Monday, August 26, 2013

Belajar Saat Akhir, Bolehkah?

Apabila saya menulis tentang tajuk ini, bukan bermakna saya sedang mempromosikan budaya yang tidak sihat ini. Saya sekadar ingin berkongsi tentang pengalaman yang saya sendiri pernah melaluinya di zaman sekolah dahulu. Sebenarnya tiada yang mustahil. Walaupun sudah memasuki selekoh yang terakhir, masih ada peluang untuk bergelar juara. Walaupun tidak bergelar juara, sekurang-kurangnya masih berada di dalam kelompok yang boleh dikategorikan sebagai terbaik. 


SPM, Pengajaran Terhebat

Saya masih ingat ketika mana SPM sudah berbaki lebih kurang 4 bulan lagi, satu perasaan takut mula menyelubungi diri. Seperti baru tersedar daripada mimpi, saya bangun dalam keadaan ketakutan seolah-olah SPM akan bermula esok..... Apa yang ada difikiran pada waktu itu, mampukah aku berhadapan dengan SPM yang hanya beberapa bulan sahaja lagi. Mengapa aku tidak insaf sejak dahulu? Bgaimanakah masa depanku nanti? Kenapa, kenapa dan kenapa? Berbagai persoalan timbul dan hati saya benar-benar menyesal pada waktu itu.

Saya Memulakan Langkah Perubahan

Alhamdulillah, walaupun bukan mudah, ia adalah 4 bulan yang cukup bermakna buat saya. 4 Bulan yang mengajar saya erti belajar dan pelajar yang sebenar. Setelah dilalaikan dengan dunia khayalan sejak ditingkatan 3, akhirnya saya tersedar jua daripada lamunan. 

Apabila saya bertekad untuk berubah, saya bertindak untuk berubah. Saya tidak mahu menangguhnya lagi kerana masa sangat terhad.  Beberapa perkara yang saya lakukan pada waktu itu dan saya ingin kongsikannya di sini.

1. Fokus pada perubahan dan tenang dalam menghadapinya

Apabila saya bertindak ingin berubah, saya fokus dan tenang pada perubahan tersebut sehingga berakhirnya SPM

2. Rancang dan laksana perubahan

Apabila saya bertindak untuk berubah, saya rancang perubahan. Antaranya saya menyusun jadual belajar mengikut keutamaan, saya buat kumpulan belajar di sekolah dan belajar pada waktu petang selepas balik, berjumpa dengan guru-guru dan mengurangkan masa bersosial.
 
3. Yakin dengan perubahan dan tidak berputus asa

Saya sentiasa positif dengan perubahan dan yakin kejayaan pasti menjadi milik saya biarpun ada suara-suara sumbang yang berbunyi. Saya sangat menyedari bahawa bukan senang untuk menyakinkan orang lain dengan perubahan diri setelah sekian lama mereka memandang negatif kepada kita. Saya selalu mengingatkan dalam diri jangan sesekali mengalah.

4. Menjaga diri daripada melakukan perkara yang tidak baik

5. Restu Ibu bapa

6. Berdoa dan bertawakkal kepada Allah 

Inilah kunci kekuatan yang sebenarnya. Berdoa, berdoa dan terus berdoa kepada-Nya.  

Akhirnya Saya Berjaya

Jika saya ingin menceritakan kisah kegagalan dan kejayaan dalam pelajaran saya diperingkat SPM, sudah tentu terhasillah sebuah buku. Panjang ceritanya. Tetapi cukuplah setakat ini sahaja. Segala puji bagi Allah yang telah memudahkan urusan saya sepanjang tempoh perubahan dan peperiksaan SPM berjalan. Perubahan itu daripada Allah jua dan Dialah yang telah membuka pintu hati saya untuk berubah dan tabah menempuh masa yang sangat mencabar itu. Alhamdulillah, akhirnya saya berjaya dalam SPM dengan Pangkat 1. Satu kejayaan yang tidak pernah dijangkakan oleh kebanyakkan orang pada waktu itu. Tetapi tiada siapa dapat melawan takdir Allah pada waktu itu. 

sejujurnya, saya ingin menasihati elakkan belajar ' last minute'. Tetapi jika itu yang sedang dihadapi, hadapilah ia dengan tenang. Fokus, bertenang dan yakinlah dengan perubahan. walaupun anda mungkin tidak mampu mencapai kejayaan yang cemerlang, sekurang-kurangnya dengan belajar ' last minute', pasti ada kejayaan yang akan dikecapi. Kini saya sudah bergelar guru dan saya sendiri dapat melihat bagaimana pelajar yang belajar disaat akhir masih lagi dapat mengecapi kejayaan walaupun tidak sebesar mana. Sekurang-kurangnnya dia berjaya juga kerana berubah disaat akhir. Bayangkan jika dia tidak berubah walau sedikitpun, adakah dia akan mengecapi kejayaan biarpun sedikit? Tepuk dada, tanyalah hatimu.

Selamat berjuang adik-adikku... Jangan mengalah sebelum kalah. Biar kalah bermaruah daripada kalah dalam keadaan terhina. 

Belajar saat akhir... Masa sudah dekat, tapi masih sempat.... Percayalah...

Razali Saaran

Penulis Buku Nota hati Buat Pelajar

www.teratakmuslim.blogspot.com


No comments:

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN Seperti yang kita sedia maklum, dua peperiksaan besar akan b...