Saturday, July 17, 2010

Aku Menulis Bukan Kerana Nama

Memang tidak dinafikan ada suara-suara yang berkata “ razali” dah glamour kerana dah ramai yang mengenali aku kerana aku telah bergelar penulis. Malah ada yang terang-terangan mengatakan perkataan itu kepadaku tanpa tapisan. Apa yang mampu aku lakukan hanyalah senyum dan menjelaskan tentang perkara yang sebenar. Namun aku tidak tahu samada mereka mempercayainya atau tidak.

Dua Buah Bukuku Yang Kini Di Pasaran

i. Hebatnya Cara Rasulullah Mendidik ( HCRM )



Buku ini adalah buah tanganku yang pertama. Ia begitu bermakna buatku kerana akhirnya apa yang terpendam dalam diriku berkaitan guru terluah jua akhirnya. Bagi mereka yang membaca buku ini, pasti bertemu dengan mukadimah tulisanku yang menceritakan mengapa buku ini ditulis.


ii. Watak-Watak Dalam Organisasi



Buku yang kedua ini pula berkenaan dengan organisasi. Sengaja aku memilih tajuk ini untuk menggambarkan tentang perwatakan-perwatakan yang sering wujud dalam organisasi yang seringkali dilupakan dan tidak diambil peduli. Sedangkan kesannya begitu hebat kepada organisasi.

Aku Menulis Kerana Menegur Diriku Sendiri

Sebenarnya Allah jua yang lebih mengetahui apa yang bermain-main disebalik hatiku tentang tujuan sebenar aku menulis. Kerana itu jugalah sepanjang masa aku sentiasa berdoa semoga Allah sentiasa mengekalkan niat asalku menulis iaitu keranaNya.

Menulis tentang diri Rasulullah adalah cabaran terhebat buatku. Tanpa background agama semestinya menimbulkan banyak tanda tanya dibenak pembaca. Sedangkan hakikat sebenarnya Allah telah memilihku untuk menulis tentang perkara itu. Semakin berat aku menahan diri semakin terseksa batinku. Akhirnya aku menulis, dan jiwaku semakin tenang kerana sekurang-kurangnya apa yang terpendam dibenakku telah terurai. Sekurang-kurangnya mereka yang bergelar pendidik itu akan menyedari bahawa Rasulullah ada meninggalkan sesuatu buat kita semua. Dan janganlah hanya membesarkan apa yang dibawa oleh barat dan berbangga apabila memperkatakan tantangnya. Sebaliknya berbanggalah apabila memperkatakan tentang apa yang ditinggalkan oleh Rasulullah.

Menulis tentang organisasi pula merupakan sesuatu yang istimewa buat diriku. Ia adalah realiti sebenar yang berlaku dalam organisasi. Aku benar-benar memerhatikan betapa masalah watak ini begitu mencengkam organisasi. Begitu ramai yang menderita dengan watak-watak yang negatif ini. Dan aku percaya tentu ramai yang bersetuju denganku bukan?

Apapun semua yang aku tulis ini adalah nasihat utama buat diriku. Aku begitu takut dengan peringatan Allah ini :

“Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan.”

[ al- Shaff : 2-4 ]

Aku Sedang Menyiapkan Beberapa Buah Buku Lagi

Alhamdulillah aku sedang bertungkus-lumus menyiapkan beberapa buah buku lagi. Sekiranya tiada halangan, buku ketiga yang 70% siap akan disiapkan. Apapun bergantung kepada kesibukanku. Semoga Allah memudahkannya kerana semua yang terjadi itu adalah ketentuan Allah juga. Sekiranya Allah berkehendakkan kepada ianya siap, maka pasti akan siap jua..Ya Allah permudahkanlah usaha hambaMu yang begitu kecil ini.

Kepada rakan-rakan dan sesiapa yang mengenaliku semoga kalian mendoakan yang terbaik buatku. Buat Isteri tersayang terima kasih begitu memahami minat suamimu yang begitu mendalam terhadap buku dan ilmu. Buat anak-anak tersayang, apa yang abah buat ini tiada lain semata-mata kerana Islam, bukan kerana nama.

Wallahua’lam

Razali Saaran
6 Sya’ban 1431
18 Julai 2010




No comments:

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN Seperti yang kita sedia maklum, dua peperiksaan besar akan b...