Monday, August 2, 2010

Nilai Keagamaan Dalam Organisasi

Tulisan ini saya petik daripada sebuah blog yang telah mengambil intipati daripada tulisan saya. Jika tidak silap saya kesemua isinya adalah daripada buku saya berjudul " watak-watak dalam organisasi". cuma ada beberapa perkataan yang telah diubahsuai. Tetapi tidaklah terlalu banyak. Apapun terima kasih kepada tuan punya Blog ( saudara amel) yang telah memasukkan kandungan buku saya ke dalam blognya untuk perkongsian semua. baiklah itu sahaja.selamat membaca!


Menulis adalah perjuanganku berdakwah melalui tulisan...


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Suburkan Nilai Keagamaan

Setiap agama mengingatkan penganutnya supaya berperwatakan baik. Di dalam Islam sendiri sentiasa menyuruh penganutnya melakukan perkara yang baik-baik dan menghindari perkara yang dilarang.

Allah berfirman di dalam surah Al-Maidah, ayat 2:

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).”

Apabila agama menjadi pegangan hidup, manusia akan dipandu dalam sistem yang berdasarkan kepada norma-norma yang telah ditetapkan oleh agama masing-masing. Dalam Islam, manusia diingatkan agar hidup berpandukan kepada Al-Quran dan As-Sunnah yang menjadi panduan bagi melahirkan manusia yang berakhlak mulia. Lari daripadanya bermakna telah melakukan satu kesalahan kerana telah mengambil perkara lain sebagai asas panduan hidup. Apabila agama telah sebati dalam diri manusia, maka tidak menjadi masalah yang rumit untuk membangunkan manusia yang baik dalam sesuatu organisasi. Selain itu, tidak menjadi satu kepayahan kepada organisasi untuk mewujudkan kerjasama yang erat di kalangan ahlinya.

Manusia yang dipandu oleh agama akan menjadikan dia seorang yang bertanggungjawab bukan saja terhadap organisasinya malah lebih besar dan penting daripada itu, iaitu agama yang dianutinya. Kerana itulah mengapa penulis1 mengatakan betapa pentingnya agama dalam menyuburkan budaya & watak positif dalam organisasi. Di dalam Islam, mengasingkan agama dalam urusan yang lain seperti dalam menguruskan organisasi merupakan perkara yang salah. Ia dikenali sebagai budaya sekular di mana meletakkan agama dan urusan hidup sebagai perkara yang berasingan dan tidak boleh dicampur-adukkan sekali. Jika itulah pegangan dan amalan dalam organisasi, maka tidak hairanlah perwatakan organisasi lebih banyak negatifnya berbanding positif. Ditakuti orang akan lebih malu untuk berbuat kebaikan berbanding kemaksiatan kerana nilai agama ditinggalkan dan hanya memikirkan keseronokan semata-mata.


Beri Ganjaran, Laksanakan Hukuman

Dalam konsep beragama, manusia didedahkan dengan aspek ganjaran dan hukuman. Kenapa begitu? Supaya manusia berlumba-lumba melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan. Dalam Islam, penganutnya sentiasa diingatkan dengan konsep balasan syurga dan neraka, yang mana perbuatan baik dibalas syurga (ganjaran), perbuatan jahat dibalas neraka (hukuman). Perhatikan seorang anak kecil yang begitu bersemangat berpuasa walaupun tidak mengerti apakah falsafah di sebalik kewajiban berpuasa terhadap manusia… kerana ganjaran berbentuk material (gula-gula, wang, baju raya, telefon bimbit, dan sebagainya) yang dijanjikan oleh orang tuanya. Semua ini berlaku kerana fitrah manusia sememangnya sukakan kepada ganjaran dan benci kepada hukuman.

Begitu juga dalam organisasi, kita merasakan perlunya ganjaran dan hukuman bagi meningkatkan kewujudan watak-watak baik dalam organisasi dan menghalang watak-watak buruk daripada terus merebak. Dengan adanya ganjaran, ahli organisasi akan berlumba-lumba untuk melakukan perkara baik, manakala hukuman pula akan mengawal daripada melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan norma-norma organisasi. Namun, perlu berbalik kepada konsep keADILan. Apalah ertinya ganjaran dan hukuman sekiranya pelaksanaannya tidak dilaksanakan dengan adil dan mengikut prosedur yang betul. Akhirnya watak-watak tidak dapat dikawal lagi kerana peraturan yang mengawalnya tidak berfungsi dengan cara yang sepatutnya. Yang salah tidak dikenakan hukuman, manakala yang menaikkan nama organisasi tidak dihargai langsung dengan ganjaran yang sepatutnya.

Cukup bimbang gejala tidak sihat seperti tidak berlaku adil dalam memberi penilaian kepada ahli organisasi ini, tidak diuruskan dengan cara yang berkesan. Apa yang akan terjadi sekiranya orang yang pandai membodek, pandai mereka cerita dengan niat memburuk-burukkan rakan & organisasi yang lain diberikan penghargaan dan ganjaran, sedangkan mereka yang ikhlas bekerja serta tidak pandai mengadu domba tidak derikan apa-apa yang selayaknya? Kesannya lahirlah golongan yang kecewa sehingga membawa diri ke tempat yang lain. Sekiranya inilah yang menjadi amalan dalam organisasi, pasti watak-watak negatif akan tersenyum gembira.

Pernahkah anda membaca hadis hebat yang menceritakan tentang keadaan zaman yang rosak apabila orang jahat dipandang baik serta mulia oleh masyarakat & yang baik dipandang hina? Malah apa yang lebih mengerikan apabila yang diberi amanah itu adalah terdiri daripada mereka yang rosak akhlaknya? Mari kita perhatikan bersama peringatan yang berguna oleh Rasulullah S.A.W. ini sebagai panduan hidup selama mana kita bergelar ahli organisasi. Semoga apa yang disebut oleh Rasulullah S.A.W. ini tidak melanda organisasi kita dan kita berkeyakinan sekiranya organisasi tidak mengabaikan nilai keagamaan, dengan izin Tuhan, organisasi akan terpelihara daripada fitnah besar yang digambarkan di dalam hadis di bawah. Kita perlu meyakininya!

“Daripada Abu Hurairah r.a. berkata bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda: Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh muslihat, di mana akan dibenarkan padanya orang yang berdusta, dan akan didustakan orang yang benar. Akan dipercaya orang yang berkhianat, dan akan dituduh berkhianat orang yang terpercaya. Serta akan bertutur padanya ‘Ruwaibidhah’. Maka ada yang menanyakan: Apa itu Ruwaibidhah? Dijawab Baginda S.A.W.: Iaitu, orang yang bodoh dan hina ditugaskan menangani kepentingan umum.”

Riwayat Ibn Majah

_________________

1
Penulis ialah Razali Saaran, seorang guru SMK Taman Daya 2, Johor Bahru. Antara karya terawal beliau ialah “Hebatnya Cara Rasulullah Mendidik” dan “Watak-Watak Dalam Organisasi”.

Dipetik daripada :

http://amel036yippee.wordpress.com/2010/06/23/nilai-keagamaan-dalam-organisasi/


No comments:

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN Seperti yang kita sedia maklum, dua peperiksaan besar akan b...