Tuesday, November 25, 2014

Kaedah Bersoal Jawab, Aplikasi Daripada Kaedah Pengajaran Nabi SAW

Antara kaedah yang digunakan oleh Baginda SAW semasa menyampaikan ilmunya ialah melalui soal jawab..... Contohnya seperti hadis di bawah ini....

Abu Umamah al-Bahili meriwayatkan :
Sesungguhnya seorang pemuda datang kepada Rasulullah saw dan berkata : Wahai Rasulullah saw : Izinkan aku berzina. Maka tampil kaum untuk menghalangnya dan mereka berkata : biarkan biarkan ( aku memukulnya). Nabi saw bersabda : Dekatkan dia kepadaku maka dia pun menghampiri dan duduk dekat Nabi saw.
Nabi saw bersabda : Adakah kamu suka orang lain berzina dengan ibumu?. Pemuda itu menjawab : Tidak. Demi Allah,semoga Allah menjadikan aku sebagai tebusanmu. Nabi bersabda : Tiada manusia yang menyukai itu berlaku kepada ibu-ibu mereka.
Nabi saw bersabda : Adakah kamu mahu itu berlaku kepada anak perempuanmu?. Pemuda itu menjawab : Tidak. Demi Allah wahai Rasulullah ,semoga Allah menjadikan aku sebagai tebusanmu. Nabi bersabda : Tiada manusia yang menyukai itu berlaku kepada anak-anak perempuan mereka.
Nabi saw bersabda : Adakah kamu mahu itu berlaku kepada saudara perempuanmu?. Pemuda itu menjawab : Tidak. Demi Allah wahai Rasulullah ,semoga Allah menjadikan aku sebagai tebusanmu. Nabi bersabda : Tiada manusia yang menyukai itu berlaku kepada saudara-saudara perempuan mereka.
Nabi saw bersabda : Adakah kamu mahu itu berlaku kepada ibu saudaramu?. Pemuda itu menjawab : Tidak. Demi Allah wahai Rasulullah ,semoga Allah menjadikan aku sebagai tebusanmu. Nabi bersabda : Tiada manusia yang menyukai itu berlaku kepada ibu-ibu saudara mereka.
Kemudian Rasulullah saw meletakkan tangannya ke atas pemuda itu dan berkata : Ya Allah, ampunkanlah dosanya,bersihkanlah hatinya dan peliharalah kemaluannya. Maka selepas itu pemuda itu langsung tidak berpaling kepada sesuatu. ( Riwayat Imam Ahmad dan al-Tabaraniy. Disahihkan oleh al-Albaniy dan al-Wadi’iy)
Berdasarkan hadis di atas, saya menyebutnya sebagai kaedah bersoal jawab yang membawa kesedaran di dalam buku Hebatnya Cara Rasulullah Mendidik.... Kaedah ini baik digunakan oleh guru-guru di dalam kelas ketika berhadapan dengan pelajar yang sukar mendengar kata.... Misalnya, katakan kepada pelajar, bagaimana sekiranya ibu anda yang mengajar di dalam kelas ini dan kawan-kawan anda tidak mahu mendengar apa yang dia ajar. Tidak mahu membuat kerja yang diberikan dan menjawab dengan biadap apabila ditanya. Adakah anda boleh menerimanya?
Kaedah ini juga boleh digunakan di rumah ketika mana anak-anak kadangkala sukar memahami sesuatu situasi yang sedang dialami oleh ibu ayahnya. Contohnya si ayah berkata kepada anaknya, jika Azim mempunyai anak suatu hari nanti, dan anak azim buat perkara yang sama seperti ini, adakah azim suka?
Apabila berlaku dialog ataupun soal jawab, mungkin melibatkan sesi soal jawab yang panjang. Tidak mengapa, berusahalah untuk menjawab dengan sebaiknya.... Saya kira, memahamkan itu lebih perlu supaya mereka memahami perbuatan itu tidak betul. Sama ada mereka akan berubah ataupun tidak, hidayah itu milik Allah.... Wallahua'lam...

No comments:

Related Posts with Thumbnails