Tuesday, November 2, 2010

Hebatnya sedekah!


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini



Baru-baru ini ketika dalam perjalanan ke Pasir Gudang bagi menyelesaikan satu perkara yang begitu penting, saya berkesempatan mendengar kuliah agama di Radio Ikim.fm. Jalan yang agak jem, menyebabkan saya saya sampai ke destinasi yang hendak dituju agak lewat. Sedangkan kebiasaannya bila ke pasir gudang hanya memerlukan 20 minit sekurang-kurangnya untuk sampai. Tetapi pada hari itu saya terpaksa berada di atas jalan raya lebih kurang 45 minit lamanya. Namun begitu setiap yang Allah tentukan itu pasti mengandungi hikmahnya. Pertama saya dapat mendengar kuliah agama sehingga selesai dan mendapat satu ilmu yang begitu bermanfaat. Dan kedua saya diberi peluang olehNya untuk solat isyak berjemaah di masjid besar pasir gudang, iaitu sebuah masjid yang belum pernah saya singgah biarpun sudah hampir 7 tahun di johor bahru. Alhamdulillah cantik dan bersih masjidnya. Ditambah pula bacaan Imam pada malam itu begitu syahdu sekali.

Berbalik kepada kuliah yang saya sebut di awal perenggan tadi, satu perkara yang disebut ialah berkaitan dengan sedekah. Cara ustaz tersebut menghuraikan konsep memberi dan dikaitkan dengan sedekah benar-benar menjentik hati saya ketika itu. Perkataan sifir Allah menambahkan lagi rasa kehebatan sedekah itu dan kewajarannya ia diberi perhatian oleh umat Islam. Ya, janganlah takut untuk memberi kerana setiap apa yang diberi akan dibalas semula oleh Allah dengan jumlah yang lebih banyak. Sifir kita di dunia sungguh berlainan dengan sifir Allah. Logiknya 2-1=1, tetapi sifir Allah tidak begitu. Apa yang kita berikan tidak berkurang, malah ditambah olehnya.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Perumpamaan orang-orang yang membelanjakan harta mereka (bersedekah) pada jalan Allah laksana sebiji (benih) yang tumbuh menjadi tujuh tangkai, setiap tangkai ada seratus biji. Dan Allah akan melipatgandakan ganjaran-Nya kepada siapa yang disukai-Nya dan Tuhan itu Maha Luas pemberian-Nya dan Maha Mengetahui."
( Al Baqarah : 261 )

Amalan sedekah kebiasaannya dikaitkan dengan wang ringgit dan harta benda sahaja. Sebenarnya bukan begitu. Terdapat beberapa amalan sedekah yang boleh kita lakukan selain daripada memberi sesuatu berupa wang ringgit atau berbentuk kebendaan iaitu:

1. Senyuman - yang ikhlas yang diberikan untuk orang lain merupakan sedekah. Dengan senyuman, kita dapat merapatkan ukhuwah dan kasih sayang serta menggembirakan hati saudara kita.

2. Amar makruf dan nahi mungkar - Berpesan-pesan dengan kebaikan dan mencegah berlakunya kemungkaran merupakan satu sedekah. Keadaan ini boleh diertikan sebagai menyelamatkan saudara kita dari azab neraka.

3. Menyelesaikan masalah orang lain - Dalam hadis Rasulullah SAW ada menyatakan bahawa menunjukkan jalan kepada orang yang sesat merupakan sedekah. Sekiranya kita menyelesaikan kesusahan dan melepaskan saudara kita daripada kesempitan maka perbuatan kita itu dikira sebagai sedekah.

4. Membuang sesuatu yang menghalang di jalan laluan - Membuang benda-benda yang berbahaya dan menghalang serta mengganggu perjalanan seperti duri, kaca, kayu, dan sebagainya juga merupakan sedekah.

5. Memberikan khidmat - Sedekah juga dapat dilakukan dengan menolong orang yang memerlukan pertolongan dengan memberikan bantuan tenaga atau perkhidmatan.[1 ]

Bahkan perhubungan antara suami dan isteri juga satu sedekah.

" Rasulullah s.a.w bersabda: "Tidakkah Allah telah memperuntukkan kepada kamu suatu yang kamu boleh bersedekah dengannya? Sesungguhnya setiap tasbih (ucapan Subhanallah) adalah sedekah, setiap takbir (ucapan Allahu Akbar) adalah sedekah, setiap tahlil (ucapan La ilaha illallah) adalah sedekah, setiap tahmid (ucapan Alhamdulillah) adalah sedekah, menyuruh perkara yang baik adalah sedekah, melarang kemungkaran adalah sedekah, dan setiap kali kamu melakukan jimak (dengan isteri kamu) juga adalah sedekah." Sahabat bertanya: "Ya Rasulullah, adakah jika seseorang daripada kita menunaikan syahwatnya dia mendapat ganjaran (sedekah)?" Rasulullah menjawab: "Tidakkah kamu merasakan suatu dosa jika dia menunaikan syahwatnya dengan cara yang haram?" Sahabat menjawab: "Ya." Rasulullah menjawab: "Demikian juga apabila dia menunaikan syahwatnya dengan cara yang halal."

[ Riwayat Imam Muslim ]

Beberapa kelebihan sedekah menurut Hadis :


Maksud sabda Rasulullah saw : “Sesungguhnya sedekah seseorang muslim itu memanjangkan umur dan mencegah dari mati dalam keadaan buruk dan Allah Taala pula menghapuskan sikap sombong dan membangga diri si penderma dengan sebab sedekahnya”
[ Riwayat Tabrani ]


Maksud sabda Nabi saw : “Segeralah kamu bersedekah, kerana bala bencana itu tidak dapat melangkahi sedekah”
[ Riwayat Al-Baihaqi ]


Janganlah bertangguh-tangguh lagi sehingga nyawa telah dikerongkongan!

Dari Abu Hurairah r.a katanya : Seorang lelaki menghadap Rasulullah saw lalu bertanya : Wahai Rasulullah! Sedekah mana satu yang lebih besar ? Nabi saw menjawab : Engkau bersedekah ketika sihat dan sangat sayangkan hartamu; ketika engkau takutkan kepapaan dan berharap hendakkan kaya-raya. Janganlah engkau bertangguh untuk bersedekah, sehingga apabila nyawa sampai ke kerongkong, barulah engkau berkata : Aku mahu bersedekah untuk si anu.. sekian untuk si anu dan sekian lagi untuk si anu
[ Riwayat Imam Al-Bukhari ]

Ayuh, mari kita kuatkan tekad untuk menjadi hambaNya yang sentiasa bersedekah dalam apa jua cara dan keadaan. Ingat, sedekah itu bukan sekadar harta benda, malah sedekah itu begitu luas maknanya.

wallahua'lam..


Sumber rujukan [1] - http://dupnt.blogspot.com/2009/09/kelebihan-bersedekah.html

No comments:

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN Seperti yang kita sedia maklum, dua peperiksaan besar akan b...