Thursday, January 2, 2014

INDAHNYA HIDUP BERMATLAMAT

Oleh : Razali Saaran

Alhamdulillah, tahun baru menjelma lagi..


Alhamdulillah, kita masih diberi nafas lagi...

Alhamdulillah, kita masih diberi peluang untuk menghadapi hidup ini...

Dalam hidup, yang membezakan kita dengan makhluk yang bernyawa itu adalah matlamat hidup. Kita dapat melihat bagaimana Lelaki A yang mempunyai matlamat yang jelas tahu ke mana hendak di bawa dirinya berbanding Lelaki B yang tiada arah hidupnya. Ibarat sebuah kenderaan yang luncur laju, bergerak menuju destinasi yang telah ditetapkan, akhirnya tiba dengan selamat mengikut tempoh masa yang telah ditetapkan. Ianya berbeza sekali dengan mereka yang memandu keretanya kerana tidak tahu hendak ke mana. Akhirnya dia pulang semua ke rumahnya dengan keletihan. Mungkin kerana bosan dengan hidupnya yang seharian di rumah, akhirnya mengambil keputusan keluar berjalan-jalan tanpa arah tujuan. 

Beruntungnya! Beruntungnya! Beruntungnya Kalian !

Apabila hidup mempunyai matlamat, ia ibarat kompas yang memandu kita ke arah yang betul. Jika kita bersolat di tempat yang baru, kompas membantu kita menentukan arah kiblat dengan betul. Ya, kompas memberikan kita keyakinan yang tinggi dan menghilangkan rasa ragu-ragu dalam hati.

Orang yang mempunyai matlamat hidup adalah orang yang beruntung. Ini kerana matlamat itu adalah permulaan kepada kejayaan dalam hidupnya. Dengan adanya matlamat, ia memberi panduan ke arah mana hendak dituju sebagaimana kompas itu berfungsi sebagai penunjuk arah yang betul. Matlamat hidup juga menjadikan mereka bertindak mengikut laluan yang betul dan terancang. Mereka tidak memandai-mandai melainkan mengikut perancangan yang telah digariskan. Berbeza pula dengan mereka yang tiada matlamat hidup. Mereka bertindak mengikut hatinya. Apa yang dilaluinya pada hari tersebut, itulah yang akan ditempuhinya. Pada mereka, matlamat hanya akan mengikat hatinya tanpa kebebasan.

Matlamat Itu Mestilah Jelas Dan Realistik !

Sesuatu matlamat itu bukanlah sekadarnya sahaja. Ianya bukan sekadar menyebutnya dibibir ataupun menulisnya di atas kertas, ataupun menaipnya di skrin komputer. Ianya mestilah jelas. Ianya mestilah sesuatu yang realistik untuk dicapai. Matlamat yang jelas dan realistik memudahkan kita membuat perancangan yang teliti untuk mencapainya dan ianya dapat mengelakkan kita daripada dilihat sedang membuat lawak jenaka. 

Mulakan ! Mulakan !

Apabila kita telah menetapkan matlamat, kita mesti menggerakkannya mengikut kemampuan kita. Janganlah sesekali membiarkan matlamat itu sekadar diluahkan sahaja. Jika itu yang berlaku, dibimbangi kita ini seperti " Mat Jenin " sahaja sikapnya. Berangan-angan tinggi, tetapi sekadar di bibir dan di hati. Semasa tempoh pelaksanaan pula, kita harus mengerti bahawa kita memerlukan bantuan fizikal dan mental daripada orang lain yang berada di sekeliling kita. Kita tidak dilahirkan dengan memiliki semua pengetahuan dan kemahiran. Ada ketikanya kita memerlukan pertolongan daripada orang lain untuk melancarkan proses ke arah mencapai matlamat yang telah ditetapkan. Lihatlah Henry Ford, beliau berjaya mencapai cita-citanya dalam dunia automatif bukan kerana dirinya sahaja, tetapi kerana beliau memiliki pakar-pakar yang hebat dalam bidang tersebut yang turut membantunya. Beliau tidak berdiri sendiri, tetapi beliau berdiri besama-sama mereka yang berada di sekelilingnya. 

Semoga Berjaya

Cabaran paling hebat ketika proses pelaksanaan ialah ' putus asa '. Fasa ini adalah realiti yang dihadapai oleh mereka yang sedang berjuang untuk mencapai impiannya. Kita dapat melihat bagaimana tidak sedikit yang tersungkur di pertengahan jalan sehingga tidak mampu berdiri lagi kerena berputus asa dengan kemampuan dirinya. Ada juga yang bangkit semula setelah jatuh. Bahkan ada yang berjuang tanpa putus asa biarpun dugaannya hampir menjatuhkan semangatnya. Namun begitu, sama ada jatuh dan bangkit semua, ataupun tidak pernah jatuh semangatnya, saya berdoa semoga kita semua berjaya mencapai cita-cita ataupun impian yang telah dimatlamatkan. Berusahalah dengan sekuatnya, tetapi janganlah dilupa pada nilai kehambaan di dalamnya. Ini kerana sama ada kita gagal atau berjaya, Allah jua yang menentukannya. Apa yang penting, teruskan berusaha dan berdoa. Mudah-mudahan ada sinar di hadapan sana.

Selamat Maju Jaya...

Selamat Tahun Baru 2014...

RAZALI SAARAN

Fikir tanda fakir,
Seremban,
Januari 2014

* Indahnya Hidup Bermatlamat adalah tajuk ceramah yang paling kerap saya sampaikan di sekolah dan IPT.. Semoga bermanfaat..  


No comments:

Related Posts with Thumbnails