti akan membantu anda. Semoga selepas selesai berpraktikum anda bukan sekadar lulus dengan cemerlang, tetapi anda mendapat ilmu yang sangat bermanfaat sebelum memasuki alam berkerja yang sebenar.

‘ Semoga anda menjadi guru yang hadirnya sentiasa dinanti…. Perginya dirindui dan ditangisi..

Razali Saaran
Penulis buku “ Hebatnya Cara Rasulullah Mendidik’
www.teratakmuslim.blogspot.com




No comments:

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN Seperti yang kita sedia maklum, dua peperiksaan besar akan b...