Friday, December 19, 2008

Dendam VS Kemaafan



Sukalah dimaklumkan bahawa artikel yang bertajuk " Dendam VS Kemaafan" ini adalah merupakan tulisan teratakmuslim sendiri. Teratakmuslim di sini merujuk kepada saya sendiri iaitu Razali Bin Saaran. Buat pengetahuan semua sebahagian daripada artikel tersebut diambil daripada buku yang sedang saya tulis pada waktu itu iaitu berkaitan dengan kaedah mengajar cara rasulullah yang belum diterbitkan lagi. Sekiranya buku tersebut diterbitkan maka ia telah menjadi hak milik penerbit buku tersebut. Jadi adalah diharapkan mereka yang mengambil artikel tersebut menyatakan sumber rujukannya dari blog saya ini( Teratakmuslim). Sekiranya telah diambil dan tidak dinyatakan sumbernya saya halalkan. Sekian untuk makluman.


Jika kita menelusuri sirah Nabi SAW, sudah pasti kita akan bertemu dengan kisah bagaimana Nabi telah dicaci dan dihina oleh penduduk Tha’if . Berdasarkan rujukan sirah, semasa Nabi bersama para sahabat melangkahkan kaki untuk meninggalkan negeri Tha’if, selama itulah Nabi dilontari dengan cacian dan makian yang disoraki oleh orang-orang dan kanak-kanak yang diarahkan oleh pemimpin Tha’if. Baginda bukan sekadar dilontari kata-kata penghinaan, malah Baginda turut dilontari batu-batu sehingga menyebabkan kaki Baginda berdarah. Setiap kali Nabi duduk sebentar melepaskan lelah, mereka terus memaksa Baginda berjalan keluar dari negeri mereka . keadaan itu berterusan sehinggalah Baginda sampai di sebuah kebun yang dimiliki Utbah bin Rabi’ah. Di situ baginda berehat sebentar dan setelah baginda berasa tenang , lalu baginda mengangkat tangan berdoa :

“ Ya Allah, hanya kepadaMu aku mengadu betapa lemah kekuatanku, betapa sempit usahaku dan betapa rendah diriku menghadapi manusia , Ya Tuhan Yang Maha Pengasih di antara mereka yang belas kasih. Engkaulah Tuhan orang-orang yang tertindas, dan Engkaulah Tuhan. Kepada siapakah gerangan akan Engkau serahkan diriku? Kepada orang jauhkah, yang akan berlaku bengis terhadapku, ataukah kepada seorang musuh yang Engkau beri kekuasaan dia atas urusanku? Asalkan Engkau tidak murka kepadaku, maka bagiku itu tidak menjadi soal, tetapi ampunanMu itulah yang bagiku lebih luas. Aku berlindung kepada cahaya Dzat Engkau, yang menerangi segala kegelapan dan yang keranannya urusan dunia dan akhirat menjadi mudah, jangan kiranya Engkau turunkan kepadaku kemurkaanMu, atau Engkau tujukan kepadaku kebencianMu. Hanya bagiMu keredhaan, sehingga Engkaulah yang akan memberi keredhaan. Dan tiada daya maupun kekuatan selain dengan pertolonganMu jua “



Mari kita perhatikan bersama-sama bait-bait doa yang telah diungkapkan oleh junjungan kita Nabi Muhammad SAW. Adakah Nabi berdoa kepada Allah minta dihancurkan penduduk Thaif? Tidak, Nabi hanya memohon pertolongan, keredhaan, keampunan dan kekuatan daripada Allah. Malah rentetan dari peristiwa tersebut Nabi telah didatangi oleh Malaikat Penjaga Gunung yang menawarkan diri kepada Nabi untuk memusnahkan penduduk Tha’if. Namun bukan ini jawapan Nabi : “ ya, musnahkanlah wahai Malaikat Penjaga Gunung, aku benci kepada penduduk Tha’if ”. Tetapi inilah jawapan balas Nabi : “Tidak! Bahkan aku mengharap mudah-mudahan Allah mengeluarkan dari keturunan mereka itu orang yang menyembah kepada Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu pun ”.

Benar kita bukan Nabi dan pastinya kita sampai bila-bila pun tidak akan mampu menandingi akhlak Nabi kerana akhlak Nabi itu al-Quran. Tetapi mengapa kita harus membiarkan sejarah ini tanpa kita mencari apakah falsafah yang terindah disebaliknya. Mengapakah kita tidak mahu berfikir mengapa Nabi memaafkan tetapi tidak berdendam. Mengapa Nabi tersenyum, tidak memarahi. Subhanallah, maha suci Engkau Ya Allah, semoga diberi kemudahan untuk sama-sama kami mentafsirkan falsafah disebaliknya.

Daripada pengamatan saya, dendam itu bermula dari rasa marah dalam diri kita apabila berlaku sesuatu perkara yang tidak kita sukai. Perasaan marah itu akan melahirkan rasa ketidakpuasan hati. Rasa tidak puas hati pula akan menyebabkan jiwa kita menjadi tidak tenteram. Jiwa yang tidak tenteram akan menyebabkan mudah digoda syaitan yang akhirnya menerbitkan rasa benci dan seterusnya dendam dalam diri manusia. Jika kita marah, tetapi kita mampu mengawal kadar kemarahan kita, pasti rasa dendam tidak akan wujud dalam diri kita. Kemarahan yang meluap-luap dalam diri kita akan menyebabkan kita membuka pintu kepada syaitan untuk memasuki hati kita dan menguasai diri kita. Seorang jiran sanggup membunuh jirannya kerana peristiwa lama yang telah terjadi berpuluh-puluh tahun yang lalu. Seorang lelaki sanggup memfitnah rakan sekerjanya kerana jawatan yang direbut selama ini terlepas ke tangan rakannya. Kasarkah jika pendendam itu dikatakan sifat syaitan. Pasti ramai yang bersetuju dengan pandangan ini kerana Adam dan Hawa dicampakkan ke bumi kerana dendam iblis kepada keistimewaan Adam di sisi Tuhan. Malah dendam kesumat mereka akan diteruskan sehingga ke akhir zaman dan mangsanya adalah kita, anak-anak Adam yang serba lemah ini. Maka, perkuatkanlah iman kita agar tidak menjadi mangsa syaitan seterusnya.

Telah berkata Frank Tibolt di dalam bukunya yang bertajuk “ A Touch Of Greatness ” bahawa memaafkan mempunyai nilai yang tinggi bagi kemarahan, dan nilai yang lebih tinggi bagi membenci. Benar sekali, sememangnya kemarahan itu punca kepada kebencian. Maka, sudah tentulah nilai kemaafan terhadap kebencian lebih tinggi nilainya berbanding kemarahan. Ini kerana, kebencian yang tidak dikawal akan membawa kepada dendam. Dendam itu sudah pastilah tahap yang paling berbahaya berbanding marah dan benci kerana kebiasaannya dendam akan berakhir dengan bencana yang kecil atau yang besar. Tidak percaya? Cuba anda perhatikan diri anda, mustahil sekali anda tidak pernah marah. Bagaimana perasaan anda ketika itu. Sudah pasti jantung berdegup kencang, muka menjadi merah padam dan mata mula melebar saiznya. Mustahil sekali anda akan tersenyum menampakkan gigi dikala anda sedang marah bukan? Tetapi marah anda itu kadangkala sifatnya sementara sahaja. Anda tidak membawa rasa marah anda itu berhari-hari, malah berbulan-bulan, atau mungkin juga bertahun-tahun. Namun, jika anda masih menyimpan rasa marah anda pada seseorang sehingga ke saat ini, anda mungkin akan menjadi seorang pembenci suatu hari nanti, dan tidak mustahil rasa benci itu akan mendidik anda menjadi seorang pendendam. Ya, pendendam yang sering memikirkan jalan dan peluang untuk menghancurkan seseorang.

Percayalah, di permulaan ini anda akan membina tabiat. Di akhirnya, tabiat akan membina diri anda.

Berdendam itu satu tabiat sebenarnya. Bila anda mula mengenali dunia pendendam, anda sebenarnya sedang membina tabiat busuk itu dalam diri anda. Anda masih tidak perasan bukan? Anda kena akuinya kerana setiap kali anda biarkan tabiat itu meneruskan kelangsungannya dalam diri anda, anda sebenarnya senang membiarkan diri anda menjadi seorang pendendam tegar. Tegar bermakna anda tidak lagi melihat marah itu satu masalah besar dalam diri anda, tetapi anda akan menjadikan marah itu sebagai alat untuk anda mewujudkan alasan untuk berdendam dengan seseorang. Pada anda biarlah apa kata orang terhadap anda, yang penting dendam anda terbalas dan hati anda merasa puas. Tulisan ini bukan satu khayalan, situasi yang sedang digambarkan ini sememangnya berlaku dalam realiti seharian kita. Memang wujud manusia yang suka berdendam ini. Jika dia seorang ketua, dia akan melaksanakan misi dendamnya dengan lebih mudah kepada orang bawahannya. Mereka yang dilihat tidak sebulu dan sehaluan dengannya akan dicantas dengan cepat melalui misi dendamnya. Setiap kali misinya tidak berjaya, dia akan memikirkan jalan lain sehinggalah misi yang diimpikannya itu mencapai sasaran dan matlamatnya. Tidakkah pelik jika seseorang itu sentiasa dipantau berulang kali walaupun prestasinya sangat baik, sedangkan yang lemah prestasinya dibiarkan sahaja. Bila dikaji sejarahnya, tahulah kita bahawa mereka ini pernah berkerja di jabatan yang sama satu ketika dahulu. Maka, apabila diberi kesempatan dinaikkan pangkat, maka dendam kesumat yang ditanggung selama ini dilepaskan secara perlahan-lahan sehinggalah rasa benci dan dendam selama ini terubat. Pelik bukan? Jangan pelik, kerana itulah sifat seorang pendendam sebenarnya. Pernahkah anda melalui pengalaman seperti ini atau dalam versi yang lain tetapi membawa makna yang sama iaitu dendam? Tepuk dada, tanyalah hati.

Tahukah anda, apabila Nabi telah berjaya menguasai Mekah dan Islam telah mula berkembang luas, adakah Nabi membalas semula atas apa yang telah dilakukan oleh penduduk Tha’if terhadapnya. Lihatlah bagaimana Nabi melayan Abu Sufyan yang suatu ketika sebelum Mekah dikuasai, telah banyak melukai hati Nabi dengan cacian dan perbuatan jahatnya. Tetapi Nabi masih tidak membalas kejahatannya dengan kejahatan, tetapi nabi memafkannya. Ya, Nabi tidak berdendam pun kepadanya malah Nabi memberikannya satu nilai kebanggaan kepada dirinya dengan mengatakan “ barangsiapa memasuki rumah Abu Sufyan dia akan aman”. Lihat juga bagaimana seorang wanita Yahudi yang sering melemparkan najis kepada Nabi hampir setiap hari. Tetapi apabila wanita itu sakit, apa yang Nabi lakukan kepadanya. Subhanallah, Nabi tidak berdendam kepadanya, malah Nabi melawatnya dan mendoakannya. Terlalu banyak sebenarnya kisah tauladan yang Nabi persembahkan buat tatapan dan renungan kita bersama. Namun, tidak ramai yang mahu memikirkannya. Tidak kurang juga menceritakannya kerana mendengar orang lain juga menceritakannya, tetapi tidak peduli akan falsafahnya. Bukan itu tujuan sebenarnya. Nabi mahu kita mengambil panduan di atas apa yang Baginda lakukan. Kita kena berusaha memahami falsafah yang tersirat disebalik peristiwa yang berlaku ke atas Nabi junjungan kita. Nabi ingin memberitahu kepada kita bahawa memaafkan itu adalah terbaik buat kita. Memaafkan akan menjadikan kita lebih kuat dan dihormati oleh kawan dan lawan. Memaafkan akan membuka lebih luas ruang persaudaraan dan meningkatkan martabat Islam di sisi masyarakat yang menganut agama lain. Memaafkan akan memberi ketenangan dalam jiwa dan sebagai ubat dan penawar bagi hati.

Suatu hari, ketika sifulan memandu kenderaan di “highway” kereta sifulan dipotong dengan laju dan tidak bertanggungjawab. Tiba-tiba jantungnya berdegup kencang dan rasa marah mula menyelubungi hatinya. sifulan mula menekan minyak dengan niat untuk memotong kembali kereta yang kurang ajar itu dan melakukan sesuatu agar dapat membalas semula tindakannya itu. Bila semakin hampir, dan dendam kesumat mungkin dapat dilampiaskan, baru sifulan terfikir untuk apa semua ini. Maka sifulan memperlahankan kenderaan dan membiarkan kereta itu berlalu pergi mendahuluinya. Selepas itu, secara perlahan-lahan jiwa sifulan kembali tenang dan tiada lagi tekanan dijiwanya. Wujud dua keadaan yang berbeza dalam situasi yang digambarkan di atas. Pertama, bila timbul rasa marah, timbul rasa untuk bertindak balas. Keduanya, bila bersabar, jiwa menjadi tenang kerana nilai sebuah kemaafan. Anda ingin memilih situasi yang mana. Jika anda memilih yang pertama, anda sebenarnya sedang membina tabiat dendam dalam diri anda. Tetapi, jika yang kedua menjadi pilihan, tahniah kerana anda telah memilih jalan ketenangan. Tahniah, kerana anda memang seorang yang hebat dan gagah kerana memilih pilihan yang kedua. Anda tidak percaya? Perhatikan hadis indah ini :

“ Siapakah orang yang kalian anggap paling kuat bergulat? Para sahabat menjawab: yang tidak bias dijatuhkan oleh beberapa orang. Nabi SAW menegaskan: bukan, melainkan orang yang dapat menguasai diri disaat ia sedang marah ”.

Jika kita mempelajari ilmu persilatan, tentu kita pernah dinasihati agar jangan memulakan pertarungan. Bersabar dan lihat pergerakan lawan. Mengapa perlu sabar dalam pertarungan. Mudah sahaja falsafahnya, kesabaran akan mebuahkan ketenangan, dan ketenangan akan membuka mata hati untuk membaca gerak geri lawan. Tetapi, bila dalam keadaan marah, pasti kita akan bertindak gopoh dan terburu-buru yang mana akhirnya kita akan dijatuhkan pihak lawan.

Lihatlah, sifat marah itu seperti api bukan? Yang menyala marak di dalam jiwa manusia sehingga hati menjadi panas membara seperti panasnya bara api yang sedang membakar. Untuk memadamkan api yang sedang marak itu, kita memerlukan lawannya iaitu air. Ingat, api tidak boleh dilawan api. Nanti ia akan bertambah marak. Air itu lawan bagi api dan api tidak suka berjumpa air kerana ia akan terpadam. Jadi bagaimana untuk melawan rasa amarah yang sedang membara dalam diri. Perbanyakkan mengingati Allah. Bukankah Allah pernah menyebut di dalam Al-Quran bahawa hanya dengan mengingatiNya jiwa akan tenang. Banyakkan istigfar kerana istigfar akan bertindak balas dengan hati dengan cepat disaat kita melakukan kesilapan. Hati mudah tersedar bila istigfar terbit dari bibir. Teruskanlah beristigfar lagi dan lagi sehingga 70 kali banyaknya. Bahkan 100 kali itu lebih baik kerana riwayat ada menyebut Nabi beristigfar 70 kali sehari. Bahkan ada yang menyebut 100 kali sehari. Apabila anda mula mempraktikkan istigfar dalam diri anda setiap hari, anda akan dapat merasai energinya mengalir dalam jiwa anda. Anda akan mula menjadi manusia yang tenang dan sentiasa menginsafi kelemahan diri.

Namun, bukanlah bermakna marah itu tidak perlu langsung dalam kehidupan kita. Ada keadaan yang memerlukan kita marah. Misalnya apabila agama kita dihina, maka tidak logik untuk kita tersenyum dan tidak menunjukkan rasa marah kita. Ataupun apabila orang lain mencuri harta berharga kita, masakan kita tidak marah dan hanya berdiam diri tanpa berbuat apa-apa. Apa yang perlu, jangan biarkan marah menguasai minda kita sehingga membuahkan dendam yang akan merosakkan kita.



Nabi SAW bersabda :
“ tidak seorangpun hamba yang menelan sesuatu yang lebih mulia dari menelan marah yang ia pendam kerana mengharap keredhaan Allah ”


Firman Allah :
“ Barangsiapa memaafkan dan berbuat baik maka pahalanya atas ( tanggungan ) Allah” – ( Asy Syuura : 40 )


Sabda Nabi SAW :
“Jika Allah telah menghimpunkan seluruh makhluk kelak maka akan diserukan manakah Ahlul Fadl-li? Baginda berkata: maka bangunlah orang-orang yang sangat sedikit jumlahnya. Dan dengan cepat mereka menuju ke syurga. Mereka disambut oleh para malaikat yang berkata : apakah keutamaan kamu? Mereka menjawab : dahulu, apabila kami dianiaya kami bersikap sabar, dan apabila disakiti kami menanggungnya. Lalu dikatakanlah kepada mereka : masuklah kamu ke dalam syurga, dan itulah sebaik-baik pahala bagi orang – orang yang beramal ”
Akhir kalam, semoga Allah menjadikan kita golongan yang pemaaf dan sentiasa bertoleransi dalam urusan kita di dunia ini dan bukan golongan yang mudah marah dan pendendam.

Selamat berubah kepada kehidupan baru

Salam ukhwah

Wallahua’lam

www.teratakmuslim.blogspot.com


Terkenang semasa dahulu

Apabila saya memulakan tulisan ini, masih terbayang satu kisah yang sehingga ke hari ini masih bermain-main dibenak hati saya. Adakah saya ini mangsa fitnah atau saya dikambing hitamkan kerana ingin menyembunyikan kesilapan orang lain. sebenarnya kejadian ini berlaku agak lama juga iaitu semasa saya menyambung ijazah pertama saya di sebuah universiti awam. Seingat saya kejadian itu semasa di semester 5 atau 6 sebelum saya melangkahkan kaki keluar dari universiti. Ceritanya biarlah menjadi rahsia, tetapi saya sedih kerana orang lain yang membawa cerita, saya yang mendapat nama.

Kesannya hubungan saya dengan sahabat saya menjadi renggang. Si teman wanitanya datang berjumpa saya menanyakan kebenaran. Tetapi saya menafikan kerana bukan saya yang menyampaikan. Saya Cuma menjelaskan kepada mereka yang bertanya apa yang sedang terjadi, tetapi saya tidak mengiyakan. Tetapi nampaknya si teman wanita sahabat saya nampak sukar menerima penjelasan saya. Saya faham, dia tertekan. Tetapi kenapa mesti saya yang menjadi sasarannya. Selepas dari itu keadaan menjadi semakin tegang dan saya sudah semakin sukar menahan kesabaran. Pada saya, masalah perlu diselesaikan segera. Saya tidak bersalah, saya hanya menjadi mangsa mainan politik kampus yang wujud di kalangan mahasiswa dan mahasitua ( meminjam bahasa orang lama yang menyambung ijazahnya ketika itu ). Mana boleh biarkan mereka yang membaling batu sembunyi tangan tanpa apa-apa tindakan. Klimaksnya, saya telah pergi berjumpa dengan mereka yang “membawa mulut” dan memaksanya menceritakan perkara sebenar dan menjelaskan bahawa saya tidak terlibat sama sekali. Selepas kejadian itu, hati saya menjadi lega kerana saya telah bertindak membetulkan keadaan walaupun saya tahu, masih ada pihak yang terus membuat cerita di belakang saya. Apa yang penting saya bukanlah penyebar fitnah. Dalam kisah ini, saya dapat perhatikan beberapa perkara yang tersirat dari apa yang berlaku:
1. Apabila datang sesuatu berita jangan terus terima, tetapi kajilah kerana itulah suruhan Allah kepada kita. Jalan yang terbaik, teruslah bertanya dengan mereka yang terlibat untuk mendapatkan kepastian.
2. Jangan lambat bertindak membetulkan keadaan bila kita nampak ada tanda-tanda berlaku salah faham di antara kita dengan sebelah pihak lagi.
3. Jangan menceritakan sesuatu yang sangat sensitif kepada rakan kita kerana ia mudah dimanupulasi walaupun apa yang disampaikan oleh kita sebelum ini membawa maksud yang berbeza dengan apa yang disampaikan olehnya selepas itu. Jika ingin juga berkongsi cerita, pastikan dahulu akhlak teman kita itu agar kita tidak menjadi mangsa keadaan.
Kepada sahabat saya yang mungkin terbaca tulisan ringkas saya ini, saya ingin memohon maaf sekiranya anda masih menyimpan rasa terhadap saya. Percayalah, saya difitnah sebagaimana anda berasa diri anda difitnah oleh saya. Tidak pernah saya mengatakan anda begitu dan begini. Rakan-rakan di sekeliling kita pada waktu itu bertanya kepada saya apa yang berlaku dan setakat mana kebenarannya. Dan mereka bukan hanya bertanya kepada saya, malah ramai lagi yang ditujukan soalan yang sama. Tetapi saya juga menjadi mangsanya kerana itu pilihan Allah. Saya redha dan saya tidak marah pada anda kerana saya faham pada waktu itu anda tertekan. Saya tidak mefitnah anda, saya hanya menjawab tentang apa yang berlaku kepada anda dan mengingatkan mereka bahawa berita itu belum pasti kebenarannya. Saya sudah beritahu mereka saya tidak tahu. Apa yang saya sampaikan, saya hanya terdengar berita yang sama seperti mana rakan-rakan yang lain mendengarnya. Tetapi saya cukup hairan kenapa saya menjadi mangsanya. Tetapi itulah kesilapan saya yang paling besar kerana menjawab soalan itu walaupun saya tidak pernah bertanya. Saya hanya menjawab soalan mereka tanpa mengatakan kejadian itu benar dan saya telah mengingatkan mereka berulangkali agar memastikan kebenaran perkara tersebut. Apapun saya tahu siapa pembawa berita palsu itu. Tidak mengapalah saya telah memaafkannya. Kepada sahabat saya, sekali lagi saya pohon kemaafan. Dengar cerita anda telah bernikah dengannya selepas habis belajar. Sebenarnya itulah langkah yang terbaik dan saya dengan rendah hati akan sentiasa mendoakan kesejahteraan anda berdua.
Kepada Allah saya berdoa agar diberi keampunan di atas segala dosa.
Wallahua’lam



Sunday, December 14, 2008

alhamdulillah, akhirnya selamat kembali ke JB

Assalamualaikum para pembaca. alhamdulillah, seminggu saya di kampung tanpa internet menyebabkan saya tidak dapat update blog saya akhirnya saya selamat sampai petang tadi ( 14.12.08)..
Terubat sudah rindu pada mak abah yang saya perhatikan semakin bertambah kedut-kedut di ruang mukanya yang sentiasa ceria menyambut kepulangan anak, menantu dan cucunya. insya Allah, dikesempatan yang Allah berikan, saya akan terus berkarya walaupun pada pandangan sesetengah pihak banyak yang merapu. tidak mengapalah, itu hanya persepsi. setiap orang mempunyai hak untuk menyampaikan pandangan bukan. yang penting jangan sampai melanggar undang-undang Allah dAN manusia sudahlahkan.

sebelum saya melelapkan mata, saya ingin berkongsi sedikit kejutan dengan sahabat semua apabila terbacakan komen seorang pembaca yang mengatakan dia pengidap rasa cemas hampir 10 tahun. MasyaAllah, saya berdebar bila membacanya dan benar-benar bersimpati dengannya. saya berdoa agar dia diberi kekuatan dan kesejahteraan. pesan saya, kuatkan semangat dan jangan biarkan rasa cemas menguasai hidup anda

salam ukhwah buat semua.

Saturday, December 6, 2008

Cemas Pembunuh Senyap

Anda pernah mengalami perasaan cemas? Jika kita membuat “survey” ke atas 100 orang responden, tidak mustahil hasil kajiannya menunjukkan 100% responden pernah mengalaminya.


Apakah yang dimaksudkan dengan cemas. Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga cemas membawa maksud hati berasa takut dan risau ( gelisah, bimbang ). Dalam bahasa yang paling mudah, dapatlah disimpulkan bahawa cemas itu sesuatu yang wujud dalam jiwa seseorang individu disebabkan oleh sesuatu perkara yang tertentu. Rasa cemas itu akan menyebabkan seseorang itu menjadi takut dan risau akan sesuatu yang bakal terjadi ke atas dirinya. Kebiasaannya rasa cemas itu menyerang seseorang individu sebelum sesuatu perkara yang dijangkakan atau tidak dijangkakan berlaku. Misalannya seorang pelajar yang sedang beratur untuk mengambil slip peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia berada dalam keadaan yang gelisah dan tidak tenteram. Rasa takut sudah pasti menyelubungi kalbunya ketika itu. Bermacam-macam andaian yang bermain-main difikirannya sehinggalah sijil tersebut benar-benar berada di genggamannya.
Berita di televisyen baru-baru ini yang melaporkan seramai 25000 pekerja di Amerika akan diberhentikan menjelang tahun 2009 kerana masalah kemelesetan ekonomi global yang sedang melanda dunia sekarang. Adakah mustahil para pekerja di Malaysia tidak berasa cemas dengan situasi yang sedang melanda Amerika sekarang ini. Adakah kesan tersebut tidak akan berjangkit ke Malaysia yang mana kebanyakkan para pelaburnya datang dari Amerika. Adakah mereka tidak akan terfikir tentang masalah pembuangan kerja. Adakah mereka tidak risau sekiranya semua ini berlaku bagaimanakah untuk mereka meneruskan kehidupan mereka. Bagaimanakah situasi anak-anak yang masih bersekolah, hutang-piutang yang masih belum habis dibayar, ibu dan ayah di kampung yang masih memerlukan bantuan kewangan daripada anak-anak dan seribu macam lagi andaian-andaian yang akan berpusing-pusing dalam minda mereka yang sedang memikirkan masalah tersebut.

Rasa cemas adalah suatu perasaan yang pasti hadir dalam jiwa setiap manusia dalam pelbagai situasi dan keadaan. Ada manusia yang cemas setiap kali berdepan dengan peperiksaan tetapi tidak cemas apabila berada di tempat yang tinggi atau kenderaan yang dipandu dengan laju. Ada manusia yang tidak takut apabila melihat binatang-binatang yang besar dan buas, tetapi sangat cemas apabila melihat kelibat beberapa ekor lipas berhampiran dengannya. Namun, tahukah anda cemas ini sekiranya tidak dikawal akan menyebabkan beberapa masalah boleh berlaku. Dalam sebuah kajian yang dilakukan oleh para penyelidik dari Universiti Selatan California, Los Angeles menunjukkan rasa cemas akan meningkatkan risiko serangan jantung. Menurut kajian tersebut, lelaki yang tahap cemasnya tinggi mempunyai kemungkinan 30 hingga 40 peratus lebih tinggi menghadapi serangan jantung berbanding yang lain.

Seorang penyair pernah bermadah, “Kesusahan itu menyebabkan orang gemuk menjadi kurus dan orang muda menjadi beruban dan nampak tua”.

Ya, benar sekali, rasa cemas akan menyebabkan susah hati dalam jiwa si pengidapnya. Cuba perhatikan bagaimana orang yang cemas mengenangkan masalah kewangan yang melanda perniagaannya seperti mana yang digambarkan dalam drama dan filem-filem tempatan atau luar Negara. Bagaimanakah keadaan diri mereka, teruruskah?

Dalam sebuah kisah yang diceritakan oleh Dr . Muhammad Al Ghazali dalam bukunya yang bertajuk “ Jaddid Hayatak ” menceritakan bagaimana seorang lelaki yang kesedihan kerana bencana yang menimpa keluarganya, telah membawa kepada kehilangan giginya. Beliau terus menjelaskan bahawa berdasarkan penemuan terkini menunjukkan gangguan emosi yang tidak menyenangkan seperti rasa cemas dan sebagainya sangat kuat sekali pengaruhnya pada keseimbangan cairan tubuh badan. Ia akan mengubah kalsium di dalam tubuh menjadi racun, sehingga tubuh tidak dapat menyerap zat-zat berguna dari makanan yang diambil sekalipun makanan itu penuh dengan zat yang akhirnya merosakkan gigi.

Seorang doktor di sebuah rumah sakit Mayo, Dr Harold C. Habein pernah membentangkan sebuah kertas kerja pada perhimpunan tahunan American Association Of Industrial Physicians and Surgeons yang mengatakan berdasarkan kajiannya terhadap 176 usahawan muda yang berumur sekitar 44 tahun, lebih satu pertiga daripada daripada mereka menderita mengidap penyakit-penyakit seperti jantung, barah dan tekanan darah tinggi yang berpunca daripada hidup yang penuh ketegangan.
Dale Carnegie pula berkata, hasil penelitiannya selama ini menunjukkan bahawa rasa cemas itu merupakan pembunuh nombor satu di Amerika. Sejak perang dunia ke II sepertiga juta tentera Amerika telah terbunuh di medan peperangan, dan dalam masa yang sama, dua juta manusia terbunuh disebabkan oleh penyakit jantung, dan setengah daripada dua juta yang meninggal akibat sakit jantung itu berpunca daripada rasa cemas dan kehidupan yang penuh ketegangan.

Bagaimana kondisi anda sekarang. Adakah anda antara pengidap penyakit cemas yang kronik. Cuba perhatikan tindakbalas anda terhadap sesuatu perkara yang berlaku ke atas anda. Adakah anda mudah gugup, sering ke tandas untuk membuang air kecil, tekanan darah naik dari paras normal, sukar tidur ataupun tidur dalam tempoh masa yang agak lama dari kebiasaan, tapak tangan berpeluh, degupan jantung berdegup kencang, mual-mual atau sakit perut, ataupun anda diserang sakit kepala. Jika anda pernah mengalami situasi sebegitu mungkin anda antara pengidap penyakit cemas. Namun kedudukan anda di antara dua, samada pengidap penyakit cemas yang kronik atau anda tidak tersenarai dalam kategori yang pertama tadi.
Rasa cemas merupakan penyakit, kerana ia telah terbukti menjadi antara pembunuh utama masyarakat di dunia. Telah banyak kajian-kajian ilmiah yang dilakukan oleh pakar-pakar terhadap rasa cemas dan hasilnya hampir sama, iaitu rasa cemas boleh membunuh. Jangan jadikan kita antara mangsa seterusnya. Kita perlu mengatasi masalah ini dengan segera agar kita mampu berhadapan dengan rasa cemas yang sering menghantui diri kita. Bagaimanakah caranya? Cuba perhatikan pendekatan-pendekatan di bawah. Jika anda bersetuju, pastikan anda melaksanakannya kerana langkah pertama adalah pengubah untuk kehidupan kita seterusnya.

Kenali diri anda

Hanya anda yang mengenali diri anda berbanding orang lain. Seorang kaunselor yang pakar dalam bidangnya tidak akan mampu mengenali kliennya secara total kerana setiap manusia itu mampu menyembunyikan sesuatu perkara yang wujud dalam dirinya. Kerana itu mereka hanya mampu membantu seseorang itu untuk berubah, sedangkan perubahan itu mestilah bermula pada diri individu itu sendiri. Anda tentu bersetuju bukan bahawa andalah yang lebih mengenali diri anda berbanding orang lain. Maka dengan itu, perhatikan gerak geri anda, dalam situasi manakah kebiasaannya anda mudah menjadi cemas. Ada orang akan mudah merasa cemas ketika melangkahkan kaki ke dalam dewan peperiksaan. Ada sesetengahnya pula mudah cemas apabila dipanggil oleh majikannya. Ada orang pula mudah cemas apabila diminta memberi ucapan. Anda pula bagaimana? Dalam situasi manakah anda mudah berasa cemas? Jika anda telah bertemu jawapannya, barulah anda boleh meneruskan langkah seterusnya untuk menyelamatkan diri anda daripada menjadi pengidap rasa cemas yang berterusan yang akhirnya nanti menjadikannya satu penyakit yang serius dan seterusnya menjadi racun berbisa dalam hidup anda.

Yakini diri sendiri

Setiap individu memiliki potensi peribadi untuk menyelesaikan masalah yang dihadapinya. Seseorang perlu percaya pada potensi dirinya agar mampu mendepani setiap masalah yang wujud dalam kehidupannya. Keyakinan yang tinggi membolehkan individu itu sentiasa positif terhadap apa jua keadaan. Sekiranya fikiran anda dipenuhi oleh rasa takut, keraguan dan kurang upaya atas kemampuan diri anda sendiri, maka hasilnya juga akan negatif. Sudah tentu anda akan gagal berhadapan dengan rasa cemas. Ingat, hidup anda dibentuk oleh fikiran anda sendiri. Napoleon Hill dalam bukunya yang bertajuk “ Think And Grow Rich ” ada menukilkan sebuah sajak yang patut kita kongsikan bersama. Mari kita hayati bersama-sama:
Bila anda berfikir bahawa anda telah ditakluki, maka anda sebenarnya telah kalah,
Bila anda berfikir bahawa anda tidak mampu, maka anda memang telah menjadi lemah
Bila anda ingin menang, tetapi anda berfikir bahawa anda tidak boleh menang, maka pastilah anda tidak akan menang. Bila anda berfikir bahawa anda akan menderita kerugian, maka anda akan benar-benar kerugian.
Walau di mana pun segenap alam sejagat ini, kejayaan itu hanya berpangkal dari kemahuan seseorang. Yang mewujudkan pemikirannya.



Persiapkan diri untuk berhadapan dengan sebarang risiko

Meskipun sudah mampu berfikir secara optimis, mempersiapkan diri menghadapi risiko terburuk dapat membantu seseorang untuk menjadi waspada terhadap sebarang kemungkinan. Persediaan yang rapi membolehkan kita berhadapan dengan saat cemas dengan lebih tenang dan bersedia. Contohnya di musim tengkujuh ini pastinya banjir akan melanda dibeberapa kawasan tertentu. Mereka yang berada di kawasan rendah dan pernah dilanda banjir sebelum ini pastinya akan berasa agak takut dan cemas berbanding mereka yang berada di kawasan tinggi. Sekiranya persediaan yang rapi telah dilakukan, maka tiada alasan untuk menjadi cemas sekiranya banjir benar-benar berlaku. Perancangan yang teliti telah terbukti berkesan ketika berhadapan dengan seribu macam masalah. Rasulullah sendiri merancang strategi peperangannya sebelum melangkahkan kaki ke medan perang. Seorang pelabur yang bijak mestilah membuat analisa yang menyeluruh terlebih dahulu terhadap bidang yang ingin diceburi berasaskan analisis SWOT( Strenght, weakness, oppoturnity, treat), iaitu apakah kekuatan dan kelemahan yang ia miliki serta apakah ancaman dan peluang dari pihak luar yang boleh membantunya mengecapi kejayaan ke atas pelaburannya nanti. Perancangan yang rapi juga akan mengurangkan rasa cemas atau bimbang terhadap sesuatu perkara yang bakal berlaku. Pengurus yang berjaya tidak perlu cemas apabila dibebani dengan satu tugasan penting dari majikannya. Ia hanya perlu merancang tugasan tersebut dengan teliti beserta dengan pelan utama dan pelan alternatif yang juga disebut pelan kontigensi. Jika pelan A tidak berjaya, maka pelan B boleh dilaksanakan berdasarkan penelitian terhadap kemungkinan-kemungkinan yang bakal berlaku.

Selalu berharap yang terbaik

“Insya Allah, pasti semuanya akan selesai”. Inilah antara contoh perkataan yang biasa keluar dari mulut mereka yang sentiasa berharapkan penyelesaian yang terbaik dalam setiap masalah yang dihadapinya. Apabila fikiran positif, maka kekuatan akan muncul dalam diri kita. Apabila fikiran mulai negatif, cas negatif akan menjalar dalam jiwa kita yang akhirnya kita sentiasa dalam keadaan cemas dan tidak menentu. Maka, selalulah berharap yang terbaik dan jangan lupa sertainya dengan doa kerana ia adalah sunnah Nabi apabila berhadapan dengan sesuatu masalah. Jika tidak masakan Nabi bersabda “ Doa itu senjata mukmin”. Berdoa tanpa usaha adalah sia-sia. Tetapi, usaha yang beserta doa adalah senjata yang ampuh bagi melawan rasa cemas yang sering bersarang dalam diri manusia. Dalam al Quran Allah turut menyebut tentang doa. Perhatikan dua ayat ini:

"Berdoalah kepada-Ku, Aku (Allah) akan memperkenankan doa permohonan kamu..." ( surah al Ghafir –ayat 60 )

"Apabila hamba-Ku bertanyamu tentang Aku hai Muhammad, maka jawablah Aku (Allah) amat hampir dengan mereka, Aku memenuhi doa yang memohon kepada-Ku. Maka mereka hendaklah memenuhi perintah-Ku dan mereka beriman kepada-Ku agar mereka sentiasa mendapat petunjuk. (Surah al-Baqarah, ayat 186)

Masih tidak yakin lagikah anda bahawa doa itu senjata yang ampuh bagi menghadapi rasa cemas? Jangan menafikannya, dan teruskan usaha dan berdoa, insya Allah, Allah pasti bersama dengan anda.

Cari pertolongan

Kita tidak bersendirian di dunia ini. Mengapa perlu malu untuk meminta bantuan daripada mereka yang lebih berkemampuan berbanding anda. Pengeluar kereta Ford, Henry Ford berjaya bukan kerana usahanya seorang, tetapi kerana kereta keluarannya adalah dihasilkan oleh jurutera yang hebat. Jangan malu untuk bertemu dengan mereka yang pakar berkaitan dengan masalah anda. Apa salahnya jika ia mampu mengatasi rasa cemas anda.

Menulis kata-kata motivasi diri

Ciptalah kata-kata atau ambillah mana-mana perkataan yang anda ketemui yang mampu memotivasikan diri anda. Kemudian tampallah di tempat-tempat yang difikirkan sesuai dan mudah dilihat. Lihatlah dan bacalah setiap hari sehingga ia benar-benar terkesan di hati anda.

Sediakan buku daftar kecemasan anda

Catatlah segala kecemasan dalam sebuah buku. Ketika merasa cemas, catatlah perkara yang membuatkan anda rasa cemas. Bacalah selalu daftar tersebut dan sedarilah dalam diri anda bahawa walaupun anda ditimpa pelbagai perkara, anda masih mampu menjalani kehidupan ini. Jangan berputus asa dan berusahalah untuk mengatasi setiap kecemasan yang anda catatkan tadi. Kemudian, setiap kali anda mampu mengatasi sesuatu kecemasan, coretkanlah saat indah itu dalam buku daftar kecemasan anda. Percayalah, lambat laun kecemasan itu akan lenyap satu persatu dan buku daftar itu akan menjadi simpanan sejarah. Percayalah, bahawa rasa cemas itu akan hilang dari kehidupan anda.

Bertenang

Dalam sebuah hadis, Nabi bersabda yang berbunyi “ Wahai manusia, sesungguhnya kaya yang sebenarnya itu bukanlah banyak harta, tetapi kaya sejati itu adalah kaya jiwa….. ( Riwayat Abu Ya’la )

Ya, benar sekali kerana jiwa yang miskin akan menderita mengidap rasa cemas walaupun ia kaya harta. Seorang lelaki kaya setiap masa dalam ketakutan harta kekayaannya akan lenyap, tidurnya tidak lena dan penyakit yang ditanggungnya menyebabkan dia tidak dapat menikmati makanan yang lazat-lazat sesuai dengan statusnya yang berharta. Namun begitu, sebaliknya berlaku kepada petani di kampung yang tidur malamnya lena tidak terganggu, makannya berselera walaupun berlauk biasa dan tidak pun menderita penyakit orang kaya kerana jiwanya tidak miskin walaupun tidak berharta. Kehidupannya sentiasa dalam keadaan tenang berbanding si kaya yang sentiasa cemas dan bimbang sepanjang masa.

Sekiranya anda memahami maksud tersirat daripada maksud kaya jiwa itu, anda akan menyedari bahawa ketenangan itu ubat mujarab bagi penyakit cemas. Bagaimana rasa tenang dalam jiwa dapat dibina? Tiada cara lain melainkan hanya dengan mengingati Allah dan menjaga hak-hakNya setiap masa. Firman Allah “ Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah sahaja jiwa akan tenang”. Banyakkan beristigfar dan membaca al-Quran, insya Allah jiwa akan sentiasa tenang dalam apa jua keadaan.

Akhir kalam, sebelum menamatkan tulisan pendek ini, mari kita renungi hadis ini.

“ Redhalah dengan pembahagian Allah buatmu, engkau akan menjadi manusia yang paling kaya ”

Semoga kita akan sentiasa diberi kekuatan oleh Allah dalam berhadapan dengan setiap rintangan dan ujian yang mendatang. Semoga kita kaya jiwa agar ketenangan sentiasa mendahului rasa cemas dan ketakutan di hati kita.
Selamat berubah kepada kehidupan baru

Wallahua’lam

www.teratakmuslim.blogspot.com





Wednesday, December 3, 2008

Jangan Biarkan Hal Remeh-Temeh Merosakkan Hidup Anda

Di sebuah kampung terdapat sebuah pokok yang umurnya melebihi umur kampung tersebut. Semasa kampung tersebut di buka, pokok itu telah wujud dan penduduk mengambil keputusan untuk membiarkan sahaja sehinggakan ia menjadi semakin membesar . Sejak kewujudannya sehingga kini, pokok tersebut tetap berdiri teguh dan tidak pernah menunjukkan tanda-tanda akan musnah walaupun seringkali di panah petir dan dilanda banjir besar beberapakali. Sehinggalah pada suatu hari secara tiba-tiba pokok itu gegur ke bumi dengan sendirinya tanpa disebabkan punca-punca yang besar. Penduduk tertanya-tanya mengapakah pokok itu boleh tumbang, sedangkan selama ini bermacam bencana yang menimpanya, tetapi ia tetap berdiri teguh dengan penuh bangga. Setelah disiasat oleh beberapa orang penduduk, mereka mendapati pokok itu tumbang kerana disebabkan oleh sejenis serangga yang disebut kumbang yang telah memakan pokok tersebut secara perlahan-lahan sejak sekian lama tanpa disedari oleh penduduk di situ. Kumbang-kumbang itu telah memakan bahagian pokok itu yang selama ini dibaluti oleh kulitnya yang keras itu. Akhirnya, dalam masa yang singkat, pokok tersebut telah tumbang, tersembam ke bumi hanya kerana disebabkan kumbang-kumbang yang kecil saiznya ( Dr. Muhammad Al-Ghazali: Berubah Kepada Kehidupan Baru )



Dalam sebuah hadis yang mahsyur, Rasulullah bersabda yang bermaksud : “Jauhilah dosa-dosa kecil kerana jika ia telah bertompok-tompok pada seseorang maka ia akan merosakkan orang itu “


Di negara kita sendiri apa kurangnya. Sama seperti di Barat yang mana saban hari di dada-dada akhbar dan seperti yang dilaporkan dalam berita di televisyen tentang pergaduhan dan pembunuhan yang hanya bermula dengan hal yang kecil dan kadangkala tidak masuk dek akal. Misalannya, bergaduh sehingga berbunuhan kerana masalah perselisihan pendapat. Bila mula berbeza pendapat, masing-masing mula menghina antara satu sama lain, dan akhirnya menyebabkan kepada pergaduhan yang penamatnya menyebabkan salah seorang daripada mereka terkorban. Ini bukan cerita dongeng, tetapi inilah realiti yang sedang melanda masyarakat di negara kita.

Mari kita fikirkan bersama, mengapa semua ini berlaku. Dari hal-hal yang kecil dan remeh-temeh, akhirnya ia menjadi masalah besar dan membinasakan. Jawapannya mudah sahaja, ini semua berlaku kerana manusia sering memperbesarkan hal-hal yang kecil sehingga menjadi besar dan seterusnya memusnahkan diri mereka sendiri. Contoh-contoh di atas menunjukkan betapa hal yang kecil dan temeh-temeh telah menyebabkan banyak perkara besar telah berlaku. Hal-hal kecil dan remeh temeh ini perlulah ditangani dengan berkesan agar ia tidak menguasai diri.

Misalnya dalam rumahtangga, pasangan suami isteri haruslah pandai menilai sesuatu isu yang berlaku dalam rumahtangga mereka. Jangan biarkan hal-hal yang remeh temeh membelenggu kerukunan rumahtangga mereka. Misalnya seorang suami merasa sakit hati kerana isterinya suka tidur berdengkur. Hampir setiap malam tidurnya terganggu kerana bunyi-bunyian yang keluar dari rongga mulut dan hidung isterinya. Dalam hal ini, sebelum situasi menjadi semakin rumit disebabkan hal yang begitu remeh, si suami perlulah menilai hadis ini yang berbunyi :

“Janganlah seorang suami mukmin membenci isterinya yang mukminah, jika ia tidak menyukai salah satu sifat isterinya, tentu ada satu sifat lain yang akan menyenangkannya” ( Muslim ).

Ya, si suami jangan biarkan satu sifat yang buruk pada pandangannya itu untuk menafikan lain-lain sifat yang baik pada diri si isteri. Bertenang sekejap, fikirkan secara perlahan-lahan apakah kebaik-kebaikkan si isteri padanya. Masakan tiada bukan. Pasti ada dan jangan menafikannya. Jangan biarkan ego seorang suami menguasai diri anda. Dari sepuluh sifat si isteri misalnya, masakan tiada satupun yang baik pada pandangan mata anda. Dia basuh pakaian anda, masakkan makanan yang lazat-lazat untuk anda, mengemas rumah setiap hari walaupun penat bekerja dan bermacam-macam lagi yang lakukan si dia untuk anda. Kenapa hanya satu masalah yang kecil, menyebabkan mata anda tertutup untuk melihat perkara yang lebih besar. Fikirkanlah bagaimana Saidina Umar menilai pengorbanan isterinya dengan mendiamkan dirinya ketika dia dibebeli isterinya. Lemahkah Umar? Tidak, dia pahlawan hebat, bukan sahaja manusia yang takutkannya, malah syaitan juga melarikan diri bila bertembung dengannya. Dia juga sahabat Nabi yang yang mulia dan dijamin syurga. Tetapi mengapa dia bertindak begitu? Tidak lain tidak bukan kerana dia menghargai isterinya dan menerima isterinya seadanya. Pada suami di luar sana, anda bagaimana? Fikir-fikirkanlah.

Apa jalan penyelesaiannya? Mudah sahaja jalannya, bersihkan jiwa dan bukalah minda dengan seluas-luasnya agar dapat melihat sesuatu isu dan perkara itu dengan lebih tenang, matang dan menurut pandangan akal yang berlandaskan Islam dan sunnah Nabi. Jangan biarkan fikiran terus dikuasai hal-hal yang remeh-temeh sehingga menjadikan minda tertutup rapat dan sentiasa menilai sesuatu perkara dan isu itu dengan nilaian yang negatif yang hanya bersandarkan kepada tanggapan semata-mata dan nafsu yang sering memandu manusia ke arah kejahatan yang akhirnya akan membinasakan diri mereka sendiri. Ingat, syaitan sentiasa mencari jalan untuk memusnahkan anak adam kerana itu janjinya hingga kiamat kelak. Akhir bicara, bersabarlah dengan setiap apa yang telah Tuhan tentukan. Nasib anda beradadi tangan anda sendiri. Hanya anda yang mampu mengubahnya dengan izin Allah.

Selamat berubah kepada Kehidupan Baru

Wallahua’lam


Monday, December 1, 2008

Hidup Anda Dibentuk Oleh Fikiran Anda

Pada suatu hari, Nabi SAW telah menjenguk seorang lelaki arab desa ( badwi )yang sedang sakit. Baginda menghibur dan membesarkan hati lelaki itu dengan mengatakan “ Semoga penyakitmu ini menjadi penawar dosa”. Lalu si lelaki itupun menjawab “ namun demam ini demam yang sangat panas, menimpa seorang tua bangka, untuk mengheretnya ke liang kubur!!”. Mendengar keluhan lelaki itu, Nabi bersabda “ jika begitu, akan demikianlah jadinya!!”.

Situasi di atas menjelaskan kepada kita tentang bagaimana fikiran manusia itu akan mempengaruhi hidupnya. Setiap hari, setiap jam, setiap minit dan setiap saat manusia pasti dihujani dengan ujian-ujian dari Tuhan samada dalam bentuk kegembiraan atau kesedihan. Nabi telah cuba mengubah rasa hati lelaki itu dengan mendoakan agar penyakit itu sebagai penghapus dosa buat dirinya dengan tujuan menggembirakan hati lelaki yang sedang sakit itu. Namun penerimaannya berbeza sekali dengan melihat penyakitnya itu sebagai sesuatu yang membinasakannya dan menyebabkannya menjadi marah. Sudah pasti sekiranya lelaki itu melihat penyakitnya itu sebagai penghapus dosa sebagaimana yang disebut oleh Rasulullah, menjadikan hidupnya kembali bersemangat, ceria dan tenang menerima ujian tersebut. Nah!! Dia telah memilih sebaliknya, maka dia menjadi marah dan merasakan hidupnya tidak akan lama dan akan bernoktah.

Mari kita perhatikan pula di sekeliling kita. Tentu kita pernah bertemu dengan satu situasi yang sama tetapi dilalui oleh dua orang yang berbeza. Misalnya di sebuah jabatan kerajaan, seorang ketua jabatan telah member i sebuah “ assignment” kepada dua orang pegawai di bawahnya untuk diselesaikan dalam tempoh 3 hari. Lihat, bagaimana seorang pegawai menerimanya dengan senyuman ceria dan bersemangat dan seorang lagi menerimanya dengan senyuman yang tawar dan hati yang sakit. Mengapa penerimaannya berbeza sedangkan tugasannya sama? Seperti yang telah dijelaskan di atas, pemikiran yang berbeza menjadikan penerimaannya berbeza.

Mengapa kita suka melihat ke dalam diri orang lain, sedangkan kita juga sering mengalaminya, malah kadangkala lebih dahsyat daripada yang digambarkan dalam cerita di atas. Mungkin kita bukan sekadar senyum tawar, malah mungkin kita akan menolak tugasan tersebut dengan alasan yang pelbagai atau sekurang-kurangnya kita menjawab dengan jawapan yang menyakitkan hati pihak lain yang mendengarnya. Kenapa kita jadi begitu? Ya, jawapannya kerana kita telah dibentuk oleh fikiran kita yang negatif. Kenapa kita tidak melihat tugasan itu sebagai satu peluang untuk kita belajar dan mencari pengalaman baru. Kenapa kita tidak bersangka baik bahawa tugasan itu diberikan kepada kita kerana “ Bos “ percayakan kita. Kenapa kita perlu melihat ia sebagai satu beban yang baru kepada beban-beban tugas yang sedia ada. Bila anda terlalu tertekan dengan beban kerja yang anda tanggung, tunggulah bil klinik atau hospital yang berdekatan dengan anda. Atau mungkin anda perlu berjumpa secara berjadual dengan pakar psikatri anda kerana beban hidup semakin tidak mampu ditangani oleh diri anda sendiri.

Cuba perhatikan dua ayat di bawah ini :

Di antara orang-orang arab badwi itu, ada orang yang memandang apa yang dinafkahkan ( di jalan Allah ) sebagai suatu kerugian dan dia menanti-nanti bahaya menimpamu, merekalah yang akan ditimpa bahaya. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui ( At-Taubah : 98 )

Dan di antara orang-orang arab badwi itu, ada orang yang beriman kepada Allah dan hari kematian, dan memandang apa yang dinafkahkan ( di jalan Allah ) itu sebagai jalan mendekatkannya kepada Allah dan sebagai jalan untuk memperoleh doa Rasul. Ketahuilah, sesungguhnya nafkah itu adalah suatu jalan bagi mereka untuk mendekatkan diri ( kepada Allah ) ( At-Taubah : 99 )

Berbeza bukan? Mereka sama-sama berkorban dengan menyerahkan harta benda mereka setelah diminta. Namun, sebahagiannya menganggap ianya sebagai satu beban yang pasti akan merugikan mereka. Manakala sebahagiannya yang lain melihatnya sebagai satu zakat yang mesti diserahkan sebagai jalan untuk membersihkan jiwa dan mengharapkan doa yang baik setelah melaksanakannya.

Islam memang telah menceritakan kepada kita bagaimana fikiran akan membentuk hidup kita. Kenapa perlu di sangkal lagi. Jika masih tidak percaya, mengapa Marcus Aurelius, seorang kaisar Romawi Kuno bias mengatakan “ Hidup kita dibentuk oleh fikiran kita”. Malah seorang penulis hebat dari Barat bernama Dale Carnegie yang telah menulis buku bertajuk How To Stop Worriying And Start Living turut mengatakan di dalam bukunya bahawa “ Fikiran kitalah yang menbentuk peribadi kita dan arahan fikiran kita adalah faktor utama yang menentukan perjalanan hidup kita”.
Seorang kanak-kanak menangis kerana ditinggalkan keseorangan di dalam bilik yang gelap oleh ibunya. Tetapi apabila dia sudah membesar dan dapat mengawal fikirannya, pasti dia yang dulunya takutkan “ gelap “ berubah kepada sebaliknya. Ya, situasi yang sama bukan, tetapi 2 tindakan yang berbeza. Satu ketika pernah takut dan menangis, bila semakin membesar ia tidak lagi takut malah sentiasa bergelap untuk tidur. Gelap tidak lagi mempengaruhi emosinya. Inilah sebenarnya kesan dari fikiran seseorang itu sehingga mempengaruhi hidupnya. Sekiranya kita memikirkan kegembiraan, kita pasti akan rasa gembira dan sentiasa tersenyum. Jika kita memikirkan kesedihan, pasti kita akan berasa sedih dan murung. Sekiranya kita meikirkan ke takutan, pasti kita akan berasa takut dan sekiranya kita memikirkan sakit, mungkin sakit itu akan menjadi kenyataan.

Kita kena berubah kepada kehidupan baru. Kita harus sama-sama berusaha untuk mengubah kehidupan kita dengan membentuk pemikiran yang positif dalam diri kita. Memang sukar kerana ia memerlukan iltizam dan usaha yang sungguh-sungguh dalam diri kita di samping doa yang tidak berkesudahan ke hadrat Ilahi. Kita harus memulakan hidup baru dengan fikiran baru yang lebih segar yang berlandaskan al quran dan Sunnah Nabi SAW . Jangan kita biarkan pemikiran kita merosakkan kehidupan kita. Jangan kita biarkan fikiran kita menghalang kita menjalani kehidupan yang lebih baik. Dan jangan kita biarkan fikiran kita menjadikan hidup kita suram tidak bermanya.

Firman Allah :
Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah nasib mereka sendiri. Sekiranya Allah berkehendakkan keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tidak ada yang dapat menolaknya dan sekali-kali tidak ada pelindung bagi mereka selain Dia _ Ar Ra’ad: 11 ).

Selamat berubah kepada kehidupan baru

Wallahua’lam





TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN Seperti yang kita sedia maklum, dua peperiksaan besar akan b...