Saturday, August 7, 2010

IBUKU SEORANG PEMBOHONG

Cerita Ini saya baca di tranungkite.net sebentar tadi. Kerana mesejnya sangat baik, lalu saya bercadang untuk masukkan dalam posting terbaru saya hari ini. Alhamdulillah, maka dapatlah cerita ini disyer untuk manfaat bersama. Bacalah dan renungkanlah..semoga anda yang masih memiliki ibu@ayah belum terlambat untuk mengucapkan rasa sayang anda kepada mereka. baiklah, sila nikmati kisah yang begitu menyentuh hati ini.


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini




Dipetik daripada www.tranungkite.net



Mungkin sukar bagi orang lain percaya, tetapi itulah yang terjadi, ibu saya memang seorang pembohong!! Sepanjang ingatan saya sekurang-kurangnya 8 kali ibu membohongi saya. Saya perlu catatkan segala pembohongan itu untuk dijadikan renungan kita sekalian.
Cerita ini bermula dari semasa saya masih kecil. Saya lahir sebagai seorang anak lelaki dalam sebuah keluarga tidak senang. Makan minum serba kekurangan.

PEMBOHONGAN PERTAMA

Kami sering kelaparan. Adakalanya, selama beberapa hari kami terpaksa makan nasi dan ikan masin satu keluarga. Sebagai anak yang masih kecil, saya sering merungut. Saya menangis, ingin nasi dan lauk yang banyak. Tetapi ibu pandai berbohong. Ketika makan, ibu sering membahagikan nasinya untuk saya. Sambil memindahkan nasi ke pinggan saya, ibu berkata : “”Makanlah nak, ibu tak lapar.”

PEMBOHONGAN KEDUA

Ketika saya mulai besar, ibu yang gigih sering meluangkan waktu senggangnya untuk pergi memancing di sungai sebelah rumah. Ibu berharap dari ikan hasil pancingan itu dapat memberi sedikit makanan untuk membesarkan kami. Pulang dari memancing, ibu memasak ikan segar yang mengundang selera. Sewaktu saya memakan ikan itu, ibu duduk di samping kami dan memakan sisa daging ikan yang masih melekat di tulang sisa ikan yang baru saya makan.

Saya sedih melihat ibu seperti itu. Hati saya tersentuh lalu memberikan ikan yg belum saya makan kepada ibu. Tetapi ibu dengan cepat menolaknya. Ibu berkata : “Makanlah nak, ibu tak suka makan ikan.”

PEMBOHONGAN KETIGA

Di awal remaja, saya masuk sekolah menengah. Ibu biasa membuat kuih untuk dijual sebagai tambahan wang saku saya dan abang. Suatu ketika, pada dinihari lebih kurang pukul 1.30 pagi saya terjaga dari tidur. Saya melihat ibu membuat kuih ditemani lilin di hadapannya. Beberapa kali saya melihat kepala ibu terangguk kerana mengantuk. Saya berkata : “Ibu, tidurlah, esok pagi ibu kan nak pergi ke kebun lagi.” Ibu tersenyum dan berkata : “Cepatlah tidur nak, ibu belum mengantuk.”

PEMBOHONGAN KEEMPAT

Di akhir masa ujian sekolah saya, ibu tidak pergi berjualan kuih seperti biasa supaya dapat menemani saya pergi ke sekolah untuk memberi semangat. Ketika hari sudah siang, terik matahari mulai menyengat, ibu terus sabar menunggu saya di luar. Ibu nampak sering tersenyum dan mulutnya komat-kamit berdoa kepada Ilahi agar saya lulus ujian dengan cemerlang. Ketika loceng berbunyi menandakan ujian sudah selesai, ibu segera menyambut saya dan menuangkan kopi yang sudah disediakan dalam botol yang dibawanya. Kopi yang kental itu tidak dapat dibandingkan dengan kasih sayang ibu yang jauh lebih kental. Melihat tubuh ibu yang dibasahi peluh, saya segera menghulurkan cawan saya itu kepada ibu dan menyuruhnya minum. Tetapi ibu cepat-cepat menolaknya dan berkata : “Minumlah nak, ibu tak haus!!”

PEMBOHONGAN KELIMA

Ketika ayah meninggal dunia, usia saya baru beberapa bulan. Sejak itu ibulah yang mengambil tugas sebagai ayah dan sebagai ibu sekaligus kepada kami sekeluarga. Ibu bekerja memetik cengkeh di kebun, membuat sapu lidi dan menjual kuih-muih agar kami tidak kelaparan. Tetapi apalah daya seorang ibu. Kehidupan keluarga kami dari hari ke hari semakin susah dan memprihatinkan.
Melihat keadaan keluarga yang semakin susah, seorang tetangga yang baik hati dan tinggal bersebelahan rumah kami, datang untuk membantu ibu. Anehnya, ibu menolak bantuan itu....

Para tetangga sering kali menasihati ibu supaya menikah lagi agar ada seorang lelaki yang menjaga dan mencarikan nafkah untuk kami sekeluarga, tetapi ibu yang keras hati tidak mengendahkan nasihat mereka. Ibu berkata : “Saya tidak perlu cinta dan saya tidak perlu lelaki.”

PEMBOHONGAN KEENAM

Setelah kakak-kakak saya tamat sekolah dan mulai bekerja, ketika itu ibu pun sudah semakin tua. Kakak-kakak saya menyuruh ibu supaya berehat saja di rumah. Tidak usah lagi bersusah payah untuk mencari wang.
Tetapi ibu tidak mahu. Ibu rela pergi ke pasar setiap pagi menjual sedikit sayur untuk memenuhi keperluan hidupnya. Kakak dan abang yang bekerja jauh di bandar sering mengirim wang untuk ibu, pun begitu ibu tetap berkeras tidak mahu menerima wang tersebut. Malah ibu mengirim balik wang itu, dan ibu berkata : “Jangan susah-susah, ibu ada wang.”

PEMBOHONGAN KETUJUH

Setelah lulus kuliah, saya melanjutkan pengajian lagi di luar negara. Keperluan saya di sana dibiayai sepenuhnya oleh sebuah syarikat besar. Alhamdulillah, akhirnya saya berjaya menghabiskan pengajian saya dengan cemerlang. Kemudian saya bekerja dengan syarikat yang telah membiayai persekolahan saya iu. Gaji saya agak lumayan, dan saya memang sudah lama berniat membawa ibu untuk menikmati sisa-sisa hidupnya bersama saya di luar negara. Menurut hemat saya, ibu sudah lama bersusah payah untuk kami. Hampir seluruh hidupnya dipenuhi penderitaan, lalu apalah salahnya kalau hari-hari tuanya ibu habiskan dengan keceriaan dan keindahan. Tetapi ibu yang baik hati, menolak ajakan saya. Ibu tidak mahu menyusahkan anaknya dengan berkata: “Tak usahlah nak, ibu tak biasa tinggal di negara orang.”

PEMBOHONGAN KELAPAN

Berlalulah beberapa tahun dan ibu semakin tua. Suatu malam saya menerima berita ibu diserang penyakit kanser di leher, yang akarnya telah merebak ke mana-mana. Ibu mesti dibedah secepat mungkin. Saya yang ketika itu berada jauh di seberang samudera segera pulang untuk menjenguk ibunda tercinta. Saya melihat ibu terbaring lemah di hospital, setelah menjalani pembedahan.

Ibu kelihatan sangat tua, menatap wajah saya dengan penuh kerinduan. Ibu menghadiahkan saya sebuah senyuman biarpun agak kaku kerana terpaksa menahan sakit yang menjalari setiap inci tubuhnya. Saya dapat melihat dengan jelas betapa kejamnya penyakit itu drastik telah mengubah tubuh ibu, sehingga ibu menjadi terlalu lemah dan kurus. Saya menatap wajah ibu sambil berlinangan air mata. Saya cium tangan ibu kemudian saya kecup pula pipi dan dahinya. Di saat itu hati saya terlalu pedih, sakit sekali melihat ibu dalam keadaan seperti ini. Tetapi ibu tetap tersenyum dan berkata : “Jangan menangis nak, ibu tak sakit.” Titisan air mataku keluar sambil mendengar ceritanya ini.

Setelah mengucapkan pembohongan yang kelapan itu, ibunda tercinta menutup matanya untuk terakhir kali. Dibalik kebohongannya, tersimpan cintanya yang begitu besar bagi anak-anaknya.

Anda mungkin masih beruntung kerana masih mempunyai ibu... Anda boleh memeluk dan menciumnya. Kalau ibu anda jauh dari mata, sekarang anda boleh menelefonnya, dan berkata, ‘Ibu, saya sayang ibu.’
Tetapi hal itulah yang belum pernah saya lakukan, hingga kini saya diburu rasa bersalah yang luar biasa kerana biarpun saya mengasihi ibu lebih dari segala-galanya, tetapi tidak pernah sekalipun saya membisikkan kata-kata itu ke telinga ibu, hinggalah ke saat ibu menghembuskan nafasnya yang terakhir.

“Ibu, maafkan saya. Saya sayang ibu.....”




No comments:

Related Posts with Thumbnails