Friday, November 26, 2010

SELAMAT BERCUTI!

Alhamdulillah sudah seminggu para pelajar sekolah saya bercuti. Bagi guru-guru pula semalam baru bermula cuti yang sebenar kerana perlu berada di sekolah selama 3 hari untuk tujuan menyelesaikan sebarang tugasan yang belum selesai sebelum boleh bercuti dengan aman. Bagi yang menjadi pengawas SPM, mereka tentunya masih belum bercuti lagi. Semoga anda semua bersabar kerana pengorbananmu itu besar pahalanya di sisi Allah, insyaAllah.

Kepada anak muridku, selamat bercuti. Pastikan cuti ini dimanfaatkan dengan sebaiknya. Ingat, jangan buat kerja yang tidak berfaedah dan bisa mengundang murka Allah. Ke mana-mana anda pergi pastilah dengan izin orang tuamu. Janganlah kamu memakai pakaian yang tidak menutup aurat. Bagi yang bakal berhadapan dengan peperiksaan penting tahun hadapan gunakan cuti ini sebagai persediaan awal menjaelang peperiksaan tahun hadapan.

Kepada Rakan-rakan sekerja, selamat bercuti semua. Andai ada silap dan salah saya mohon kemaafan. Buat sahabat saya, ustaz Talhah yang bakal menunaikan umrah bersama keluarganya saya ucapkan semoga urusan ibadahmu itu dipermudahkan Allah. Jangan lupa doakan saya di sini, terutama sekali doakan saya dapat pindah tahun hadapan ( ketawa, hehe ). Kepada yang lain yang bakal melancong ke mana jua berhati-hati dimusim hujan dan banjir ini. Kepada yang bakal berkahwin terutama kak eli, farouk dan kinah selamat menempuh gerbang rumah tangga. Semoga di berkati Allah. Kepada yang bakal bertunang ( faidz myvi ) selamat bertunang. Lepas ini kena beringatlah kerana sudah berpunya.

InsyaAllah saya dan isteri serta anak-anak akan bercuti ke kampung negeri sembilan dan kelantan. Tak sabar nak ke kelantan yang merupakan negeri ilmu. Doakan kami selamat pergi dan balik.

Yang terakhir, buat anak-anak muridku 5PA dan 5SN2, selalamt menjawab P.A. Cikgu begitu risaukan kamu dan sangat berharapkan kejayaan kamu.

Sekian dulu celotehku kali ini. Maaf salah silap kepada semua...

Sunday, November 21, 2010

Istimewa Buat Anak Muridku

Setelah menanti berbulan-bulan lamanya, insyaAllah esok bermulalah perjuanganmu wahai anak-anak muridku. Ya, perjuangan yang akan menentukan ke mana hala tujumu selepas ini. Perjuangan yang akan menilai dirimu setelah 11 tahun kamu berada di institusi bergelar sekolah. Sekiranya kamu gagal pada perjuanganmu kali ini, maka sia-sialah masa yang kamu laburkan sejak 11 tahun yang lalu.

Jangan Takut!

Nasihat Cikgu kepada kamu semua, jangan gentar dan takut kerana kamu telah bersedia. Kuatkan semangat dan tekadmu dan hadapilah ia dengan tenang. Ingat, ketakutanmu akan menyebabkan kosentrasimu terganggu kelak. Ketakutanmu akan menjadikanmu cemas yang mana akhirnya rasa cemas itu akan menjadikan kamu terlupa apa yang telah kamu ingat. Cemas juga akan menjadikan kamu seolah-olah tidak pernah belajar sebelum ini.

Ini yang terbaik buatmu...

1. Dapatkan restu daripada kedua orang tuamu sebelum melangkahkan kaki ke sekolah.

2. Senyumlah dengan semua orang dan ucapkanlah doa buat mereka seperti " saya doakan awak dapat menjawab dengan baik. Doakan saya juga ye".

3. Elakkan membaca di saat peperiksaan semakin hampir untuk dimulakan. Bertenang, ya bertenanglah kerana kamu telah bersedia dengan baik sebelum ini bukan?

4. Masuklah ke dewan peperiksaan dengan tenang.

5.Mulakanlah dengan Bismillah bila mahu memulakan peperiksaan dan awasi masa menjawabmu.

6. Setelah selesai menjawab, jangan berbincang dengan rakan-rakanmu dan lupakan sahaja apa yang telah kamu jawab sebelum ini. Jika tidak ia akan mengganggu emosimu untuk kertas peperiksaan yang akan datang.

7. Jika kamu susah hati, beristigfarlah sehingga hatimu kembali tenang kerana itu tandanya Syaitan sedang cuba mengganggumu.

8. Jika kamu rasa kamu telah menjawab dengan baik, bersyukurlah dengan memperbanyakkan puji-pujian kepadaNya..Alhamdulillah...Alhamdulillah..alhamdulillah ya Allah..

9. Akhir sekali setelah selesai semua urusan peperiksaanmu, maka berdoalah kepadaNya agar kamu diberikan result yang cemerlang..Kemudian bertawakkallah sepenuhnya kepadaNya...Nanti, apabila result sebenar telahpun keluar, inilah yang terbaik buatmu..apakah ia? ya, redha dengan segala ketentuanNya..Itulah mukmin sejati yang hatinya sentiasa dekat denganNya dan menerima apa jua ketentuanNYa...Bagi mereka, apa jua yang ditentukan olehNya, adalah terbaik buat dirinya dan sentiasa mengakui bahawa pasti ada hikmah terbesar disebalik semua yang berlaku..

Kepada semua anak murid cikgu yang bakal menagambil kertas prinsip perakaunan pada 9 November ini cikgu doakan kamu dapat menjawab dengan tenang dan cemerlang. Cikgu tidak mengharapkan sanjungan, cukuplah kejayaan yang kamu akan berikan kepada cikgu. Jika kamu cemerlang nanti, tidak mengapa jika cikgu tidak dipuji kerana bukan itu yang cikgu cari...Apa yang penting, kamu mendapat keputusan yang cemerlang bagi subjek cikgu. Itulah yang lebih bermakna buat cikgu..Selamat berjuang, selamat berjuang, selamat berjuang buat kamu semua.. janganlah mengalah sehingga ketitisan masa yang terakhir..Janganlah dilupakan semua pesanan dan petua-petua yang telah cikgu curahkan kepadamu selama ini..Semoga Berjaya..

Ikhlas daripada gurumu yang daif,

Razali Saaran







Gambar-Gambar sekitar Bengkel Kecemerlangan Prinsip Perakunan Daerah Pasir Gudang..

Saturday, November 13, 2010

Pizza roti dan Kebab Ala Taman Daya

pagi ini tak keluar sarapan..alhamdulillah hanya bertemankan resepi ala barat ( pizza roti ) dan asia barat( kebab)..Menggunakan apa yang ada dirumah..Mengikut Howard Gardner tukang masak ini memiliki kemahiran kecerdasan Naturalis iaitu berkemampuan menggunakan apa yang ada untuk memasak..selamat mencuba jua.

Resepinya:

A) Pizza Roti

Bahan-bahan:
1. roti gardenia
2. daging@ayam cincang ( biasa guna jenama Ramli) @ ayam segar ( cincang halus)
3. bawang potong dadu
4. sos cili@tomato
5. frankfurter (sosej)
6.cheese ( saya guna Chesdale) dipotong halus
7. Mayonis
8. Planta

Cara buat:

Masakkan daging@ayam cincang sehingga masak. Kemudian masukkan sosej yang dipotong bulat. Setelah masak masukkan bawang sehingga masak juga. Boleh masukkan sedikit garam untuk sedikit rasa. selepas itu diangkat.

Kemudian disapukan planta pada roti. Selepas itu taburkan bahan yang dimasak tadi di atas roti dengan cantiklah. Kemudian diletakkan mayonis diatasnya. selepas mayonis diletakkan pula sos. Yang terakhir sekali letakkan cheese yang telah dipotong halus tadi. Selesai semua itu, bakarlah dalam oven selama lebih kurnag 5 minit. Jika hendak garing bakarlah lama sedikit. Ikut suka masing-masinglah.

Then, apa lagi makanlah:)

B) Kebab Sempoi

Bahan-bahan:

1 .Roti Pita ( saya guna jenama saudi koz ada tanda halal )
2. burger daging@ayam @daging cincang (saya guna daging burger lembu jenama Ramli)
3. Bawang yang dipotong halus ( saya tak guna bawang india yang warna merah tu, tapi yang warna putih tuh. Nama saya lupa daaa)
4. timun yang diracik halus
5. sos cili
6. mayonis
7. planta

Cara Buat :

Pertama sekali potong dua roti pita tadi. Kemudian letakkan atas kuali yang telah panas untuk masakkan ia. Ingat saya tak letak minyak. Agak-agak rotinya seakan garing sedikit cukuplah tuh.

Kemudian baru Masakkan daging cincang sehingga masak. Tp sebelum tuh taruk planta sikit ler. Kalau tak macam mana nak gorengkan? kemudian masukkan bawang dan timun tadi. Setelah kesemuanya masak, masukkan pula sos cili dan gaul sehingga sebati. Setelah semuanya ok, angkatkanlah ia.

Langkah terakhir sebelum makan, sapukan roti pita ( yang dibahagian dalam jer tau ) dengan mayonis. Nak sedap lebihkan sedikit. Selepas itu baru masukkan bahan-bahan yang telah masak tadi. Emm, tunggu apa lagi..Nyum-nyumlah..uppssss, jangan lupa bismillah tau..


SELAMAT MENCUBA!

















Wednesday, November 10, 2010

Alahai.....

Hari ini hari yang mencabar minda dan emosi saya. Geram pun ada, hendak marah pun ada. Tetapi dek kerana kesabaran masih bersarang di jiwa ini, Alhamdulillah semuanya masih "under control". Kejadian hari ini mengajar saya satu perkara dan memberi satu ilham kepada saya untuk menulis satu lagi buku tentang organisasi. Tajuknya biarlah saya rahsiakan dahulu, tetapi InsyaAllah telah "saved" di kepala. Frame-work ( harap betullah istilah ini ) telah ada dan insyaAllah akan dimulakan setelah selesai buku yang ketiga ini. Diharapkan ilham ini mampu direalisasikan.

Pengajaranya hari ini, dalam organisasi perlu ada adab berorganisasi. Jika anda orang baru, pelajarilah seni berorganisasi kerana itu penting untuk mewujudkan situasi yang kondusif di antara ahli. Terutama sekali "orang-orang lama" yang bukan minta disanjungi, tetapi dihormati.


Wednesday, November 3, 2010

Raikan perbezaan pendapat....


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Benar, saya sangat bersetuju jika anda mengatakan sukarnya menerima pendapat orang lain. Apatah lagi pendapat yang diberikan itu lain macam sahaja bunyinya. Cakap ikut suka hati, janji dapat keluarkan apa yang terbuku di hati. Jika begitu keadaannya sesiapapun pasti akan sakit hati untuk mendengar orang yang sebegini menyampaikan pandangannya.

Namun begitu, sebagai insan yang mendengar pandangan sifat berlapang dada dan bersedia meraikan pandangan orang lain amatlah dituntut. Mendengar dengan teliti apa yang disebut sehingga selesai tanpa sebarang gangguan adalah kaedah terbaik apabila berada dalam situasi berbalas-balas pandangan. Tidak manis sekiranya yang seorang bercakap dan seorang lagi mencelah tanpa henti. Jika begitu keadaannya sampai bila pun apa yang hendak dibincangkan atau diselesaikan tidak akan selesai. Apa yang terbaik ialah biarkan pihak yang pertama bercakap dan menyampaikan hujjahnya sehingga selesai. Selepas itu barulah pihak kedua pula bercakap setelah meminta izin kepada pihak yang pertama terlebih dahulu. Sekiranya ada pihak yang menjadi moderator pada ketika itu, maka bercakaplah pihak yang kedua setelah diminta oleh si moderator tadi. Andai ini yang menjadi amalan, kita percaya pastinya perdebatan dan perbezaan pendapat itu begitu diraikan.

Akan tetapi malangnya budaya berlapang dada, meraikan pendapat itu begitu jauh dari masyarakat kita. Malah terlebih malang lagi apabila yang melanggar akhlak berbeza pendapat itu adalahlah dari kalangan orang agama yang sepatutnya menjadi contoh terbaik kepada umat manusia. Agaknya mereka terlupa kepada pesanan Nabi yang mengatakan ulama' itu pewaris Nabi yang sepatutnya menonjolkan apa yang Nabi telah wariskan. Maaf orang agama, saya bukan menghina anda, saya sekadar menegur apa yang saya perhatikan kebelakangan ini. Lihatlah Imam-Imam besar dahulu yang begitu terbukan dengan pendapat Imam-Imam yang lain. Lihatlah bagaimana Imam Syafie berbeza pendapat dengan Imam yang lain tetapi mereka tidak bergaduh, caci mencaci. Mengapa ini terjadi? kerana mereka menjaga akhlak dalam perbezaan pendapat.


Ayuh marilah kita berubah

Jika anda terbaca artikel yang simple ini, ayuhlah sampai-sampaikan kepada rakan-rakan yang lain tentang perlunya perbezaan pendapat itu diraikan. Pesanlah kepada mereka apabila berbeza pendapat itu hendaklah :

1. Bertenang dan ingat Allah banyak-banyak

2. Beri peluang pihak yang satu lagi bercakap.

3. Jangan serang peribadi lawan, tetapi matikan hujah lawan dengan fakta kerana menyerang peribadi lawan kerana untuk menang adalah cara orang yang lemah dan tiada kemampuan berhujjah.

4. Jika mereka dipihak benar maka terimalah dengan hati yang tenang biarpun mereka itu musuhmu ataupun lebih muda berbandingmu. Tetapi jika mereka bersalah maka jelaskan dengan sebaik-baiknya. Seandainya mereka menerima teguran maka itu bukan kerana kehebatanmu, tetapi kerana bantuan Tuhan. Sekiranya kamu gagal membetulkan mereka janganlah dikesali kerana hidayah Allah itu bukan milikmu. Tugas kamu hanya menegur dan mebetulkan yang salah dan menjadi hak Allah untuk membuka hati mereka untuk menerima hujjahmu dan berubah kepada yang lebih baik. Oleh itu janganlah kamu bersedih diatas kegagalan tersebut. Apa yang penting keikhlasan dihatimu.

5. Apa yang penting janganlah melampaui batas dalam berbeza pendapat dan berhujjah kerana Nabi pernah menyebut:


Abdullah bin Amru r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Ada
empat perkara jika sesiapa yang mempunyai empat perkara tersebut, maka dia
merupakan orang munafik. Sesiapa yang bersifat dengan salah satu daripadanya
bererti dia bersifat kemunafikan, sehinggalah dia meninggalkannya iaitu apabila
bercakap dia berbohong, apabila membuat persetujuan dia mengkhianati, apabila
berjanji dia menyalahi dan apabila berlaku pertikaian dia melampaui batas.
(Riwayat Muslim)

Maka yang terbaik dalam meraikan perbezaan pendapat ialah dengan perbanyakkan bersabar. Ya bersabar dengan kerenah lawan bicaramu. Bersabar dengan buah bicara mereka, intipati hujjah-hujjah mereka biarpun apa yang mereka perkatakan itu tidak benar dan menyakitkan hatimu. Biarpun mereka mereka mencacimu, mengherdikmu, menuduhmu dengan tuduhan yang bukan-bukan, bersabarlah dan tenanglah kerana selepas itu mereka akan merasa malu kepadamu di atas keterlanjurannya. Dan diketika itu kamu telah menjadi pemenang tanpa berhujjah.


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


'Selamat berubah kepada kehidupan baru'

wallahua'lam



Tuesday, November 2, 2010

Hebatnya sedekah!


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini



Baru-baru ini ketika dalam perjalanan ke Pasir Gudang bagi menyelesaikan satu perkara yang begitu penting, saya berkesempatan mendengar kuliah agama di Radio Ikim.fm. Jalan yang agak jem, menyebabkan saya saya sampai ke destinasi yang hendak dituju agak lewat. Sedangkan kebiasaannya bila ke pasir gudang hanya memerlukan 20 minit sekurang-kurangnya untuk sampai. Tetapi pada hari itu saya terpaksa berada di atas jalan raya lebih kurang 45 minit lamanya. Namun begitu setiap yang Allah tentukan itu pasti mengandungi hikmahnya. Pertama saya dapat mendengar kuliah agama sehingga selesai dan mendapat satu ilmu yang begitu bermanfaat. Dan kedua saya diberi peluang olehNya untuk solat isyak berjemaah di masjid besar pasir gudang, iaitu sebuah masjid yang belum pernah saya singgah biarpun sudah hampir 7 tahun di johor bahru. Alhamdulillah cantik dan bersih masjidnya. Ditambah pula bacaan Imam pada malam itu begitu syahdu sekali.

Berbalik kepada kuliah yang saya sebut di awal perenggan tadi, satu perkara yang disebut ialah berkaitan dengan sedekah. Cara ustaz tersebut menghuraikan konsep memberi dan dikaitkan dengan sedekah benar-benar menjentik hati saya ketika itu. Perkataan sifir Allah menambahkan lagi rasa kehebatan sedekah itu dan kewajarannya ia diberi perhatian oleh umat Islam. Ya, janganlah takut untuk memberi kerana setiap apa yang diberi akan dibalas semula oleh Allah dengan jumlah yang lebih banyak. Sifir kita di dunia sungguh berlainan dengan sifir Allah. Logiknya 2-1=1, tetapi sifir Allah tidak begitu. Apa yang kita berikan tidak berkurang, malah ditambah olehnya.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Perumpamaan orang-orang yang membelanjakan harta mereka (bersedekah) pada jalan Allah laksana sebiji (benih) yang tumbuh menjadi tujuh tangkai, setiap tangkai ada seratus biji. Dan Allah akan melipatgandakan ganjaran-Nya kepada siapa yang disukai-Nya dan Tuhan itu Maha Luas pemberian-Nya dan Maha Mengetahui."
( Al Baqarah : 261 )

Amalan sedekah kebiasaannya dikaitkan dengan wang ringgit dan harta benda sahaja. Sebenarnya bukan begitu. Terdapat beberapa amalan sedekah yang boleh kita lakukan selain daripada memberi sesuatu berupa wang ringgit atau berbentuk kebendaan iaitu:

1. Senyuman - yang ikhlas yang diberikan untuk orang lain merupakan sedekah. Dengan senyuman, kita dapat merapatkan ukhuwah dan kasih sayang serta menggembirakan hati saudara kita.

2. Amar makruf dan nahi mungkar - Berpesan-pesan dengan kebaikan dan mencegah berlakunya kemungkaran merupakan satu sedekah. Keadaan ini boleh diertikan sebagai menyelamatkan saudara kita dari azab neraka.

3. Menyelesaikan masalah orang lain - Dalam hadis Rasulullah SAW ada menyatakan bahawa menunjukkan jalan kepada orang yang sesat merupakan sedekah. Sekiranya kita menyelesaikan kesusahan dan melepaskan saudara kita daripada kesempitan maka perbuatan kita itu dikira sebagai sedekah.

4. Membuang sesuatu yang menghalang di jalan laluan - Membuang benda-benda yang berbahaya dan menghalang serta mengganggu perjalanan seperti duri, kaca, kayu, dan sebagainya juga merupakan sedekah.

5. Memberikan khidmat - Sedekah juga dapat dilakukan dengan menolong orang yang memerlukan pertolongan dengan memberikan bantuan tenaga atau perkhidmatan.[1 ]

Bahkan perhubungan antara suami dan isteri juga satu sedekah.

" Rasulullah s.a.w bersabda: "Tidakkah Allah telah memperuntukkan kepada kamu suatu yang kamu boleh bersedekah dengannya? Sesungguhnya setiap tasbih (ucapan Subhanallah) adalah sedekah, setiap takbir (ucapan Allahu Akbar) adalah sedekah, setiap tahlil (ucapan La ilaha illallah) adalah sedekah, setiap tahmid (ucapan Alhamdulillah) adalah sedekah, menyuruh perkara yang baik adalah sedekah, melarang kemungkaran adalah sedekah, dan setiap kali kamu melakukan jimak (dengan isteri kamu) juga adalah sedekah." Sahabat bertanya: "Ya Rasulullah, adakah jika seseorang daripada kita menunaikan syahwatnya dia mendapat ganjaran (sedekah)?" Rasulullah menjawab: "Tidakkah kamu merasakan suatu dosa jika dia menunaikan syahwatnya dengan cara yang haram?" Sahabat menjawab: "Ya." Rasulullah menjawab: "Demikian juga apabila dia menunaikan syahwatnya dengan cara yang halal."

[ Riwayat Imam Muslim ]

Beberapa kelebihan sedekah menurut Hadis :


Maksud sabda Rasulullah saw : “Sesungguhnya sedekah seseorang muslim itu memanjangkan umur dan mencegah dari mati dalam keadaan buruk dan Allah Taala pula menghapuskan sikap sombong dan membangga diri si penderma dengan sebab sedekahnya”
[ Riwayat Tabrani ]


Maksud sabda Nabi saw : “Segeralah kamu bersedekah, kerana bala bencana itu tidak dapat melangkahi sedekah”
[ Riwayat Al-Baihaqi ]


Janganlah bertangguh-tangguh lagi sehingga nyawa telah dikerongkongan!

Dari Abu Hurairah r.a katanya : Seorang lelaki menghadap Rasulullah saw lalu bertanya : Wahai Rasulullah! Sedekah mana satu yang lebih besar ? Nabi saw menjawab : Engkau bersedekah ketika sihat dan sangat sayangkan hartamu; ketika engkau takutkan kepapaan dan berharap hendakkan kaya-raya. Janganlah engkau bertangguh untuk bersedekah, sehingga apabila nyawa sampai ke kerongkong, barulah engkau berkata : Aku mahu bersedekah untuk si anu.. sekian untuk si anu dan sekian lagi untuk si anu
[ Riwayat Imam Al-Bukhari ]

Ayuh, mari kita kuatkan tekad untuk menjadi hambaNya yang sentiasa bersedekah dalam apa jua cara dan keadaan. Ingat, sedekah itu bukan sekadar harta benda, malah sedekah itu begitu luas maknanya.

wallahua'lam..


Sumber rujukan [1] - http://dupnt.blogspot.com/2009/09/kelebihan-bersedekah.html

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN Seperti yang kita sedia maklum, dua peperiksaan besar akan b...