Wednesday, January 25, 2012

Mari Bersolat ! - Salah satu tajuk dalam buku Nota Hati Buat Pelajar yang baru memasuki pasaran...



Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya solat itu ketenangan hati, dan kerendahan hati dan permohonan jiwa.”
Firman Allah SWT di dalam al-Quran pula bermaksud, “Wahai orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Sesungguhnya Allah berserta -orang yang sabar.” [al-Baqarah : 153 ]
Manakala Dr. Ibrahim Fiqhy mengatakan, “Seseorang tidak akan memiliki kekuatan yang akan menghantarnya kepada ketenangan dan rasa aman kecuali dengan solat.”
Bagaimana pula dengan tindakan anda sekiranya ditimpa masalah yang mencengkam jiwa sehingga mengganggu konsentrasi ketika belajar? Tentu banyak caranya bukan? Tetapi, tahukah anda ketika mana Rasulullah SAW ditimpa masalah, baginda bersolat.
“ Istirahatlah kami dengan solat wahai bilal.”
Benarlah sebagaimana yang disebut oleh Dr. Aid Al-Qarni (2009) yang mana menurut beliau, solat pada baginda adalah umpama penyejuk mata, sumber kebahagiaan dan kesenangannya. Menurut beliau lagi, dalam sejarah insan-insan yang mulia dapat diperhatikan apabila mereka ditimpa dugaan dan kesusahan mereka akan terus mendirikan solat secara khusyuk sehingga kekuatan dan semangat mereka dapat kembali.
Aplikasikan ia dalam hidupmu :
i. Kerana solat itu sumber kekuatan dan ketenangan hati.
Ketika manusia itu ditimpa masalah, jiwanya pasti menjadi gelisah. Pelbagai persepsi buruk menyerang fikirannya. Seandainya persepsi itu dilayan ia boleh mengakibatkan tekanan yang melampau. Sedangkan semua itu hanya tanggapan semata-mata, bukan realiti.

Ya, sekiranya anda tertekan kerana memikirkan masalah pelajaran, peperiksaan yang semakin hampir atau apa jua masalah yang mengganggu jiwa, bersolatlah kerana solat itu akan bertindak sebagai terapi dijiwa. Bersolatlah, kerana solat akan melapangkan hati anda. Bersolatlah, kerana solat akan memberikan kekuatan dan ketenangan dihati anda. Lihatlah betapa tenangnya wajah-wajah mereka yang bersolat itu. Saya biasa melihat wajah-wajah kelat manusia sebelum bersolat. Apabila air wuduk membasahi wajah mereka, nur ketenangan sudah terserlah di wajah mereka. Selepas bersolat pula wajah yang sebelumnya mendung dan penuh kecelaruan, bertukar menjadi tenang, ceria dan kelihatan berseri-seri wajahnya.

ii. Kerana dikatakan doa ketika solat itu makbul
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,
“Waktu yang paling hampir seseorang hamba itu dengan Tuhannya ialah ketika ia sedang sujud, maka perbanyakan olehmu doa (dalam sujud).”
[Hadis Riwayat Imam Muslim]
Sekiranya anda tidak bersolat, bagaimana mahu mendapatkan keistimewaan itu? Sudah tentu ia suatu kerugian yang besar buat anda. Maka bersolatlah dan mohonlah hajat di dalam sujud kerana di ketika itu Allah SWT begitu hampir dengan anda. Sampaikanlah suara hati anda seadanya kerana sesungguhnya Dia Maha Mendengar.
iii. Kerana solat juga membersihkan hati
Anda harus sedar bahawa hati yang bersih mudah menyerap ilmu. Hati yang kotor akan bertindak sebagai tapisan (filter) yang akan menghalang ilmu menyerap ke dalam hati dengan lancar. Ini kerana hati yang kotor melahirkan jiwa yang kotor. Jiwa yang kotor melahirkan hati yang tidak tenang. Hati yang tidak tenang akan menyebabkan fikiran tidak fokus kepada pelajaran. Apabila fikiran tidak fokus, sudah tentu memberi kesan yang negatif kepada pembelajaran anda di sekolah dan rumah. Oleh itu awasi solat anda. Laksanakannya mengikut masa yang ditetapkan dan jangan bertangguh. Sesungguhnya solat di awal waktu itu adalah amalan yang dicintai Allah SWT sebagaimana yang disebut oleh Rasulullah SAW apabila ditanya oleh sahabat berkaitan amalan yang paling dicintai Allah SWT. Lalu daripada tiga jawapan yang disebut, solat pada awal waktu adalah di antaranya.

No comments:

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN Seperti yang kita sedia maklum, dua peperiksaan besar akan b...