Wednesday, July 18, 2018

Tiga sikap yang wajar dijauhi oleh guru

Tiga  sikap yang wajar dijauhi oleh guru

1.       Suka mengkritik

Antara sikap yang kita suka amalkan ialah mengkritik orang lain. Tidak salah mengkritik, tetapi bukanlah setiap perkara itu perlu dikritik oleh kita. Ada ketikanya kita perlu berdiam diri dan meraikan kekurangan yang ada selagi mana kekurangan itu tidak mencacatkan asas utama sesuatu perkara. Misalnya seorang guru diberi tugas menyiapkan tempat makan VIP. Kita yang melihat warna alas meja kurang sesuai menegur dengan nada yang bunyinya seperti rakan kita itu telah melakukan kesalahan yang besar. Sedangkan pilihan warna itu bukanlah sesuatu yang besar isunya dan perkara itu boleh sahaja didiamkan dan menerima kekurangan tersebut.

2.       Sentiasa mahu menang apabila berhujah

Ini juga sikap yang kita wajar jauhi. Tidak salah mahu menang, tetapi janganlah sampai kita ini sentiasa mahu menang dalam hal yang salah. Bahkan, tidak salah juga kita mengalah pada perkara yang kita lebih berhak menang kerana itu tanda kerendahan hati. Misalnya seorang guru tidak mahu menerima pandangan rakannya bagi menukar cara pelaksanaan hukuman terhadap pelajar kerana dibimbangi akan menyebabkan guru itu bertindak di luar batasan. Setiap kali ditegur, ada sahaja hujah balasnya sehinggakan rakan-rakan  jadi malas untuk menegurnya lagi.

Sikap ini, jika kita sering amalkannya, tidak mustahil, satu hari orang jadi muak dengan sikap kita. Malah ada yang akan mengatakan, tidak perlu cakap apa-apa dengan dia, sebab asyik nak menang sahaja.

3.       Suka mengelak kerja

Ini juga pengakit yang sering menimpa kita. Apabila diberi tugas, cepat sahaja kita mencari jalan untuk mengelaknya. Ada sahaja alasan yang dicipta demi mencapai matlamat diri iaitu untuk mengelak kerja. Jika tidak berjaya di satu peringkat, kita sanggup ke peringkat yang lain untuk mengadu bahawa diri ini sudah banyak kerja dan minta diberikan kepada orang lain. Akhirnya, tiadalah kerja yang kita ada, melainkan kerja-kerja asas yang orang lain juga turut melaksanakannya. Misalnya, seorang guru bertemu dengan setiausaha program agar ditukar namanya dengan nama orang lain. Alasan yang diberi ialah dia ada banyak kerja yang perlu disiapkan. Apabila permintaannya ditolak, dia bertemu pula dengan pihak atasan untuk merayu. Akhirnya, guru lain terpaksa mengambil tugasnya. 

No comments:

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN Seperti yang kita sedia maklum, dua peperiksaan besar akan b...