Thursday, July 19, 2018

KETUA YANG DIRINDUI

Ketua Yang Dirindui

Kata Saidina Ali r.a, “ Pergaulilah manusia dengan pergaulan yang apabila kamu meninggal dunia mereka menangisimu dan jika kamu hidup mereka menyayangimu ”.

Sebagai ketua, kata-kata ini tentunya motivasi terbaik buat kita untuk menilai diri sama ada kita ini nanti akan dirindui atau tidak. Jika kita tidak mati sekalipun, setelah kita bertukar atau pencen, adakah kita ini adalah ketua yang akan dikenang dan dirindui atas kebaikan yang kita buat ke atas orang di bawah kita. Persoalan ini sepatutnya sering bermain-main di minda kita agar ia menjadi penyuluh dalam hati kita untuk melakukan sesuatu tindakan dengan cara yang baik.
Sebagai ketua, tiada siapa yang boleh lari dari melakukan kesilapan kerana ketua itu juga adalah manusia. Namun ketua harus belajar memperbaiki kelemahan yang ada dan berusaha untuk melakukan sesuatu itu dengan neraca yang  benar. Seseorang ketua banyak pertimbangannya dan jangan sesekali bertindak secara melulu tanpa berfikir dan menilai secara menyeluruh. Kaedahnya, ketua tidak akan mampu memuaskan hati semua orang. Tetapi ketua mesti dilihat adil dan amanah dalam tingkahlakunya.

Seorang ketua juga harus mendidik dirinya untuk mendengar terlebih dahulu sebelum keputusan dibuat. Jika ada orang bawahan yang melakukan kesalahan, berilah peluang kepadanya untuk menjelaskan. Janganlah menghukum dahulu sebelum mendengar terlebih dahulu. Jauhi sentiment negative pada mereka dan berlaku adillah. Jika ada antara orang bawahan yang sedang berkonflik, panggillah mereka dan dengarlah penjelasan daripada keduanya. Janganlah kerana ada perasaan yang lebih baik terhadap salah seorang daripada mereka, kita lebih cenderung kepada yang lebih dekat dengan hati kita itu. Jika ada yang menegur kita atas sesuatu perkara, janganlah menakutkannya. Biarkan mereka bercakap dan berlapang dadalah. Sesungguhnya kritikan itu amat berat kesan pada hati, tetapi menerimanya dengan lapang dada adalah ketinggian akhlak buat seseorang ketua.  Jika ada yang memberi idea, dengarlah dan responlah dengan baik sebagai tanda menghargai. Sesuatu idea itu tidak semestinya diterima, tetapi bagaimana kita menerimanya akan memberi kesan kepada orang di bawah kita. Jika ada yang sedang kesulitan, berilah kata-kata semangat dan mudahkan urusan mereka untuk menyelesaikannya. Mereka itu tidak minta untuk mendapat kesusahan tersebut, tetapi itu adalah ketetapan-Nya. Sebagai ketua yang memahami akan erti ujian dalam hidup pasti memahami apakah cara terbaik untuk menyantuni mereka yang sedang dalam kesulitan.
·       
           *  Ketua ini mungkin di peringkat bawahan, pertengahan atau di peringkat atasan. Di mana pun peringkatnya, setiap tindakan ada kesannya kepada dirinya dan orang lain.

Razali Saaran
Guru biasa aje 

No comments:

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN Seperti yang kita sedia maklum, dua peperiksaan besar akan b...