Thursday, February 26, 2009

Seni Berbicara

" Dilarang masuk tanpa urusan " atau " Silakan masuk jika ada urusan " merupakan dua buah ayat yang berbeza gaya bahasanya, tetapi membawa maksud yang sama. Sama juga dengan dua ayat yang berikut ini: " Kawasan merokok " atau " Selamat datang ke Zon bunuh diri " yang mana turut menggunakan gaya bahasa yang berbeza tetapi mesej yang hendak disampaikan adalah sama.

Selama hampir enam tahun bekerja, saya dapat perhatikan seni berbicara itu amatlah penting sekali sebagai salah satu alat dalam pengurusan sesebuah organisasi. Apabila seorang pemimpin memberi arahan seperti berikut : " Awak mesti menyiapkan tugasan ini segera dan letakkan di atas meja saya seawal jam 9 pagi esok. Jika awak gagal menyiapkannya, tindakan tegas akan dikenakan terhadap awak." Apa pendapat anda apabila membaca contoh di atas. Marah, sakit hati? Bagaimana jika pemimpin tersebut mengatakan begini : " Boleh tak awak tolong siapkan tugasan ini untuk saya. Saya perlukannya seawal pagi esok. saya harap sangat dengan bantuan awak kali ini. Kalau ada masalah, cepat-cepat hubungi saya. Saya akan bantu setakat mana yang termampu." Saya percaya ia akan memberikan persepsi yang berbeza bukan. Tujuan arahannya sama sahaja, tetapi kaedah penyampaiannya sahaja yang berbeza. Kerana itulah ia memberikan kesan yang juga berbeza kepada hati pekerja.

Seni berbicara ini mestilah dipelajari oleh semua orang, terutama sekali yang berada di bahagian pengurusan yang paling kerap memberi arahan kepada pihak bawahan. Kegagalan menggunakan gaya bahasa yang sesuai akan merumitkan urusan dalam sesebuah organisasi. Seorang lelaki yang sedang marah kerana telah 10 kali membuat panggilan ke sebuah jabatan kerajaan tiba-tiba bercakap dengan lembut setelah mendengar suara lembut menjawab panggilannya setelah mendail nombor yang sama buat kali yang kesebelas. Hanya dengan menggunakan suara yang lembut dan sopan, seorang lelaki yang sedang membara hatinya tiba-tiba menjadi lembut hatinya. Begitulah hebatnya seni berbicara ini kerana ia memberi kesan yang cepat ke dalam hati pendengarnya. Lihat saja orang yang sedang mendeklamasikan sajak, dengan bahasa yang berbunga-bunga dan intonasi yang menarik menyebabkan para audien terpana mendengarnya. Semasa hari jumaat, ketika khatib membaca khutbah, ramai yang tertidur kerana gaya bahasa yang digunakan mendatar dan tidak menarik didengar. Sekitar tahun 2001, semasa bersolat jumaat di sebuah masjid di Selangor, kelihatan para jemaah kyusuk mendengar khutbah yang sedang disampaikan oleh seorang khatib muda yang telah bercakap dengan lantang, cantik susunan bahasanya dan diselangi dengan contoh-contoh yang sesuai dengan tajuk khutbahnya. Di sebuah kampung di Daerah Segamat, yang mana khutbahnya di sampaikan oleh seorang imam yang agak berumur telah menyebabkan jemaah menangis semasa mendengar kata-kata yang keluar dari mulut khatib pada waktu itu. Tajuknya biasa-biasa sahaja yang sering diucapkan oleh kebanyakkan pembaca khutbah iaitu berkaitan ketaatan kepada kedua ibu bapa. Tetapi oleh kerana bahasa yang digunakan itu sangat menarik, tersusun dan sedap didengar menyebabkan para jemaah tidak mengantuk, malah ada yang menangis apabila mendengar khutbah tersebut.

Apabila seseorang itu mempunyai seni dalam berbicara, dia sebenarnya sedang menarik orang lain untuk mendengar lagi dan lagi isi percakapannya samada dalam situasi formal atau tidak formal. Seni berbicara ini perlulah dipelajari dan diamalkan mengikut kesesuaiannya. Sekadar belajar, tetapi tiada amal maka ia ibarat pokok buah-buahan yang hidup berpuluh tahun tanpa buahnya. Sama juga seperti mereka-mereka yang mempelajari Al-Quran tetapi tidak beramal dengannya. Al-Quran itu sekadar dilagukan, tetapi isinya dibuang begitu sahaja.

Semasa belajar di Universiti dahulu saya sering bertemu dengan pasangan kekasih yang mana pasangan lelakinya tidak memiliki wajah yang menarik berbanding si wanita yang berwajah cantik dan menarik. Saya bukanlah hendak menghina sesiapa, tetapi ianya ada kaitan dengan isu yang sedang diperkatakan ini. Saya hairan, mengapa keadaan sedemikian boleh berlaku. Apakah kehebatan mereka. Bila saya bertanyakan kepada rakan-rakan, jawapan yang sering diberikan ialah " ayat power ". Adakah " ayat power " itu ada kaitannya dengan seni berbicara. Kenapa si wanita tidak tertarik dengan lelaki yang lebih tampan, sedangkan mereka berpeluang untuk memilikinya kerana mereka mempunyai wajah yang menarik. Sudah tentu ramai yang bersedia untuk menjadi pasangan wanita itu. Namun, pilihannya sangat mengejutkan dan mengundang kontroversi. Mulut mereka yang berada di sekelilingnya tidak mampu ditutup lagi, tetapi hubungan mereka terus bertaut tanpa mempedulikan persepsi buruk masyarakat di sekeliling mereka. Kini, saya telah mengerti mengapa wanita itu tertarik dengan lelaki tersebut, tidak lain tidak bukan kerana lelaki tersebut telah menggunakan kemahiran berbicara sehinggakan wanita itu cair hatinya dan seterusnya memandang yang menarik sahaja pada diri lelaki tersebut walaupun masyarakat memandang sebaliknya.

Sekiranya saya ingin terus menyambung tulisan kerdil ini, pasti banyak lagi isu-isu yang boleh diperbincangkan. Namun masa tidak mengizinkan. Izinkan saya mengakhiri tulisan ini dengan meninggalkan sedikit harapan kepada semua pembaca agar mempelajari dan memahami seni berbicara dengan lebih mendalam. Percayalah, jika anda seorang pemimpin, anda akan disenangi oleh orang bawahan anda. sekiranya anda seorang guru, percayalah para pelajar akan menghormati dan mengasihi anda seadanya. Apapun, walau siapapun anda, marilah bersama-sama kita mempelajarinya dan seterusnya diamalkan dalam kehidupan seharian kita.

Selamat berubah kepada kehidupan baru

salam ukhwah


Thursday, February 12, 2009

Dengarlah bicara hati abah ini wahai anakku Haris Husaini

Anakku Haris, biarpun kamu baru berumur setahun 7 bulan, dan tidak mengerti banyak perkara, izinkanlah abah menasihatimu dengan sedikit nasihat yang cukup berguna sebelum kamu melonjak ke usia remaja kerana di kala itu cabarannya terlalu besar dan ramai yang telah gagal dan dihanyutkan arus yang deras hingga sukar untuk diselamatkan lagi. itulah yang abah sangat-sangat takutkan sayang. Kamu masih kecil haris sayang, sememangnya abah sangat-sangat memahaminya kamu masih kecil dan tidak sepatutnya nasihat ini diberikan kepadamu sayang. Tidak mengapa harisku sayang, insya Allah bila kamu besar nanti akan abah tunjukkan tulisan ini, dan kamu bacalah dan fahamilah kerana ketika itu kamu sudah mampu berfikir secara rasional dan matang. Abah tidak boleh menangguh tulisan ini kerana ditakuti apa yang hendak diperkatakan sekarang tidak lagi mampu untuk diperkatakan di masa hadapan. mungkin di waktu itu abah telah terlupa sayang.

Anakku sayang, nasihatnya pendek sahaja dan nasihat inilah yang Saidina Ali Karamullahhiwajhah pernah ungkapkan satu ketika dahulu. Walaupun wasiat ini telah lama ditinggalkan Oleh Saidina Ali kepada kita, namun apa yang disebut itu adalah benar. Ianya memang berlaku dalam realiti hidup kita yang sebenar sayang.

Inilah nasihatnya, dan bacalah dengan tenang, serta hayatilah setiap bait-bait perkataan yang keluar dari mulut Saidina Ali itu, mudah-mudahan ia dapat memberi manfaat dan iktibar buat hidup haris bila besar nanti.

Kata Saidina Ali Karamullahhiwajhah :

" Jahuilah persahabatan dengan pengkhianat kerana dia akan menjualmu dengan harga yang lebih murah ".

Haris mengertikah apa yang dimaksudkan dengan pengkhianat itu. Pengkhianat itu bermaksud orang yang tidak jujur dan amanah dalam persahabatannya. Mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk kepentingan dirinya walaupun terpaksa menganiaya dirimu sayang. Apa yang penting, matlamatnya tercapai. Mereka bersahabat denganmu bukan kerana Allah, malah mereka akan menarikmu ke neraka Allah. Maka pesanku buatmu anakku sayang, jahuilah mereka. Ini bukan sekadar nasihat dari Abah wahai anakku, tetapi ini adalah perintah Allah. Ya, peringatan dari Tuhan kita untuk kebaikan diri kita anakku. Cubalah kamu perhatikan firman Allah ini :

" Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka ". ( Hud: 113 )

" Dan apabila kamu melihat orang-orang memperolokkan ayat-ayat Kami, maka tinggalkanlah mereka sehingga mereka membicarakan perbicaraan yang lain ". ( Al- An'am : 68 )

" Dan janganlah kamu mentaati perintah orang-orang yang melampaui batas, yang membuat kerosakan di muka bumi dan tidak mengadakan kebaikan ". ( Asy-Syu'ara' : 151-152 )

Wahai anakku, abah kira cukuplah tiga dalil dari al-Quran itu untuk menguatkan hujjah abah. Jelas bukan larangan Allah kepada kita agar menjauhi sahabat,teman dan mereka yang tidak mengajak kita kepada kebaikkan dan menarik kita ke jalan yang menyesatkan. Mereka akan menjual kamu anakku. Ya, menjual kamu pada harga yang terlalu murah sehinggakan nilaian kamu adalah bakaran api neraka. Syurga itu mahal harganya wahai anakk dan masakan barang yang murah sesuai untuk tempat yang mahal. Kamu tentu belum pernah masuk ke hotel-hotel yang bertaraf 5 bintang bukan? Jika kamu berpeluang ke sana suatu hari nanti, perhatikanlah perhiasan-perhiasan yang digunakan di sana, kamu tidak akan ketemu dengan barangan yang rendah nilainya. Maka untuk bermalam di sana, pasti tinggi harganya. Begitulah halnya dengan syurga wahai anakku, tentunya nilaian diri kamu waktu itu jika kamu mengikuti jejak langkah pengkhianat, tidak mampu untuk membayar harga sebuah syurga. MasyaAllah, takutnya abah wahai anakku sayang jika itu terjadi kepada dirimu. Semoga Allah menjahuinya daripada kamu.

Akhir kalam wahai anakku, sekali lagi abah memesan kepadamu, pilihlah kawan yang betul, perhatikan akhlaknya, ibadahnya dan akidahnya. Janganlah memandang kepada rupa dan harta bila memilih kawan, tetapi nilailah hubungannya dengan Pencipta kita yakni Allah. Mengapa? kerana pengkhianat itu begitu murah nilai harga dirinya di sisi Allah. kerana itulah Nerakalah yang paling layak buatnya.

Firman Allah :

" Dan sesungguhnya orang-rang yang derhaka benar-benar berada dalam neraka. Mereka masuk ke dalamnya pada hari pembalasan ". ( Al-intifar : 14-15 ).

Takutlah anakku sayang. Takutlah dengan peringatan Allah ini. Bimbang abah kamu akan terjebak dengan akhlak pengkhianat yang buruk itu jika kamu bersahabat dengannya. Takut sangat abah kalau-kalau Allah akan murka Padamu sayang.

Wahai anakku, sebelum abah menamatkan cetusan hati abah ini buat tatapanmu di saat kamu besar nanti, mari abah coretkan satu nasihat yang pernah diungkap oleh Al-Qomah al-'Attar sebelum beliau meninggal dunia. Begini bunyinya :

" Apabila persahabatan ditawarkan kepadamu, maka bersahabatlah dengan orang yang apabila engkau membantunya, dia memeliharamu, dan jika engkau bersahabat dengannya, dia mengharumkan namamu ".

" Kemudian bersahabatlah dengan orang yang apabila engkau meminta sesuatu daripadanya, dia memberimu, jika engkau diam dia terlebih dahulu menegurmu, dan jika musibah menimpamu, dia menolongmu ".

" Seterusnya bersahabatlah dengan orang yang apabila engkau mengatakan sesuatu, dia membenarkanmu, jika engkau menyelesaikan sesuatu masalah dia menolongmu, dan jika terjadi pertelingkahan di antara kamu berdua, dia mengalah ".

Abah rasa, cukuplah sekadar ini dahulu buat kali ini harisku sayang. Jika ada lagi nasihat yang abah rasa berguna buatmu di masa hadapan, insya Allah akan abah coretkan lagi di sini. Doa Abah kamu akan menjadi anak yang baik, soleh dan mentaai perintah Allah dan rasulnya serta menjaga maruah diri Abah dan Ibu. Ingat, kamu adalah buah hati Abah dan Ibu. Salam sayang buat kamu wahai anakku..

Wallahua'lam


Saturday, February 7, 2009

Kenapa Bangsa Yahudi Bijak?

Setelah berada 3 tahun di Israel kerana menjalani housemanship di beberapa hospital di sana, ada beberapa perkara yang menarik dapat saya perhatikan untuk dijadikan tesis ini, iaitu mengapa Yahudi Bijak?? Memang tidak dapat dinafikan ramai cendikiawan berbangsa Yahudi, dari segala bidang, kejuruteraan, muzik, saintis dan yang paling hebat ialah bidang perniagaan, di mana ia memang paling tersohor. Hampir 70% perniagaan di dunia dikuasai oleh kaum Yahudi, dari kosmetik, pakaian, pemakanan, senjata, perhotelan, perfileman diHollywood dan sebagainya.


Ketika tahun kedua, akhir bulan December 1980 dan sedang saya menghitung hari untuk pulang ke California saya terfikir apakah sebabnya kaum Yahudi begitu pintar? Kenapa Tuhan memberi kelebihan kepada mereka? Apakah ini suatu kebetulan? Atau oleh manusia sendiri? Adakah bijak boleh dijana? Seperti kilang pengeluaran?

Maka saya pun tergerak membuat tesis untuk Phd saya, disamping kebaikan untuk umat sejagat dan dapat hidup secara harmoni. Untuk pengetahuan anda tesis yang saya lakukan ini mengambil masa hampir lapan tahun, ini kerana untuk mengumpulkan data-data yang setepat mungkin. Antara data-data yang saya kumpulkan ialah pemakanan, adat resam, agama, persiapan awal untuk melahirkan zuriat dan sebagainya dan data-data tadi saya cuba bandingkan dengan bangsa dan kaum kaum lain.

Marilah kita mulakan dengan persiapan awal melahirkan zuriat. Di Israel, setelah mengetahui yang sang ibu sedang mengandung, pertama kali saya perhatikan ialah, sang ibu akan sering menyanyi dan bermain piano dan si ibu dan bapa akan membeli buku metamatik dan menyelesaikan masalah metamatik bersama suami, saya sungguh hairan kerana teman saya yang mengandung sering membawa buku metamatik dan bertanya kepada saya beberapa soalan yang beliau tak dapat menyelesaikanya. Oleh kerana saya memang minat tentang metamatik, tentu saja dengan senang saya bantu beliau. Saya bertanya kepada beliau, adakah ini untuk anak kamu? Beliau menjawab, Ya, ini untuk anak saya yang masih didalam kandungan. Saya sedang melatih otak anak saya. Semoga dia menjadi genius apabila dewasa kelak. Perkara ini membuat saya tertarik untuk mengikut perkembangan beliau seterusnya. Berbalik kepada metamatik tadi, tanpa merasa jemu beliau membuat latihan metamatik sehingga beliau melahirkan anak.

Seperkara lagi yang saya perhatikan ialah pemakanan beliau. Sejak awal mengandung beliau gemar sekali memakan kacang badam dan korma bersama susu dan untuk tengah hari makan utama beliau ialah roti dan ikan tanpa kepala bersama salad yang digaul dengan badam dan berbagai jenis kekacang. Menurut beliau daging ikan sungguh baik untuk perkembangan otak dan kepala ikan mengandungi kimia yang tidak baik yang dapat merosakkan pengembangan dan penumbuhan otak anak di dalam kandungan. Menurut beliau ini adalah cara orang orang yahudi ketika mengandung dan ianya menjadi semacam kewajipan untuk ibu-ibu yang sedang mengandung mengambil pil minyak ikan.

Ketika saya diundang untuk makan malam bersama orang orang Yahudi, perkara pertama yang saya perhatikan ialah menu mereka. Setiap undangan yang saya perhatikan ialah mereka gemar sekali memakan ikan (hanya isi atau fillet) dan biasanya daging tidak akan ada bersama di meja jika ada ikan. Menurut mereka, campuran daging dan ikan tak elok dimakan bersama. Salad dan kacang adalah suatu kemestian, terutama badam.

Seperkara yang pelik ialah mereka akan memakan buah buahan dahulu sebelum memakan hidangan utama. Jangan terperanjat jika anda diundang ke rumah Yahudi anda akan dihidangkan buah buahan dahulu. Menurut mereka, dengan memakan hidangan karbohidrat (nasi atau roti) dahulu kemudian buah buahan, ini akan menyebabkan kita merasa ngantuk dan lemah dan payah untuk memahami pelajaran di sekolah.

Di Israel, merokok adalah taboo, apabila anda diundang makan dirumah Yahudi, jangan sekali-kali merokok dan tanpa malu mereka akan menyuruh anda keluar dari rumah mereka supayaa merokok di luar rumah mereka. Menurut saintis di Universiti Israel , siasatan menunjukkan nikotin dapat merosakkan sel utama pada otak manusia dan akan melekat pada genes, ini bermakna keturunan perokok bakal membawa generasi yg cacat otak ( bodoh atau lembab). Suatu penemuan yg dahsyat ditemui oleh saintis yg mendalami bidang genes dan DNA. Para perokok harap ambil perhatian. (Ironi nya, pemilik pengeluar rokok terbesar adalah siapa? Tekalah sendiri..!)

Perhatian saya selanjutnya ialah melawati tadika mereka, Pemakanan anak anak tadi cukup dikawal, makanan awal ialah buah buahan bersama kacang badam, diikuti dengan menelan pil minyak ikan (code oil lever). Di dalam pengamatan saya, kanak-kanak Yahudi sungguh bijak dan rata-rata mereka memahami 3 bahasa iaitu Hebrew, Arab dan Inggeris dan sejak dari awal lagi mereka telah dilatih bermain piano dan violin. Ini adalah suatu kewajipan bagi mereka. Menurut mereka bermain muzik dan memahami nota notanya dapat meningkatkan lagi IQ kanak kanak dan sudah tentu bakal menjadikan budak itu bijak. Ini menurut saintis Yahudi, gegaran muzik dapat stimulate (semacam senaman untuk otak) maka itu terdapat ramai sekali genius muzik terdiri dari kaum Yahudi.

Seterusnya ke darjah 1 hingga 6, anak anak Yahudi akan diajar metamatik berkonsepkan perniagaan dan pelajaran sains amatlah diberi keutamaan. Di dalam perhatian peribadi saya, perbandingan dengan anak anak di California, ianya jauh berbeza tentang IQ dan boleh saya katakan 6 tahun kebelakang!!!. Segala pelajaran akan dengan mudah di tangkap dan difahami oleh anak Yahudi. Selain dari pelajaran tadi sukan juga menjadi kewajipan bagi mereka dan sukan yg diberi keutamaan ialah memanah, menembak dan berlari. Menurut teman saya ini, memanah dan menembak dapat melatih otak memfokus sesuatu perkara disamping mempermudahkan persiapan untuk perhidmatan negara.

Selanjutnya pemerhatian saya menuju ke sekolah tinggi (menengah) di sini murid murid ditekan dengan pelajaran mata sains dan mereka digalakkan mencipta produk. Segala projek mereka walaupun kadangkala kelihatannya lucu dan mengarut, tetap diteliti dengan serius apatah lagi ianya berupa senjata, perubatan dan kejuruteraan. Idea itu akan dibawa ke institut tinggi di Politeknik dan Universiti.

Satu lagi yg diberi keutamaan ialah fakulti perniagaan. Saya sungguh terperanjat melihat mereka begitu agresif dan seriusnya mereka tentang perniagaan. Di akhir tahun di universiti, para penuntut di bidang niaga dikehendaki melakukan projek dan mempraktikkanya dan anda hanya akan lulus jika kumpulan anda (10 pelajar setiap kumpulan) dapat keuntungan sebanyak $US1juta! Anda terperanjat? Itulah kenyataan, dengan rangkaian seluruh dunia dan ditaja sepenuhnya oleh syarikat milik Yahudi. Maka tidak hairanlah mereka dapat menguasai perniagaan di dunia. Siapakah yg mencipta design Levis yang terkini? Ianya dicipta di Universiti Israel oleh fakulti bisnes dan fesyen.

Pernahkah anda melihat cara orang Yahudi melakukan ibadah mereka? Salah satu caranya ialah dengan menggoyangkan kepala mereka, menurut mereka ini dapat mengaktifkan otak mereka dan menambahkan oksijan dikepala, banyak ugama lain di Timur Tengah, seperti Islam juga ada menyuruh umatnya menunduk atau menggoyangkan kepala, ini guna dapat mensimulasikan otak kita supaya bertambah aktif (bezikir). Lihat orang orang Jepun, mereka sering menunduk nundukkan kepala dan ianya sebagai adat. Ramai orang-orang Jepun yg pandai? Adakah ianya sebagai kebetulan? Kegemaran mereka ialah sushi (ikan mentah). Adakah ini kebetulan? Fikirkanlah!

Berpusat di New York , Dewan perniagaan Yahudi bersedia membantu mereka yang berminat untuk melakukan bisnes (sudah tentu untuk Yahudi sahaja) jika mereka ada idea yang bernas. Jawatan kuasa akan memberi pinjaman tanpa faedah dan pentadbir dari jawatan kuasa tadi akan bekerjasama dengan mereka untuk memastikan yang perniagaan mereka menurut landasan yg betul. Maka itu lahirlah Starbuck, Dell, Cocacola, DKNY, Oracle, Perfileman di Hollywood, Levis , Dunkin Donut dan ada beratus kedai ternama di bawah naungan dewan perniagaan Yahudi di New York . Graduan Yahudi dari fakulti perubatan New York akan disarankan untuk mendaftar di persatuan ini dan digalakkan memulakan klinik mereka sendiri dengan bantuan wang tanpa faedah. Barulah saya tahu mengapa hospital di New York dan California sentiasa kekurangan doktor pakar.

Kesimpulanya, pada teori saya melahirkan anak dan keturunan yg bijak boleh dilaksanakan dan tentunya bukan semalaman, ianya memerlukan masa, beberapa generasi mungkin? Persiapan awal adalah ketika sang ibu mengandung, galakkanlah si ibu melakukan latihan metamatik yg mudah tetapi konsisten disamping mendengar musik klasik. Seterusnya ubahlah cara pemakanan, makanlah makanan yg elok dan berkhasiat yg baik untuk otak, menghayati musik sejak kecil adalah baik sekali untuk penumbuhan otak kanak kanak. Dengan bermain piano dan violin sudah tentu dapat melatih anak anak mencerdaskan otak mereka demikian juga sukan yg memerlukan konsentrasi yg tinggi, seperti memanah, bola keranjang, dart dan menembak.

Merokok menjanjikan generasi yg moron (bodoh) dan sudah tentu gen yang bodoh akan mengikut ke generasi si perokok. Lawatan saya ke Singapore pada tahun 2005 amat memeranjatkan sekali. Di sini perokok seperti dianak tirikan dan begitu susah sekali untuk perokok dan anda tahu berapa harga sekotak rokok? US$ 7 bersamaan dengan RM ini bersamaan perbelanjaan sehari untuk makan anda!! Saya puji sekali sikap pemerintah Singapore dan menakjubkan sekali dan seperti Israel ianya begitu taboo dan cara pentadbiran dan segi pembelajaran mereka hampir serupa dengan Israel , maka itu saya lihat banyak institusi pelajaran mereka bertaraf dunia walaupun hakikatnya negeri Singapore hanyalah sebuah pulau sebesar Manhattan !!

Anda mungkin muskil, benarkah merokok dapat melahirkan generasi bodoh. Saya telah menemui beberapa bukti menyokong teori ini. Lihat saja Indonesia, jika anda ke Jakarta , di mana saja anda berada, dari restoran, teater, kebun bunga hingga ke muzium hidung anda akan segera terbau asak rokok dan harga rokok? Cuma US$0 .70cts !!! dan hasilnya? Dengan penduduknya berjumlah jutaan orang berapa banyakkah universiti terdapat di sana? Hasil apakah yg dapat dibanggakan? Teknologi? Jauh sekali. Adakah mereka dapat berbahasa selain dari bahasa mereka sendiri? Mengapa mereka begitu sukar sekali menguasai bahasa Inggeris? Ditangga berapakah kedudukan mereka di pertandingan metamatik sedunia? Adakah ini bukan akibat merokok? Anda fikirlah sendiri.

Di tesis saya ini, saya tidak akan menimbulkan soal agama atau bangsa. Adakah Yahudi itu zalim sehingga diusir dari semenjak zaman Paraoh hingga ke Hitler? Bagi saya itu isu politik dan survival, yg ingin saya ketengahkan ialah, mampukah kita dapat melahirkan generasi yg bijak seperti Yahudi? Jawapannya ialah mungkin dan tidak mustahil dan ianya memerlukan perubahan. Dari segi pemakanan, cara mendididik anak dan saya kira hanya memerlukan 3 generasi sahaja. Ini dapat saya lihat sendiri tentang cucu saya, ini setelah saya mengajar anak saya melalui program yg telah saya nyatakan diatas tadi. Pada umur 9 tahun (cucu saya) dia dapat menulis essei sepanjang 5 muka surat penuh. Essienya hanyalah mengenai “Mengapa saya gemarkan tomato!”

Selamat sejahtera dan semuga kita dapat melahirkan manusia yg bijak dan bersifat mulia untuk kebaikan manusia sejagat tanpa mengenal batasan bangsa.

Dr. Stephen Carr Leon

Dipetik daripada Al-ahkam.net

Komen Saya :

Apa yang diamalkan oleh puak-puak yahudi sebenarnya adalah menurut apa yang ditetapkan oleh Islam kepada umatnya. Makan buahan sebelum makan makanan yang berat adalah amalan sunnah Nabi ketika makan. merokok adalah seseatu yang diharamkan Islam kepada umatnya. Yahudi tahu rokok tidak baik untuk kesihatan mental dan fizikal. Namun mereka cipta juga rokok, tetapi bukan untuk bangsa mereka, tetapi untuk menghancurkan bangsa yang lain. Mereka mencipta rokok agar mereka sahaja yang bijak dan bangsa lain akan menjadi lemah. Amat malang sekali mereka yang mengambil hukum rokok itu sebagai makruh sahaja. Sebenarnya amalan yang didasarkan oleh Islam itu praktikal dan telah terbukti memberi kesan yang baik kepada pengamalnya. Cuma kita telah lama dimomokkan dengan amalan yang dibawa oleh barat. Makan dengan sudu dan garfu lebih dipandang bergaya daripada yang menggunakan tangan. Malah ada yang berasa jijik apabila jari jemari disisip bersih selepas makan. Kepada rakan-rakan sekalian, marilah sama-sama kita berusaha mengamalkan walaupun sedikit amalan sunnah Nabi dalam kehidupan kita. kita mulakan amalan sunnah itu dengan mengamalkan amalan yang paling asas terlebih dahulu iaitu dengan membaca Bismillah dalam setiap aktiviti atau perkara yang dilakukan.

Salam ukhwah buat semua

selamat berubah kepada kehidupa baru



Thursday, February 5, 2009

Takutlah wahai manusia dengan istidraj!

Sambil memandu kereta untuk pulang ke rumah, fikiran saya benar-benar mengelamun ketika ini. Gelisah benar hati saya ketika ini dan terasa sebak dada ini menahan sedih. Ya, saya sedang memikirkan sesuatu yang amat menyedihkan.

Apabila hati semakin tidak keruan, saya teringatkan satu istilah yang dahulunya saya sering sebut pada rakan-rakan. Kebanyakkan daripada mereka memang tidak pernah mendengar perkataan itu, malah ada yang tercengang-cengan apabila saya menanyakan kepadanya apakah yang dimaksudkan dengan perkataan itu. Apakah ia? Itulah yang disebut istidraj.

Istidraj bermaksud tipu daya Allah. Firman Allah yang bermaksud : " Maka Tatkala mereka melupakan peringatan yang telah diberikan kepada mereka, Kami pun membuka pintu-pintu kesenangan untuk mereka sehingga apabila mereka bergembira dengan apa yang telah diberikan kepada mereka kami seksa mereka, maka ketika itu mereka terdiam berputus asa "- ( al-an'am : Ayat 44 )

Firaun, semasa hayatnya seorang yang sangat beruntung kerana hidupnya mewah dan kesihatannya sentiasa dalam keadaan yang baik sehinggakan dikatakan tidak pernah bersin walau sekalipun. Kesenangan yang diberikan itu menjadikan dia semakin lupa kepada Allah. Sehingga ke satu tahap dia mengaku dia adalah tuhan. Walaupun kesombongannya semakin menjadi-jadi, Allah tetap memberinya kesenangan hidup yang melimpah-ruah sehingga dia semakin lupa diri dan merasakan dia adalah manusia yang hebat. Tetapi sejarah telah tercatat, firaun mati dengan cara yang mengejut, tiada sakit atau penderitaan yang panjang. Matinya tanpa sempat bertaubat. Dia dan kuncu-kuncunya telah mati ditelan laut. Dia mati dalam keadaan yang tidak disangka-sang. Di saat itu tiada lagi erti penyesalan kerana nyawa telah dikerongkongan dan pastinya waktu itu taubat tidak lagi diterima oleh Allah.

Buat kita umat Islam, kisah ini adalah tauladan yang terbaik buat kita. Marilah bersama-sama kita bermuhasabah agar nikmat yang kita perolehi pada hari ini dan seterusnya bukan istidraj buat kita. Nilailah diri kita sedalam mungkin, adakah harta dan kesenangan yang kita nikmati pada hari ini menjauhkan kita kepada Allah atau mendekatkan lagi diri kita kepadaNya. Ya Allah, aku bermohon kepadaMu dari tipu daya yang memperdayakan diriku sehingga aku lupa untuk melaksanakan amanahku kepadaMu. Ya Allah, engkau berilah kekuatan kepada mereka yang berjuang menegakkankan agamaMu.

wallahua'lam...

Wednesday, February 4, 2009

Sebelum melabuhkan tirai malam

Saya sedang menulis sesuatu yang tidak pasti isinya. Sudah beberapa kali saya menaip dan "mendelete". Mata sudah semakin kuyu, badan sudah semakin letih. Isteri dan anak sedang lena diulit mimpi. Isteri saya sedang sarat mengandung anak kedua, tentu dia sangat penat setelah seharian bekerja di sekolah. Ditambah pula haris husaini yang ragamnya malam ini begitu menjadi-jadi.

Saya perhatikan Haris sejak kebelakangan ini banyak sungguh ragamnya. Kuat merajuk dan menangis. Dulu dia tidak begitu. mungkin juga kerana dia sudah mula merasakan dia bakal menerima adik. Mungkin juga dia sudah mula kenal maksud cemburu. Kata orang tua-tua, anak akan kuat meragam bila dia mengetahui adiknya bakal keluar tidak lama lagi. Mungkin ada benarnya pendapat tersebut. Haris-haris, walau berapapun anak abah yang dikurniakan Allah, haris tetap istimewa di hati abah.

Semenjak isteri saya mengandung, boleh dikatakan 70% kerja rumah seperti memasak, mengemas rumah dan cuci kain kebanyakkannya dilakukan oleh saya. Namun pengalaman menguruskan rumah semasa isteri mengandungkan haris banyak memberi kekuatan kepada saya apabila dia mengandung untuk kali kedua. Itu belumlagi menjaga isteri pantang selama 40 hari nanti. Kenapa, tak percaya? hehe, memang saya yang menjaga isteri semasa pantang selepas melahirkan haris. Dia anak yatim piatu. Dia juga tidak mahu menyusahkan Mak dan Abah saya di kampung. maka saat itu, sayalah yang menjaga dia selama mana dia berpantang. Sedikit latihan yang mak berikan pada saya, dapat juga saya melakukannya. Misalnya cara mandikan bayi dengan betul, cara memakaikan lampin, cara memakaikan baju dan resepi yang sesuai untuk isteri yang sedang berpantang. Bayangkan seawal 5 pagi saya perlu bangun untuk menyiapkan makanan buat isteri sebelum saya ke sekolah. Perlu sediakan air untuk mandian anak. Balik kerja perlu mandikan anak, masakkan makanan untuk makan malam isteri waktu itu. Ya Allah, 2 bulan yang penuh mencabar. Penat? Hanya Allah yang mengetahuinya. Namun saya tidak pernah rasa susah atas semua ini kerana inilah tanda terima kasih saya kepada Isteri tercinta kerana sanggup mengandungkan anak saya walaupun dugaannya sangat besar. Masih terbanyang keperitan yang ditanggung oleh isteri pada tiga bulan pertama mengandung. Tiap-tiap pagi muntah dan asyik berasa mual sehinggakan hilang selera makan. Terima kasih sayang, abang sangat-sangat menghargainya. Semoga Allah membalas segala pengorbanan sucimu ini. Kini, saya sedang menanti tarikh keramat untuk menatap wajah anak saya yang kedua. Siapapun kamu, Insya-Allah abah akan menerimamu dengan sepenuh hati.

Syukur padaMu ya Allah di atas segala kurnianMu kepadaKu selama ini. Nafas yang tidak pernah terhenti walau sesaat, nikmat makan dan buang yang masih berfungsi dengan baik, kekuatan badan dan fikiran yang tidak ternilai harganya, nikmat jiwa yang tenang dan bermacam-macam lagi sudah cukup bagiku ya Allah. Alhamdulillah, pemberianMu kepadaku walau dalam apa jua bentuk sudah cukup bermakna buatku ya Allah. Aku mohon ampun padaMu ya Allah andai selama ini ada tanda-tanda diriku tidak mensyukuri nikmatmu ya Tuhan. Tiadalah erti hidup ini tanpa nikmat kasih sayangMu ya Allah. Buat rakan pembaca sekalian, maaf kerana berkongsi cerita yang tidak berapa seronok dibaca ini. saya tidak tahu apa lagi apa yang hendak ditulis dan saya tidak mahu lagi "mendelete". Maka, lahirlah tulisan lawak yang ditulis dengan mata yang sangat mengantuk. Selamat berkongsi cerita semua. Selamat malam semua.

Salam ukhwah,

Assalamualaikum.






Sunday, February 1, 2009

Lebih ajaib daripada 7 keajaiban dunia

Menara Pisa, Tembok Cina, Candi Borobudur, Taj Mahal, Ka’bah, Menara Eiffel, dan Piramid di Mesir, inilah semua keajaiban dunia yang kita kenal. Namun sebenarnya semua itu belum terlalu ajaib, karena di sana masih ada tujuh keajaiban dunia yang lebih ajaib lagi. Mungkin para pembaca bertanya-tanya, keajaiban apakah itu?

Memang tujuh keajaiban lain yang kami akan sajikan di hadapan pembaca sekalian belum pernah ditayangkan di TV, tidak pernah disiarkan di radio-radio dan belum pernah dimuat di media cetak. Tujuh keajaiban dunia itu adalah:

• Haiwan Berbicara di Akhir Zaman

Maha suci Allah yang telah membuat segala sesuatunya berbicara sesuai dengan yang Ia kehendaki. Termasuk dari tanda-tanda kekuasaanya adalah ketika terjadi hari kiamat akan muncul haiwan melata yang akan berbicara kepada manusia sebagaimana yang tercantum dalam Al-Qur’an, surah An-Naml ayat 82,

"Dan apabila perkataan Telah jatuh atas mereka, kami keluarkan sejenis binatang melata dari bumi yang akan mengatakan kepada mereka, bahwa Sesungguhnya manusia dahulu tidak yakin kepada ayat-ayat Kami".
Mufassir Negeri Syam, Abul Fida’ Ibnu Katsir Ad-Dimasyqiy berkomentar tentang ayat di atas, "Haiwan ini akan keluar di akhir zaman ketika rosaknya manusia, dan mulai meninggalkan perintah-perintah Allah, dan ketika mereka telah mengganti agama Allah. Maka Allah mengeluarkan ke hadapan mereka haiwan bumi. Konon kabarnya, dari Makkah, atau yang lainnya sebagaimana akan datang perinciannya. Haiwan ini akan berbicara dengan manusia tentang hal itu".[Lihat Tafsir Ibnu Katsir (3/498)]

Haiwan aneh yang berbicara ini akan keluar di akhir zaman sebagai tanda akan datangnya kiamat dalam waktu yang dekat. Nabi -Shallallahu ‘alaihi wa sallam- bersabda,
"Sesungguhnya tak akan tegak hari kiamat, sehingga kalian akan melihat sebelumnya 10 tanda-tanda kiamat: Gempa di Timur, gempa di barat, gempa di Jazirah Arab, Asap, Dajjal, haiwan bumi, Ya’juj & Ma’juj, terbitnya matahari dari arah barat, dan api yang keluar dari jurang Aden, akan menggiring manusia". [HR. Muslim dalam Shohih-nya (2901), Abu Dawud dalam Sunan-nya (4311), At-Tirmidziy dalam Sunan-nya (2183), dan Ibnu Majah dalam Sunan-nya
(4041)]

• Pohon Kurma yang Menangis

Adanya pohon kurma yang menangis ini terjadi di zaman Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- , mengapa sampai pohon ini menangis? Kisahnya, Jabir bin Abdillah-radhiyallahu ‘anhu- berkata:

"Jabir bin Abdillah -radhiyallahu ‘anhu- berkata: "Adalah dahulu Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- berdiri (berkhutbah) di atas sebatang kurma, maka tatkala diletakkan mimbar baginya, kami mendengar sebuah suara seperti suara unta dari pohon kurma tersebut hingga Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- turun kemudian beliau meletakkan tangannya di atas batang pohon kurma tersebut" .[HR.Al-Bukhariy dalam Shohih-nya (876)]

Ibnu Umar-radhiyallahu ‘anhu- berkata,
"Dulu Nabi -Shallallahu ‘alaihi wa sallam- berkhuthbah pada batang kurma. Tatkala beliau telah membuat mimbar, maka beliau berpindah ke mimbar itu. Batang korma itu pun merintih. Maka Nabi -Shollallahu ‘alaihi wasallam- mendatanginya sambil mengeluskan tangannya pada batang korma itu (untuk menenangkannya)". [HR. Al-Bukhoriy dalam Shohih-nya (3390), dan At-Tirmidziy dalam Sunan-nya (505)]

• Untaian Salam Batu Aneh

Mungkin kalau seekor burung yang pandai mengucapkan salam adalah perkara yang sering kita jumpai. Tapi bagaimana jika sebuah batu yang mengucapkan salam. Sebagai seorang hamba Allah yang mengimani Rasul-Nya, tentunya dia akan membenarkan seluruh apa yang disampaikan oleh Rasul-Nya, seperti pemberitahuan beliau kepada para sahabatnya bahwa ada sebuah batu di Mekah yang pernah mengucapkan salam kepada beliau sebagaimana dalam sabdanya,
Dari Jabir bin Samurah dia berkata, Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- bersabda, "Sesungguhnya aku mengetahui sebuah batu di Mekah yang mengucapkan salam kepadaku sebelum aku diutus, sesungguhnya aku mengetahuinya sekarang".[HR.Muslim dalam Shohih-nya (1782)].
• Pengaduan Seekor unta

Manusia adalah makhluk yang memiliki perasaan. Dari perasaan itu timbullah rasa cinta dan kasih sayang di antara mereka. Akan tetapi ketahuilah, bukan hanya manusia saja yang memiliki perasaan, bahkan haiwan pun memilikinya. Oleh karena itu sangat disesalkan jika ada manusia yang tidak memiliki perasaan yang membuat dirinya lebih rendah daripada haiwan. Pernah ada seekor unta yang mengadu kepada Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- mengungkapkan perasaannya.

Abdullah bin Ja’far-radhiyallahu ‘anhu- berkata, “Pada suatu hari Rasulullah -Shallallahu ‘alaihi wasallam- pernah memboncengku dibelakangnya, kemudian beliau membisikkan tentang sesuatu yang tidak akan kuceritakan kepada seseorang di antara manusia. Sesuatu yang paling beliau senangi untuk dijadikan pelindung untuk buang hajatnya adalah gundukan tanah atau kumpulan batang kurma. lalu beliau masuk ke dalam kebun laki-laki Anshar. Tiba tiba ada seekor unta. Tatkala Nabi -Shallallahu ‘alaihi wasallam- melihatnya, maka unta itu merintih dan bercucuran air matanya. Lalu Nabi -Shallallahu ‘alaihi wasallam- mendatanginya seraya mengusap dari perutnya sampai ke pundaknya dan tulang telinganya, maka tenanglah unta itu. Kemudian beliau bersabda, “Siapakah pemilik unta ini, unta ini milik siapa?” Lalu datanglah seorang pemuda Anshar seraya berkata, “unta itu milikku, wahai Rasulullah”.

Maka Nabi -Shallallahu ‘alaihi wasallam- bersabda,
“Tidakkah engkau bertakwa kepada Allah dalam binatang ini, yang telah dijadikan sebagai milikmu oleh Allah, karena ia (binatang ini) telah mengadu kepadaku bahwa engkau telah membuatnya letih dan lapar”. [HR. Abu Dawud dalam As-Sunan (1/400), Al-Hakim dalam Al-Mustadrak (2/99-100), Ahmad dalam Al-Musnad (1/204-205), Abu Ya’la dalam Al-Musnad (3/8/1), Al-Baihaqiy dalam Ad-Dala’il (6/26), dan Ibnu Asakir dalam Tarikh Dimasyqa (9/28/1). Lihat Ash-Shahihah (20)]

• Kesaksian Kambing Panggang

Kalau binatang yang masih hidup bisa berbicara adalah perkara yang ajaib, maka tentunya lebih ajaib lagi kalau ada seekor kambing panggang yang berbicara. Ini memang aneh, akan tetapi nyata. Kisah kambing panggang yang berbicara ini terdapat dalam hadits berikut:

Abu Hurairah-radhiyallahu ‘anhu- berkata,
"Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- menerima hadiah, dan tidak mau makan shodaqoh. Maka ada seorang wanita Yahudi di Khoibar yang menghadiahkan kepada beliau kambing panggang yang telah diberi racun. Lalu Rasulullah -Shallallahu ‘alaihi wa sallam- pun memakan sebahagian kambing itu, dan kaum (sahabat) juga makan. Maka Nabi -Shallallahu ‘alaihi wa sallam- bersabda, "Angkatlah tangan kalian, karena kambing panggang ini menkhabarkan kepadaku bahwa dia beracun". Lalu meninggallah Bisyr bin Al-Baro’ bin Ma’rur Al-Anshoriy. Maka Nabi -Shallallahu ‘alaihi wa sallam- mengirim (utusan membawa surat), "Apa yang mendorongmu untuk melakukan hal itu?" Wanita itu menjawab, "Jika engkau adalah seorang nabi, maka apa yang aku telah lakukan tak akan membahayakan dirimu. Jika engkau adalah seorang raja, maka aku telah melepaskan manusia darimu".

Kemudian Rasulullah -Shallallahu ‘alaihi wa sallam- memerintahkan untuk membunuh wanita itu, maka ia pun dibunuh. Nabi -Shallallahu ‘alaihi wa sallam- bersabda ketika beliau sakit yang menyebabkan kematian beliau,"Senantiasa aku merasakan sakit akibat makanan yang telah aku makan ketika di Khoibar. Inilah saatnya urat nadi leherku terputus". [HR. Abu Dawud dalam Sunan-nya (4512). Di-shohih-kan Al-Albaniy dalam Shohih Sunan Abi Dawud (hal.813), dengan tahqiq Masyhur Hasan Salman]

• Batu yang Berbicara

Setelah kita mengetahui adanya batu yang mengucapkan salam, maka keajaiban selanjutnya adalah adanya batu yang berbicara di akhir zaman. Jika kita pikirkan, maka terasa aneh, tapi demikianlah seorang muslim harus mengimani seluruh berita yang disampaikan oleh Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam-, baik yang masuk akal, atau tidak. Karena Nabi -Shallallahu ‘alaihi wa sallam- tidaklah pernah berbicara sesuai hawa nafsunya, bahkan beliau berbicara sesuai tuntunan wahyu dari Allah Yang Mengetahui segala perkara ghaib.

Rasulullah -Shallallahu ‘alaihi wa sallam- bersabda,
"Kalian akan memerangi orang-orang Yahudi sehingga seorang diantara mereka bersembunyi di balik batu. Maka batu itu berkata, "Wahai hamba Allah, Inilah si Yahudi di belakangku, maka bunuhlah ia". [HR. Al-Bukhoriy dalam Shohih-nya (2767), dan Muslim dalam Shohih-nya (2922)]
Al-Hafizh Ibnu Hajar-rahimahullah- berkata, "Dalam hadits ini terdapat tanda-tanda dekatnya hari kiamat, berupa berbicaranya benda-benda mati, pohon, dan batu.

Lahiriahnya hadits ini (menunjukkan) bahwa benda-benda itu berbicara secara hakikat".[Lihat Fathul Bari (6/610)]

• Semut Memberi Arahan

Mungkin kita pernah mendengar cerita fiktif tentang haiwan-haiwan yang berbicara dengan haiwan yang lain. Semua itu hanyalah cerita fiktif belaka dan omong kosong. Tapi ketahuilah wahai para pembaca, sesungguhnya adanya haiwan yang berbicara kepada haiwan yang lain, bahkan memberi arahan, layaknya seorang komandan pasukan yang memberikan perintah. Haiwan yang memberi arahan tersebut adalah semut. Kisah ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Al-Qur’an,

"Dan Sulaiman Telah mewarisi Daud, dan dia berkata: "Hai manusia, kami Telah diberi pengertian tentang suara burung dan kami diberi segala sesuatu. Sesungguhnya (semua) Ini benar-benar suatu kurnia yang nyata".Dan dihimpunkan untuk Sulaiman tentaranya dari jin, manusia dan burung lalu mereka itu diatur dengan tertib (dalam barisan). Hingga apabila mereka sampai di lembah semut, berkatalah seekor semut: Hai semut-semut, masuklah ke dalam sarang-sarangmu, agar kamu tidak diinjak oleh Sulaiman dan tentaranya, sedangkan mereka tidak menyadari.Maka dia (Sulaiman) tersenyum dengan tertawa Karena (mendengar) perkataan semut itu. dan dia berdoa: "Ya Tuhanku berilah Aku ilham untuk tetap mensyukuri nikmat mu yang Telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada dua orang ibu bapakku dan untuk mengerjakan amal saleh yang Engkau ridhai; dan masukkanlah Aku dengan rahmat-Mu ke dalam golongan hamba-hamba-Mu yang saleh". (QS.An-Naml: 16-19).

Inilah beberapa perkara yang lebih layak dijadikan "Tujuh Keajaiban Dunia" yang menghebohkan, dan mencengangkan seluruh manusia. Orang-orang beriman telah lama meyakini dan mengimani perkara-perkara ini sejak zaman Nabi -Shallallahu ‘alaihi wa sallam- sampai sekarang. Namun memang kebanyakan manusia tidak mengetahui perkara-perkara itu. Oleh karena itu, kami mengangkat hal itu untuk mengingatkan kembali, dan menanamkan aqidah yang mantap di hati kaum muslimin

Dipetik dari al-ahkam.net

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN

TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN BUAT ADIK-ADIK YANG BAKAL MENDUDUKI PEPERIKSAAN Seperti yang kita sedia maklum, dua peperiksaan besar akan b...